Anda di halaman 1dari 7

FORUM : FAKTOR SOKONGAN PIHAK KHIDMAT SOKONGAN MEMPENGARUHI

PERTUTURAN MURID MASALAH PENDENGARAN

Encik Mohammad Abd Rahman :

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam satu Malaysia saya ucapkan


kepada warga dewan sekalian. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang kepada
panel-panel forum perdana, tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang sudi melapangkan masa
untuk hadir ke Forum yang bertajuk “Faktor Sokongan Pihak Khidmat Sokongan Mempengaruhi
Pertuturan Murid Masalah Pendengaran”. Bersama saya adalah tiga orang panel yang bakal
memberi penjelasan yang baik dan mendalam tentang tajuk kita pada hari ini. Baiklah di sebelah
kiri saya, ahli panel pertama, Dr. Nur Amalina Binti Madzlan sebagai pakar motivasi di UKM.
Selamat datang Dr. Seterusnya ahli panel kedua, Hajah Laili Asmah Binti Mohd Yusof yang
merupakan seorang guru pendidikan khas yang sangat berpengalaman. Selamat datang Hajah.
Dan di hujung sana, panel kita yang terakhir, Dr. Nur Atikah Syamimi Binti Abdullah Zawawi.
Selamat datang juga buat Dr. Atikah. Baiklah sebelum saya menyimpang lebih jauh, soalan saya
pada panel pertama iaitu Dr. Amalina, bagaimanakah cara yang sesuai untuk membantu kanak-
kanak masalah pendengaran menjalani kehidupan seharian di rumah? Dipersilakan Dr.

Dr. Nur Amalina Binti Madzlan:


Terima kasih saya ucapkan kepada saudara moderator, Encik Mohammad Abd Rahman.
Sepertimana yang sudah sedia maklum, individu yang paling rapat dengan kanak-kanak semasa
di rumah adalah ibu bapa. Oleh demikian, peranan ibu bapalah amat penting dalam membantu
kanak-kanak tersebut di rumah bagi meningkatkan kualiti hidup mereka. Antara cara yang sesuai
dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak mereka ialah mereka haruslah sentiasa peka
terhadap perkembangan anak-anak. Sebagai contoh, mengambil kira setiap tahap
perkembangan bahasa yang sesuai berdasarkan umur mereka. Ibubapa juga harus mengadakan
hubungan baik dengan pihak sekolah agar segala aktiviti dan pengajaran di sekolah dapat
diketahui dan diteruskan di rumah. Selain itu, penglibatan ibu bapa dalam program pendidikan
khas juga dapat memberikan semangat kepada murid-murid khas untuk belajar. Mereka juga
akan berasa lebih yakin pada diri sendiri kerana ada yang menyokong mereka. Di samping itu,
ibu bapa juga perlulah mengesan dengan kadar segera masalah yang dihadapi oleh anak-anak
mereka kerana kemungkinan masalah itu dapat dipulihkan. Sebagai contoh, jika anak mereka
tidak memberi reaksi terhadap sebarang bunyi, ibu bapa harus mengambil langkah awal dengan
membawanya berjumpa dengan doktor. Ibu bapa juga perlulah mendapatkan nasihat daripada
pakar-pakar perubatan tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka dan cara untuk
menyenggara alat bantu dengar dengan baik. Dengan cara ini, pertuturan mereka akan
meningkat dengan adanya alat bantu dengar yang boleh menangkap bunyi percakapan.

Encik Mohammad Abd Rahman :

Alhamdulillah. Terima kasih Dr atas isi yang amat padat sekali. Jadi, jelaslah bahawa ibu bapa
sangat memainkan peranan penting untuk memberi bimbingan dan semangat kepada anak
mereka yang mengalami masalah pendengaran. Tanpa membuang masa, saya mempersilakan
panel kita yang kedua, Hajah Laili Asmah Binti Mohd Yusof. Beliau merupakan seorang guru
pendidikan khas yang cemerlang dari Sekolah Menengah Hamid Khan, Pulau Pinang. Beliau juga
sudahpun menjadi guru Pendidikan Khas Masalah Pendengaran selama 11 tahun. Jadi sebagai
seorang yang berpengalaman tinggi, sudah pasti beliau mempunyai jawapan yang baik bagi
soalan yang bakal saya soalkan. Jadi Cikgu, apakah tugas dan peranan seorang guru yang
mengajar Pendidikan Khas Masalah Pendengaran serta impaknya kepada murid masalah
pendengaran? Dipersilakan untuk mengemukakan jawapan Cikgu.

