Anda di halaman 1dari 30

PEMBINAAN TEORI SASTERA TEMPATAN:

MENELUSURI PEMIKIRAN MELAYU-ISLAM

Hamzah Hamdani
(GAPENA)

Pendahuluan

Dalam konteks tema “Mempersegar Teori, Memugar Kritikan” yang mendasari

perbincangan Wacana Teori dan Kritikan Sastera ini, kami diminta memperkatakan

tentang sejarah perkembangan teori sastera tempatan. Berbicara tentang sejarah, perhatian

tertumpu kepada deskripsi rentetan peristiwa yang dirangkaikan menjadi suatu sejarah

yang panjang. Walaupun judulnya sederhana, namun ia memerlukan rincian fakta yang

meyakinkan. Dalam rentang waktu yang terbatas, kami ingin membataskan pembicaraan

pada aspek mengapa perlunya para sarjana Malaysia berusaha membina teori sastera

tempatan.

Kalau kita meneliti buku-buku The Johns Hopkins Guide to Literary Theory &

Criticism susunan Michael Groden dan Martin Kreiswith (1994) dan Encyclopedia of

Contemporary Literary Theory: Approaches, Scolars, Terms susunan Irena R. Makaryk

(1993), puluhan teori sastera Barat boleh digunapakai untuk menjadi landasan dalam

penelitian karya sastera para pengarang Malaysia umumnya dan Melayu khususnya, sama

ada karya tradisional mahupun moden. Untuk rujukan mudah, kita boleh membaca buku

susunan Mana Sikana berjudul Koleksi Teori Sastera: Klasik, Tradisional, Moden,

Pascamoden dan Tempatan (2073 a). Teori-teori tersebut yang berdasarkan falsafah

tamadun Barat, telah mendunia hasil daripada proses globalisasi. Kaedahnya dinilai

sebagai universal, terutama untuk membaca dan menilai karya-karya sastera moden, yang

bentuknya dipinjam daripada tradisi sastera Barat.

1
 
Kesusasteraan dan Penafsiran

Kesusasteraan sebagai salah satu cabang kesenian telah lahir dalam peradaban manusia

sejak ribuan tahun. Pelbagai tafsiran atau definisi mengenainya telah dikemukakan oleh

para peneliti kesusasteraan. M.K. Danziger dan W.S. Johnson berpendapat bahawa

kesusasteraan secara luas merupakan seni yang menggunakan kata-kata, tanpa

memperhitungkan persoalan sama ada kata-kata itu tertulis atau sekadar diucapkan (1983:

2). Peneliti lain pula beranggapan bahawa kesusasteraan ialah segala hasil ciptaan

manusia melalui bahasa yang bersifat seni. Sebagai hasil seni, maka ciri utamanya

mengandungi unsur-unsur emosi, imaginasi dan budi. Dengan paduan unsur-unsur inilah

pengarang menyampaikan pernyataan-pernyataan fikiran, perasaan, harapan, cita-cita dan

impian serta hubungan manusia dengan masyarakat atau dunia persekitarannya. Justeru

itu dalam hasil kesusasteraan akan terlihat kecenderungan pengarang mengungkapkan

pengalamannya tentang hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan, serta kebenaran

dan kejujuran sebagai keindahan hidup yang sempurna dan abadi. (Kamaruzzaman A.

Kadir, 1985: 63)

Meskipun kesusasteraan sering dihubungkan dengan emosi, tidak dapat dinilai

secara benar-benar objektif, namun bagi A. Bakar Hamid, kesusasteraan adalah suatu seni

yang bercorak intelektual. Sungguhpun ia seni, ia tidak dapat dipisahkan dari kegiatan

intelek manusia. Media kesusasteraan itu sendiri, berbeza dengan seni-seni lainnya,

adalah media ilmu pengetahuan. Maka itu kesusasteraan sebagai seni dituntut

memberikan kepuasan intelek di samping kepuasan estetika. (1974: 68-69) Corak intelek

yang ada pada karya sastera ternyata kerana sebenarnya kesusasteraan banyak menyatakan

dan mencerminkan sistem idea (worldview) yang terdapat dalam kebudayaan. Dalam

menghadapi sastera moden, satu ciri yang baharu ialah hasil sastera itu olahan

perseorangan. Orang perseorangan itu adalah sebahagian daripada masyarakat. Dia

2
 
adalah sebahagian daripada kebudayaan, yang merangkumi penulis dan pembaca. Melalui

hasil sastera, kedua-dua pihak dapat berkomunikasi kerana mereka menggunakan

perlambangan yang sama. (Mohd. Taib Osman, 1980: 77, 83) Pandangan ini

mentakrifkan kesusasteraan dalam hubungannya dengan kehidupan dan melihat

kesusasteraan sebagai satu cara melahirkan semula atau menciptakan semula pengalaman

hidup dalam bentuk kata-kata. (Danziger dan Johnson, 1983: 13)

Oleh kerana kesusasteraan diharapkan memberi kepuasan estetika dan kepuasan

intelek, maka kesusasteraan harus diberi tafsiran dan penilaian. Tugas peneliti

kesusasteraan ialah untuk mentafsir makna perlambangan yang digunakan oleh pengarang

dan memberi penilaian terhadap mutu ciptaan sesebuah karya. Hasil daripada penelitian

inilah lahirnya teori sastera, yang menjadi kayu ukur kepada standard penciptaan sastera.

Walau bagaimanapun kayu ukur ini tidak pernah statik. Para penulis akan terus

menghasilkan ciptaan-ciptaan baharu dengan teknik-teknik baharu yang sesuai dengan

tuntutan kreativiti seniman. Dalam hal ini A. Teeuw berpendapat, dalam sastera terungkap

hakikat pendangan manusia terhadap eksistensinya, dan dalam teori sastera terungkap

hakikat ideologi mengenai kemanusiaan yang dianut dalam masyarakat yang

bersangkutan. Diskusi mengenai masalah sastera atau tentang karya sastera sering

langsung berkaitan dengan masalah eksistensi manusia dan situasi dan kondisinya dalam

masyarakat serta dengan keyakinannya yang paling mendasar. (1984: 10)

Hakikat eksistensi manusia dan kemanusiaan terungkap melalui karya

kesusasteraan. Ini berlaku kerana dorongan lahirnya sastera adalah keinginan dasar

manusia untuk mengungkapkan diri, untuk menaruh minat pada sesame manusia, untuk

menaruh minat pada dunia realiti tempat hidupnya, dan pada dunia angan-angan yang

dikhayalkan sebagai dunia nyata, dan keinginan dasar untuk mencintai bentuk sebagai

bentuk. Pada hakikatnya karya-karya sastera selalunya menghembuskan semangat zaman

3
 
dan nafas lingkungan tempat tumbuh dan berkembangnya sesuatu kebudayaan. Dengan

demikian, siratan semangat zaman dan nafas lingkungan itu dapat berbentuk penghidupan

utuh (representation) penghidangan sebahagian dan tersamar (imitation) atau tanggapan

(reaction) terhadap apa yang berlaku secara umum dalam zaman dan lingkungan tertentu.

(Andre Hardjana, 1981: 10-11)

Kesusasteraan sebagai kegiatan intelek memerlukan tafsiran untuk membantu

pembaca memahami, menghayati dan menikmati sesebuah karya sastera. Bagi pengarang

pula, tafsiran oleh peneliti kesusasteraan dapat memberikan gambaran mengenai

tanggapan masyarakat terhadap makna dan mutu ciptaannya. Kegiatan memberi tafsiran

dan penilaian ini melahirkan tradisi kritikan. Dalam hal ini Baharuddin Zainal

berpendapat, kesusasteraan memberikan pengalaman dan mengarahkan dirinya kepada

perasaan sedangkan kritikan berbicara kepada intelek atau fikiran. Kesusasteraan

memenuhi keinginan manusia yang merasa, sedangkan kritikan memenuhi keinginan

manusia yang berfikir, berfikir mengenai apa yang seharusnya ada atau tidak harus ada

pada sesuatu tulisan. (1980: 142) Demikianlah pentingnya tugas peneliti kesusasteraan.

