Anda di halaman 1dari 7

KESILAPAN SOLAT JAMAK QASAR: TAPI ANDA TIDAK PERASAN.

Menghadiri conference dalam dan luar negara bukan perkara ganjil. Ramai yang pergi dan
kembali, bahkan ramai yang berulang-alik ke pelbagai destinasi dengan niat mengembangkan
ilmu. Ini perkara rutin bagi seorang researcher atau ahli akademik di universiti atau research
centre. Tidak ketinggalan bagi yang suka melancong, musafir adalah perkara ghalib.

Sungguhpun setiap musafir dengan niat kerana Allah besar ganjaran pahalanya, namun harus
ditelusuri feqah yang berkaitan dengan musafir tersebut, adakah bertepatan dengan syariah?
Mungkin ramai yang tidak pernah mengambil kisah akan adab musafir mengikut sunnah.
Amat rugi, jika kita tidak mengambil kepentingan dari perkara adab dan sunnah Rasul.
Namun perkara sunat bukanlah aula jika yang wajib masih terumbang-ambing. Antara sedar
atau tidak, ramai yang melakukan kesalahan berulang akan hal yang wajib seperti SOLAT.

Walaupun isu solat jamak atau jamak qasar bukan lagi menjadi topik perbincangan mutakhir
ini, namun saya melihat ianya masih lagi perlu diperhalusi kerana masih banyak salah faham
yang berlaku. Malah, masalah ini seringkali berlegar-legar dalam kumpulan teman-teman
yang bermusafir bersama saya. Tidak kira musafir ke tempat jauh atau dekat, isu solat tidak
boleh dipandang remeh.

Lihat situasi berikut:

Sehingga ke hari ini, masih ramai yang menganggap bahawa solat jamak qasar boleh
dilakukan 3 hari pertama berada di sesuatu tempat. Sedangkan menduduki tempat melebihi 3
hari tidak lagi dikira musafir tetapi bermukim (sudah gugur taraf musafir). Jadi, solat jamak
qasar sama sekali tidak valid apabila anda telah sampai ke destinasi. Tiada nas yang
membenarkan solat jamak qasar pada 3 hari pertama anda bermukim. Solat jamak qasar
hanya valid sepanjang perjalanan anda yang melebihi 89 km dan tidak valid sebaik tiba di
destinasi yang anda ingin duduki melebihi 3 hari. Sekali lagi diingatkan, jamak qasar selama
3 hari hanya dibenarkan untuk orang yang benar-benar singgah tidak melebihi tiga hari di
sesuatu tempat.

Namun, anda masih diberi rukhsah untuk menjamakkan solat apabila berada dalam situasi
yang sukar. Dan jamak ini dibenarkan sepanjang tempoh mukim atas sebab-sebab yang
diizinkan syarak. Salah faham berlaku apabila kebanyakan kita tidak jelas akan perbezaan
antara solat jamak qasar dan solat jamak. Mungkin silibus pendidikan Islam di peringkat
sekolah perlu dikaji semula kerana belum mampu memberi kefahaman tentang masalah feqah
yang paling utama ini. Ataupun ustaz ustazah perlu mengkaji kaedah pengajaran agar lebih
berkesan dan dapat difahami oleh pelajar di sekolah.

Sedikit pencerahan tentang solat qasar dan solat jamak.

1) Solat Qasar

Sekiranya anda bermusafir ke sesuatu tempat yang perjalanannya melebihi dua marhalah atau
89 kilometer, maka diharuskan untuk mengqasarkan solat.

(Dua marhalah bersamaan empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh
dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua
marhalah adalah bersamaan 89 km.)

Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan
(memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir [an-Nisa : 101]

Bahkan dalam satu hadith Riwayat An-Nasai dan Abu Daud, Rasulullah s.a.w mengharuskan
para sahabat mengqasarkan solat walaupun bermusafir dalam keadaan aman.

Qasar adalah memendekkan solat, yang 4 kepada 2.