Hajah Laili Asmah Binti Mohd Yusof :

Terima kasih pengerusi yang molek pekertinya membawa rasional persoalan. Terlebih
dahulu, yang dihormati, barisan tetamu kehormat, rakan-rakan panel yang lain dan seterusnya
hadirin yang dirahmati Allah sekalian. Terima kasih kepada saudari pengerusi yang sentiasa aktif
menanyakan banyak persoalan intelek. Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada
hari ini. Bismillah. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. “Guru”. Itulah panggilan yang akan
dikenang buat selamanya memandangkan profesion keguruan merupakan suatu pekerjaan yang
mulia di sisi Allah SWT dan terdapat banyak hadis Rasullulah SAW yang menyarankan umat
manusia untuk menjadi pendidik yang menabur bakti mengajar orang lain apatah lagi menjadi
guru pendidikan khas yang telah berbakti mengajar murid-murid istimewa di mana memerlukan
kesabaran yang sangat tinggi. Sebagai seorang guru, peranan utamanya ialah apabila dianggap
sebagai pengajar kerana tugas utama guru di dalam bilik darjah untuk menyampaikan ilmu
pengetahuan berdasarkan sukatan pelajaran serta mendidik murid-murid supaya menjadi insan
yang bermoral tinggi. Untuk mencapai objektif ini, guru sebagai pengajar hendaklah
merancangkan aktiviti pengajaran yang sesuai, alat bantu mengajar untuk meningkatkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajarn, melaksanakan rancangan mengajar yang telah
disediakan dan membuat penilaian atas segala aktiviti PdP yang telah dijalankan. Oleh sebab itu,
guru haruslah menggunakan pendekatan yang kreatif dan kritis untuk menarik minat murid dalam
PdP terutamanya golongan murid-murid masalah pendengaran ini. Bukan itu sahaja saudara
moderator, guru juga turut dianggap sebagai pengurus apabila mereka diperlukan untuk
mengurus bilik darjah, mengurus murid supaya menjalankan tugas seperti menjaga kebersihan
kelas, menjaga disiplin pelajar dan sebagainya. Kecekapan guru dalam menjalankan tugas
sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat, disiplin kelas yang mantap
dan keadaan bilik darjah yang kondusif serta sesuai untuk meningkatkan keberkesanan PdP.
Dalam konteks lain, guru juga berperanan penting untuk membentuk murid-murid bermasalah
pendengaran supaya mereka dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan murid-
murid normal. Guru pendidikan khas juga perlulah berfikiran kreatif, inovatif dan imagenatif. Hal
ini demikian kerana, jika guru ini mempunyai ciri-ciri seperti yang disebut sebentar tadi ia sedikit
sebanyak menarik minat murid-murid.

Encik Mohammad Abd Rahman :

Alhamdulillah. Terima kasih Cikgu Laili atas isi yang menarik. Saya tertarik dengan isi
beliau sebentar tadi apabila beliau menyatakan bahawa “panggilan guru akan dikenang buat
selamanya”. Ya, walau seseorang guru tersebut sudahpun meninggal dunia, namun panggilan
“guru” akan sentiasa disebut-sebut. Baik, kita teruskan dengan panel kita yang terakhir, Dr. Nur
Atikah Syamimi Binti Abdullah Zawawi. Soalannya, bagaimanakah Dr melaksanakan intervensi
awal terhadap kanak-kanak bermasalah pendengaran? Dipersilakan Dr.

Dr. Nur Atikah Syamimi Binti Abdullah Zawawi :

Terima kasih saudara Mohammad. Assalamualaikum dan salam satu Malaysia saya
ucapkan kepada para hadirin sekalian. Kanak-kanak masalah pendengaran ditakrifkan sebagai
murid-murid masalah pendengaran yang tidak dapat mendengar bunyi pada tahap intensiti atau
kekuatan bunyi yang tertentu (Hallahan dan Kauffman, 1991). Menurut Mojuntin Ebin (1997),
murid-murid masalah pendengaran lambat dalam perkembangan bahasa dan pertuturan. Murid-
murid masalah pendengaran sukar untuk menguasai pertuturan dan bahasa. Hal ini demikian
kerana kegagalan murid-murid masalah pendengaran untuk menguasai bahasa menyebabkan
mereka menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi atau berinteraksi dengan orang lain, tidak
pandai bersosial dan lambat dalam perkembangan akademik. Justeru itu, bagi membantu kanak-
kanak yang menghadapi masalah pendengaran untuk bertutur dengan lebih berkesan, pelbagai
langkah dan strategi telah dilaksanakan. Baiklah, sebelum melaksanakan intervensi awal
terhadap kanak-kanak masalah pendengaran, saya perlu menyarankan mereka untuk melakukan
pemeriksaan audiologi terlebih dahulu bagi mengesan keadaan dan tahap kehilangan
pendengaran kanak-kanak. Hal ini demikian kerana bagi memudahkan saya untuk
melaksanakan intervensi awal sama ada membekalkan mereka dengan alat bantu dengar (ABD)
atau menyediakan terapi pertuturan bagi menggalakkan mereka berkomunikasi dengan orang
ramai seperti murid arus perdana. Oleh itu, jika kanak-kanak yang berusia 3 tahun menghadapi
masalah pendengaran yang serius iaitu pada tahap sangat teruk, saya sarankan ibu bapa untuk
menjalankan pembedahan implant koklea. Kemudian saya akan melaksanakan terapi pertuturan
bagi menggalakkan kanak-kanak tersebut berlatih bertutur untuk berkomunikasi dan
menggalakkan perkembangan bahasa mereka. Semoga perkongsian saya ini memberikan
manfaat kepada anda semua. Sekian, terima kasih.

