Anda di halaman 1dari 13

Pendidikan abad-ke-21-isu-dan-cabaran

1. 1 PENDIDIKAN ABAD KE-21 : ISU DAN CABARAN

1. Pendahuluan: Apa Abad Ke-21?

Abad ke-21 ialah abad kini dalam kalendar-kalendar yang berdasarkan Kalendar Gregory, Tempohnya
adalah dari 2001 hingga 2100 dan tempoh milenium ketiga adalah dari 2001 sehingga 3000. Ini
disebabkan pengiraan abad pertama bermula dengan tahun 1. Biasanya, penggunaan umum
mengganggap bahawa abad ke-21 berlangsung dari 2000 hingga 2099 dan milenium ketiga dari 2000
sehingga 2999. Pada 2000, ISO menyokong kegunaan umum dengan mentakrifkan kalendar yang
memulakan perhitungannya dari tahun sifar. Dari segi amalan, masalah ini telahpun diselesaikan dengan
penggunaan 1 Januari, 2000 yang meluas untuk menandakan permulaan abad ke-21. Dekad-dekad
sering dianggap sebagai bermula dengan tahun sifar dan diberikan nama yang sewajar, umpamanya
"2010-an" dan sebagainya. Serupa dengan tempatnya abad ke-20 dalam penamaan "20th century Fox",
abad ke-21 telah dipergunakan dalam nama pelbagai syarikat dan organisasi. (Sumber : Wikipedia bebas
dalam Versi Bahasa Melayu; Tarikh akses : 24 September 2010)

Abad ke-21 membawa masyarakat dunia ke satu lagi fasa penganjakan paradigma kehidupan. Ini
meliputi penganjakan daripada masyarakat perindustrian kepada masyarakat berinformasi; penggunaan
teknologi manusia kepada penciptaan teknologi tinggi; pemusatan kuasa kepada pengagihan kuasa;
konsep hierarki kepada konsep jaringan; ekonomi tempatan kepada ekonomi antarabangsa; dan
perancangan jangka pendek kepada perancangan jangka panjang (Mumtaz Begam dan rakan-rakan,
2002).

Razali Ismail (2000:2), mengatakan abad Ke-21 sering dikaitkan dengan era Teknologi Maklumat
(IT) yang memungkinkan kepantasan dan menjumudkan faktor jarak dan masa. Perkembangan terkini
dalam ‘open sky technology’ membawa implikasi kepada kehidupan manusia sejagat. Seperti yang kita
lihat dan rasa, dunia yang luas pada hakikatnya telah dikecilkan dengan teknologi komunikasi yang
canggih dan pantas.

Perkembangan yang pesat dalam teknologi komunikasi dan arus globalisasi ini telah
mempengaruhi sistem komunikasi global. Jika satu ketika dahulu isu limpahan siaran melalui Direct
Broadcasting Services, aliran berita antara negara yang tidak seimbang dan order baru maklumat dunia
menjadi isu hangat dibincangkan dalam arena komunikasi, isu-isu ini kini tidak lagi begitu diperdebatkan.
Sebaliknya isu-isu komunikasi tanpa sempadan, masyarakat bermaklumat dan masyarakat
berpengetahuan menjadi isu-isu baru yang memenuhi ruang perbincangan di peringkat antarabangsa.
Dunia abad ke 21 adalah satu dunia baru. Dunia sekarang ini bukan lagi terkenalkerana ideologi
politiknya tetapi kepada kuasa ekonominya. Kuasa besar ekonomi dunia dengan sistem kapitalisnya
ingin mewujudkan satu dunia global dengan pasaran global.

Kemajuan dalam bidang komunikasi ini juga telah memberikan pengaruh yang besar kepada
keadaan sosial, pentadbiran, perubatan, hubungan antarabangsa, pengangkutan dan sebagainya tidak
terkecuali bidang pendidikan yang menjadi teras kepada perubahan dunia abad ke 21 ini. Kesan
globalisasi terhadap sektor pendidikan sangat ketara di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat,
United Kingdom, Jepun, Australia, New Zealand, Jerman dan Russia. Ini dapat dilihat dengan
pertambahan pelajar luar negara yang belajar di institut pengajian tinggi negara-negara tersebut.
Demikian juga di Malaysia, Pendidikan Tertiari menunjukkan fenomena yang sama di mana pada setiap
tahun universiti-universiti tempatan di negara kita menerima pelajar-pelajar luar dari seberang laut
semakin meningkat.