Tanpa usaha mereka hasil ciptaan sastera akan ‘hanyut dan menghilang’ dibawa arus

zaman. Merekalah yang berfungsi memberikan makna keindahan hasil kesusasteraan

kepada pembaca kerana mereka berkemampuan menafsirkan perlambangan yang

digunakan oleh pengarang. Perkembangan tradisi ini melahirkan dan memantapkan

kegiatan kritikan sebagai satu bidang ilmu yang tersendiri: ada hukum-hukumnya yang

boleh dinilai secara objektif. Menurut Muhammad Haji Salleh, “Kritikan dan pemikiran

tentang kesusasteraan ialah perkembangan alamiah daripada penciptaan dan penghayatan

karya-karya seni bahasa. Apabila diturunkan dalam bentuk yang lebih tersusun dengan

hujah-hujah yang meyakinkan serta pandangan hidup yang lebih luas, dan dihalusi pula

4
 
oleh gaya serta contoh-contohnya, maka jadilah pemikiran-pemikiran ini karya kritikan

yang dapat dibahas terus untuk beberapa generasi. (1987: VII)

Teori Kesusasteraan

Penafsiran karya sastera dalam bentuk kritikan adalah kerja penyelidikan. Menurut

Sutrisno Hadi, penyelidikan adalah usaha untuk menemukan, mengembangkan dan

menguji kebenaran suatu pengetahuan yang dilakukan dengan menggunakan metode-

metode ilmiah (1973: 4). Sebagai satu bentuk kegiatan ilmiah, penelitian sastera

memerlukan landasan kerja yang berupa teori. Teori sebagai hasil perenungan yang

mendalam, mensistem, dan terstruktur terhadap gejala-gejala alam berfungsi sebagai

pengarah dalam kegiatan penelitian. Teori memperlihatkan hubungan-hubungan antara

fakta yang tampaknya berbeza dan terpisah ke dalam satu persoalan dan

menginformasikan proses pertalian yang terjadi di dalam kesatuan tersebut. Selanjutnya

hasil penelitian dalam arah balik akan memberikan sumbangannya bagi teori. Jadi, di

antara teori dengan penelitian pun terdapat hubungan saling mengembangkan. (Siti

Chamamah Soeratno, 2012: 19-20) Bagi seorang pengamat atau peneliti sastera yang

sungguh-sungguh, teori sastera mempunyai beberapa kegunaan. Di samping untuk

melakukan telaah demi telaah, sebagai suatu latihan intelektual, kegunaan teori sastera

lebih penting sebagai sarana untuk memahami karya sastera serta selok-beloknya.

(Achadiati Ikram, 1988: 28)

Menurut Abdul Hadi W.M., perkataan teori (theory) berasal daripada kata Yunani

theorein yang ertinya ialah ‘memandang’ atau ‘menyaksikan’. Dari perkataan ini muncul

kata theorus, iaitu orang yang melihat sesuatu dengan berperan aktif atau terlibat aktif

dalam sesuatu yang dilihatnya. Perkataan theoria atau theory dapat diertikan sebagai

berperan serta dalam erti sebenarnya atau terlibat secara menyeluruh serta terbawa hanyut

5
 
dalam sesuatu yang dilihat. (2004: 92) Dalam definisi kini, teori dimaksudkan sebagai

“…a set of interrelated principles and definitions that serves conceptually to organize

selected aspects of the empirical world in a systematic way.” (George Theodorson dan

Achilles Theodorson, 1970: 436) Jadi teori digubal berdasarkan pada fenomena empiris,

yakni gejala yang konkrit dalam kehidupan kita. Gejala itu mungkin sahaja merupakan

seluruh alam ini ataupun benda yang khusus seperti karya seni umpamanya. (A. Rahman

Yusof, 1988: 6)

Menurut Mana Sikana, teori sastera dimaksudkan sebagai seberkas gugusan

epistemologi yang berhubungan dengan ilmu pengetahuan tentang sastera, definisi,

konsep, prinsip, dan sifat-sifat nilai dan normatif yang dimilikinya. Teori dalam konteks

kajian dan penulisan akademik adalah sebagai alat dan menjadi landasan kajian. Teori

bersifat empiris adalah pengajian tentang hasil karya sastera. Prosesnya adalah proses

dialektikal: teori dan praktik saling menafsir. Soal-soal tentang kriteria, kategori dan skim

dalam sastera tidak dapat diselesaikan in vacuo (kekosongan). Tidak mungkin kritikan

sastera atau sejarah sastera tanpa satu-satu kumpulan soalan, satu-satu sistem konsep,

butir-butir rujukan dan gambaran secara menyeluruh. (Rene Wellek dan Austin Warren,

1988: 50)

Roger Webster dalam bukunya Mengkaji Teori Sastera: Suatu Pengenalan

mengatakan bahawa teori sastera telah menjadi satu bahagian yang penting dalam

pengkajian sastera kerana dengan teori sastera, pengkaji mendapat cara bagaimana hasil

sastera itu harus dibaca, dikaji dan dinikmati. (2004: 4-5) Namun teori sastera harus

menyediakan suatu rangkaian kriteria untuk mengenal pasti kesusasteraan dan suatu

kesedaran bahawa kriteria ini harus melengkapkan amalan kritikan kita. Ia juga harus

menyedarkan kita tentang kaedah dan prosedur yang kita gunakan dalam amalan kritikan

sastera, agar kita tidak hanya menyoal siasat teks tetapi juga mempersoalkan tentang cara

6
 
bagaimana kita membaca dan mentafsirkan teks itu. (2004: 14) Sebagai disiplin ilmu,

teori sastera adalah suatu bidang yang kompleks dan berubah-ubah kerana ia adalah

organisma yang terus menerus berkembang. (Muhammad Haji Salleh, 2000: xiv-xv).

Kritikan Sastera

Kritikan sastera sebagai satu genre dalam perkembangan kesusasteraan di seluruh dunia,

memainkan peranan yang penting dalam usaha peningkatan kualiti penciptaan karya

sastera. Menurut Subagio Sastrowardoyo, yang diharapkan daripada kritik sastera adalah

suatu kritik, yakni suatu tanggapan yang mengandung penilaian tentang baik-buruk,

tinggi-rendah mutu dan berhasil tidaknya karya sastera yang secara konkrit dihadapi

penelaah. (1988: 12). Kegiatan kritik sastera sebagai kajian akademik tidak lagi karya

berdasarkan kesan perasaan pengkritik ketika menelaah teks, iaitu suka atau tidak suka.

Menurut Roger Webster, kritikan sastera itu berfungsi sebagai suatu cara menelusuri atau

untuk memahami makna teks. Pengkritik membacanya dengan kesedaran yang

menggunakan alat dan teknik tertentu. Kita tidak lagi menjadi sebagai pembaca yang

‘tidak tahu apa-apa’. Begitu jugalah dengan kajian sastera yang telah berubah dari suatu

keadaan yang hanya melihat kesusasteraan itu sebagai suatu fenomena ‘semula jadi’ yang

lebih besar kepada suatu pendekatan yang lebih banyak menimbulkan persoalan yang kini

mempersoalkan banyak aspek yang sebelumnya dianggap sebagai tidak perlu

dibangkitkan, bersifat semula jadi atau sesuatu yang jelas. Kritikan sastera melibatkan

pembacaan, penafsiran dan ulasan ke atas sesuatu teks tertentu, atau teks yang telah

dikelaskan sebagai karya kesusasteraan. Ini cenderung menjadi aktiviti yang utama yang

berkaitan dengan kajian sastera: ia dilakukan oleh para pengkritik yang profesional dan

disebar dan diterbitkan dalam bentuk buku dan dalam jurnal, dan ia juga turut diamalkan

7
 
oleh semua pelajar kesesusateraan dalam penulisan esei, jawapan dalam peperiksaan atau

dalam bentuk disertasi. (2004: 3, 10)

Daripada kritikan sastera berdasarkan kesan perasaan, ia berkembang menjadi

kajian sastera yang bersifat ilmiah, iaitu berlandaskan teori-teori sastera yang bersesuaian

dengan teks. Kritikan sastera menjadi suatu kegiatan penulisan yang ilmiah, yang hanya

diceburi oleh mereka yang pernah terdidik di pusat-pusat pengajian tinggi yang

menawarkan pengajian kesusasteraan, terutama mengenai teori sastera.