Encik Mohammad Abd Rahman :

Alhamdulillah. Terima kasih saya ucapkan kepada Dr. Atikah atas pengkongsian sebentar
tadi. Begitu banyak manfaat yang saya perolehi hasil daripada perbincangan kita pada hari ini.
Baiklah, kita beralih pula kepada pusingan kedua. Dipersilakan panel 1, Dr. Amalina untuk
memberikan hujah anda iaitu apakah reaksi masyarakat atau komuniti terhadap penerimaan
kanak-kanak masalah pendengaran? Silakan Dr.

Dr. Nur Amalina Binti Madzlan :

Dahulunya, penerimaan kepada kanak-kanak masalah pendengaran ini masih lagi kurang
menyerlah dan tidak mendapat perhatian orang ramai. Namun begitu, tanggapan tersebut telah
dipandang serius oleh golongan tertentu dan mereka telah menaikkan martabat golongan OKU
dalam komuniti. Sebagai contoh, masyarakat sekarang lebih berperanan dalam menerima dan
mengambil berat tentang golongan orang kurang upaya (OKU). Mereka lebih bersifat terbuka dan
merendah diri dalam membantu dan menghulurkan bantuan kepada golongan OKU. Di samping
itu, komuniti yang bertanggungjawab harus bersedia melibatkan diri dalam segala program yang
dianjurkan untuk golongan OKU. Sebagai contoh, pihak kerajaan bukan sahaja perlu
menyediakan tabung bagi membantu keluarga yang miskin malahan perlu menyediakan tabung
untuk keluarga yang mempunyai ahli yang cacat supaya dapat meningkatkan kualiti kehidupan
mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan golongan OKU tidak mendapat peluang
pekerjaan dan menganggur dalam jangka masa yang panjang malah mereka juga tidak mampu
membiayai perbelanjaan perubatan yang besar. Sekelompok daripada mereka tidak mempunyai
tempat perlindungan. Dalam konteks ini, pihak kerajaan boleh membantu dalam mewujudkan
kebajikan perubatan kepada OKU supaya mereka mendapat rawatan percuma di hospital
kerajaan atau di pusat kesihatan kerajaan. Sebagai contoh, pemberian alat bantu dengar secara
percuma kepada murid sekolah. Pihak hospital swasta juga harus bertimbang rasa dengan
memberikan keistimewaan kepada golongan OKU melalui pemberian diskaun. Selain itu, media
massa harus menekankan keprihatinan masyarakat terhadap golongan OKU dan menghormati
mereka sebagai insan ciptaan Tuhan. Iklan yang berkaitan dengan sumbangan yang perlu
diberikan oleh golongan OKU harus diuar-uarkan supaya semua masyarakat mengetahui dan
menyalurkan sumbangan kepada yang memerlukan. Di sini menunjukkan bahawa dengan
adanya komuniti, kebajikan masyarakat akan terjamin.

Encik Mohammad Abd Rahman :

Terima kasih kepada panel pertama kita di atas penjelasan yang utuh lagi berisi. Betullah
kata perpatah “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”. Pepatah ini sangat berkait dengan
komuniti masyarakat kita pada hari ini untuk sentiasa membantu golongan yang istimewa ini
sebagaimana yang dibincangkan oleh Dr. Amalina sebentar tadi. Justeru, saya ingin menanyakan
persoalan seterusnya kepada ahli panel kita yang kedua, Hajah Laili tentang keistimewaan yang
diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat atau JKM kepada kanak-kanak masalah
pendengaran?