Syarat qasar :

1) Jarak perjalanan > 89 km

2) Bermusafir tidak melebihi 3 hari penuh (tidak termasuk hari berangkat dan pulang)

3) Sudah memulakan perjalanan dan keluar dari mukim atau kawasan kampungnya.

Apa bezanya solat qasar dan solat jamak?

2) Solat jamak

Pada asasnya, solat jamak tidak berkaitan secara langsung dengan solat qasar dan ianya boleh
dilakukan atas pelbagai keperluan yang dibenarkan syarak. Solat jamak maksudnya
menghimpunkan solat tanpa mengurangkan rakaat.

Perkara yang membolehkan jamak:

Dalam Syarah Muslim, Imam al-Nawawi r.a berkata: Beberapa imam membolehkan jamak
bagi orang yang tidak musafir, bila terdapat suatu kepentingan, asalkan hal itu tidak dijadikan
kebiasaan. Ini juga merupakan pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari golongan Maliki, juga
pendapat al-Quffal dan al-Syasy al-Kabir dari golongan Syafii, juga dari Ishak Marwazi dan
dari jemaah ahli hadis, serta pendapat yang dipilih oleh Ibnul Mundzir. [al-Majmu, jil. 4, ms.
264]

Dalam kitab feqah karangan Dr. Basri Ibrahim ada menjelaskan keharusan jamak kepada
beberapa golongan yang memerlukan seperti sakit, ketakutan, pekerjaan yang punya maslahat
kepada umat, bencana alam dan musafir. Bahkan syarat bagi musafir untuk menjamakkan
solat tidak diwajibkan melebihi dua marhalah. Waima orang yang terperangkap dalam
kesesakan jalan raya dan tidak mampu keluar dari situasi tersebut boleh berniat jamak, dan
melaksanakan solat jamak takhir apabila sampai di rumah. Ini kerana solat jamak tidak
terikat kepada syarat jarak perjalanan, musafir, bermukim dan keluar dari mukim.

2 Jenis solat jamak yang anda sedia maklum:

1. Jamak Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat
Maghrib dan solat Isya dalam waktu Maghrib.

Syarat jamak Taqdim :

1) Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan
solat Maghrib daripada solat Isya'.

2) Hendaklah niat Jamak Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang
afdhalnya di dalam takbiratul ihram.

3) Berturut-turut di antara solat yang dijamakkan itu.

4) Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan
sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya).

2. Jamak Takhir pula ialah mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau
solat Maghrib dan solat Isya dalam waktu Isya.

Syarat jamak Takhir :

1) Hendaklah berniat jamak takhir dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib. Tidak
sah solat jamak takhir yang dilakukan akibat luput waktu solat, tanpa diniatkan sedari awal
waktu solat yang pertama.

Jadi, apa perbezaan jamak qasar dan jamak?

Sangat berbeza kerana,

1. Jamak qasar bermaksud menghimpunkan dan memendekkan, manakala jamak bermaksud
menghimpunkan sahaja.

2. Jamak qasar hanya dibenarkan bagi orang yang sedang bermusafir melebih 2 marhalah dan
singgah tidak melebihi 3 hari penuh.

3. Jamak pula dibenarkan pada pelbagai keadaan mengikut keperluan yang syarie.

Lihat situasi berikut :

Contoh 1: Ulama membincangkan masalah solat jamak sebelum memulakan perjalanan.
Jumhur ulama berpendapat, boleh menjamakkan solat sebelum bertolak sekiranya dibimbangi
berlaku kesukaran untuk solat dalam perjalanan. Pendapat ini berdasarkan hadith:

"Rasulullah saw menjamakkan solat Zohor dan Asar di Madinah, pada masa itu tiada
ketakutan dan tidak pula musafir, Abu al-Zubair berkata : Aku bertanya kepada Sa'ed (iaitu
Ibn Jubair), Kenapa baginda melakukan begitu? Dia berkata, Aku telah bertanya Ibn 'Abbas
soalan yang sama, dan dia berkata : Baginda tidak mahu sesiapa dikalangan umatnya
menghadapi kesukaran" [Hadith Riwayat Muslim no. 705].

