Anda di halaman 1dari 3

Forum 1:

ONTOLOGI

Ontologi berasal dari bahasa Yunani, On:being, Logos:logic. Jadi ontologi adalah pemikiran mengenai
sesuatu yang ada dan keberadaannya. Ontologi adalah ilmu hakikat yang menyiasat alam nyata ini
dan bagaimana keadaan yang sebenarnya. Ontologi merupakan salah satu kajian falsafah yang
membincangkan keberadaan sesuatu yang bersifat konkrit. Ontologi membolehkan kita memperoleh
pengetahuan tentang objek yang dipelajari, berhujah tentang apa yang ingin kita ketahui, seberapa
jauh kita ingin tahu atau suatu kajian mengenai teori tentang keberadaaan sesuatu. Pengajian ilmu
ontologi adalah tentang memahami segala-galanya dalam kehidupan yang boleh kita pelajari dengan
menggunakan lima deria kita. Justeru, dapat disimpulkan kajian ilmu dalam bidang ontologi adalah
terbatas kepada apa yang dapat dilihat oleh manusia dan dapat dibuktikan secara empirikal. Sesuatu
yang diluar jangkauan manusia dan tidak berada di dunia nyata adalah tidak termasuk dalam bidang
ontologi.

EPISTEMOLOGI

Epistemologi berasal dari bahasa Yunani bermaksud knowledge (pengetahuan). Epistemologi adalah
ilmu yang membincangkan secara mendalam tentang proses penyusunan pengetahuan yang lebih
teliti. Epistemologi adalah lanjutan daripada ontologi. Jika ontologi mengetahui tentang kewujudan
sesuatu, epistemologi pula berkenaan bagaimana sesuatu itu wujud. Persoalan demi persoalan akan
timbul dalam kajian epistemologi seperti bagaimana sesuatu objek atau fenomena itu terhasil,
bagaimana sesuatu itu berbeza dengan objek yang lain. Dalam erti kata lain, epistemologi adalah
berkenaan bagaimana kita mendapat pengetahuan yang lebih mendalam dengan menaakul sesuatu
kejadian atau objek. Bidang epistemologi tidak bergantung kepada data-data empirikal semata-mata
tetapi ialah bagaimana sesuatu pengetahuan dapat diperolehi dengan gabungan empirikal dan
rasional.

AKSIOLOGI

Aksiologi berasal dari kata “Axios” yang bermaksud “bermanfaat”. Apabila perkataan tersebut
ditambah dengan kata “logos” bermaksud ”ilmu pengetahuan, ajaran dan teori. Jadi aksiologi adalah
teori tentang nilai. Aksiologi adalah ilmu pengetahuan yang menyelidik hakikat nilai yang dilihat dari
sudut falsafah. Aksiologi adalah bidang ilmu yang mengkaji mengapa sesuatu itu wujud dan apakah
manfaatnya kepada manusia. Bagaimanakah ilmu atau sesuatu yang wujud dalam dunia ini dapat
digunakan oleh manusia dengan memberi nilai yang baik. Aksiologi menimbulkan persoalan apakah
kegunaan ilmu dalam hidup manusia. Apakah manfaat daripada sesuatu yang wujud di dalam dunia
nyata. Aksiologi membawa kita menghayati akan kepentingan sesuatu yang wujud di dunia.

Sebagai contoh dalam pembelajaran mata pelajaran Sains. Murid-murid diperkenalkan tentang apa
itu cahaya, ciri-ciri cahaya dan sifat cahaya. Ilmu ontologi diaplikasikan dalam konteks penyampaian
ilmu tentang sesuatu yang wujud dan “ada” dan dapat diperhatikan oleh deria manusia. Kita dapat
melihat, memahami dan merasai cahaya dengan deria kita. Kemudian murid dilanjutkan dengan
penerokaan tentang bagaimana cahaya itu sampai ke bumi. Bagaimana cahaya digunakan oleh benda
hidup. Apakah kegunaan cahaya kepada manusia dan tumbuhan. Bagaimana cahaya digunakan
dalam kehidupan manusia. Di peringkat ini, logik tentang ada digabungkan dengan rasional. Kita
merasionalkan fakta yang dilihat dengan deria kepada sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata.
Sebaliknya cuba memahami sesuatu yang ada ke dalam sesuatu yang tidak dapat dilihat dan cuba
merasionalkannya. Ini semua adalah ilmu epistemologi yang mengenal cahaya dan fungsinya dengan
lebih mendalam. Seterusnya, secara aksiologi, cahaya juga membawa nilai dalam kehidupan bukan
sahaja kepada manusia tetapi seluruh benda hidup dan bukan hidup. Cahaya bukan sahaja digunakan
untuk hidup tetapi ia juga dipuja dalam agama tertentu. Cahaya bukan hanya diguna dalam konteks
sains tetapi ia juga dijadikan seni dan ideologi sesetengah golongan. Aksiologi membawa nilai dalam
kehidupan.