Dalam keghairahan dunia abad ke-21 menikmati kemajuan Sektor Teknologi Maklumat dan
Komunikasi, bidang pendidikan khususnya di negara kita terus berhadapan dengan pelbagai isu dan
cabaran yang perlu dilihat dengan rasa tanggungjawab oleh semua pihak. Sekiranya isu-isu dan cabaran
ini tidak ditangani dengan baik dan betul, kemajuan yang dicapai bukan saja tidak akan mendatangkan
sebarang faedah, bahkan akan menimbulkan berbagai-bagai isu kemanusiaan sejagat. Terdapat
berbagai-bagai isu dan cabaran pendidikan di Malaysia yang timbul akibat kesan globalisasi dan
transformasi sama ada isu dan cabaran ini wujud disebabkan oleh hasrat kerajaan itu sendiri ataupun
kesan daripada kemajuan Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi dunia. Dalam tugasan ini, saya
ingin fokuskan kepada 4 isu dan cabaran iaitu Pendidikan bertaraf Dunia, Pembestarian Sekolah,
Pendidikan K-Ekonomi dan Gejala sosial yang diakibatkan oleh ledakan maklumat dan globalisasi.

2. Isu dan Cabaran : Pendidikan Malaysia Bertaraf Dunia

Malaysia Ke Arah Pendidikan Bertaraf Dunia yang telah diilhamkan oleh Y.A.Bhg Tun Abdullah Ahmad
Badawi, Mantan Perdana Malaysia di Sidang Kemuncak Pendidikan 2004 beliau menyatakan
“Membangunkan Sistem Pendidikan Bertaraf Dunia merupakan agenda kerajaan saya”. Pendidikan
Bertaraf Dunia merupakan wahana penting bagi mencapai hasrat wawasan 2020 ialah mahu menjadikan
masyarakat Malaysia maju dan saintifik. Masyarakat maju perlu bersedia untuk menerima sesuatu yang
baru, maju dan berdaya saing. Agen perubahan utamanya ialah pendidikan. Pendidikan merupakan alat
terpenting di dalam pembangunan sumber manusia ke arah pencapaian matlamat pembangunan negara.
Pendidikan bertaraf dunia atau “world class” akan menentukan kejayaan perubahan insan. ( Mohd
Najib , 1997 ). Ini adalah antara kata-kata terawal pemimpin kita mengenai pendidikan bertaraf dunia.

Tepat pada masanya, Wawasan 2020 dan pendidikan bertaraf dunia berada di dalam lingkungan
abad ke -21 menunjukkan betapa besar hasrat dan cita-cita kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk
bersaing di peringkat antarabangsa. Apakah maksud sistem pendidikan bertaraf dunia? Mengikut
Merian-Webster Online “ world class is defined as being of the highest caliber in the world”. Pada
pendapat saya bertaraf dunia bermaksud satu pencapaian yang tertinggi atau yang setaraf dengannya di
dunia. Ia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara, khususnya
dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredentialiti yang diakui dan diterima di
peringkat antarabangsa atau dunia. Dilihat dari perspektif yang luas, ‘Pendidikan Bertaraf Dunia’
bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor pendidikan
untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu :

i. Pembangunan tenaga manusia

ii. Kepesatan pertumbuhan ekonomi iii. Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial
iv. Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat

v. Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual

vi. Pembangunan teknologi dan sains

vii. Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat.

Untuk mencapai status pendidikan bertaraf dunia, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dan
Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengambil langkah-langkah menyeluruh untuk mempastikan
perkara berikut dapat diurustadbir dengan sistematik dan berkesan iaitu:

i. Pendidikan Prasekolah dan Rendah

ii. Pendidikan Menengah

iii. Pendidikan Tertiari (Tinggi)

iv. Program Sokongan

v. Pembiayaan Pendidikan

vi. Pengurusan

vii. ICT Dalam Pendidikan

Selain daripada itu, pihak Kementerian Pelajaran juga perlu merefomasikan pelbagai aspek pendidikan
di semua peringkat persekolahan seperti perkara-perkara berikut:

i. Kualiti pengajaran

ii. Kualiti perkhidmatan

iii. Kualiti kurikulum

iv. Kualiti penilaian dan pensijilan

v. Kualiti pensyarah

vi. Kualiti perkembangan dan kebajikan pelajar

vii. Kualiti persekitaran budaya pelajar dan organisasi

viii. Kualiti pengurusan dan pentadbiran universiti

ix. Kualiti kepimpinan universiti x. Kualiti penyeliaan

xi. Kualiti mentoring

xii. Kualiti perkembangan staf atau tenaga pengajar


Untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia, perubahan yang hendak dibuat mestilah sesuai
dengan tuntutan semasa. Dalam kontek Malaysia sistem pendidikan mesti dibangunkan dan dibuat
pembaharuan supaya ia dapat memenuhi tuntutan wawasan 2020 kerana wawasan ini tidak akan
menjadi kenyataan tanpa pembangunan sumber manusia dari segi kuantitif dan kualitif. Perubahan dan
pembaharuan adalah berdasarkan kepada hakikat bahawa tanpa sistem pendidikan yang bertaraf dunia,
impian untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara maju tidak mungkin dapat dicapai.