Hajah Laili Asmah Binti Mohd Yusof :

Soalan yang amat menarik daripada moderator kita pada hari ini. Baiklah, sebenarnya
peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah untuk memberi bantuan dari segi perkhidmatan
kepada orang kurang upaya termasuk individu yang mengalami masalah pendengaran
bersesuaian dengan syarat yang telah ditetapkan. Namun, pada pengetahuan saya mereka
hanya menyediakan perkhidmatan kepada sesiapa yang mendaftar dengan mereka sahaja.
Dalam erti kata lain, golongan ini yang tidak berdaftar tidak akan menerima sebarang
perkhidmatan daripada jabatan ini. Tambahan lagi, JKM turut mengadakan bantuan alat
pendengaran supaya individu pekak yang miskin dan berkeperluan dapat bergerak serta
memudahkan mereka mendapat pekerjaan selain mampu berkomunikasi dengan komuniti
masyarakat sekeliling. Bantuan alat pendengaran kepada mereka sedikit sebanyak dapat
meningkatkan kualiti pendengaran kepada individu yang mengalami masalah pendengaran.
Usaha juga telah diambil untuk menyediakan lebih banyak kemudahan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) dan kemudahan bebas dari halangan. JKM juga turut menyediakan faedah
seperti pemeriksaan kesihatan, pemberian ubat dan kemudahan wad di hospital kerajaan secara
percuma.
Encik Mohammad Abd Rahman :

Sungguh intelektual pemikiran saudari panel kita yang kedua. Memang tidak dapat
disangkal lagi, Jabatan Kebajikan Masyarakat banyak membantu dalam usaha untuk
meningkatkan kualiti hidup individu yang bermasalah pendengaran. Seterusnya, ingin saya
bertanya secara bertanya secara ringkas tentang pendapat ahli panel ketiga kita berkaitan badab-
badan NGO yang boleh dikaitkan dengan masalah pendengaran? Dipersilakan Dr.

Dr. Nur Atikah Syamimi Binti Abdullah Zawawi :

Terima kasih kepada saudara moderator yang sentiasa aktif menanyakan banyak
persoalan intelek. Badan Bukan kerajaan (NGO) merupakan satu pertubuhan atau organisasi
yang sah serta diterima oleh pihak berkuasa tetapi tidak disertai oleh kerajaan. Antara Badan-
Badan Bukan Kerajaan (NGO) ialah Rumah Orang Cacat Convent Bukit Nanas dan Malaysian
Care malah badan-badan bukan Kerajaan juga ada menyediakan pusat-pusat perkhidmatan iaitu
Perkhidmatan Audiologi dan Perkhidmatan Terapi Pertuturan. Rumah Orang Cacat Convent
Bukit Nanas telah ditubuhkan pada tahun 1977 oleh Persatuan Pekak Selangor yang bertujuan
untuk membantu murid-murid yang mengalami masalah pendengaran. Bukan itu sahaja,
Malaysian Care yang merupakan salah satu Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah menubuhkan
Pusat Taman Asuhan untuk kanak-kanak masalah pendengaran di sekolah-sekolah khas.
Malaysian Care membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah pendengaran dan mendapat
bantuan daripada guru-guru dari Sekolah Wisma Harapan Brickfields, Kuala Lumpur. Pusat-pusat
perkhidmatan yang disediakan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) adalah perkhidmatan
audiologi dan perkhidmatan terapi pertuturan yang boleh didapati di hospital-hospital kerajaan
dan swasta. Perkhidmatan audiologi dilakukan bertujuan untuk mengesan tahap kepekakan dan
kerosakan dalam telinga setiap individu yang menghadapi masalah pendengaran. Ujian
pendengaran yang boleh dilakukan adalah ujian audiometri konduksi udara dan konduksi tulang.
Perkhidmatan terapi pertuturan juga disediakan oleh NGO bagi membantu perkembangan
pertuturan dan bahasa kanak-kanak masalah pendengaran. Malah, kakitangan awam yang
berkhidmat dengan NGO bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kanak-kanak masalah
pendengaran dengan memantau kemahiran berkomunikasi mereka dari segi bahasa dan
pertuturan secara konsisten.

Encik Mohammad Abd Rahman :


Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T. kerana memudah dan melancarkan perlaksanaan
forum kita pada hari ini. Terima kasih kepada barisan panel yang sudi memberi pandangan dan
isi yang hebat pada pagi yang mulia ini dan terima kasih juga kepada anda semua kerana sudi
menghadirkan diri ke dewan ini untuk bersama-sama kita menjayakan forum ini. Sebelum
mengakhiri bicara forum kita pada hari ini, terimalah serngkap pantu yang berbunyi :

Tuailah padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan,

Intailah kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

Sekian daripada saya, Wabillahi al-taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi


wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai