Anda di halaman 1dari 3

UCAPAN PERASMIAN

TN. HJ. IDERIS B. HJ. ABU BAKAR


SEMPENA MAJLIS PERASMIAN BINA INSAN GURU SESI 2017
PULAU TUBA

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis.


Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Yang Berusaha,

Puan Noryati Binti Ismail


Ketua Unit Kokurikulum, IPG Kampus Perlis

En. Mohd. Zuraimee Bin Zawari


Penyelaras BIG, IPG Kampus Perlis

Puan Mariani Binti Ali


Pensyarah Unit Kokurikulum

En. Rizam Bin Zamri


Pensyarah Unit Kokurikulum

Seterusnya pelajar-pelajar PISMP Semester 5 yang dikasihi sekalian.

1. Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T


kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama hadir bagi
menjayakan Majlis Perasmian Bina Insan Guru Sesi 2017.

2. Ucapan terima kasih saya kepada pensyarah terlibat dan Pelajar PISMP Semester
5 kerana sudi menjemput saya untuk sama-sama hadir pada hari ini bagi
merasmikan program Bina Insan Guru bagi sesi 2017.

3. Saya percaya pelaksanaan Program Bina Insan Guru pada saban tahun adalah
signifikan dalam membentuk dan membina insan guru yang berakhlak mulia. Hal ini
kerana, IPG bukan sekadar melatih siswa guru namun turut berperanan sebagai
sebuah institusi yang melahirkan bakal guru yang mempunyai kemahiran insaniah
yang tinggi.

4. Pemupukan kemahiran insaniah amat jelas terutamanya melalui kursus BIG yang
dijalankan pada semester lima pengajian guru pelatih PISMP. Antara lain, kemahiran
insaniah yang dipupuk melalui kursus BIG ini ialah cergas dan patriotik,
akauntabiliti, amanah, kreativiti dan inovatif, etiket sosial, protokol, kemahiran berfikir
aras tinggi ketika membuat perancangan dan pengendalian, ciri-ciri kepimpinan,
dan meningkatkan profesionalisme kendiri secara berterusan.

5. Antara aspek yang diambil kira dalam pelaksanaan Bina Insan Guru adalah
kepimpinan, dan kemahiran para guru pelatih dalam menyelesaikan serta membuat
keputusan terhadap sesuatu masalah.

6. Rasionalnya adalah untuk memastikan guru guru yang dihasilkan mempunyai ciri
ciri kepimpinan yang dapat diteladani oleh masyarakat luar. Kemahiran memimpin
sangat penting bagi seseorang guru. Ini kerana, guru perlu memimpin ahli kelasnya
agar sentiasa dalam keadaan terkawal dan baik.

7. Bayangkan, sekiranya seorang guru tidak mahir memimpin sesebuah kelompok.


Sudah pasti guru tersebut lingkup tidak dapat mengawal suasana hingar bingar dan
kekecohan yang berlaku dalam sesebuah kelas.

8. Maka disini jelaslah, bahawa pemupukan pelbagai kemahiran insaniah melalui


kursus BIG di IPG menjadi medium untuk melahirkan seorang bakal guru yang
benar-benar komited, cemerlang dan serba boleh apabila berkhidmat sebagai guru
kelak.

9. Pelaksanaan BIG ini juga bertujuan menghasilkan graduan yang boleh diambil
bekerja (employable graduates) dan kompeten seterusnya dapat membantu membina
persepsi positif dalam kalangan masyarakat terhadap pendidikan guru.

10. Natijahnya graduan yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri guru berkualiti, mampu
berdikari, mempunyai ciri-ciri kemahiran pendidikan abad ke-21 selain memiliki
kemahiran insaniah.

11. Perkara ini bertepatan dengan pendapat Brackett, M. A. et al. (2001), iaitu guru pelatih
perlu melengkapkan diri sebagai insan guru di samping mampu menyempurnakan
kursus latihan perguruan yang professional.

12. Hasrat pelaksanaan aktiviti ini adalah untuk memastikan bahawa para guru pelatih
yang dihasilkan kelak menjadi insan yang bermanfaat kepada diri, keluarga,
masyarakat serta negara selaras dengan nilai-nilai keguruan.

13. Oleh yang demikian, guru pelatih keluaran IPG perlu sentiasa bersedia untuk
menghadapi pelbagai senario dan cabaran masa hadapan. Seiring dengan
kehendak PPPM, penubuhan Institusi Pendidikan Guru bertujuan ke arah
penghasilan modal insan guru yang mempunyai mentaliti dan sahsiah kelas
pertama serta menepati kehendak pasaran pendidikan terkini.

14. Dengan adanya modul Bina Insan Guru ini, ianya memperlihatkan kelebihan IPG
sebagai institusi latihan guru yang diiktiraf bukan sahaja di negara ini, malah di
persada antarabangsa; mampu bersaing sebagai pusat pengajian tinggi, dapat
menjana modal insan melalui pendidikan dan latihan perguruan dalam persekitaran
pembelajaran yang inovatif dan kreatif serta sentiasa merangsang siswa-siswi
pendidiknya untuk terus cemerlang.

15. Besarlah harapan saya, agar guru - guru pelatih IPG menggalas tugas yang amat
mencabar untuk meningkatkan kualiti pendidikan keguruan. Guru guru pelatih perlu
sentiasa peka dan sentiasa responsif dengan tuntutan semasa.

16. Tidak ada jalan mudah untuk mencapai hasrat ini. Kita perlu sentiasa berusaha untuk
meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan. Objektif utama ini ialah untuk menjadikan
IPG sebagai wadah utama dalam usaha kita untuk melahirkan modal insan yang
berpengetahuan, berkemahiran tinggi, memiliki fizikal dan mental yang kuat, kreatif,
inovatif dan berwawasan.

17. Akhir kata sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pensyarah -
pensyarah, barisan jawatankuasa program, dan seluruh siswa pendidik IPG atas
usaha untuk menjayakan program Bina Insan Guru 2017.

18. Selamat Maju Jaya saya ucapkan, tingkatkanlah usaha dan bekerjalah dalam satu
pasukan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan perguruan demi masa
depan negara. Jadikanlah usaha ini sebagai agenda penting pembangunan modal
insan negara yang kita cintai.

19. Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan,


Majlis Perasmian Bina Insan Guru Sesi 2017.
Sekian. Wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh
dan salam sejahtera.

Anda mungkin juga menyukai