Anda di halaman 1dari 6

CERPEN DAKWAH : NOR HAFIZAH KHAIRIAH BINTI SABRI

“Gummmm!” Pintu bilik kuliah terhempas kuat. Maria Hana berjalan laju
meninggalkan ruang kuliah bergegas menuju ke surau fakulti. Dia tahu waktu sebegitu memang
jarang sekali pelajar-pelajar lain ada di situ. Kasut yang ditanggalkannya tidak sempat disusun
di rak, dibiarkan saja di luar surau tidak tersusun seperti kebiasaannya. Tiba di surau, Maria
terduduk bersandarkan dinding di belakangnya. Air matanya mengalir tanpa dipinta, deras
bagai takkan ada penghujungnya. Lukanya bukan kerana dia difitnah, tetapi asbab kata-kata
pedih itu datangnya dari susuk yang sangat dia hormat. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia
berlari pulang ke kolej kediaman, namun takungan air matanya tak terbendung lagi. Hanya di
sini tempat yang ‘selamat’ untuknya meluahkan rasa.

“Ya Allah.. luka ni hanya Kau yang tahu”, keluh Maria dengan air mata yang
berjuraian.

***

Di ruang kuliah, masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Kebanyakannya leka


dengan telefon, ada yang sedang asyik dengan permainan video, ada pula yang sedang
berswafoto dengan nota kuliah barangkali untuk dimuatnaik di status “WhatsApp”, tidak
kurang juga yang sedang berbual tentang filem-filem yang ditonton dan produk-produk
kecantikan. Di sudut belakang kelas, tiga orang pelajar perempuan masih belum berganjak
daripada kisah berkaitan Maria Hana. Jelas sekali bahawa merekalah yang menjadi punca
Maria berlari keluar meninggalkan kelas walhal kelas belum pun bermula saat itu.

“Dah kenapa sampai nak ponteng kelas. Apa kita cakap betul apa”. Gumam Hanisah.

“Itulah weh. Dr. pun tak masuk lagi. Acah “play victim” la pulak minah tu. Masalahnya dia
yang tak buat kerja. Dahlah perjumpaan “assignment” pun asyik bagi alasan. Aih sakit pulak
hati aku ni lah ”. Faiqah pula menzahirkan amarahnya.

“Takpa. Mungkin Maria ada masalah tu. Kita husnuzhon je lah ya.”. Kata seorang gadis manis
bertudung labuh,Aisya Maisarah yang cuba menenangkan keadaan.

“Kau ni baik sangatlah”, balas Faiqah sambil menongkat dagu memandang Aisya sambil
menggeleng-gelengkan kepalanya.
Faiqah menyambung, “Dahla bahagian dia kau jugak yang buat….Ehh Dr dah datang”.
Perbualan mereka terhenti begitu saja setelah pensyarah mereka muncul di muka pintu bilik
kuliah.

***

“Krekkk”, kedengaran pintu bilik dikuak. Bilik tersebut gelap, yang kelihatan hanya cahaya
malap daripada komputer riba milik Azira, rakan sebiliknya. Tiba-tiba satu sosok tubuh bangkit
dari kerusi dan berjalan perlahan ke katil memperlihatkan wajah putih melepak seperti hantu
yang ditayangkan dalam filem-filem seram.

“Arghhhhh!! Hantuu!” Maria menjerit kerana terkejut. Cepat-cepat dia membuka lampu di
sudut bilik.

“Zira!! Kau ni dah kenapa duduk dalam gelap macamni. Adoi, kalau tercabut jantung aku ni
siapa nak tanggung? Haihh...” Maria geram dengan kerenah Zira yang memang kerapkali
membuatkan dia terkejut.

“Ala Mar. Lek-lek sudah. Aku saja ambik “feel” tengok “movie” ni. Gelap-gelap baru syiokk”.,
seloroh Azira yang memang suka bergurau.

