Anda di halaman 1dari 9

mengapakah subjek sejarah kurang diminati?

PENGENALAN
Sejarah berasal daripada perkataan Greek iaitu inquire yang bermaksud menyiasat
dan menyelidik masa lalu dengan teliti berdasarkan bukti yang diperolehi. Istilah ini
lebih awal digunakan oleh Herodotus dan kemudiannya ia ditukarkan kepada istilah
historia yang bermaksud pengendalian secara naratif berkaitan pembinaan masa
lalu. Pembelajaran sejarah berbeza dengan subjek-subjek mata pelajaran yang lain
kerana ia bukan sekadar berperanan sebagai memindahkan dan mengembangkan
ilmu pengetahuan, tetapi juga mempunyai misi membina akhlak dan jiwa daripada
pengalaman generasi sebelumnya. Kita haruslah memahami bahawa penekanan
terhadap ilmu pengetahuan semata-mata belumlah cukup kerana ia dilihat masih
belum dapat menjadikan seseorang itu mempunyai accountability terhadap diri,
agama dan negara. Oleh kerana itulah kurikulum sejarah di Malaysia menekankan
kepada pemupukan nilai-nlai murni dalam diri pelajar sebagai salah satu fokus
utamanya. Hal ini dijelaskan dalam Sukatan Pelajaran Sejarah Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah berdasarkan kenyataannya seperti berikut:

Dalam usaha untuk melahirkan generasi yang dapat memenuhi matlamat dan
aspirasi negara, pendekatan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Sejarah
perlu menjurus kepada pemupukan kemahiran berfikir dan kemahiran pemikiran
sejarah di kalangan murid di samping nilai-nilai murni dan semangat patriotik.
Walaupun pembelajaran sejarah memainkan peranan penting dalam pemupukan
minda, akhlak dan jiwa manusia, namun ianya tetap berada dalam kondisi yang
menyedihkan. Sejarah dianggap mata pelajaran yang membosankan, tidak memberi
manfaat dan sekadar membuang waktu sahaja. Anhar Gonggong menyatakan
bahawa sejarah dipandang sebahagian orang sebagai masa lampau, lalu dianggap
mata pelajaran yang membuang-buang waktu. Mata pelajaran sejarah dipinggirkan
dan kesannya, lahirlah generasi muda yang buta sejarah, yang gagal memahami
dan menggunakan sejarah untuk membaiki kepincangan-kepincangan yang wujud
dalam kehidupan mereka.
FAKTOR-FAKTOR MATA PELAJARAN SEJARAH TIDAK DIMINATI
Terdapat berbagai-bagai faktor yang menyebabkan munculnya keadaan yang
menyedihkan terhadap mata pelajaran sejarah ini. Salah satu di antaranya ialah
kecenderungan tumpah tindih dalam kurikulum sejarah. Kurikulum sejarah berada
ditakuk lama iaitu lebih menyajikan rekonstruksi peristiwa dan aktiviti manusia masa
lampau yang kebanyakannya bersifat abstrak. Hal ini menyebabkan pembelajaran
sejarah di dalam kelas tidak lebih daripada aktiviti hafal-menghafal atau terbatas
kepada pengembangan ingatan sahaja. Fenomena ini juga telah disuarakan sendiri
oleh Prof. Khoo Khay Kim. Beliau menyifatkan pembelajaran sekadar menghafal dan

meluahkannya kembali di dalam peperiksaan sebagai burung kakak tua.