Bertitik tolak dari kesedaran ini, Kementerian Pelajaran membuat pembaharuan yang disifatkan
sebagai sesuatu yang mesti menjangkau tempoh masa yang agak lama. Ia mestilah bersifat sistematik
iaitu ia tidak boleh terdiri dari satu komponen pendidikan iaitu educational content, educational tools
dan infrastruktur pendidikan mestilah diolah sedemikian rupa supaya perubahan menjadi lebih
bersepadu, holistik serta komprehensif. Perubahan sistematik ini mestilah dilihat secara menyeluruh
dan dalam kontek yang lebih luas.

Pertama, soal asas iaitu perundangan. Sejauh manakah kuasa yang ada pada Kementerian
Pelajaran dalam membuat beberapa perubahan sistem pendidikan. Pembentangan Rang Undang-
Undang Pendidikan 1995 membolehkan reformasi pendidikan dilaksanakan.

Antara lain, rang undang-undang tersebut menggariskan :

Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi
kualiti untuk mencapai aspirasi negara.

Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan

Tempoh pendidikan rendah adalah antara lima hingga tujuh tahun

Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan

Pendidikan teknik dan politeknik dipertingkatkan

Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta

Bermula dengan akta, perubahan boleh dibuat terhadap komponen-komponen lain sistem pendidikan
yang merangkumi ketiga-tiga komponen penting di atas iaitu isi kandungan pendidikan, alat-alat
pendidikan dan infrastruktur. Contohnya, apabila kita mengubah kurikulum sekolah, faktor-faktor
latihan guru, soal fizikal, soal kemasukan teknologi baru, sistem penilaian, kebajikan guru,
profesionalisme dan lain-lain lagi hendaklah diambil kira.

Begitu juga peningkatan taraf institusi pendidikan tinggi contohnya Institut Perguruan Sultan Idris
yang telah dinaikan taraf sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris. Sejajar dengan peningkatan taraf ini,
adalah diharapkan kewibawaan guru-guru akan dipertingkatkan untuk melahirkan insan yang cemerlang

Untuk mencapai status pendidikan bertaraf dunia, kerajaan perlu menyegerakan untuk
menyelesaikan masalah peluang pendidikan tertiari di IPTA dan IPTS yang sedia ada masih tidak
mencukupi untuk memenuhi permintaan masyarakat dan keperluan negara yang semakin meningkat.
Peratus kemasukan pelajar ke peringkat tertiari adalah amat kecil jika dibandingkan dengan kohort yang
sama di negara-negara maju. Contohnya, berdasarkan data Organisation for Economic Cooperation and
Development (OECD) bagi tahun 1996, peratus kemasukan pelajar ke peringkat tinggi bukan ijazah bagi
kohort 18-21 tahun adalah 11 peratus di Malaysia berbanding dengan 26 peratus di Amerika Syarikat
dan 12 peratus di United Kingdom. Peratus kemasukan pelajar ke peringkat ijazah bagi kohort 18-21
tahun adalah lima peratus di Malaysia berbanding dengan 41 peratus di Amerika Syarikat dan 39 peratus
di United Kingdom. Adalah menjadi cabaran kepada Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan tahap
aksesibiliti kepada pendidikan tertiari sejajar dengan konsep pendemokrasian pendidikan.

Selaras dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat, pendidikan tertiari perlu mampu
menyediakan peluang bagi mereka yang ingin mendapatkan pengetahuan, kemahiran, latihan, dan
latihan semula pada peringkat tertiari. Tahap aksesibiliti ke pendidikan tertiari yang rendah akan
menghalang pembelajaran sepanjang hayat di kalangan masyarakat. Cabaran kerajaan ialah untuk
menyediakan peluang dan laluan bagi kemasukan individu dan pelajar tercicir ke institusi pendidikan
tertiari agar rakyat Malaysia mempunyai pendidikan serta kemahiran ke arah membantu pembangunan
negara.

Langkah pengkorporatan universiti-universiti tempatan juga dilihat sebagai salah satu cara ke arah
memantapkan lagi pendidikan tertiari. Selaras dengan pengkorporatan universiti, adalah diharapkan
supaya pihak pentadbiran universiti mengadaptasikan pengurusan universiti mengikut model-model
penswastaan, pengkorporatan dan pensyarikatan yang menekankan kepada perkhidmatan keuntungan
dan produktiviti.