Maria malas melayan, dihempas begnya ke atas meja belajar dan diambilnya tuala dan
sepasang pakaian tidur menuju keluar dari bilik. Tiba-tiba Azira bersuara :

“Eh jap-jap. Pandang aku jap. Asal aku tengok mata kau bengkak-bengkak eh? Dengan rambut
pun serabai gitu. Kau nangis ke? Gaduh dengan pakwe ke Mar? Dahla Maghrib-maghrib baru
nak balik.”

Tanpa memalingkan wajah, Maria membalas “Tak ah. Mata kau tu yang masalah. Malas aku
melayan. Dah, aku nak mandi, panas”. Azira mengangkat kedua-dua bahunya dan mengerutkan
wajahnya menandakan kebuntuan. Tak pernah pula dia melihat rupa Maria seteruk itu.

Maria Hana merupakan seorang pelajar yang bijak, pandai bersosial dan cantik.
Rambutnya yang panjang dan lurus sentiasa menarik perhatian siswa-siswa di tempat
pengajiannya. Keelokan tubuh dan personalitinya acapkali menjadi buah mulut orang-orang di
sekelilingnya. Pakaiannya tidak menjolok mata tetapi masih jauh pula untuk dikatakan
mengikut syariat. Dia juga selalu tersenyum ceria. Jarang sekali dia bermasam muka walaupun
sentiasa sibuk dan penat menguruskan projek-projek kolej. Selain itu, dia turut dikenali sebagai
seorang siswi yang sentiasa “bertukar pasangan”. Hari ini makan di kafeteria bersama jejaka
ini, hari lainnya bersama yang lain pula. Gosip liar tentang dirinya sentiasa tersebar dari mulut
ke mulut tetapi tiada satu pun yang pernah mengesankan Maria. Tetapi hari ini, Maria begitu
terluka. Dia tidak suka dilihat sebagai seorang yang lemah. Oleh sebab dia tahu bahawa Azira
tiada kelas pada hari tersebut, seharian dia tidak pulang ke bilik meluangkan waktu untuk
dirinya sendiri.

***

Usai menunaikan solat maghrib, Maria mengambil naskhah al-Quran berkulit ungu
muda dari meja belajar dan merebahkan diri di atas katil. Ini antara bacaan kegemarannya
ketika dia terluka dan tertekan. Al-Quran itu dipenuhi dengan “tagging” berwarna-warni,
saiznya cuma sebesar B6 tapi mampu menenangkan hati yang penuh kekusutan. Di hadapannya
Azira sedang leka dengan telefonnya sambil berbaring dengan tuala terlilit di kepala. Maria
mula bersuara :

“Eh Zira. Kau dah solat maghrib ke belum? Dari tadi tuala tu macamtu je kat kepala
kau.”

“Emm.. aku ‘period’ hihi”, toleh Azira dengan muka serba salah.

“Bukan kau baru je period ke? Aik manjang eh ‘period’?”, sinis Maria. Melihatkan
rakan sebiliknya yang tidak melayan sindirannya, dia menyambung :

“Cuba lah kau contohi aku sikit, solat tak tinggal, mengaji selalu. Baru lah muka
berseri-seri macam aku ni hahaha” Maria berseloroh sambil mengangkat sebelah keningnya,
tangannya pula digayakan di dagu dengan penuh lagak.

“Alah sembang. Kau pun sama ja dari sem 3 kita duk sekali, culas ja selalu solat. Aku
perati je tau”, cebik Azira tidak berpuas hati. Maria membalas dengan gurauan seolah-olah
memujuk :

“Alololo baby besar kite terasa laa.. syori-syori. Kite gurau je wak”.

“Eii geli pulak aku! Puihh! Kau jangan nak baby-baby dengan aku. Tampaq satgi. Eh
kau ni tadi macam sedih, sekarang macam dah kembali kepada diri asal kau. Tadi kau kena
rasuk eh? Ke kau ada masalah niii? Ce cite.” Azira bergurau dalam masa yang sama mencuba
nasib bertanyakan masalah rakannya. Dia tahu peluangnya tipis kerana Maria perahsia
orangnya walaupun mulutnya becok dan kadang-kadang menyakitkan hati.
“Ah aku nak mengaji ni. Jangan kacau”. Maria mengelak. Dibukanya al-Quran secara
rambang sambil cepat-cepat membaca isti’azah dan basamalah. Tanpa diagak, matanya
tertumpu pada maksud daripada dua ayat Surah Al-Baqarah :

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka
berkata : Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan kebaikan dari Tuhan serta rahmat-Nya,
dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya”. Meremang bulu romanya.