Faktor seterusnya pula melibatkan kaedah pengajaran guru sejarah. Menjadi
kelaziman di kalangan guru kini, mata pelajaran sejarah diajarkan dengan satu
kaedah sama ada ceramah atau ceramah bervariasi. Tumpuan pembelajaran
lebih berfokuskan kepada hasil iaitu pelajar dan mahasiswa sebagai objek dan
produk semata-mata. Proses pembelajaran dilupakan. sebenarnya proses inilah
yang menentukan hasil atau produk yang akan dikeluarkan.
Dyah Kulamasari (2005:12) menyimpulkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya
empat komponen yang saling berkait dan menjadi penyebab munculnya masalah
dalam pembelajaran sejarah. Pertama, tenaga pengajar sejarah yang
kebanyakannya miskin wawasan kesejarahan yang berpunca daripada sifat malas
untuk menggali dan mengkaji sumber-sumber sejarah. Hal ini menyebabkan mereka
tidak mampu merangsang dan mengembangkan daya imaginasi pelajar untuk
menimbulkan rasa ingin tahu tentang mata pelajaran sejarah. Kredibiliti guru sejarah
yang rendah ini pastinya akan menghalang objektif pengajaran sejarah daripada
tercapai.
Komponen kedua pula ialah kerana penggunaan buku-buku sejarah dan media
pembelajaran sejarah yang masih terbatas. Salah satu punca yang menyumbang
kepada fenomena tersebut ialah kerana kebanyakan pengajaran guru terlampau
terikat kepada buku teks. Malahan nota-nota yang diberi juga disalin seratus peratus
daripada buku teks. Media pembelajaran yang diguna pula tetap sama iaitu dengan
cara guru membaca buku teks di hadapan kelas. Walaupun penggunaan buku teks
mempunyai beberapa kelebihan seperti mempunyai ringkasan dan rumusan
sejumlah maklumat penting yang berkaitan dengan sesuatu topik, memudahkan
pelajar memperoleh bahan khusus dalam bentuk yang telah disatukan dan
menyediakan sumber maklumat yang seragam. Walau bagaimanapun,
pergantungan yang sepenuhnya kepada buku teks menyebabkan maklumat dan
pengalaman pembelajaran yang ingin diterapkan kepada pelajar-pelajar menjadi
terbatas dan kaku. Selain itu, ia juga menyumbang kepada beberapa masalah yang
lain. Antara masalah tersebut ialah kesukaran murid memahami istilah yang sukar,
abstrak dan di luar pengalaman mereka. Bagi mengatasi kekurangan dan masalah
tersebut, maka guru sejarah perlu bijak menggunakan media-media dan sumbersumber sejarah dalam proses P&P tanpa mengetepikan penggunaan buku teks itu
sendiri.
Komponen seterusnya berkait dengan diri pelajar itu sendiri yang kebanyakannya
kurang berminat terhadap pembelajaran sejarah. Deliman menyatakan bahwa
penyebab rendahnya minat belajar terhadap pembelajaran sejarah adalah kerana
bahan yang disajikan tidak lebih daripada kisah dari rekonstruksi peristiwa dan
aktiviti manusia di masa lampau, yang bagi siswa sifatnya abstrak. Anhar Gonggong
pula dengan kenyataannya bahawa sejarah dipandang sebahagian orang sebagai

masa lampau, lalu dianggap mata pelajaran yang membuang-buang waktu.


