Anda di halaman 1dari 4

TUGASAN 2: PENULISAN AKADEMIK

Sediakan satu Pelan Pembangunan Diri berdasarkan template pembangunan kerjaya dalam
rangka membangunkan profesionalisme anda sebagai guru dalam 1000 pp.

Pendidikan merupakan salah satu wahana untuk mencapai matlamat membina


modal insan minda kelas pertama, masyarakat berintegriti, bermoral, dan beretika. Hal ini
sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang selama ini menjadi pegangan
seluruh insan guru. Guru berkualiti merupakan nadi kepada kejayaan pelaksanaan dasar
pendidikan negara yang mempunyai kaitan secara langsung dengan keberhasilan murid
(Rohani, Hazri, & Nordin, 2010). Untuk menjadi guru yang cemerlang, seorang guru perlu
bersiap siaga dengan pelbagai ilmu pengetahuan serta kemahiran bagi membuktikan daya
usaha yang tinggi dalam mewujudkan murid yang berkualiti dan berpotensi dengan pelbagai
bidang. Justeru, saya telah merangka satu strategi praktikal Pelan Pembangunan Diri bagi
mencapai matlamat kerjaya saya iaitu menjadi seorang Guru Cemerlang Matematik dan
memperoleh Sijil Sarjana sebelum mencapai umur 40 tahun. Perancangan yang saya telah
lakukan adalah berdasarkan Peringkat Perkembangan Guru yang diperkenalkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia (Wong, Noriati, & Boon, 2018). Jadual Pelan
Pembangunan Diri saya sepanjang tempoh enam belas tahun perkhidmatan adalah seperti
di Lampiran A.

Pada tahun perkhidmatan yang pertama sebagai guru permulaan gred DG41, saya
akan mencuba sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri di sekolah baharu serta
menjalinkan hubungan yang baik antara pihak sekolah, Guru Besar, Guru Penolong Kanan,
para guru, serta anak-anak murid. Dari segi amalan pedagogi, saya akan menyertai bengkel
atau kursus yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Jabatan
Pendidikan Negeri (JPN) kepada guru permulaan. Perubahan pesat dalam bidang
pendidikan serta gelombang globalisasi menuntut guru secara berterusan melengkapkan
diri dengan nilai profesional, pengetahuan dan kemahiran terkini (Jasmi & Nawawi, 2012).
Kolaborasi bersama guru mahir berkaitan pedagogi Matematik juga akan dilaksanakan
untuk menambah baik amalan pedagogi saya. Malah, untuk meningkatkan pengetahuan
tentang kandungan subjek Matematik, saya juga akan menyertai bengkel dan kursus seperti
bengkel guru Matematik dan kursus pentaksiran bilik darjah agar saya dapat menyesuaikan
tahap pengetahuan saya dengan situasi pendidikan terkini. Menurut Kementerian
Pendidikan Malaysia (2014), melalui aktiviti bengkel, kemahiran komunikasi, menganalisis
dan merumuskan hasil perbincangan dapat ditingkatkan. Selain itu, saya turut akan
melibatkan diri sebagai ahli dalam penyelidikan untuk menambah pengetahuan tentang isu-
isu berkaitan pendidikan Matematik. Untuk meningkatkan profesionalisme keguruan sebagai
guru Matematik, saya akan terlibat sebagai ahli Panitia Matematik untuk bersama-sama
berusaha dengan guru Matematik yang lain demi meningkatkan prestasi murid dalam
Matematik. Malah, saya akan menghasilkan inovasi pedagogi peringkat sekolah untuk
bertanding di peringkat daerah. Dari aspek kokurikulum pula, sebagai guru penasihat
Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM), saya akan menyertai Kursus Guru Pemimpin Puteri
Islam untuk mendapatkan Sijil Guru Pemimpin PPIM. Saya turut akan mengiring PPIM
menyertai Perkhemahan PPIM di peringkat daerah untuk menimba pengalaman baharu.
Bagi kelab dan persatuan pula, saya akan menubuhkan Kelab Matematik Cilik untuk
menarik minat murid terhadap Matematik. Saya akan merancang dan melaksana aktiviti
kelab sejajar dengan matlamat penubuhan kelab tersebut.

Di tahun keempat, saya akan mengaplikasikan segala pengetahuan dan kemahiran


yang diperoleh melalui bengkel dan kursus yang telah dihadiri. Contohnya, pengaplikasian
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), Pendidikan Abad ke-21 (PAK21) serta
penggunaan BBM untuk meningkatkan amalan pedagogi saya sebagai guru. Selain itu, saya
akan berusaha menjadi Ketua penyelidikan tindakan di sekolah dengan menyelidik sesuatu
tindakan yang dapat meningkatkan pengetahuan kandungan saya tentang Matematik. Hal
ini agar saya dapat mengamalkan ciri-ciri penyelidikan profesion yang sentiasa berkembang.
Setelah menjadi ahli Panitia Matematik, saya akan berusaha untuk dilantik sebagai Ketua
Panitia Matematik dengan harapan dapat meningkatkan prestasi murid bagi subjek
Matematik dan memastikan tiada murid yang gagal Matematik. Inovasi yang dilakukan
sebelum ini pula akan ditambah baik dan akan digunakan oleh saya untuk menyertai
Pertandingan Inovasi Pedagogi peringkat Negeri agar saya memperoleh pengalaman
baharu. Dari aspek kokurikulum, saya akan menjadi Guru Pengiring PPIM untuk membawa
murid saya menyertai Perkhemahan PPIM di peringkat negeri. Saya turut akan
menggalakkan ahli kelab Matematik Cilik untuk menyertai pertandingan inovasi di peringkat
sekolah dan seterusnya membentang inovasi tersebut di peringkat daerah.