Secara tiba-tiba dirasakan hatinya terpujuk tanpa meminta. Terasa bagaikan Allah
sedang memujuk dan memberikannya semangat baru. Allahu Akbar. Maria kemudiannya
mengalunkan tiga ayat daripada surah al-Baqarah (ayat 155-157) dan membaca terjemahannya.
Setelah menamatkan bacaan dan menutup al-Quran, gadis itu mengambil telefonnya pula dan
menaip “Fi Zhilalil Quran Melayu Al-Baqarah” di aplikasi “google chrome”. Dia memuat turun
dokumen berbentuk “pdf” yang mengandungi tafsir Surah al-Baqarah karya Syed Qutb. Muka
surat dokumen itu agak banyak kerana surah al-Baqarah mengandungi 286 ayat semuanya
namun Maria tidak berputus asa membelek sehingga ke muka surat 145 untuk membaca
huraian tafsiran tiga ayat yang telah dibacanya tadi.

Beberapa hari lalu, dia terbaca satu status yang dimuatnaik di laman “facebook”
berkenaan tadabbur al-Quran. Dia tertarik apabila penulisnya mencadangkan supaya cuba
memahami ayat-ayat al-Quran yang mengandungi tafsiran mudah terutamanya tafsir yang
telah diterjemahkan dalam Bahasa Melayu seperti tafsir Fi Zhilalil Quran. Dia tidak menyangka
bahawa kitab tafsir itu diterjemahkan dalam Bahasa Melayu untuk setiap surah, satu-persatu
dengan ayat yang senang difahami dan sangat membantunya menghayati kalam Allah. Maria
mengucapkan syukur atas nikmat ketenangan itu dan mengungkapkan doa dalam hatinya
“terima kasih ya Allah atas kasih saying-Mu. Kuatkanlah aku”. Ketika dia sedang terleka diulit
kalimah-kalimah yang mententeramkan, Azira mencelah :

“Ewah-ewah.. Baru je baca tiga ayat duk mengadap telefon tersenyum-senyum dah
kenapa. Ingatkan nak baca satu juzu’, alih-alih tiga ayat ja yang dibacanya. Hahah kau ni
sembang je lebih kan.”. Puas hati Azira boleh membalas sindiran Maria tadi. ‘Dendamnya’
ternyata masih tersemat di hati. Tanpa dia tahu, Maria sedang bertadabbur ayat-ayat suci
dengan menelaah tafsir.

“Hahaha. Amboiiii, berdendam nampak..”, balas Maria tanpa menjelaskan apa-apa. Dia
lebih tenang amalannya tidak dilihat sesiapa, risau dikatakan “munafik” kerana apa yang
terlihat di mata orang tentang agama dalam dirinya hanyalah yang buruk-buruk, antaranya
disebabkan pemakaiannya. Maria terus hanyut dalam tadabburnya sehinggalah azan isya’
berkumandang.

***

Maria Hana termenung di meja makan seorang diri. Di hadapannya, mi bandung yang
masih panas berasap. Malam tersebut dia mengambil keputusan untuk beralih angin. Biasanya
dia lebih gemar menjamu selera di kafeteria kolejnya sendiri memandangkan dia tidak perlu
berjalan jauh tetapi malam itu, dia masih memerlukan masa untuk bersendirian. Jadi, dia
sanggup berjalan lebih sedikit daripada biasa. Jika makan di kafeteria kolejnya, sah-sah ramai
yang datang menyibuk dan mengajaknya berbual.

Maria masih belum mampu memahami situasi yang terjadi di kelas siang tadi. Tak
disangka-sangka rakan-rakan sekelas yang kelihatan baik mengatakan yang bukan-bukan
tentang dia. Dia membuka ruangan “chat” Aisya Maisarah di ‘WhatsApp’ dan cuba menaip
sesuatu :

“Salam Aisya. Maaf, saya nak tanya awak..”, tangannya terhenti di situ.