Perlulah difahami sesungguhnya minat mempunyai pengaruh yang besar terhadap
aktiviti belajar. Hal ini kerana proses belajar akan berjalan lancar apabila disertai
minat. Oleh sebab itu, guru memiliki tanggungjawab akademik dan moral untuk
mencitrakan mata pelajaran yang dibinanya menjadi menarik dan diminati siswa.
Komponen terakhir pula ialah kerana kaedah pembelajaran sejarah pada umumnya
kurang membentuk daya intelektual pelajar. Kebanyakan guru pada masa kini lebih
mementingkan ingatan terhadap tarikh dan fakta serta membuat rumusan tanpa
melatih pelajar berfikir melalui taakulan sejarah. Guru haruslah memahami bahawa
sejarah sebenarnya berperanan membentuk daya intelektual pelajar yang mampu
membezakan antara kebenaran, bias, muslihat dan pandangan yang sempit dengan
pendapat yang matang. Soedjatmoko sudah mengajak para pendidik sejarah agar
buanglah cara-cara mengajarkan sejarah yang mengutamakan fakta sejarah. Jika
studi sejarah terbatas pada pengetahuan fakta, maka ia akan mematikan segala
minat terhadap sejarah. Pandangan ini sangat penting diimplementasikan dalam
pengajaran sejarah agar tidak terjadi seperti yang dikhuatirkan oleh Winarno
Surachmad yakni siswa tidak berhasil tiba pada taraf kemampuan untuk melihat
dan berpikir secara historis, tetapi pengetahuan sejarah mereka berhenti pada dan
terbelenggu oleh sekumpulan data, fakta, dan nama-nama orang.
CARA MENGATASI (PERANAN GURU)
Masalah kredibiliti guru sejarah yang rendah dalam komponen masalah yang
pertama boleh diatasi ketika temuduga kerja. Hal ini kerana kurangnya kredibiliti
tersebut berkemungkinan berpunca daripada kurangnya ilmu dan minat dalam diri
guru tersebut. Oleh yang demikian, pemilihan guru-guru untuk mengajar subjek
sejarah ini perlulah daripada kalangan mereka yang mempunyai pengkhususan
dalam bidang sejarah dan pilihan keduanya ialah sains sosial. Guru-guru sejarah
yang dilantik perlulah memiliki intelektual yang luas dan latihan yang baik dalam
mata pelajaran sejarah, mempunyai suka dan minat serta menunjukkan sikap yang
baik terhadap pelajar. Selain itu, perlu juga diadakan kursus-kursus latihan
profesional supaya guru-guru sejarah dapat dilatih dan disedarkan tentang tugas
dan peranan mereka yang sebenarnya. Guru haruslah disedarkan bahawa mereka
bukan hanya bertugas dan berperanan menyampaikan fakta-fakta sejarah sahaja
tetapi mereka juga adalah ahli sejarah, perancang, penyusun persekitaran
pembelajaran dan juga sebagai ahli profesional.
Dari segi pengajaran, guru sejarah yang baik haruslah menunjukkan kebolehan
seperti dapat menentukan objektif-objektif pengajarannya dengan jelas, mengajar
perkara yang sudah diketahui kepada belum diketahui dan menggalakkan
pembelajaran melalui aktiviti P&P. Selain itu, corak penyampaian guru juga mestilah
ringkas, mudah difahami, dan mengikut peringkat-peringkat logik. Di samping itu
juga, guru juga harus mementingkan rasa kejayaan atau pencapaian, memberi
maklum balas, memberi latihan pengukuhan, dan sentiasa memberi dorongan serta

galakan.
Laurence J. Peter menegaskan bahawa bakal-bakal guru perlu menjadikan diri
mereka guru-guru yang baik dan mereka seharusnya perlu mempunyai sikap yang
positif terhadap pelajar-pelajarnya. Hal ini bagi mewujudkan suasana belajar yang
ceria. Selain itu, guru sejarah juga haruslah mempunyai tahap kesabaran yang
tinggi, memasukkan unsur humor dalam pengajaran, menjadi seorang yang
dipercayai oleh pelajar di samping mempunyai semangat kesungguhan dalam
melakukan tugasan. Dalam pada itu, guru sejarah yang baik juga perlu memiliki
personaliti yang baik dan minat dalam memaju dan mengembangkan diri.
Bentuk pengajaran dengan menggunakan buku teks semata-mata boleh diatasi
dengan cara guru menggunakan sumber-sumber sejarah seperti dokumen (akhbar,
majalah, berbagai jenis surat, laporan buku catatan dan lain-lain), rekod-rekod
(sumber-sumber kesusasteraan sejarah dan biografi) serta tinggalan-tinggalan
berunsurkan sejarah. Selain itu, guru juga perlu menggabungkan media dengan
bahan-bahan pengajarannya. Hal yang demikikan kerana penggunaan media
mampu menjadikn proses P&P sejarah lebih teratur dan berkesan. Antara kebaikan
penggunaan media ialah ia menyumbang kepada peningkatan minat pelajar, dapat
menggalakkan pembacaan sendiri dan penyelidikan dalam kalangan pelajar serta
mampu meningkatkan pengekalan pembelajaran. Jenis-jenis media atau alat yang
sesuaikan digunakan dalam P&P sejarah ialah alat pandang, alat pandang dengar,
alat dengar,jadual, peta dan glob serta alat bergambar dan grafik.
Masalah sikap kurang positif terhadap mata pelajaran sejarah dan kaedah
pengajaran yang terlalu menumpukan kepada penghafalan fakta semata-mata boleh
diatasi sekiranya guru-guru lebih kreatif dengan menggunakan pelbagai kaedah
dalam sesi pengajarannya. Kaedah pengajaran sejarah yang dipilh mestilah tidak
hanya berhenti pada tingkat fakta, tetapi harus sampai kepada penganalisisan. Bagi
mencapai tujuan ini, penambahbaikan terhadap kaedah pembelajaran sejarah
haruslah dilakukan. Gde Widja menyatakan bahawa apabila kita ingin memperbaiki
citra yang suram dalam pelajaran sejarah, perlu antara lain usaha-usaha pembaikan
cara-cara mengajar guru sejarah. Pandangan Gde Widja tersebut disokong oleh
Sanusi dengan kenyataannya bahwa agar sejarah dapat berfungsi, kaedah
mengajarkan sejarah di sekolah-sekolah harus dibenihi. Pembenihan terhadap
kaedah pembelajaran sejarah tidak sekadar menjadi pemicu minat belajar, tetapi
juga sebagai salah satu instrumen yang berperanan dalam memproses anak didik
untuk memperoleh hasil belajar yang baik. Antara kaedah yang boleh digunakan
ialah kaedah permainan poker sejarah, kaedah bercerita, lakonan, inkuiri,
penyoalan, perbincangan dan kaedah projek-projek sejarah seperti lawatan dan
pameran sejarah. Kaedah-kaedah ini pastinya mampu menarik minat pelajar dan
mencabar daya pemikiran mereka untuk terus menganalisis, mengkaji dan
mendalami ilmu sejarah.