Menurut Hashim Awang, kritikan sastera yang awal di Malaysia bermula dengan

tulisan Keris Melayu (Muhammad Yasin Maamor) berjudul “Tun Seri Lanang dan Munsyi

Abdullah” (Majalah Guru, 1 Julai 1935). Tulisan ini mengenai isi dan gaya bahasa yang

terdapat dalam Sejarah Melayu, Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah. Ia

mempunyai ciri-ciri tulisan kritikan, iaitu pandangan kritis (sesuai dengan kemampuan

ilmiah zamannya), mampu menyelami dan mengupas fikiran yang tersirat, dan tumpuan

pada teks untuk melihat sikap pengarang. (2003: 29-30) Namun tulisan kritikan yang

dianggap menepati dengan bentuk tulisan kritikan sebenar ialah karya Aminuddin Baki

berjudul “Pandangan Seorang Penuntut Tinggi Kita Tentang Sebuah Buku Melayu”

(Utusan Zaman, 12 Jun 1949). Pandangan atau kritikannya terhadap novel Korban

Kesuciannya karya Keris Mas merangkumi dua unsur utama, iaitu isi dan teknik.

Walaupun tidak mendalam, namun terlihat ada daya usaha dan daya kritik untuk

menimbulkan bentuk pembicaraan sastera yang lebih bererti dan bermanfaat. Dapat

menimbulkan beberapa persoalan tentang isi atau amanat dari buku tersebut. Bahkan yang

lebih utama ialah masalah bagaimana isi itu mahu dikemukakan supaya menjadi lebih

berkesan. Penulis amat mementingkan mengenai soal-soal gaya bahasa, plot dan

perwatakan. Inilah yang menjadikan kritikannya agak bererti dan unik ketika itu. (1984:

10)

8
 
Apabila muncul apa yang dinamakan kritikan kesusasteraan dalam tahun 1960-an,

ia lebih merupakan kecaman kasar, sindiran dan ejekan, atau menghukum, yang lebih

merupakan tulisan memperkecilkan pengkarya dan terlalu peribadi. Kritikan ini

menimbulkan keresahan kepada pengkarya dan menimbulkan pandangan negatif. Para

‘pengkritik’ itu sebenarnya mengkritik tanpa pengetahuan tentang ilmu kritikan yang

sebenar. (S. Othman Kelantan, 1998: 70) Dalam penelitiannya, S. Othman Kelantan

mendapati kritikan sebagai satu disiplin ilmu muncul akhir 1970-an atau awal 1980-an

apabila golongan yang terdidik di institusi pengajian tinggi telah muncul sebagai pengkaji

dan peneliti kesusasteraan secara serius. Pengkritik tidak lagi sekadar mengulas,

menerangkan isi cerita, atau memberi hukuman, tetapi memperlihatkan keragaman bentuk

kritikan dan menunjangkan ilmu. Kebanyakan mereka memilih teori pendekatan Barat

untuk membuat kritikan ke atas novel, cerpen, puisi, dan drama Melayu. (1998: 70)

Pembinaan Teori Sastera Tempatan

Pemahaman dan penguasaan teori-teori sastera di kalangan para sarjana di universiti-

universiti Malaysia semarak pada dekad 1980-an. Keadaan ini juga seiringan dengan

trend yang berlaku di Barat. Menurut Peter Barry, “The 1980s probably saw the high-

water mark of literary theory. That decade was the ‘moment’ of theory, when the topic

was fashionableand controversial.” (1995: 1) Fakta ini juga disokong oleh Roger

Webster, “Teori sastera telah menunjukkan peningkatan dalam kehadirannya dalam

sukatan pelajaran di banyak institusi sejak tahun 1980-an lagi, dan kini tidak mungkin

seorang pelajar kesusasteraan Inggeris yang tidak terlibat secara langsung dengan aspek-

aspek teori sastera, telah dikatakan mempunyai pengetahuan dalam bidang-bidang asas

yang diperlukan untuk mendapat ijazah atau tahap pengajian yang sama.” (2004: 2)

9
 
Menurut Md Salleh Yaapar, mulai dekad 1950-an, pelbagai sastera kebangsaan dan

wilayah bangun dengan gagahnya di luar dunia Barat, yakni di Asia, Amerika Latin dan

Afrika; dan semuanya meminta perhatian yang serius. (2002: 59) Namun apabila

berbicara tentang ilmu dan teori kesusasteraan kita sering menumpukan perhatian ke

Eropah dan Amerika, seolah-olah ilmu dan teori yang dapat dimanfaatkan hanya terdapat

di sana. Kita lupa bahawa di tempat lain pun, khususnya di Timur, termasuk di rantau

Melayu sendiri, wujud ilmu dan teori kesusasteraan, yang mungkin sama atau lebih

manfaatnya. (2002: 58) Katanya lagi, “Bagi saya, kiranya kita mahu kesusasteraan kita

menjadi besar dan berperibadi tinggi, kita mestilah berhenti merujuk satu arah, satu

sumber ilmu semata-mata. Sebaliknya, kita hendaklah berani melihat banyak tempat,

merujuk banyak sumber: Barat, Timur, radikal, normal, dan jangan lupa, diri dan tradisi

kata sendiri.” (2002: 59) Dalam konteks ini, untuk memahami sastera sebagai suatu

ekspresi manusia yang menyeluruh, para pengkaji harus menpelajari pelbagai ilmu dan

teori baharu. Dan hal ini hanya dapat dilakukan dengan merujuk fenomena-fenomena

sastera berkenaan bersama dengan latar manusia, falsafah, budaya, dan nilai masyarakat

yang melahirkannya. (2002: 60)

Seiringan dengan pendapat tersebut, Muhammad Haji Salleh mengatakan,

menemukan sebuah teori sastera Melayu ialah perlakuan pasca kolonial yang saya kira

mengembalikan falsafah Melayu kepada seninya, kerana dengan teori ini, kita menggeser

teori yang dipinjam dari Barat, dan mengisytiharkan bahawa kita sebenarnya sudah lama

mempunyai teori sendiri, yang menjadi landasan ciptaan falsafah seni bangsa Melayu

(2002: x). Seterusnya beliau menegaskan, kita tidak mungkin memahami sastera sesuatu

bangsa tanpa mengetahui puitika sasteranya. Sastera dalam bahasa Melayu akan selalu

dianggap tidak ‘padat’, tidak ‘intens’ dan akhirnya ‘tidak baik’ kerana kita menilainya dari

rangka nilai sastera Barat. Sementara itu, puitika sastera Melayu tumbuh daripada bahasa,

10
 
persekitaran dan falsafah bangsa itu. Kita akan bersalah sekiranya kita mengukurnya

dengan ukuran Barat. (2000: x)

Usaha membina teori sastera tempatan adalah kesedaran untuk kembali

merenungkan ke dalam diri kita sebagai bangsa serta melihat kemungkinan-kemungkinan

yang ada pada kita untuk sampai pada teori sastera sendiri. Untuk itu, diperlukan

kejujuran, keterbukaan, dan kepekaan yang setulus dan seikhlas-ikhlasnya untuk sampai

pada intisari kejiwaan yang terwujud dalam berbagai bentuk ekspresi kebudayaan,

khususnyadi dalam bidang sastera. (Subagio Sastrowardoyo, 1988: 22) Menurut Sahlan

Mohd. Saman, proses pembinaan teori harus melalui empat tahap, iaitu andaian, gagasan,

pemantapan dan penerimaan. Teori sastera hanya wujud setelah diuji dan diterima, juga

setelah yakin memenuhi prasyarat menjawab persoalan asas seperti definisinya, fungsinya,

ciri-cirinya serta contoh-contoh konkrit dan relevan membuktikan kesahihannya. (2005:

205)

Di Malaysia, pembelajaran teori sastera mendapat tempat yang istimewa sejak

dekad 1980-an. Situasi ini ialah pengaruh daripada keilmuan sastera secara global yang

telah meletakkan subjek teori sastera sebagai sesuatu yang terpenting dan menjadi

penaratimbangnya. Beberapa buah pusat pengajian tinggi telah menyediakan kursus-

kursus teori sastera sebagai persediaan kepada pelajar untuk penulisan akademik bagi

menghasilkan pelbagai tugasan, termasuk menulis kertas projek, tesis dan disertasi. Di

samping teori-teori sastera Barat, beberapa teori bersifat tempatan terus diketengahkan

oleh beberapa pengkaji sastera. (Mana Sikana, 2013: 3-4)

Teori Sastera Tempatan

Sebenarnya sejak dekad 1970-an, telah timbul usaha merumuskan pemikiran sastera Islam

dalam konteks dunia Melayu. Walaupun belum ada bayangan ke arah pembinaan teori

11
 
sastera Melayu-Islam, namun sudah ada kecenderungan untuk membaca hasil sastera

Melayu dengan menggunakan pendekatan sendiri. Tulisan-tulisan berkenaan ini telah

dihimpunkan dalam buku selenggaraan Ismail Hussein berjudul Sastera dan Agama (DBP,

1984). Pada dekad ini Shahnon Ahmad telah mengemukakan konsep sastera Islam, iaitu

sastera kerana Allah untuk manusia. Tulisan-tulisan mengenai sastera Islam oleh Shahnon

Ahmad telah pun dihimpunkan dalam buku Kesusasteraan dan Etika Islam (1981).