Kesimpulannya, ontologi, epistemology dan aksiologi adalah bersandaran dan bergantung


antara satu sama lain. Tiada aksiologi tanpa ontologi dan epistemologi. Tidak bermakna ontologi
tanpa memahami sebab sesuatu kewujudan secara epistemologi. Dan tidak bernilai sesuatu itu tanpa
menghayatinya secara aksiologi.

Forum 2
Kepentingan Falsafah dalam Pendidikan
Falsafah adalah perkataan yang berasal dari Yunani kuno dan ia bermaksud cinta dan
kebijaksanaan. Tetapi, orang yang berbeza mempunyai idea yang berbeza tentang apa
sebenarnya falsafah. Sesetengah berpendapat ia adalah satu set fakta yang tidak pernah
berubah, manakala yang lain berpendapat ia sentiasa berubah dan berkembang. Falsafah juga
sangat penting kerana ia telah dikaji dan difikirkan sejak sekian lama, dari dahulu hingga
sekarang. Seiring dengan kemajuan zaman, falsafah telah mula merangkumi lebih daripada
sekadar kebijaksanaan dan kehidupan. Kini, ia juga bercakap tentang perkara seperti alam
semula jadi, logik, bahasa, teknologi dan banyak lagi.
Falsafah ialah tentang pemikiran. Kita berfikir tentang cara berfikir. Falsafah itu
adalah cabang ilmu yang membuka lebih banyak cara berfikir dalam hidup kita. Pelbagai
bentuk pemikiran dilahirkan melalui ahli falsafah berbeza, bermula daripada Socrates,
Aristotle dan Pluto kepada pemikiran moden Karl Marx dan Immanuel Kant. Dalam bidang
falsafah, kita mempelajari cara berfikir daripada ahli-ahli falsafah, cendiakawan dan para
ilmuan yang terdahulu. Selain daripada mempelajari tentang ilmu dari para cerdik pandai
yang terdahulu, kita juga boleh meneroka dunia falsafah dengan pertanyaan-pertanyaan
tentang hidup dan dunia kerana ilmu itu terbina dari sebuah pertanyaan dan rasa ingin tahu.
Falsafah amat penting untuk kita pelajari dan hayati kerana falsafah adalah asas yang
kukuh untuk kita belajar ilmu-ilmu dalam pelbagai bidang lain. Falsafah adalah induk kepada
perkembangan ilmu pengetahuan. Justeru, tidak dapat disangkal bahawa pentingnya
juga falsafah dalam bidang pendidikan adalah kerana falsafah menjadi panduan dalam
merangka kurikulum pendidikan.Secara umumnya falsafah adalah bertujuan mencari
kebenaran, kebahagiaan, menyelesaikan masalah, meningkatkan keupayaan akal manusia dan
membentuk pemikiran yang baik dan menjauhi keraguan.
Ilmu falsafah yang diterapkan dalam bidang pendidikan mendidik minda dan akal
fikiran manusia untuk berfikir dengan lebih sistematik. Kurikulum yang digubal mendorong
guru dan murid menggunakan logik dan menaakul secara rasional untuk kita memahami
landasan ilmu. Falsafah yang diterapkan dalam pendidikan juga mengajar kita supaya
mengikut aturan tertentu apabila kita hendak berhujah agar hujah kita itu masuk akal dan
boleh diterima dengan baik. Falsafah adalah dasar dan merupakan akar kepada perkembangan
ilmu pengetahuan.
Kepentingan falsafah dalam pendidikan adalah ianya menjadi panduan dan hala tuju
dalam sistem pendidikan. Ia menerangkan matlamat pendidikan untuk melahirkan individu
yang berilmu, berakhlak mulia, seimbang dan harmonis. Sebagai contoh Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK), terbentuk daripada 4 komponen utama yang bertujuan untuk
melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berkemahiran,
berketerampilan, akauntabiliti dan berintegriti. Komponen yang pertama
ialah jasmani di mana ianya bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang
dan harmonis. Kedua ialah emosi, bertujuan untuk membentuk pemikiran dan tingkah laku
yang baik. Yang ketiga ialah rohani, untuk membentuk jati diri dan sikap individu
berlandaskan agama. Dan akhir sekali ialah intelektual, yang membantu membentuk
pemikiran yang baik dalam diri individu.
Falsafah pendidikan memainkan peranan sebagai arah tuju, panduan dan bimbingan kepada
sesebuah negara dalam membentuk perkembangan pelajar secara menyeluruh. Dalam erti
kata lain, FPK ini akan menjadi suluh yang memberi pedoman dan hala kepada segala usaha
pendidikan sama ada di dalam institusi pendidikan atau di luar institusi pendidikan. Dengan
adanya falsafah pendidikan, maka sistem pendidikan sesebuah negara sebenarnya
menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip
dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan. Falsafah juga yang
menjadi acuan kepada sistem pendidikan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti bagi
sesebuah negara selari dengan perkembangan dunia semasa.

Anda mungkin juga menyukai