KAEDAH DAN STRATEGI YANG YANG BOLEH DIAPLIKASKAN DALAM


PENGAJARAN SEJARAH
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru boleh memilih dan
menggunakan teknik-teknik pengajaran yang sesuai. Teknik-teknik itu haruslah
berasaskan kajian daripada bidang-bidang yang ada kaitannya dengan ilmu
pendidikan, seperti bidang psikologi, sosiologi, falsafah pendidikan dan pedagogi.
Memang tidak dapat disangkal bahawa pelbagai teknik boleh diaplikasikan guru
dalam proses pengajaran dan pembelajaran, namun demikian harus diingat bahawa
tiada satu teknik pun yang dianggap sesuai dan dapat digunakan untuk semua
keadaan atau terbaik untuk semua situasi pengajaran. Oleh itu, teknik yang
digunakan itu harus bergantung pada peringkat umur, suasana bilik darjah dan
kemampuan serta minat murid terhadap bahan pengajaran yang akan disampaikan.
Tegasnya, seorang guru itu mestilah bijak memilih teknik-teknik yang akan
digunakannya semasa menyampaikan sesuatu pengajaran.
Kaedah dan teknik pengajaran ialah cara yang lebih khusus atau spesifik yang
digunakan untuk mengajar (atau menguji) sesuatu kemahiran atau aspek bahasa. Ia
boleh wujud dalam bentuk aktiviti, strategi atau taktik, dan bahan atau alat yang
berkaitan dengan pelajaran tersebut. Menurut Mengantar Simanjuntak dalam buku
Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abd. Aziz pula, teknik adalah satu muslihat atau
strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang
maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. Berdasarkan
definisi tersebut, dapat diringkaskan bahawa, teknik dan kaedah amat penting dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian adalah sama dengan proses
P&P sejarah.
Dalam pengajaran sejarah terdapat beberapa kaedah dan teknik yang boleh
diaplikasikan dalam bilik darjah. Antaranya, kaedah penceritaan, kaedah inkuiri,
kaedah perbincangan, kaedah syarahan, kaedah dapatan, kaedah sokratik, kaedah
penerangan, kaedah simulasi, kaedah kaji peta, kaedah kaji gambar, kaedah kaji
dokumen, kaedah tutorial, kaedah tunjuk cara, kaedah kaji buku teks, kaedah
lakonan dan kaedah projek. Sungguhpun begitu, kaedah-kaedah ini juga boleh
membosankan pelajar. Hal ini demikian kerana, pengajaran dengan hanya
menggunakan satu pendekatan dilihat hanya dapat menarik perhatian pelajar pada
awal pengajaran sahaja namun tumpuan pelajar akan terjejas jika guru terlalu yakin
akan kaedah yang digunakan.
Oleh hal yang demikian, penggabungjalinan antara beberapa kaedah dan strategi
pengajaran dan pembelajaran sejarah adalah perlu bagi mewujudkan suasana
pembelajaran yang lebih hidup dan kondusif dan dalam masa yang sama, matlamat
pengajaran sejarah dapat dicapai. Wan Nik Muda dan Wan Ruslim Ismail dalam
artikel mereka theory of constraints for education menyatakan bahawa
penggabungan beberapa kaedah akan menghasilkan pembelajaran yang berkesan.
Untuk itu, mereka telah mencadangkan satu kaedah pengajaran sejarah