3. Isu dan Cabaran : Ke Arah Pembestarian Sekolah Malaysia

Satu lagi isu pendidikan di Malaysia masa kini yang hangat diperkatakan ialah Pembestarian Sekolah.
Pembestarian sekolah diilhamkan apabila pemimpin-pemimpin kita melihat perkembangan ICT di
seluruh dunia yang turut mempengaruhi Malaysia. Pembestarian sekolah merupakan proses berterusan
ke arah meningkatkan lagi pengunaan ICT dalam pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan
kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan
kompetensi guru.

Cabaran utama proses Pembestarian Sekolah ini ialah melatih guru dan murid agar berkemahiran
dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan
pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).
Sistem pendidikan sedia ada perlu dimantapkan selaras dengan perkembangan era teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT). Beberapa penambahbaikan dalam pelbagai aspek perlu dilakukan supaya ianya
berdaya saing dan relevan dengan kehendak semasa.

Pewujudan Sekolah Bestari merupakan satu senario yang mencabar dalam pendidikan alaf baru di
Malaysia kerana ia memberikan sumbangan yang besar kepada pencapaian Pendidikan Bertaraf Dunia
dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi, sosial serta budaya masa kini. Perkembangan
seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan yang menggabungkan serta memberikan
penekanan terhadap beberapa aspek, antaranya pengajaran dan pembelajaran berbudaya fikir,
pemusatan kepada pelajar, penggunaan bahan teknologi secara bijak, strategi pengajaran dan
pembelajaran yang sesuai, serta pengurusan sekolah yang efektif.

Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 - 2010 yang telah dilancarkan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007, dasar utama yang
ditekankan oleh Kementerian Pelajaran yang berkaitan dengan pembestarian sekolah adalah untuk
memastikan semua pelajar celik ICT. Mengutamakan peranan dan fungsi ICT dalam pendidikan sebagai
mata pelajaran atau pengupaya dalam pengajaran dan pembelajaran dan menggalakkan penggunaan
ICT bagi meningkatkan produktiviti, kecemerlangan dan keberkesanan sistem pengurusan sekolah.
Perlaksanaan pembestarian sekolah mengambilkira semua inisiatif ICT sedia ada di sekolah seperti
projek rintis Sekolah Bestari, projek pengkomputeran dan makmal komputer sekolah, projek Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dam Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), SchoolNet (projek penyediaan
prasarana jalur lebar untuk capaian ke internet di semua sekolah) dan TV Pendidikan yang melibatkan
aspek-aspek infrastruktur ICT dan aplikasi pengurusan, pengisian dan latihan.

Kementerian Pelajaran akan menyelaraskan semua inisiatif ICT ini bagi meningkatkan produktiviti,
kecemerlangan dan keberkesanan sistem pengurusan supaya boleh dilaksanakan secara cekap dan
efektif, tanpa pertindihan dan pembaziran.

“Teachers will need to change their role in the electronic classroom from being information providers to
counselors to help students develop know how and judgment to select information sources. Key to
success in the Information Age will be making the right judgements between an awesome array of
choices. We are examining our education system to create a curriculum where people learn how to
learn for continuing education throughout their lives.”

(Tun Mahathir Mohamed, Launch of the Multimedia Super Corridor, 1 August 1996)

“The smart school program will be re-modelled and its implementation fast-tracked to enable more
schools to benefit, at lower cost to the government. Smart schools will have access to the Internet
through the SchoolNet program, which is already at an advanced stage of implementation. Advanced
teaching and learning materials developed through the Smart School Pilot program will be utilised for
teaching, while the Smart School Management System will be used to improve administration
processes.”

(Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi) Launch of The Multimedia Super Corridor (M.S.C.) Next Leap, 3
July 2004)

“… pembestarian sekolah adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi untuk menjadikan sekolah-sekolah awam lebih berdaya saing, kondusif dan moden mengikut
arus pembangunan semasa. Dalam proses pembestarian sekolah, sasaran kementerian ialah untuk
meningkatkan nisbah komputer kepada murid, masa dedahan murid dan guru kepada penggunaan
komputer dan mengaplikasikan teknologi yang berkesan dari segi kos.”

(Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia, 7 Mei 2005)
Pelaksanaan pembestarian ini memanfaatkan (leverage) kepada semua inisistif ICT yang sedia ada di
sekolah merangkumi tiga elemen utama iaitu infrastruktur ICT dan Aplikasi Pengurusan, Pengisian
Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), dan Pembangunan Sumber Manusia. Fokus utama Pembestarian
Sekolah ialah untuk memastikan semua sekolah akan mempunyai kecapaian ICT yang sama dengan; i.
menyediakan kemudahan infrastruktur dan perkakasan yang mencukupi ii. menyediakan perisian dan
bahan-bahan digital yang lengkap iii. memberi latihan yang secukupnya kepada semua guru, pentadbir
dan staf sokongan Pembestarian Sekolah akan menfaatkan elemen utama yang telah dilaksanakan ke
sekolah-sekolah melalui projek-projek Kementerian Pelajaran seperti:

i. projek makmal pengkomputeran sekolah

ii. PPSMI dan MBMMBI

iii. rangkaian SchoolNet

iv. rancangan TV pendidikan

v. projek Rintis Sekolah Bestari

vi. ICT dalam pengajaran dan pembelajaran

vii. mata pelajaran yang berasaskan ICT

viii. perkongsian Pintar dengan Syarikat Swasta

ix. latihan ICT Guru

x. pengurusan Perubahan bagi Guru dan Pentadbir Sekolah

Program Pembestarian ini akan dijalankan secara berperingkat dan berfasa mengikut keutamaan
dan keupayaan Kementerian dengan mengambil kira kesediaan sekolah. Penggunaan ICT sebagai bahan
bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan jantung Sekolah Bestari. Pendekatan ini
tidak hanya terhad dalam kurikulum, pedagogi, pentaksiran, pengajaran dan pembelajaran, malah juga
dalam bidang pengurusan sekolah. Pengurusan dan pentadbiran sekolah dibestarikan agar pengurus
sekolah dapat menguruskan perjalanan sesebuah sekolah dengan lebih efektif.

Walau bagaimanapun, dalam proses menubuhkan Sekolah Bestari di seluruh negara, Kementerian
Pelajaran kemudiannya telah mengambil langkah bijak dan kos efektif dengan memperkenalkan
Program Pembestarian Sekolah. Ini memandangkan untuk membekalkan infrastruktur teknologi penuh
sebuah Sekolah Bestari, Kerajaan perlu membelanjakan sebanyak RM1.8 juta, manakala untuk
membekalkan infrastruktur teknologi makmal komputer, kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak
RM642,000 bagi sebuah sekolah. Oleh itu, alternatif yang terbaik adalah dengan cara membestarikan
sekolah sedia ada yang hanya memerlukan peruntukan yang jauh lebih rendah untuk setiap buah
sekolah.
Pelaksanaan pembestarian ini mengambil kira (leveraging) semua inisiatif ICT yang sedia ada di
sekolah merangkumi tiga perkara utama iaitu hardware, software dan wetware. Untuk itu, Kementerian
Pelajaran telah pun membekalkan pelbagai peralatan dan kemudahan ICT seperti komputer, pencetak,
server, projektor dan rangkaian. Statistik sehingga April 2005 menunjukkan sebanyak 4500 buah sekolah
rendah dan menengah di seluruh negara telah dilengkapi dengan makmal komputer, sementara 8120
buah sekolah telah dirangkaikan dengan capaian internet berjalur lebar melalui rangkaian SchoolNet.
Pembekalan peralatan dan kemudahan ICT merupakan isu yang besar kerana terbukti telah melibatkan
kos pembelian dan pengurusan yang besar. Banyak wang yang telah digunakan oleh pihak kerajaan
untuk menyediakan prasarana ini.

Penyediaan perisian kursus juga merupakan cabaran kepada pihak kementerian. Untuk itu,
pembangunan perisian telah dilaksanakan dengan kerjasama dengan pihak swasta. Perisian kursus
untuk kegunaan Sekolah Bestari yang melibatkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Sains dan Matematik telah dibangunkan dengan kerjasama pihak swasta. Selain daripada
menghasilkan perisian kursus untuk digunakan oleh guru dan pelajar dalam program Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pembestarian sekolah menuntut kepada pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan
dengan penggunaan aplikasi Smart School Management System (SSMS), Educational Management
Information System (EMIS) dapat membantu memperkemaskan pengaliran dan perkongsian maklumat
di peringkat sekolah, jabatan dan kementerian. Latihan kemahiran ICT kepada individu yang terlibat
sentiasa diadakan dari semasa ke semasa. Pentadbir sekolah, guru, staf sokongan dan personel di
pelbagai peringkat Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Bahagian-bahagian di
Kementerian Pelajaran turut dibimbing dan dilatih menggunakan segala kemudahan ICT yang disediakan.