Menurut Mana Sikana, teori sastera tempatan yang dimaksudkan ialah teori sastera

yang dibina oleh sarjana Malaysia, yang sifatnya mandiri. Kemunculannya adalah hasil

daripada tuntutan untuk melahirkan teori sastera berwajah sastera Melayu dan muncul di

bumi Malaysia. Sejarah keperluan teori sendiri sudah lama dirasakan, iaitu untuk kembali

kepada peribadi Melayu dan Islam. (2013: 349) Teori-teori sastera tempatan tersebut

ialah Puitika Sastera Melayu (Muhammad Haji Salleh), Pengkaedahan Melayu (Hashim

Awang), Taabudiyyah (Mana Sikana). Teksdealisme (Mana Sikana), Takmilah (Shafie

Abu Bakar), Persuratan Baru (Mohd. Affandi Hassan), Karya Agung Melayu (Yayasan

Karyawan), Gerak Melayu (Sahlan Mohd. Saman) Metafora Melayu (Hassan Ahmad),

Teori SPB4, (Mohd Yusof Hassan), dan Estetika Bersepadu (A. Halim Ali). Dalam

perbincangan ini, Teori Konseptual Kata Kunci, yang dikembangkan oleh Muhamad

Mokhtar Hassan, tidak dianggap sebagai teori sastera tempatan kerana ia berasaskan

konsep Reymond Williams dalam bukunya Keywords: A Vocabulary of Culture and

Society. Namun sumbangannya melalui bukunya berjudul Teori Konseptual Kata Kunci

(2005) amat dihargai kerana faham teori-teori dari Barat masih ada yang relevan dan

mempunyai ruang dan tuntutannya yang tersendiri. (Mana Sikana, 2013: 427)

12
 
Puitika Sastera Melayu

Melalui Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 30

Ogos 1989 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhammad Haji Salleh telah

menyampaikan syarahan berjudul “Puitika Sastera Melayu Suatu Pertimbangan”.

Syarahan ini menjadi pemula kepada perkembangan Teori Puitika Sastera Melayu.

Kemudian dikembangkannya menjadi buku berjudul Puitika Sastera Melayu (DBP, 2000).

Menurut Muhammad Haji Salleh, puitika ini ialah hasil ciptaan suatu persekitaran, suatu

masyarakat, pandangan dan cara hidup dan menuntut kritikan melihat keseluruhan

konteksnya. (1989: 5) Kajian ini dibuat oleh kerana belum ditemukan walaupun satu

risalah yang menyatakan atau memerikan atau melatardepankan secara agak panjang lebar

konsep penciptaan, status dan fungsi pengarang, karya dan estetika sastera Melayu. (1989:

12) Ditelusuri takrif sastera, konsep teks, konsep genre, konsep pengarang dan konsep

khalayak seperti yang dilihat oleh orang Melayu. Akhirnya dibincangkan konsep

keindahan dalam sastera Melayu berdasarkan unsur-unsur tersebut yang saling

mempengaruhi membina konsep-konsep sastera. Konsep keindahan sastera dijalin oleh

etos, budaya, pandangan hidup, sejarah, dan persekitaran sesuatu bangsa itu, iaitu suatu

pemikiran yang agak rumit dan halus, yang menjadi puncak kepada pemikiran seni

tamadunnya. (1989: 34)

Kajian Muhammad Haji Salleh ini memperlihatkan beberapa nilai dasar dalam

konsep keindahan budaya prosa Melayu. Dunia manusia Melayu sering dirundung

kesedihan dan kesengsaraan, kewujudan yang rapuh di permukaan lautan dan bumi yang

maha luas, kebanggaan kerajaan dan takluknya, kejatuhan dan seterusnya keruntuhan

negara itu sendiri. Sastera Melayu membayangkan dunia perit ini. Keperitan ini

menjangkau perasaan, fikiran dan renungan yang lebih mendalam, lebih dasar. Sebuah

13
 
karya yang indah itu menceritakan tentang kehidupan sebenar, dan dengan itu mengajar

dan membimbing pendengar atau pembacanya, yang didaktik sifatnya. (1989: 36)

Dalam kesimpulannya, Muhammad Haji Salleh mengibaratkan kajiannya ini

sebagai tugasan arkeologi awal tentang khazanah pemikiran kesusasteraan Melayu.

Hikayat, pantun, syair dan mantera adalah manifestasi konkrit daripada konsep dan teori

dalam teori Melayu. Fungsi karya sastera Melayu, iaitu epistemologi, pedagogi, etika dan

estetika, menjadikannya lebih didaktik, menjadi gedung penyimpan khazanah dan ilmu,

ataupun menjadi petunjuk dan pengkritik moral dan sebagainya. Konsep keindahan orang

Melayu sering memberat kepada yang duka, rawan dan nestapa, kerana duka itu lebih

filosofis dan mendalam. Sifat bangsa Melayu yang disuruh merendah diri tidak memberi

banyak pilihan kepadanya selain merenung kesusahan serta nasib malangnya. (2000: 346-

347) Di sinilah tersirat ilmu dan pemikiran bangsa kita. Dunia ilmu ini bukanlah kecil

atau sempit, malah menggemakan dunia yang lebih luas, dan karya yang kita lakarkan

hanyalah cebisan dari kajian dan renungan awal. Inilah dunia ilmu sastera Melayu dan di

sinilah tersirat puitikanya, iaitu pada baris, alun bahasa, pengarang dan khalayaknya.

(1989: 38) Kajian ini adalah percubaan awal mengkaji epistemologi Melayu, ilmu bangsa

Melayu yang unik untuk disumbangkan kepada dunia – di mana kita hadir dan harus

menyatakan pendapat. (2000: 347)

Teksdealisme

Teori Sastera Teksdealisme yang dibina dan dikembangkan oleh Mana Sikana (Abdul

Rahman Napiah) berakar pada kajian terhadap Hikayat Hang Tuah sewaktu beliau

menghasilkan kajian untuk ijazah doktor falsafah. Hikayat Hang Tuah itu sebuah teks

sastera yang tinggi mutunya, ikonikal. Kajian tersebut diterbitkan dengan judul Tuah-

Jebat dalam Drama Melayu: Satu Kajian Intertekstualiti. (DBP: 1994). Susulan daripada

14
 
itu, sebagai penulis tetap akhbar Utusan Malaysia, melalui tiga buah rencana pada 18

September 1993, 25 September 1993 dan 2 Oktober 1993, Mana Sikana telah mulai

menulis tentang teori Teksdealisme (namun belum lagi dinamakan demikian). Dalam

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan (1994), Mana Sikana telah membentangkan kertas

“Mencari Keunggulan Dinamika Teks: A Theoretical Beginning” yang menjadi asas

kepada Teori Sastera Teksdealisme. Dalam buku Mana Sikana berjudul Teori dan

Kritikan Sastera Pascamodenisme (Penerbit Fajar Bakti, 1998), “Teksdealisme” menjadi

satu bab dalam Bahagian II: Teori Kritikan Pascamodenisme”. Namun sebelum itu, pada

tahun 1996, Mana Sikana telah menerbitkan buku Teori Sastera Teksdealisme (Pustaka

Karya) yang mengandungi lima bab, iaitu sejarah lahirnya teori, definisi dan prinsip,

konsep wacana keunggulan, kaedah bacaan idelistik dan kritikan praktis.