berdasarkan theory of Constraints. Theory of Constraints (TOC) adalah salah satu


kaedah pengajaran dan pembelajaran yang inovatif daripada perspektif guru dan
murid. Teknik ini dapat menghidupkan pengajaran dan pembelajaran sejarah
sekaligus meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran ini. TOC adalah satu
teknik pengajaran dan pembelajaran kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah
berdasar pemikiran yang logik dan sistematik. Teknik ini adalah sebagai satu
pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid.
Menerusi perlaksanaan teknik TOC dalam pengajaran dan pembelajaran, murid dan
guru berupaya mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran, menyelesaikan
masalah dengan berkesan, membuat keputusan secara bertanggungjawab,
berkomunikasi dengan baik dan memperoleh pembelajaran sepanjang hayat.
Melalui aplikasi teknik TOC juga, tiga kemahiran dapat digabungjalinkan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran iaitu kemahiran berfikir secara kritis,
kemahiran berfikir secara kreatif, kemahiran generik. Contoh yang boleh kita ambil
menerusi penggunaan teknik TOC dalam pendidikan sejarah adalah sebagaimana
berikut; sesi bercerita (pemahaman konflik dan cara watak membuat keputusan),
kajian kes (modifikasi kelakuan dan tingkah laku, pembelajaran nilai murni dan
kerohanian), dan kandungan Huraian Sukatan Pelajaran (kemahiran berfikir dan
perancangan strategik).
Dalam pendidikan terutamanya pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran
sejarah, terdapat beberapa teknik atau aktiviti TOC yang boleh diaplikasikan iaitu,
teknik awan (the cloud ), teknik sebab dan akibat ( logic branch ), teknik
penyelesaian masalah (problem solving ). Teknik awan adalah satu teknik yang
mengkehendak pelajar memikirkan tentang sesuatu kejadian, idea, situasi dan
penyelesaian konflik yang bertentangan kehendak. Konflik yang hendak diselesaikan
mungkin berbentuk konflik internal yang hanya melibatkan satu pihak sahaja atau
konflik eksternal yang melibatkan dua pihak. Dalam usaha menyelesaikan konflik,
hanya satu kehendak sahaja yang dicapai atau diperolehi. Penyelesaian win-win
diberikan oleh pelajar berdasarkan pemikiran yang logik dan sistematik agar keduadua keperluan yang menjurus kepada matlamat bersama boleh dicapai.
Teknik sebab dan akibat menerangkan bagaimana sesuatu tingkah laku, idea atau
kejadian mengakibatkan kesan-kesan berikutnya. Penekanan yang perlu diberikan
ketika melaksanakan teknik sebab dan akibat dalam pengajaran dan pembelajaran
mata pelajaran sejarah termasuklah, Memahami teks atau maklumat yang diberikan,
mengenal pasti objektif pengajaran dan pembelajaran (what to learn). Menentukan
titik tolak atau permulaan peristiwa (the begining event), mengenalpasti perkaraperkara penting yang terkandung dalam teks, menyusun perkara-perkara tersebut
mengikut turutan yang bermula dengan titik tolak peristiwa, mengemukakan
maklumat yang menyokong perkara-perkara penting (anggapan antara sebab dan
akibat) yang memperkembangkan higher-order thinking.

Teknik penyelesaian masalah pula satu teknik pengajaran yang bertujuan untuk
memberi peluang dan ruang kepada pelajar lebih produktif dan bertukar pandangan
dalam usaha untuk menyelesaikan persoalan yang dikemukakan kepada mereka.
Teknik ini boleh digunakan bagi merancang langkah-langkah dengan sistematik
secara kolaboratif untuk menghadapi dan mengatasi cabaran ke arah pencapaian
matlamat yang telah ditetapkan. Terdapat beberapa langkah yang perlu diberikan
perhatian ketika melaksanakan teknik penyelesaian masalah dalam pengajaran dan
pembelajaran sejarah. Antaranya, mengenal pasti matlamat yang diingini dan
matlamat tersebut mestilah jelas, mengenal pasti cabaran-cabaran yang akan
dihadapi sebelum pencapaian matlamat yang telah ditetapkan, mencadangkan
langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi cabaran dan menyusun
langkah-langkah untuk mengatasi cabaran mengikut keutamaan.
Selain menggunakan teknik tersebut, guru-guru juga boleh mengubah suai teknikteknik yang sedia ada kepada suatu teknik yang lebih kreatif. Contohnya dalam
menggunakan pendekatan penyelesaian masalah, guru boleh menggantikan
pemberian masalah secara formal kepada mengenalpasti masalah dalam pantun
teka-teki (lihat lampiran). Para pelajar perlu menyelesaikan masalah teka-teki
tersebut. Seterusnya guru akan membimbing pelajar mendalami persoalan teka teki
tersebut dan mengadakan sesi perbincangan. Dengan itu, para pelajar akan lebih
faham dan berminat dengan pelajaran mereka. Dalam pada itu, pengaplikasian
teknik permainan dalam sesi pembelajaran juga boleh menjadikan proses P&P
menjadi lebih menarik. Contohnya mengaplikasikan teknik permainan poker dalam
proses pembelajaran koperatif. Teknik ini mengkehendaki guru menyuruh pelajar
membentuk kumpulan kecil seramai empat orang dengan satu set kad poker. Set
poker dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian yang mengandungi soalan
dan bahagian yang mengandungi jawapan. Kad yang mengandungi soalan dipilih
dan dicabut terlebih dahulu oleh pelajar sebelum memulakan permainan (prinsip
terbuka). pelajar akan mencabut set kad yang mengandungi jawapan secara bergilir.
Kad jawapan yang tepat akan disimpan oleh pelajar manakala kad yang mempunyai
jawapan yang tidak tepat akan diletakkan semula pada kad di bahagian bawah
sekali. Setelah berjaya memadankan kad-kad soalan dengan kad-kad jawapan,
pelajar perlu membuat analisis atau deskripsi atas jawapan tersebut. Setelah itu,
semua laporan diselesaikan, atau setelah masa yang diperuntukkan telah tamat,
setiap pelajar hendaklah berkongsi laporan mereka dengan pelajar-pelajar yang lain.
Laporan yang dikongsi akan dilanjutkan dengan penambahbaikkan oleh pelajarpelajar disertai dengan pendapat dan bukti dengan dibantu oleh guru. Selepas itu
pelajar membuat kesimpulan setelah mendapat penjelasan daripada guru. Walau
apapun kaedah atau teknik yang digunakan oleh guru dalam proses P&P, perkara
yang paling penting adalah kesediaan dan kekreatifan guru itu sendiri dalam
mengenal pasti kehendak dan kebolehan pelajar, suasana bilik darjah dan beberapa
faktor lain. Hal ini bukan sahaja memerlukan usaha yang gigih daripada kalangan
guru-guru bahkan juga memerlukan pengorbanan masa dan tenaga dalam
memastikan kesesuaian kaedah dalam bilik darjah.