Dalam menongkah arus globalisasi dan cabaran pendidikan hari ini, semua pihak harus mengorak
langkah yang proaktif. Perubahan ke arah sistem pendidikan bestari adalah suatu usaha yang amat baik.
Adalah menjadi harapan kementerian, melalui pembestarian sekolah ini akan membentuk modal insan
yang berkemahiran dalam bidang ICT ke arah masyarakat k-ekonomi, mengimbang jurang digital antara
bandar, luar bandar dan pendalaman, membentuk masyarakat yang kreatif, kritis dan inovatif,
membudayakan pembelajaran sepanjang hayat berasaskan ICT serta membangunkan pendidikan
bertaraf dunia. Pembestarian sekolah ini perlu disokong dan dilaksanakan oleh semua pihak untuk
mengatasi cabaran-cabaran yang timbul ke arah menjana modal insan yang mempunyai minda kelas
pertama.

4. Isu dan Cabaran : Pendidikan Malaysia Ke Arah K-Ekonomi

Sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sistem pendidikan kebangsaan telah
mengalami perubahan ke arah kemajuan dan pemantapan. Pada abad ke-21 ini, negara kita menghadapi
isu dan cabaran dalaman serta luaran akibat daripada kesan globalisasi, liberalisasi, dan perkembangan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communications Technology, ICT). Salah satu
cabaran negara adalah untuk membangunkan satu sistem ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau
K- ekonomi bagi menghadapi persaingan dengan negara lain. Perubahan sistem ekonomi ini adalah satu
fenomena yang pasti akibat daripada arus perdana yang dibawa oleh globalisasi. Ekonomi baru ini
memerlukan sokongan padu daripada sektor pendidikan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang
berpengetahuan tinggi dalam pelbagai bidang.

Cabaran tersebut menuntut agar negara membangunkan sumber tenaga yang mempunyai ciri-ciri
K-worker, celik dan mahir dalam ICT, mampu bersaing pada peringkat tempatan dan pada peringkat
global, bahkan memiliki jati diri dan daya saing yang tinggi selaras dengan perkembangan era dunia abad
ke 21 yang sangat mencabar ini. Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu menyediakan
program pembangunan pendidikan yang dapat melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan,
celik ICT, berkemahiran, dan berakhlak mulia bagi memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Mohamad Muda (1991) mengatakan sistem pendidikan negara kita memerlukan usaha-usaha yang
strategik serta boleh meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya ke tahap kualiti yang tinggi
dan cemerlang agar dapat menangani cabaran- cabaran abad ke-21. Pembangunan Pendidikan abad ke
21 mulai tahun 2000 mengambil kira Dasar Wawasan Negara yang bertujuan membina bangsa yang
berdaya tahan, menggalakkan pewujudan masyarakat yang saksama, mengekalkan pertumbuhan
ekonomi, menghadapi persaingan antarabangsa, membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan,
memperkukuh pembangunan sumber manusia, dan meneruskan pembangunan alam sekitar yang
mapan. Untuk mencapai matlamat pembangunan negara, Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga
(2001-2010, RRJP3) dan Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005, RMKe-8) telah menggariskan strategi,
program, dan projek untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta membina masyarakat yang
bersatu padu, adil, dan saksama. Pembangunan negara tertumpu kepada usaha untuk menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara yang maju mengikut acuan sendiri. Semua ini mempunyai implikasi
yang besar terhadap sistem pendidikan kebangsaan.

Sistem pendidikan kebangsaan telah dapat meningkatkan kualiti pendidikan dari segi taraf
pendidikan tenaga kerja. Pada tahun 1980, tenaga kerja yang tidak mempunyai pendidikan formal
adalah sebanyak 18.1 peratus dan menurun kepada 8.7 peratus pada tahun 1995. Dalam tempoh yang
sama, peratusan yang mempunyai pendidikan tertiari berjaya ditingkatkan daripada 1.5 peratus kepada
11.1 peratus. Jadual tersebut menunjukkan tahap pendidikan tenaga kerja di Malaysia semakin
meningkat dengan lebih ramai mempunyai pendidikan menengah dan tertiari. Pada tahun 2000,
bilangan tenaga kerja mahir dan profesional telah meningkat kepada 32 peratus dan 2005 telah
mencapai 46 peratus. Pendidikan tertiari merupakan pemangkin utama penjanaan sumber tenaga
manusia yang berpengetahuan, berkemahiran, dan berketrampilan bagi memenuhi keperluan mencapai
wawasan negara

Dengan tertubuhnya kolej komuniti, politeknik, institusi latihan yang dikendalikan oleh agensi
kerajaan dan swasta, universiti awam, dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), lebih banyak tenaga
mahir dan profesional akan dapat dilahirkan pada masa akan datang. Jika ini dapat dicapai, negara kita
akan mudah bersaing dengan negara lain di dunia pada abad ke 21 ini.

