Anda di halaman 1dari 5

Kaitkan perihal murid, sifat dan kecerdasan murid dengan penyampaian lisan

oleh guru. Kemudian, beri satu hujah tentang perkara tersebut melalui
pengalaman kita sebagai seorang pelajar.

Komunikasi berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘communiatus’ yang membawa


maksud berkongsi sesuatu. Definisi khusus komunikasi berdasarkan Kamus Dewan
(1993) ialah perhubungan (secara langsung atau dengan perantaraan), mengadakan
perhubungan (berbincang, bertukar- tukar fikiran) atau menyampaikan maklumat.
Komunikasi lisan melibatkan proses pemindahan maklumat atau idea secara lisan
daripada seorang individu kepada individu yang lain. Dalam bidang pendidikan,
komunikasi secara lisan memainkan peranan penting dan perlu diberi penekanan
oleh setiap guru dalam pengajaran mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana
keberkesanan lisan oleh guru amat penting bagi memastikan para pelajar faham
akan ilmu yang disampaikan. Aspek komunikasi lisan dan vokal yang biasa
diamalkan oleh guru di bilik darjah ialah intonasi suara, kejelasan sebutan,
kelancaran dan sebagainya. Tanpa komunikasi yang berkesan, objektif dan
matlamat sesuatu pengajaran dan pembelajaran tidak mungkin dapat dicapai
dengan sepenuhnya.

Lisan yang disampaikan dengan baik oleh guru kepada murid akan memberi
kesan yang positif terhadap tumpuan pelajar semasa sedang belajar di dalam kelas.
Menurut Nor Aina Dani (2007), kemahiran bertutur ialah kemahiran menyebut dan
membunyikan bunyi-bunyi bahasa dengan pengujaran kata-kata atau ayat dalam
intonasi, nada (tekanan suara), jeda serta helaan yang betul. Unsur-unsur
“suprapenggalan” ini merupakan aspek yang nyata dan penting dalam lisan.
Mengenalpasti intonasi yang berbeza-beza ini amat penting bagi mewujudkan
suasana pertuturan yang baik. Ilmu yang disampaikan dengan jelas, menarik dan
kreatif akan dapat mewujudkan satu sistem pembelajaran yang lebih baik, teratur
dan lancar. Sebagai contoh, seseorang guru yang menggunakan intonasi yang
menarik semasa mengajar seperti menggunakan nada yang tinggi untuk
menerangkan sesuatu fakta yang dianggap membosankan oleh para pelajar akan
menyebabkan mereka tidak mudah untuk hilang fokus semasa proses pengajaran
dan pembelajaran sedang dijalankan. Oleh itu, penggunaan intonasi yang
bersesuaian dengan topik yang diajar akan meningkatkan tumpuan pelajar terhadap
pembelajaran.

Selain itu, pelajar juga akan meminati subjek yang diajar oleh guru melalui
penggunaan lisan yang berkesan dan menarik. Kebanyakan murid akan
menunjukkan minat dalam subjek yang dipelajari sekiranya guru mereka mempunyai
cara penyampaian yang pelbagai. Pengajaran yang tidak hanya melalui pembacaan
buku teks semata-mata akan dapat mendorong pelajar untuk terus meminati subjek
tersebut. Sebagai contoh, subjek-subjek yang banyak berasaskan fakta seperti
subjek Sejarah, Pengajian Am, Pendidikan al-Quran dan Sunnah dan Pendidikan
Syariah Islamiah mestilah disampaikan dengan cara menyuruh pelajar agar
membuat persembahan lakonan, menayangkan video dan membuat permainan
berasaskan topik yang ingin diajar. Pembelajaran juga akan menjadi lebih
menyeronokkan dan akan memastikan pelajar sentiasa belajar dalam suasana yang
lebih menarik tanpa sebarang tekanan. Para pelajar juga dapat terus mengingati
tentang kandungan pelajaran yang telah mereka pelajari kerana mereka sendiri yang
perlu mempersembahkan topik tersebut kepada rakan-rakan. Hal ini juga dapat
meningkatkan prestasi mereka dalam pembelajaran kerana ilmu yang disampaikan
terus dipraktikkan dan dipersembahkan dalam sesi pembelajaran. Oleh itu, kaedah
pengajaran ini amat berkesan untuk menarik perhatian pelajar untuk lebih
mendalami topik yang diajarkan oleh guru.

Di samping itu, lisan yang jelas juga akan dapat meningkatkan pemahaman murid
terhadap sesuatu pengajaran di dalam kelas. Penjelasan yang diberikan oleh guru
mestilah disertakan bersama contoh-contoh yang jelas agar pelajar dapat
memahami topik tersebut dengan lebih mudah. Murid-murid juga dapat
mengaplikasikan pembelajaran tersebut dalam kehidupan mereka kerana mereka
betul-betul memahami tentang perkara yang telah disampaikan oleh guru. Sebagai
contoh, subjek seperti Pendidikan Syariah Islamiah yang mengandungi banyak ayat
al- Quran dan hadis mestilah diajar dengan menyatakan kisah yang terkandung
dalam ayat tersebut agar lebih difahami oleh murid. Kisah seperti peristiwa korban
iaitu pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya, Nabi
Ismail kerana ketaatannya kepada Allah akan dapat difahami dengan baik melalui
penyampaian yang lancar dan menekankan kepentingan korban terhadap para
pelajar. Mereka juga dapat menceritakan peristiwa tersebut kepada orang lain
kerana mereka faham akan kisah yang mereka pelajari melalui penyampaian lisan
oleh guru yang jelas di dalam kelas. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan kecerdasan
murid yang bertambah kerana kefahaman yang baik dalam sesuatu pembelajaran
yang mereka pelajari. Oleh itu, mereka dapat mengambil input yang berguna melalui
pembelajaran dan turut menyebarkan ilmu yang dipelajari dengan baik kepada
khalayak ramai.

Jelaslah bahawa kemahiran lisan yang dimiliki oleh seseorang guru dapat
mempengaruhi penerimaan murid terhadap pengajaran yang disampaikan di dalam
kelas. Berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai seorang pelajar, guru
memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan pengajarannya dapat
difahami dengan baik oleh pelajar. Guru matapelajaran Pendidikan al-Quran dan
Sunnah semasa saya berada di Tingkatan 5 dahulu sentiasa menyampaikan ilmu
dengan hanya mengarahkan agar kami menghafal hadis-hadis dan nama-nama
tokoh yang berkaitan dengan pembelajaran, namun kaedah tersebut tidak begitu
efektif kerana terdapat terlalu banyak hadis yang perlu dihafal yang menyebabkan
kami tidak dapat mengingatinya dengan mudah. Disebabkan oleh keadaan tersebut,
beliau bercadang untuk mereka satu kaedah pembelajaran yang lain iaitu dengan
mencari hadis-hadis yang pendek dan sesuai untuk digunakan dalam semua soalan
yang akan dijawab dalam peperiksaan. Beliau juga sanggup mengorbankan masa
dengan mengadakan kelas tambahan khusus untuk pelajar-pelajar yang lemah
dalam subjek tersebut. Peperiksaan juga akan diadakan secara mingguan walaupun
tiada arahan dari pihak atasan kerana beliau ingin memastikan bahawa kaedah
pembelajaran yang diperkenalkan berkesan dan meningkatkan prestasi pelajar
dalam peperiksaan yang sebenar. Saya berjaya memperoleh gred A dalam
peperiksaan mingguan tersebut walaupun biasanya saya hanya mendapat gred C
dan B dalam matapelajaran ini. Akhirnya, saya berjaya mengekalkan prestasi saya
dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan pencapaian yang
cemerlang dalam subjek yang dianggap sukar oleh saya sewaktu ketika dahulu. Hal
ini menunjukkan bahawa kaedah yang digunakan oleh guru saya merupakan kaedah
yang efektif dan berkesan. Sekolah saya berjaya memperoleh anugerah
kecemerlangan iaitu Anugerah Lonjakan Saujana dalam matapelajaran Pendidikan
al- Quran dan Sunnah mengatasi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)
yang lain. Pencapaian tersebut merupakan sesuatu yang amat membanggakan dan
guru saya mendapat banyak pujian daripada pihak atasan dan sekolah-sekolah yang
lain. Oleh itu, lisan yang berkesan oleh guru dapat meningkatkan pencapaian murid
sekaligus menaikkan imej sekolah agar terus cemerlang dan diiktiraf sebagai antara
sekolah yang terbaik dalam aspek akademik.

Kesimpulannya, kemahiran lisan merupakan aspek terpenting untuk memastikan


proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Guru juga
berperanan sebagai pemudah cara untuk membimbing anak didiknya supaya
menjadi seorang yang berjaya pada masa hadapan. Seorang guru mesti faham,
sedar dan bijak menggunakan pendekatan dan kaedah yang pelbagai dalam
menarik minat pelajar untuk mempelajari subjek yang diajar dengan lebih baik.
Penggunaan bahasa standard atau baku dalam mengajar juga dapat mendorong
pelajar untuk turut menggunakannya dalam kehidupan harian mereka. Secara tidak
langsung, penguasaan bahasa mereka akan meningkat dan bertambah baik dari
semasa ke semasa. Oleh itu, pengajaran guru yang berkesan akan dapat
memastikan prestasi muridnya sentiasa meningkat dan menjamin masa depan murid
yang lebih cerah.

Disediakan oleh: Wan Nurul I’rfah Binti Wan Mat Isa

Nombor matrik: 207397

Anda mungkin juga menyukai