ALAT BANTUAN MENGAJAR


Alat bantuan mengajar (ABM) merupakan satu lagi faktor penting yang perlu diambil
kira dalam ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Charles B. Klasek
menjelaskan bahawa pengajaran yang bersistematik adalah guru yang dapat
menggabungkan penggunaan media dan bahan-bahan pengajarannya. Wilkinson
dalam strategi pengajaran sejarah KBSM, menyenaraikan sembilan sumbangan
media pendidikan kepada proses pembelajaran. Penggunaan alat bantuan mengajar
menurut William dapat memberikan latar belakang pengetahuan dan pengalaman
kepada pelajar dalam membantu aktiviti pembelajaran dan memahami konsepkonsep sesuatu subjek. Selain itu, penggunaan ABM juga dapat menggalakkan
minat pelajar, dapat mendalam serta memberi makna kepada pembelajaran, dapat
memberi pengalaman-pemgalaman yang bermakna di samping dapat
mengembangkan kemahiran komunikasi pelajar. Selain itu, ia juga dapat
meningkatkan pengekalan pembelajaran, dapat menggalakkan pembacaan dan
penyelidikan dalam kalangan pelajar dan juga dapat memberi kesan ekonomi masa
dalam pembelajaran. Para pelajar yang kurang pandai juga dapat dibantu dan
meningkatkan kefahaman mereka melalui pengginaan alat ini.
Terdapat beberapa jenis alat bantuan mengajar yang boleh digunakan dalam proses
P&P. Antaranya bahan bergambar dan grafik seperti penggunaan fotograf, cartacarta, poster, poskad dan glob, alat pandang tayang seperti transparensi, slaid, dan
filem jalur, alat dengar seperti radio dan pita rakaman dan alat pandang dengar
seperti televisyen dan filem. Selain itu, bahan-bahan sumber sejarah seperti artifak,
dokumen sejarah dan tinggalan arkeologi turut sesuai digunakan semasa
pengajaran.
Walaupun terdapat banyak alat bantuan mengajar yang boleh digunakan semasa
mengajar, guru tidak seharusnya lupa akan perlunya memilih alat-alat yang sesuai
dengan setiap topik yang diajar. Alat yang dipilih mestilah menepati dengan objektif
pelajaran. Perkara ini penting dalam mencapai tujuan khusus. Contohnya guru boleh
menggunakan gambar dan tayangan bagi menambah kefahaman pelajar terhadap
sesuatu topik yang diajar. Selain itu, guru juga perlu menentukan kesesuaian alat
yang dipilih dan mengkaji dahulu minat pelajar dalam sesuatu bilik darjah. Hal ini
demikian bertujuan menarik perhatian pelajar dan menjadikan sesuatu sesi P&P itu
seronok dan pelajar dapat memahaminya dengan mudah. Dalam pada itu, guru juga
perlu melihat tahap kebolehan pelajar. Perkara ini penting untuk menentukan
kesesuaian bahan yang dipilih dengan tahap pemikiran pelajar. Contohnya dalam
mengajar pelajar yang pandai, guru hanya boleh menggunakan ABM yang ringkas
sahaja seperti penggunaan slaid dan jadual. Selain itu juga, guru perlu peka dengan
faktor masa dan gerak kerja susulan. Penggunaan alat haruslah disesuaikan dengan
masa mengajar. Guru juga perlu menjadi lebih kreatif dengan melibatkan aktiviti lain
dengan hanya menggunakan satu ABM. Hal ini demikian penting dalam membantu
guru menjimatkan kos dan masa untuk menyiapkan sesuatu ABM itu.

KESIMPULAN
Sejarah merupakan satu mata pelajaran yang penting. Hal ini demikian kerana
pengajaran sejarah mampu membentuk jiwa, akhlak dan jati diri bangsa khususnya
dalam memupuk semangat patriotisme. Sungguhpun begitu, pengajaran dan
pembelajaran subjek ini memerlukan penghayatan dan minat bagi menimbulkan
konsep kesedaran atau celik dalam sejarah. Oleh yang demikian, peranan guru
amatlah ditagih dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik dan
mampu membawa pelajar menghayati peristiwa sejarah itu seperti yang sebenarnya.
Guru yang kreatif dapat mempengaruhi tahap kesedaran pelajar. Jadi, penggunaan
pelbagai teknik, alat bantu mengajar, dan minat guru sejarah itu sendiri merupakan
nadi penggerak pada kejayaan tersebut.

Anda mungkin juga menyukai