Pada tahun kesembilan, dengan memegang DG 44 sebagai guru beraspirasi, saya


akan menguasai cara pengurusan bilik darjah yang efisyen. Malah, saya juga akan
menguasai kemahiran menganalisis laporan kemajuan murid agar saya sentiasa dapat
merancang pengajaran mengikut kesesuaian murid. Sepanjang empat tahun sebagai guru
beraspirasi, saya akan tingkatkan pengetahuan tentang subjek Matematik dengan menyertai
penyelidikan tindakan peringkat daerah dan negeri. Saya juga akan memohon untuk
menjadi pemeriksa kertas Matematik UPSR. Dengan pengalaman tersebut, saya akan
melibatkan diri sebagai fasilitator bengkel Matematik agar dapat berkongsi cara menjawab
soalan Matematik dengan betul. Untuk meningkatkan profesionalisme keguruan pula, saya
akan mencari peluang untuk menyertai Pertandingan Inovasi Pedagogi peringkat
kebangsaan dengan inovasi yang lebih baik dan berkualiti. Sebagai guru PPIM pula, saya
akan mengiring murid PPIM yang terpilih ke Perkhemahan PPIM peringkat kebangsaan
untuk menambah pengalaman saya dan murid. Saya turut akan mengiring ahli kelab
Matematik Cilik yang berpengalaman menyertai pertandingan inovasi di peringkat daerah
untuk membentang inovasi di peringkat negeri dan kebangsaan. Saya akan memberi
sepenuh galakan dan bantuan terhadap murid-murid saya. Selain itu, saya juga akan
mencuba pengalaman baharu dengan memegang tanggungjawab sebagai Penolong Ketua
Komanden Perkhemahan Unit Beruniform Peringkat sekolah dan daerah.

Berbekalkan pengalaman selama dua belas tahun sebagai guru, saya yakin saya
dapat menyelesaikan tugas dan masalah di sekolah dengan baik. Dengan semua strategi
serta keadah pengajaran yang telah dikuasai, saya akan sukarela menjadi pakar rujuk
pedagogi PdP kepada guru-guru novis Matematik untuk mengoptimumkan pembelajaran
murid secara strategik dan lebih berfokus. Saya juga akan meneruskan langkah dalam
meningkatkan pengetahuan tentang kandungan Matematik dengan menyertai penyelidikan
tindakan di peringkat kebangsaan. Saya yakin bahawa anjakan dan perubahan paradigma
terhadap profesionalisme keguruan dapat dilakukan melalui amalan penyelidikan yang
kukuh. Seterusnya, saya akan menghasilkan penulisan penyelidikan yang bermakna dalam
bidang pendidikan Matematik. Aktiviti penulisan ini dapat menjana keupayaan saya untuk
berkarya secara ilmiah dan kreatif. Hasil penulisan tersebut akan saya gunakan untuk
dicalonkan sebagai Guru Cemerlang DG48 Khas Untuk Penyandang (KUP). Saya akan
berusaha sekuat mungkin untuk mendapat pengiktirafan sebagai Guru Cemerlang dalam
bidang Matematik. Dari aspek kokurikulum pula, saya akan menganjurkan Kuiz Matematik
peringkat sekolah dan daerah dengan bantuan daripada ahli-ahli Kelab Matematik Cilik. Ahli
kelab yang berjaya dalam kuiz yang dianjurkan, akan diiring ke Kuiz Olimpiad Matematik
peringkat kebangsaan. Akhir sekali, saya akan memohon sambung belajar dalam bidang
pendidikan Matematik untuk memperoleh Sijil Sarjana sebelum saya berumur 40 tahun bagi
memenuhi kepuasan diri. Saya percaya bahawa program peningkatan akademik akan
meningkatkan pengetahuan dan memudahkan saya untuk mendalami perkembangan terkini
bidang Matematik.

Kesimpulannya, saya perlu membina dan membangunkan diri serta kerjaya demi
kepentingan anak murid saya. Guru yang cekap dalam melaksanakan tanggungjawab
sebagai pendidik abad ke-21 akan menghasilkan murid yang boleh menghadapi dan
mendepani cabaran serta persaingan global. Saya perlu berusaha bersungguh-sungguh
untuk mencapai matlamat untuk menjadi Guru Cemerlang Matematik dan menyambung
pelajaran sebelum berumur 40 tahun. Justeru, saya amat berharap agar pelan
pembangunan kerjaya yang telah dirancang mampu memenuhi matlamat pendidikan negara
ke arah meningkatkan kualiti pendidikan seiring dengan kehendak masa kini. Saya yakin
bahawa pelan yang strategik dan berfokus dapat membawa diri saya ke tahap professional
agar saya dapat menikmati tahap kejayaan yang lebih baik dan membentuk hasrat profesion
yang lebih tersusun dan teratur.

Anda mungkin juga menyukai