Tapi perlu diingat.. yang dibenarkan adalah solat JAMAK, bukan JAMAK QASAR.

Sekali lagi ditekankan bahawa jamak qasar hanya boleh dilakukan apabila anda sudah
memulakan perjalanan dan keluar daripada mukim.

Diantara syarat-syarat sah memendekkan (qasar) solat adalah hendaklah musafir melepasi
pagar kampung (balad) yang dimulakan permusafirannya" [al-Fiqh al-Manhaji 1/187].

Contoh 2: Anda sudahpun dalam perjalanan pulang ke rumah. Akibat kesulitan sepanjang
perjalanan pulang menyebabkan anda tidak mampu menunaikan solat dalam perjalanan.
Sebagai contoh, jalan yang sangat 'jam' (musim perayaan) yang boleh menyebabkan terluput
waktu solat. Maka dibolehkan anda jamak takhir di rumah. Sekali lagi ditegaskan,
dibolehkan JAMAK, bukan JAMAK QASAR. Kerana jamak qasar tidak valid apabila anda
telah sampai di rumah.

Contoh 3: Apabila mengalami sebarang kesulitan di tempat anda bermukim (musafir yang
melebihi 3 hari), maka dibolehkan jamak. Contoh kesulitan berbeza mengikut situasi. Berada
di tempat asing memungkinkan kita berhadapan dengan pelbagai masalah. Hanya yang
mengalaminya dapat merasakannya. Jangan tinggalkan solat, sebaliknya jamaklah pada
sesetengah keadaan yang sulit. Allah telah memberi kelonggaran kepada hamba-hambanya
pada setiap keadaan agar kita menjadi hamba yang sentiasa taat.

Syeikh Mohammad Salih al-Munajjid juga pernah menyatakan hal ini :

"Dibenarkan bagi seseorang yang bermukim (tidak musafir) menjamakkan dua solat jika ia
menjadi terlalu sukar untuk melakukan solat yang kedua pada waktunya. Kebenaran
menjamakkan solat adalah LUAS berbanding dengan memendekkan solat, kerana memendek
(qasar) solat hanya dibenarkan kepada musafir sahaja. Akan tetapi jamak dibenarkan kepada
musafir dan bukan musafir untuk menjamak solat apabila menghadapi kesukaran menunaikan
solat samaada pada waktunya atau didalam jemaah".

Dengan itu, jelas sekali ketetapan untuk solat tidak pernah gugur walaupun kita berada dalam
kesulitan. Bahkan Allah telah memberi kemudahan untuk kita tetap thabat di atas jalan-
jalan orang yang abid.

"(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan
Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran"[al-Baqarah : 185]

"dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam
perkara agama" [al-Haj : 78]

___________________________________________________________________________
______

Disclaimer Note : Setiap pendapat saya adalah bukan pendapat peribadi yang condong
kepada mana-mana fahaman. Pangkal dalam setiap hukum syariat Islam adalah dalil dari al-
Quran dan hadith. Telah berkata Imam Malik r.a, mana-mana pendapat yang dilontarkan
setiap muslim boleh diambil dan boleh ditolak, kecuali yang datang dari Muhammad s.a.w.
Jadi, sekiranya terdapat pendapat yang tersasar daripada dalil yang sahih, maka lakukan
penolakan. Yusuf Qardhawi pernah mengingatkan bahawa setiap muslim adalah tawanan
hujah yang kuat serta dalil yang sahih. Dr. Yusuf al-Qaradawi juga telah mengupas mengenai
isu jamak dan qasar ini dalam Fatwa Muasarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut ).

Allah Lebih Mengetahui.

ASMAH ALIAS. UiTM. AS 990, 9 Sept 2012, 22 Syawal 1433

Anda mungkin juga menyukai