5. Isu dan Cabaran : Ledakan Globalisasi Menimbulkan Masalah Sosial Pelajar


Satu lagi isu dan cabaran pendidikan abad ke-21 iaitu kesan daripada ledakan globalisasi dunia serta
pendedahan ICT, khususnya internet kepada para pelajar sama ada di sekolah, rumah atau di siber-siber
telah meletakkan pelajar ke dalam dunia tanpa sekatan. Era penggunaan teknologi multimedia secara
menyeluruh menjadi topik perbualan yang sering diperkatakan. Belum sempat kita merealisasikan
impian melahirkan generasi yang mampu mencerna dan mengisi keperluan cabaran negara, sebahagian
besar remaja kita telah jelas kelihatan tenggelam dalam arus perkembangan era teknologi ini.
Pembabitan bilangan remaja dalam gejala sosial turut meningkat secara mendadak. Revolusi sektor
pendidikan negara kini bukan sahaja tidak berupaya menemui satu jalan penyelesaian dalam mengatasi
masalah gejala sosial remaja. Kita berhendakkan kemajuan yang diasaskan kepada budaya Malaysia jati
dan bukannya sebuah negara maju yang mengalami keruntuhan akhlak dan moral di kalangan
remajanya.

Di sini, nampaknya pendidikan abad ke-21 melakarkan cabaran demi cabaran yang sangat
menakutkan. Di samping kemajuan sains dan teknologi, kemudahan alat telekomunikasi yang semakin
canggih jelas mempunyai keburukan terutamanya kepada para remaja bahkan seluruh manusia yang
masih mencari identiti mereka. Kemudahan internet disalahgunakan untuk mengakses laman-laman
yang tidak sihat telah memberikan kesan negatif kepada mereka. Kesan yang paling ketara ialah
kewujudan laman-laman lucah yang telah mengakibatkan pengaruh seks bebas dan jenayah seksual.
Fenomena ini berlaku kalangan pelajar yang tidak matang untuk menilai serta mempraktikkan apa yang
boleh dan tidak boleh diamalkan. Masalah ini semakin menular dan membimbangkan kita terutamanya
pelajar di kawasan bandar dan kota .

Apa yang menyedihkan kita ialah penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun ketika
mereka berada di tingkatan satu dan dua. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah
mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah
sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut dilakukan
di sekolah tersebut. Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu
lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius. Seorang lagi guru di
sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat tinjauan di Kuala
Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa sungguh terkejut kerana mendapati
pelajarnya, lelaki dan perempuan meneguk minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau
juga mendedahkan terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya terlibat dalam pengedaran pil ecstasy.
Pelajat terbabit kerap ponteng sekolah dan apabila disiasat , pihak sekolah mendapati pelajar itu adalah
ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah seksual di
kalangan pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Di
antara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti mencabul kehormatan , merogol dan juga
pelacuran . Mangsa yang dicabul oleh mereka bukan sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita
dewasa. Selain jenayah seksual, beliau mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar nikah
dan pelacuran dikalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Menurutnya, sehingga bulan Jun
tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur berjaya diselamatkan daripada kancah pelacuran dan kegiatan
seks haram diseluruh negara dan sepanjang tahun lalu pula seramai 230 remaja bawah umur yang
terlibat berjaya diselamatkan dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seks oral di bawah meja di bilik darjah oleh empat orang
murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan guru-guru, didapati bahawa seorang
daripada murid itu mengulangi apa yang yang dilihatnya dalam sebuah filem lucah , bersama-sama ibu
bapanya pada malam sebelumnya. Di sebabkan oleh sebab sifat ingin tahu, dia meminta rakan-rakannya
untuk mencubanya di bawah meja selepas guru mereka meninggalkan bilik darjah. Namun apa yang
sangat menyedihkan ialah sikap ibu bapa itu sendiri yang sanggup mendedahkan anaknya ke arah gejala
sosial dengan menonton video lucah bersama-samanya. Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam
masyarakat kita pada hari ini ? Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya semua ini? Adakah anak
yang perlu dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak yang perlu dipersalahkan? Ibu bapa
hendaklah menjadi pemangkin dan contoh teladan yang baik bagi anak-anak kerana pengaruh media
massa pada zaman ledakan maklumat di abad ke 21 ini dan lambakan bahan-bahan lucah seperti
majalah dan VCD lucah amat mudah mempengaruhi tingkah laku anak-anak dan para pelajar. Remaja
dan pelajar merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan
pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan kepada pembangunan sosial dan
insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas. Salah satu daripada gejala yang
berlaku pada masa kini ialah masalah penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di
kalangan remaja. Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan keterlaluan,
penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif yang semakin menular di kalangan remaja.
Justeru itu, satu bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat
dan citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan potensi diri mereka
danmemanfaatkannya ke arah yang lebih positif.