“Ahh, apa aku nak tanya ni. Tak tahu nak mula ayat macam mana. Aku cuma nak faham
situasi ni je”. Hatinya menggumam, mesej yang baru ditaipnya dipadamkan semula semuanya.
Kisah siang tadi diimbas kembali dalam ingatannya.

***

Sedang dia mengeluarkan nota kuliah dan alat tulis dari begnya, Faiqah bersuara :

“Kenal jugak eh orang tu jalan ke kelas. Perjumpaan “assignment” haram nak datang.
Batang hidung tak pernah nampak.”

“Kann.. Kerja pun taknak buat. Mentang-mentanglah dah pandai. Tahula sibuk dengan
projek kolej bagai, takkanlah ‘assignment’ bahagian sendiri pun tak sempat nak buat.”, sindir
Hanisah. Ayat Hanisah itu membuatkan rakan-rakan sekelas semuanya memandang Maria
kerana semua tahu Maria lah yang paling aktif di kolej berbanding pelajar-pelajar lain di kelas
itu.

Faiqah menambah sindiran yang sangat pedas “Sibuk projek kolej ke sibuk tukar-tukar
jantan?”. Di sisi mereka, Aisya Maisarah hanya berdiam diri dan menundukkan kepala sambil
berpura-pura membelek nota kuliah. Ayat tersebut membuatkan Maria bangun dari tempat
duduknya mengambil nota dan alat tulis lantas berjalan keluar meninggalkan bilik kuliah
tersebut.

***

Dia tidak berpuas hati selagi tidak mendapat penjelasan daripada Aisya. Dia membelek
perbualannya dengan Aisya seminggu yang lalu dan membacanya semula berulang-ulang kali.

Mesej Aisya : “Assalamualaikum, Mar. awak sibuk ke beberapa harini?”

Maria : “Wassalam. Sibuk sikitla sebab “KARVITER” dah dekat sangat. Banyak kena
‘prepare’”. (KARVITER : Karnival Teater).

Aisya : “Oh, takpa la kalau macam tu. ‘By the way, awak perlukan bantuan saya tak?
Saya boleh tolong buatkan bahagian awak memandangkan saya memang ‘free’ je.”

Maria : “Eh takpe la Aisya. Saya sempat je. Susah-susah je awak ni.”

Aisya : “Mana ada susah wak. Okay je. Lagipun saya memang suka subjek ni. Saya
buat bahagian awak tau. Awak takyah susah-susah. Projek awak pun dah dekat, banyak kena
uruskan.”

Maria : “Alamak, serba salah la pulak saya. Awak hantar je la maklumat bahagian saya.
Eh ‘group’ kita ni takdak ‘WhatsApp Group ke?”

Aisya : “Takda wak. Sebab Faiqah dengan Hanisah tak selesa banyak-banyak ‘group’.
So, saya la yang jadi pengantara. Apa-apa awak boleh tanya atau bagitahu saya je tau. Pasal
maklumat tu, takpa wak. Awak janganla risau, saya langsung tak rasa susah. Tak tipu ”

Maria : “Alaa baik sangatla awak ni, Aisya. Terima kasih banyak tau. Apa-apa yang
saya kena buat, ada perjumpaan ke apa, bagitau je saya tau. Apapun, tq awak”.

Aisya : “Okay. Sama-sama.”. Dan perbualan mereka berhenti di situ saja. Tiada pula
dia mendapat sebarang maklumat tentang perjumpaan atau kerja kumpulan selepas itu. Apa
yang terlintas di fikirannya adalah “adakah Aisya sebenarnya tikam belakang aku? Talam dua
muka?” tetapi cepat-cepat Maria menepis sangka buruknya itu, selama dia perhatikan Aisya,
tidka pernah pula dia dengar Aisya pernah menjadi batu api atau menyakiti sesiapa. Dia
perlukan penjelasan. Kali ini, dia bertekad untuk menghubungi Aisya dan mendapatkan
penjelasan. Tiba-tiba ada yang menyentuh bahunya.

Anda mungkin juga menyukai