Teori Sastera Teksdealisme atau teori keunggulan, iaitu rangkuman daripada dua

kosa kata ‘teks’ dan ‘idealisme’ menjadi ‘teksdialisme’, didefinisikan teks sebagai susunan

idea dan pengalaman yang mengandungi makna berlapis-lapis dengan mempunyai sifat-

sifat keunggulannya, iaitu mempunyai nilai dan mutu yang tinggi. Setiap pengarang

mempunyai hasrat untuk meletakkan teks supaya mencapai suatu tahap keunggulan

melalui usaha dengan bakat, kebolehan, intelektual dan ketrampilannya bagi menghasilkan

karya yang lebih baik daripada karya yang telah dihasilkan oleh pengarang lain. Idealisme

atau sifat keunggulan sebagai sebuah teks sastera kreatif, harus selalu ada dalam pemikiran

pengarang sewaktu berkarya. Untuk mencipta sebuah teks yang unggul, pengarang harus

ada keberanian dan kebijaksanaan. Berani mengemukakan idea dan pemikiran baharu

melalui inovasi dan pembaharuan. Bijaksana pula merupakan sifat yang mendorong

pengerjaan teks dengan penuh kesedaran berasaskan ilmu. (1998: 313)

Teori Sastera Teksdealisme mempunyai empat prinsip, iaitu kehadiran,

perlanggaran, pengukuhan dan keperibadian atau individualisme. Dalam prinsip

15
 
kehadiran, suatu mekanisme penciptaan teks dan pencarian makna karya akan berlaku.

Seringkali kita temukan bahawa ada ciri-ciri teks lain dalam teks yang sedang kita baca,

dan ciri-ciri tersebut mengarahkan pembacaan untuk menemukan signifikasi teks. Kita

akan faham makna sesebuah teks itu apabila kita cuba mengasosiasikan fikiran kita ketika

membacanya. Dalam prinsip perlanggaran, untuk mencari makna yang baharu, pengarang

biasanya akan menentang kelaziman atau tradisi dan konvensi pada teks pengarang lain

atau pada sistem teksnya sendiri yang sudah klise dan stereotaip. Dalam prinsip

pengukuhan, dalam penciptaan karya akan berlaku pematangan, pengejapan dan

penyempurnaan. Sepanjang hayatnya pengarang akan berusaha untuk melakukan

pengukuhan, dan setiap teks adalah pengukuhan tehadap dirinya. Tanpa proses

pengukuhan, teks yang dihasilkan akan menjadi jumud dan statis. Dalam prinsip

keperibadian, setiap pengarang haruslah berusaha untuk menghasilkan atau menciptakan

sifat keperibadian (individualisme) masing-masing. Dalam prinsip keperibadian, ada

empat faktor utama yang harus dikaji: apakah usaha pengarang untuk mencapai tahap

keperibadiannya; menjelaskan sifat-sifat keperibadiannya; bagaimana prinsip keperibadian

itu dilakukan pengarang; dan membicarakan kedudukan kepengarangannya. (1998: 324-

325)

Teori sastera Teksdealisme menuntut pengarang dan khalayak mengumpulkan

pengalaman seluas yang mungkin daripada pelbagai sumber rujukan. Pengalaman yang

luas bagi pengarang, akan membolehkannya menghasilkan teks yang unggul. Bagi

khalayak, pengalaman yang luas akan membolehkannya memahami, menghayati dan

menilai tahap keunggulan sesebuah teks dengan baik. Sesungguhnya Teori Sastera

Teksdealisme berusaha untuk melahirkan teks yang unggul, pengarang yang unggul, dan

khalayak yang unggul. (1998: 330-331)

16
 
Pengkaedahan Melayu

Teori Sastera Pengkaedahan Melayu mulai diperkenalkan oleh Hashim Awang dalam

Seminar Antarabangsa Kesusasteaan Melayu ke-9 di Universiti Kebangsaan Malaysia

pada tahun 1989. Kemudian dibentangkan dalam Syarahan Perdana jawatan Profesor

Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, pada 8 Ogos 1992 dengan judul

‘Pengkaedahan Melayu dalam Kajian dan Kritikan Kesusasteraan Tanah Air”. Diterbitkan

dalam buku Teori Sastera dan Budaya dalam Kajian Akademik selenggaraan Mana

Sikana. (JPM, UKM, 1997)

Kesedaran untuk membina Teori Sastera Pengkaedahan Melayu ini timbul setelah

menyedari bahawa sastera Melayu itu terhasil oleh adanya pandangan hidup, kebudayaan

dan kepercayaan masyarakat Melayu sendiri, yang ternyata amat berbeza dengan apa yang

termilik oleh masyarakat Barat. Dengan demikian, sastera yang terjelma darinya sudah

pasti pula mempunyai nilai-nilai keunikan dan kesignifikan tersendiri; dan, oleh kerana

itu, ianya wajarlah dilihat dan dikaji dari kaca mata pengkaedahan tesendiri juga. (Hashim

Awang, 1997: 118) Umum mengetahui bahawa masyarakat Melayu memiliki kehidupan

yang sangat erat dan intim dengan alam, dan menjadi begitu sensitif tehadap alam

persekitarannya. Reaksi ini ditimbulkan dalam pelbagai bentuk sastera moden, sastera

yang lebih bebas tetapi masih tetap memelihara unsur keindahan dalam nada kias ibarat.

(1997: 119) Bentuk yang dimaksudkan itu ialah peribahasa dan juga pelbagai ragam

sastera lama dan baharu, lalu mereka menjadikannya sebagai alat untuk menyalurkan

petua-petua kehidupan dan pelbagai pengajaran serta panduan hidup. Sastera Melayu,

sebahagian besarnya, mengambil bentuk yang amat bersifat didaktik, iaitu sifat hendak

mengajar atau mendidik. (1997: 120)

Dengan itu, sastera Melayu memerlukan pengkaedahan tersendiri. Hashim Awang

menamakannya sebagai Pengkaedahan Melayu, yang berdasarkan kepada cara dan sikap

17
 
hidup, kepercayaan dan kebudayaan masyarakat Melayu yang melahirkan karya-karya

sasteranya sendiri. Dua pengkaedahan yang bersesuaian dan bermakna ialah

Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan. Kedua-dua pengkaedahan ini

saling berkaitan atau berhubungan di antara satu dengan lainnya. (1997: 120)

Pengkaedahan Alamiah berteraskan corak hidup yang menjadikan alam sebagai

sebahagian daripada diri mereka dan kehidupannya. Hashim Awang menggunakan

rujukan Kitab Tajul Muluk, sebuah kitab yang menjadi panduan hidup masyarakat Melayu.

Kitab ini membicarakan enam perkara pokok, iaitu mengenai manusia, mimpi dan firasat,

cakerawala dan perumahan. Dalam Pengkaedahan Alamiah ini digunakan tiga

pendekatan, iaitu gunaan, moral dan firasat.

Dengan pendekatan gunaan, didasarkan pada anggapan bahawa sastera merupakan

salah satu daripada objek-objek alam ciptaan manusia. Sastera dapat dilihat sebagai suatu

objek alam, yang kejadiannya mempunyai sebab, hikmah dan fungsi tertentu.

Kejadiannya boleh dimanfaatkan oleh manusia untuk dilihat dan dikaji. Melalui

pendekatan moral pula, sastera dianggap objek alam yang bersifat pengalaman hidup, yang

dapat memberikan kemanfaatannya yang lebih jauh dan lebih besar, iaitu menyingkapkan

dan memberikan pengalaman tentang peristiwa yang dilalui manusia dan maklumat-

maklumat yang berkaitan dengan manusia dan persekitarannya. Sastera mengandungi

pelbagai ilmu dan pengetahuan. Dalam pendekatan firasat, pengalaman hidup dikaitkan

dengan mimpi yang penuh misteri, yang dianggap sebagai bermakna kepada kehidupan

melalui tafsiran lambang atau alamat tertentu yang wujud di dalamnya. Sastera memiliki

sifat-sifat zahir dan batin (tersurat dan tersirat).

Pengkaedahan keagamaan berdasarkan keimanan bersendikan aqidah agama Islam

yang rujukan utamanya ialah al-Quran dan hadis. Tiga pendekatannya ialah dakwah,

kemasyarakatan dan seni. Pendekatan dakwah melihat sastera sebagai suatu wadah untuk

18
 
mempertingkatkan nilai ketaqwaan terhadap Allah. Melalui pendekatan kemasyarakatan,

sastera dianggap sebagai wadah pendedahan segala macam persoalan yang berakarkan

kepada tujuan mencari kebaikan dan keadilan dalam masyarakat seperti yang dituntut oleh

Islam. Melalui pendekatan seni, unsur keindahan dalam sastera menjadi persoalan pokok;

iaitu melihat gaya penceritaan, kaedah pendedahan tema dan watak, sudut pandangan dan

gaya bahasa. Tujuannya untuk memperkukuhkan keimanan, ketaqwaan dan kecintaan

kepada Allah SWT.

Melalui Pengkaedahan Melayu alamiah dan keagamaan, yang berasaskan kepada

sikap hidup, kepercayaan dan keagamaan (Islam), kritikan sasera Melayu akan lebih

bermakna dan berkesan. Dengan itu dapat menonjolkan secara lebih benar mengenai ciri-

ciri sastera Melayu.

Persuratan Baru

Gagasan Teori Sastera Persuratan Baru dicetuskan oleh Mohd. AffanDI Hassan pada awal

dekad 1990-an. Rincian gagasan teori ini telah ditulis dalam buku Pendidikan Estetika

daripada Pendekatan Tauhid (1992) dan Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu

(1994) oleh Mohd. Affandi Hassan. Kemudian dimantapkan melalui buku karangan

Mohd. Affandi Hassan, Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Mohd Zariat Abdul Rani

berjudul Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (2008). Dalam Syarahan

Perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 30 November 2007,

Ungku Maimunah Mohd. Tahir telah mengangkat gagasan Teori Persuratan Baru sebagai

suatu kajian ilmiah dengan judul Kritikan Sastera Melayu Antara Cerita dengan Ilmu

(UKM, 2007)

Menurut Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Persuratan Baru adalah anjakan radikal

dalam perkembangan penulisan kreatif dan kritikan Melayu kerana buat pertama kalinya

19
 
keutamaan cerita dipertikaikan. Fokus Persuratan Baru kepada ilmu dan peri pentignya ia

dijadikan tonggak tulisan kreatif dan kritikan. Menurut gagasan ini, nama ‘persuratan’

atau ‘karya persuratan’ bagi tulisan yang berteraskan ilmu, dan nama ‘sastera’ atau ‘karya

sastera’ kepada tulisan yang berteraskan cerita. Mereka yang menghasilkan karya

persuratan disebut ‘pengarang’ sementara mereka yang menghasilkan karya sastera

dipanggil ‘sasterawan’. (2007: 58-59)

Persuratan Baru didasarkan kepada pemahaman tentang hakikat insan, hakikat ilmu

dan amal serta hakikat dan fungsi sastera, yang kesemuanya dihubungkaitkan dalam satu

gagasan yang padu, iaitu daripada tahap konseptual hingga ke tahap praktik. Dengan

penekanan kepada ilmu, Persuratan Baru merayakan keutuhan akal fikiran manusia, di

samping mengangkat dirinya sebagai gagasan yang melampaui batas tempatan,

kedaerahan dan budaya. Ia tidak terikat pada tuntutan teknik penceritaan yang tegar.

Persuratan Baru beroperasi dalam kerangka menghujah ilmu atau menghujah wacana.

Sebagai urutan yang bersifat logik daripada kerangka ini, prinsip utama yang

mengorganisasi karya ialah menghujah ilmu atau menghujah wacana dan bukannya

membikin cerita. (2007: 60-61) Namun Persuratan Baru tidak menolak kehadiran cerita.

Ia cukup hemat tentang peranan cerita dalam karya kreatif, iaitu cerita harus disulam dan

dibangunkan atas landasan ilmu dan pemikiran yang mebina insan dan tamadun. Bagi

Persuratan Baru adalah lebih logik memilih watak yang besar, berilmu dan bermaruah

kerana watak tersebut dapat menjadi jurubicara ilmu, berbanding watak kerdil dan rendah

seperti pelacur, anak derhaka, pemimpin rasuah dan gelojoh atau watak yang dicirikan

oleh hawa nafsu. Penggunaan bahasa harus baik, indah, ilmiah dan terkawal. (2007: 62-

63)

Dengan mempertikaikan keutamaan cerita dalam penulisan kreatif dan kritikan,

dan mengembalikan ilmu ke tempat sewajarnya, Pesuratan Baru menempatkan dirinya

20
 
sebagai suatu gagasan serius dan prihatin terhadap soal tulisan dan pertanggungjawaban

secara menyeluruh. Kritikan yang memanfaatkan kerangka Persuratan Baru dapat

menjalankan tugas hakikinya sebagai pemantau yang berkesan, penilai yang adil dan

pembentuk iklim yang berwibawa, yang dapat mendorong kepada penghasilan karya besar

dan bermutu, yang memperlihatkan ketinggian ilmu, kehalusan seni dan kesantunan budi

pekerti pengarang Melayu. Seterusnya menampilkan dirinya sebagai tulisan yang

menyumbang kepada proses pembinaan tamadun, iaitu sebagai khazanah ilmu berseni

tinggi yang bermakna, yang dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang. (2007: 66-67)

Takmilah

Teori Sastera Takmilah mulai dijana oleh Shafie Abu Bakar pada tahun 1992 apabila

beliau membentangkan kertas kerja berjudul “Sastera Islam: Teori Pengindahan dan

Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid” dalam seminar anjuran DBP yang bertemakan

“Sastera, Metadologi dan Penerapan Teori”. Istilah ‘takmilah’ mulai digunakan sewaktu

membentangkan kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu ke-3

anjuran JPM (UKM) dan DBP pada tahun 1993. Hanya pada 1-3 Disember 1993, apabila

membentangkan kertas kerja dalam Nadwah Sastera Islam Antarabangsa anjuran DBP,

Shafie Abu Bakar membentangkan kertas kerja berjudul “Takmilah: Teori Sastera Islam”.

Tulisannya berjudul “Takmilah: Teori Falsafah dan Prinsip” diterbitkan dalam buku Teori

Sastera dan Budaya dalam Kajian Akademik selenggaraan Mana Sikana (JPM, UKM,

1997).

Istilah ‘takmilah’ dalam karya sastera dikaitkan dengan keindahan (estetika)

sebagai salah satu sifat Allah SWT, iaitu ‘Jamal-Indah’ yang termanifestasi kewujudannya

pada makhluk. Takmilah merupakan istilah yang bertalian dengan sifat Allah SWT. Dari

segi konsep sastera Islam, ia tidak setakat asal-usul kata, tetapi melibatkan semua aspek

21
 
yang disifatkan sebagai karya sastera Islam, iaitu melibatkan aspek falsafah, teori, prinsip

dan praktiknya. (Shafie Abu Bakar, 1997: 130) Falsafah Teori Sastera Takmilah

berkaitan dengan tauhid keislaman, iaitu prinsip asas dalam aqidah dua kalimah syahadah.

Rangka Teori Takmilah bersifat holistik yang melibatkan ketuhanan, kenabian, keislaman,

keilmuan, karya, pengkarya dan khalayak. Teori ini diasaskan kepada tujuh prinsip:

ketuhanan yang bersifat kamal, kerasulan sebagai insan kamil, keislaman yang bersifat

akmal, ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, sastera yang berciri estetik dan bersifat

takmilah, pengkarya yang mengistikmalkan diri, dan khalayak dipupuk ke arah insan

kamil. Istilah kamal, kamil, akmal, takamul, takmilah dan istikmal berasal daripada kata

kamal, yang kemudian menjadi takmilah. (1997: 131)

Teori Takmilah dapat dirumuskan dalam rangka teori yang disatukan, iaitu dengan

menggabungkan semua prinsip secara melihat dari atas ke bawah kepada prinsip yang

paling asas iaitu Allah, membawa kepada tahap berikutnya: Rasul, Islam, Ilmu, Pengarang,

Karya dan Khalayak. Pendekatan ini memperlihatkan bahawa ketuhanan bersifat induk

(pusat) bagi segala kegiatan berkarya.

Dalam kesimpulannya, Shafie Abu Bakar mengatakan, tradisi sastera Islam

mempunyai prinsip-prinsip falsafah dan akar yang kukuh berasaskan al-Quran. Di

dalamnya terdapat unsur-unsur sastera, sama ada prosa mahupun puisi. Daripada unsur-

unsur ini dapat dibina teori sastera Islam berdasarkan prinsip keislaman, iaitu karya sastera

Islam seharusnya dilahirkan oleh sasterawan yang berilmu dan berjiwa keislaman dan

faham dengan ciri dan tradisi kesusasteraan Islam. Karya-karya tersebut akan

memancarkan nilai-nilai keislaman yang dapat mendidik khalayak ke arah yang bersifat

positif melalui sastera. Sastera bersifat takmilah bagi perkembangan ilmu yang membantu

di dalam mendidik insan ke arah pengukuhan pegangan dan penghayatan, terhadap

kesempurnaan Islam. Sastera juga bersifat takmilah dalam membina insan Khalifah dan

22
 
Rabbani ke arah insan Kamil untuk mendekatkan diri kepada Allah yang bersifat Jamal

dan Kamal. (1997: 143)

Teori-teori Lain

Teori Sastera Taabudiyyah digagaskan oleh Mana Sikana sejak tahun 1970-an. Pada

tahun 1998 dinamakan Taabudiyyah Kesusasteraan atau al-adab merujuk kepada hasil

kesusasteraan yang dapat membentuk peradaban atau kebudayaan. Dua kriteria yang

menjadi tunjang kritikan Islam ialah pengukuhan akidah dan pembentukan akhlak

Islamiah. Metodologi kritikan Islam ini sangat memberatkan isi karya yang dapat

memenuhi tanggapan mengajak manusia berbuat baik dan melarang melakukan kejahatan.

Bagi menyampaikan matlamat ini, penggunaan gaya bahasa diberikan perhatian.

Demikian juga aspek bentuk karya sastera, terutama genre puisi. Sastera dalam konteks

pandangan Islam adalah tunduk, menyerah dan Taqarrub kepada Allah SWT, selari

sebagai hamba yang melakukan pengabdian kepada-Nya. (Mana Sikana, 2013 a: 369)

Pada tahun 2002, Mohd. Yusof Hassan seorang ahli pemikiran kreatif telah

membina teori yang dinamakan Teori SPB4L (Sisem Pemikiran Bersepadu 4L – Luhur,

Lahir, Logik dan Lateral). Pada dasarnya teori ini adalah eklektikal, pemikiran yang boleh

diaplikasikan untuk melihat karya sastera. Sumber teori ini ialah Islam, Barat dan

Malaysia. Teori ini dibina daripada pemikiran, dan tujahannya dalam menilai dan

menganalisis karya sastera berfokus kepada pemikiran unsur luhur, lahir, logik dan lateral

ialah unsur kehidupan, addin di junjung, minda dicemerlangkan, sains dimartabatkan, dan

seni diapresiasikan sepanjang zaman. (Mana Sikana, 2013: 420)

A. Halim Ali (Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim membina Teori

Sastera Estetika Bersepadu pada tahun 2010. Beliau merujuk kepada konsep

kesusasteraan yang mencerminkan sifat indah yang ada pada karya sastera. Estetika teks

23
 
kesusasteraan adalah kualiti keindahan yang terhasil daripada proses kesepaduan gaya

bahasa, idea, pemikiran dan perutusan yang menampakkan rupa bentuk stail keilmuan

dalam kepengkaryaan. Stail ini berkait pula dengan kebenaran agama dan kebenaran

realiti kehidupan tempat di mana teks itu dizahirkan. Estetika dalam konsep Estetika

Bersepadu bukan sekadar kualiti keindahan yang menyentuh rasa dan pengalaman, tetapi

melewati daerah keimanan dan kebenaran di sisi agama. Ini pandangan baharu yang boleh

diberi pertimbangan bagi memahami makna keindahan dalam amalan kritik terhadap teks

kesusasteraan Melayu. (Mana Sikana, 2013 a: 443)

Dalam buku karangan Sahlan Mohd. Saman berjudul Sejarah Teori & Kritikan

Sastera Nusantara (UBD, 2010), beliau telah memuatkan dalam bab 11 judul “Teori

Gerak Melayu”, teori sastera yang dibinanya. Gagasan teori ini mula dikemukakan dalam

satu pertemuan pengkaji sastera Melayu di Kuala Lumpur pada 23-25 September 2002.

Pada mulanya dinamakan Gerak Rasa. Kemudian dinamakan Teori Gerak Melayu. Gerak

Melayu mengkhusus kepada segala jenis gerak lahir dan batin yang khusus Melayu serta

menjadi amalan orang Melayu. Gagasan ini dikelompokkan ke dalam disiplin sahsiah atau

psikologi khusus untuk individu bangsa Melayu serta beragama Islam daripada teks

sastera Melayu; terangkum ke dalam istilah besar psikologi Melayu. Gerak Melayu

didefinisikan sebagai apa saja jenis gerak lahir atau batin yang terkumpul ke dalam jenis

gerak atau perlakuan orang Melayu khusus bagi kajian perwatakan teks sastera Melayu.

Gerak Melayu sesuai untuk meleraikan kompleks perwatakan Melayu dalam karya sastera

Melayu, sama ada teks tradisional mahupun teks moden. Perasaan memainkan peranan

penting semasa proses penghayatan teks. (2010: 176-185)

Pada 12-14 Disember 2002, semasa Persidangan Teori dan Pemikiran Melayu

Serantau di Tanjung Balai Karimun, Kepulauan Riau, Indonesia, Hassan Ahmad telah

mencetuskan gagasan Teori Pemikiran Melayu melalui pembentangan kertas kerja

24
 
berjudul “Metafora Melayu: Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna dan

Membentuk Epistemologinya”. Beliau mencuba menunjukkan bagaimana orang Melayu

berfikir melalui metafora dalam perbualan biasa, peribahasa, cerita rakyat, syair dan

hikayat berdasarkan pandangan Za’ba. Melalui metafora, manusia cuba melihat sesuatu

berdasarkan sesuatu yang lain, iaitu ungkapan bahasa ‘berlapis’ atau bahasa kiasan dan

perumpamaan. Pemikiran Melayu bersifat bersepadu atau holistik. Dalam epistemologi

Melayu, budi menjadi teras ilmu Melayu, seperti yang terbayang pada ungkapan akal budi,

budi bicara, budi pekerti, dan budi bahasa. Pemikir Melayu sering berusaha mencapai

harmoni di antara alam nyata yang berada di luar dirinya dengan alam fikiran, imaginasi,

intuisi atau rasa hati yang dialaminya di dalam dirinya atau di dalam ruang mentalnya.

Pendek kata, di antara realisme dengan idealisme, tidak ada batas pemisahan yang

kategorikal dalam sistem kognisi Melayu. (Hassan Ahmad, 2003: 32) Teori pemikiran

Melayu tidak dijelaskan melalui peribahasa bersifat teoritis, tetapi diungkapkan dalam

teks-teks metafora dalam peribahasa, pepatah, pantun, syair, cerita dan hikayat yang

menjadi milik budaya pemikiran Melayu seluruhnya yang mempunyai kesinambungan

yang tidak dipisahkan oleh ruang tempat dan waktu, ruang sejarah, kawasan atau peribadi.

Banyak ungkapan metafora Melayu yang bersifat budaya hanya wujud dan difahami oleh

orang Melayu sahaja. (2003: 39-40) Kajian teori pemikiran Melayu secara sistematik

tentang proses pemikirannya ditinjau daripada perspektif kognitifnya harus diteruskan.

Tulisan ini hanya bersifat awalan. (2003: 43)

Usaha Yayasan Karyawan, yang menerbitkan buku-buku karya Agung Melayu,

menyusun pengenalan tentang konsep dan gagasan Karya Agung Melayu dapat dianggap

sebagai kegiatan membina teori sastera tempatan. Buku Pengenalan Konsep dan Gagasan

Karya Agung Yayasan Karyawan telah ditulis oleh Hassan Ahmad bersama-sama Mohd.