Inilah isu dan cabaran kepada para guru di sekolah dan tugas pendidikan di era IT ini untuk
dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab. Jika tidak, gejala ini akan semakin teruk dan berleluasa.
Akhirnya anak-anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa hadapan akan rosak dan
merosakkan orang lain dan nama baik negara kita.

6. Penutup

Kita percaya, perancangan Pembangunan Pendidikan abad ke-21 bertujuan melahirkan insan yang dapat
menangani isu dan cabaran globalisasi serta K-ekonomi. Bagi memenuhi matlamat tersebut,
pembangunan pendidikan dilandaskan kepada empat teras iaitu meningkatkan akses, ekuiti, kualiti serta
kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan. Pendidikan yang berkualiti dan berkesan dapat
menghasilkan individu yang seimbang dan baik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Individu
sedemikian akan mempunyai nilai moral yang mulia, daya ketahanan yang kukuh, dan daya saing yang
tinggi. Di samping itu, sistem pendidikan yang berkualiti dan berkesan dapat menyumbang ke arah
menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. Pendidikan yang berkualiti dan
cemerlang merupakan wahana usaha membangunkan generasi alaf baru. Sistem pendidikan negara
memerlukan usaha-usaha yang strategik yang boleh meningkatkan keupayaan dan kemampuan
amalannya ke tahap kualiti yang tingggi dan cemerlang agar dapat menangani cabaran-cabaran abad ke-
Sistem pendidikan yang berubah sejajar dengan perubahan aspek ekonomi, budaya dan politik tersebut
amat hebat dan pantas. Jika kita leka boleh menyebabkan kita terpinggir dan tersingkir. ‘Intellectual
capital’ akan menjadi asas kukuh berbanding kekayaan yang berupa tanah, wang atau bahan mentah.
Budaya korperat yang berasaskan pendemokrasian kuasa akan menggantikan amalan hiraki tradisional.
Persaingan melebihi batas kawasan kepada persekitaran sejagat dan terlalu sengit. Pendek kata prinsip
dan nilai sejagat akan menentukan kejayaan sesuatu institusi, organsisasi atau negara. Oleh itu sistem
pendidikan dan persekolahan di Malaysia sangat penting dalam menghadapi gelombang perubahan ini.

Bibliografi

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar
Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia, Edisi Pelancaran PIPP 2006

Pembangunan Pendidikan 2001-2010, Kementerian Pelajaran Malaysia, 2001,Putrajaya Iliyas Haji


Hashim, (2002). Antara Cabaran dan Harapan Dalam Pengurusan Kurikulum Sekolah Abad Ke-21:
Pemikiran Dalam Pendidikan. Universiti Malaysia Sabah:Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial.

Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi dan Hasnan Hakim, Dasar Dan Pelaksanaan Sistem Pendidikan
Kebangsaan, Kongres Pendidikan Melayu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),
Kuala Lumpur, pada 1 – 2 September 2001

Al-Munsyi (1995), "TQM Dalam Pendidikan." Dewan Masyarakat. Disember; 23-25.

Kamarrudin Jusoh (1997). "Keluhan Bekas Guru Disiplin." MASSA. 5 April. Marimuthu. T (1990).
"Pengenalan Sosialogi Pendidikan." Petaling Jaya : Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (1996). "Pendidikan Di Malaysia." Kuala Lumpur : Kumpulan Othman Alhabshi, (2001).
Dasar dan Pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan UNITAR.

Roblyer, M.D.,Edwards,J.&Harrilak, M.A.(1997). Integration Educational Technology into Teaching.New


Jersey:Prentice Hall.

Schooley, C. (2002, October). Future Direction in the K-12 Education Technology Services. Giga
Information Group, Inc.

Kertas Kerja Seminar Sekolah Efektif, 14-16 Nov 1996 di Institut Aminuddin Baki: Mewujudkan dan
Mengekalkan Keberkesanan Institusi Pendidikan.

Utusan Pengguna, November 1997, M/S 23

Hussein Hj. Ahmad (2001). Mandat UNESCO dan cabaran globalisasi. Kuala Lumpur: Utusan Publication
& Distributors Sdn. Bhd.

Tajul Ariffin Mohd Noordin & Nor Aini Dan (2002). Pendidikan pembangunan manusia. Bangi: As Syabab
Media.
Tajul Ariffin Mohd. Noordin & Nor Aini Dan (1992). Pendidikan dan wawasan 2020. Kuala Lumpur :
Arena Ilmu Sdn. Bhd.

Wan Mohd.Nor bin Wan Daud. (2003). Budaya ilmu: Satu penjelasan. Singapura: Pustaka Nasional.

Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin. (1993). Wawasan pendidikan: Agenda pengisian. Kuala Lumpur: Nurin
Enterprise.

Anda mungkin juga menyukai