Taib Osman, Siti Hawa Salleh, Harun Mat Piah dan Bukhari Lubis. Ditakrifkan bahawa

25
 
Karya Agung Melayu ialah karya yang tertulis dalam bahasa Melayu atau yang

diungkapkan atau dilisankan dalam bahasa Melayu, tidak kira dimanakah daerah asalnya

di Dunia Melayu ini; dan yang mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar

biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup

bangsa Melayu turun-temurun. Pendek kata, karya Agung Melayu merupakan warisan

budaya susastera bangsa Melayu. (2000: 10) Dalam kesimpulannya dikatakan bahawa

karya agung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran

yang luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuati bangsa. Karya itu dianggap sebagai

warisan bangsa dalam erti kata bahawa ia mewakili ‘minda’ dan pengalaman bersama

(kolektif) bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang dipancarkan dalam sistem

kepercayaan, falsafah hidup, tradisi atau konsep ilmu, adat, bahasa, seni, dan pekerti

budaya dan sosial yang membentuk citra atau identiti ketamadunan bangsa itu. (2000: 51)

Penutup

Demikianlah usaha kecil menelusuri pemIkiran Melayu-Islam daripada kegiatan

pembinaan teori sastera tempatan oleh para sarjana dan pemikir sastera Melayu di

Malaysia. Kegiatan ini yang telah bermula sejak dekad 1980-an, telah menyerlahkan

pembinaan dan pengembangan sastera tempatan oleh tokoh-tokoh yang terlibat, dan

diaplikasikan dalam kajian-kajian di peringkat sarjana dan doKtor falsafah. Namun usaha

ini adalah kegiatan yang berterusan. Teori-teori sastera tempatan harus sentiasa

dibincangkan dalam pelbagai seminar, simposium, persidangan dan diskusi buku agar

sentiasa disegarkan dan dimantapkan melalui dapatan-dapatan ilmu yang baharu. Kami

mencadangkan agar tulisan-tulisan mengenai teori sastera tempatan ini dikumpulkan

menjadi sebuah buku panduan rujukan para pelajar di universiti dan para peneliti sastera

serta penulis umumnya. Untuk teori-teori sastera tempatan tersebut tersebar luas ke

26
 
seluruh dunia, ia wajar diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia. Walaupun tujuan

utamanya lebih untuk menilai hasil sastera Melayu, namun barangkali ada nilai-nilai

universal yang dapat dikongsi oleh para peneliti sastera bangsa lain. Galakan melalui

diskusi buku yang mengaplikasikan teori-teori sastera tempatan wajar diadakan lebih

sistematik dan sistematik. Alangkah baiknya Bahagian Teori dan Kritikan Sastera

dihidupkan kembali di DBP agar kegiatan ini mendapat dana peruntukan yang sewajarnya.

Usaha ini bukan sekadar kegiatan biasa sahaja. Pada jangka panjang, ia mengukuhkan

tamadun pemikiran bangsa Melayu.

27
 
BIBLIOGRAFI

A. Bakar Hamid, 1974. “Arah Perkembangan Kesusasteraan Melayu” dlm. Seminar


Kesusasteraan Nusantara 1973. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A. Rahman Yusof, 1988. “Teori dan Metode Penyelidikan” dlm. Hamzah Hamdani (ed.).
Konsep dan Pendekatan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A. Teeuw, 1984. Sastra dan Ilmu Sastra: Pengantar Teori Sastra. Jakarta: Pustaka Jaya.

Abdul Hadi W.M., 2004. Hermeneutika, Estetika dan Religiusitas. Yogyakarta: Penerbit
Matahari.

Achadiati Ikram, 1988. “Telaah Sastra Nusantara: Usaha ke Arah Pendekatan yang
Bermanfaat” dalam Mursal Esten (ed.). Menjelang Teori dan Kritikan Susastra
Indonesia yang Relevan. Bandung: Penerbit Angkasa.

Andre Hardjono, 1981. Kritikan Sastra: Sebuah Pengantar. Jakarta: Penerbit PT


Gramedia.

Baharuddin Zainal, 1980. Esei Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Donziger, M.K. dan Johnson, W.S., 1983. Pengenalan Kritikan Sastera (terjemahan).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamzah Hamdani (ed.), 1988. Konsep dan Pendekatan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Hashim Awang, 1984. Kesusasteraan Melayu dalam Kritikan dan Sejarah. Petaling Jaya:
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Hashim Awang, 1977. “Pengkaedahan Melayu dalam Kajian dan Kritikan Kesusasteraan
Tanah Air” dlm. Mana Sikana (ed.). Teori Sastera dan Budaya dalam Kajian
Akademik. Bangi: Jabatan Persuratan Melayu, Fakulti Sains, Kemasyarakatan dan
Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hashim Awang, 2013. Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hassan Ahmad dkk, 2000. Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan
Karyawan. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.

Hassan Ahmad, 2003. Metafora Melayu: Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna
dan Membentuk Epistermologinya. Sungai Ramal Dalam, Kajang: Akademi Kajian
Ketamadunan.

Kamaruzzaman A. Kadir, 1995. “Pengajaran Kesusasteraan dan Peranannya dalam


Pemupukan Nilai-nilai Kewarganegaraan di Kalangan Pelajar” dlm. Adnan Haji
Nawang (ed.). Pendidikan dan Kewarganegaraan di Malaysia. Kuala Lumpur:
Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung.

28
 
Mana Sikana, 1998. Teori Sastera Kritikan Sastera Pascamodenisme. Shah Alam:
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mana Sikana, 2006. Teori dan Teksdealisme. Bangi: Pustaka Karya.

Mana Sikana, 2013 a. Koleksi Teori Sastera: Klasik, Tradisional, Moden, Pascamoden
dan Tempatan. Bangi: Pustaka Karya.

Mana Sikana, 2013 b. Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden. Kuala
Lumpur: ITBM-PENA.

Md. Salleh Yaapar, 2012. Ziarah ke Timur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Taib Osman, 1980. “Masyarakat, Kebudayaan dan Kesusasteraan” dlm. Ayob
Yamin dan Hamzah Hamdani (ed.). Penulisan Kreatif. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Haji Salleh, 1987. “Kata Pengantar’ dlm. Muhammad Haji Salleh dan
Amdun Husain (ed.). Kumpulan Kritikan Sastera Timur dan Barat. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Haji Salleh, 1989. Puitika Sastera Melayu Suatu Pertimbangan. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muhammad Haji Salleh, 2000. Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd. Affandi Hassan, 1992. Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Affandi Hassan, 1994. Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu. Kota
Bharu, Kelantan. Penerbit Tiga Puteri.

Mohd. Affandi Hassan, Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Mohd. Zariat Abdul Rani,
2008. Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan. Bangi: Institut
Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Peter Barry, 1995. Beginning Theory. Manchester: Manchester University Press.

Rene Wellek dan Austin Warren, 1988: Teori Kesusasteraan (terjemahan). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

S. Othman Kelantan, 1998. “Kritikan Melayu” dlm. Dewan Sastera. Septermber-


Oktober.

Sahlan Mohd. Saman, 2005. “Teori Sastera” dlm. Sahlan Mohd. Saman dan Shaiful Bahri
Md. Radzi (ed.). Persuratan Melayu Tradisional ke Moden. Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.

29
 
Sahlan Mohd. Saman, 2010. Sejarah Teori dan Kritikan Sastera Nusantara. Brunei:
Universiti Brunei Darussalam.

Shafie Abu Bakar, 1997. “Takmilah: Teori, Falsafah dan Prinsip” dlm. Mana Sikana (ed.).
Teori Sastera dan Budaya dalam Kajian Akademik. Bangi: Jabatan Persuratan
Melayu, Fakulti Sains, Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan
Malaysia.

Siti Chamamah Soeratno, 2012. “Penelitian Sastra: Tinjauan Tentang Teori dan Metode
Sebuah Pengantar” dlm. Jabrohim (ed.). Teori Penelitian Sastra, Yogyakarta:
Pustaka Pelajar.

Subagio Sastrowardoyo, 1988. “Mencari Jejak Teori Sastra Sendiri” dlm. Mursal Esten
(ed.). Menjelang Teori dan Kritik Susastra Indonesia yang Relevan. Bandung:
Penerbit Angkasa.

Sutrisno Hadi, 1973. Metodologi Research. Yogyakarta. Yayasan Penerbitan Fakultas


Psychologi UGM.

Theodorson, George A. dan Theodorson A, 1970. A Modern Dictionary of Sociology.


London: Methuen.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir, 2007. Kritikan Sastera Melayu Antara Cerita dengan
Ilmu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

30
 

Anda mungkin juga menyukai