Anda di halaman 1dari 7

ANEKDOT INTAN SUHAILI SANIP

Pengalaman ialah guru terbaik bagi manusia. Saya petik kata-kata ini kerana sangat
sesuai dengan perkara yang dilalui oleh saya pada masa ini. Seorang guru pelatih
semester akhir di IPG Kampus Pendidikan Islam Bangi. Saya sangat beruntung
kerana diberi peluang menghadapi dua situasi pengajaran yang sangat berbeza
pada praktikum fasa I dan praktikum fasa II. Situasi inilah yang dijadikan sebagai
pengalaman dan menjadikan saya lebih proaktif sebagai seorang guru pada era
globalisasi ini. Kedua-dua situasi ini memberi peluang kepada saya untuk
menyesuaikan diri dengan cabaran di dalam dunia pendidikan.

Praktikum fasa I mengajar saya untuk memahami teknik pembelajaran setiap


murid. Umum mengetahui bahawa, sebelum guru-guru pelatih diterbangkan ke
sekolah praktikum masing-masing, mereka telah mempelajari pelbagai teknik
pembelajaran murid yang boleh dipratikkan di sekolah, begitu juga dengan saya dan
rakan-rakan. Namun, tidak semua teknik pembelajaran boleh digunakan di dalam
sesi pengajaran. Hal ini demikian kerana, sekolah-sekolah kini sangat
mementingakn pembelajaran abad ke-21. Oleh itu, saya menyelaraskan dan
membuat sangat bacaan bagi memahami semula setiap teknik pembelajaran yang
telah saya pelajari dan padankan dengan ciri-ciri pembelajaran abad ke-21. Guru-
guru pelatih keluaran IPG sangat dipandang tinggi oleh guru-guru di sekolah.
Terkadang, guru pelatih inilah yang dijadikan sebagai rujukan kepada guru-guru di
sekolah tersebut.

Pada praktikum fasa I ini saya sangat banyak menggunakan pembelajaran


koperatif. Bagi saya pembelajaran koperatif ini sangat membantu untuk menarik
perhatian murid. Pembelajaran secara berkumpulan dapat menghidupkan suasana
ceria sewaktu sesi pengajaran dijalankan. Namun, guru perlulah bijak mengatur
strategi. Sememangnya aktiviti berkumpulan sangat menarik untuk dijalankan, tetapi
guru harus memikirkan faktor kawalan kelas. Murid-murid akan banyak
mengeluarkan suara untuk berbincang dan berinteraksi dengan rakan-rakan
sekumpulan mereka. Seperti saya, saya membina beberapa peraturan sebelum
aktiviti dijalankan. Misalnya, menolak markah kumpulan, memberi ganjaran kepada
kumpulan yang berhemah, membuat peraturan menggunakan traffic light dan
pelbagai lagilah.
Di samping itu, sebagai seorang guru yang proaktif, perancangan untuk sesi
pengajaran haruslah disediakan. Seelok-eloknya disediakan pada hujung minggu
sebelum kelas bermula. Hal ini demikian kerana, pada hari sebelum pengajaran guru
pelatih boleh fokus untuk menyediakan bahan bantu belajar. Perancangan yang
saya maksudkan ialah Rancangan Pelajaran Harian (RPH). Pada pengalaman saya,
RPH ini sentiasa bertukar formatnya. Oleh itu, saya nasihatkan kepada guru pelatih
untuk sentiasa mengemas kini format RPH yang anda perolehi. Kebiasaannya,
format ini dibekalkan oleh pensyarah penyelia masing-masing. Seterusnya berkaitan
dengan RPH ini, saya sentiasa merujuk Dokumen Standard Kurikulum dan
Pentaksiran (DSKP) untuk menyelaraskan Standard Kandungan dan Standard
Pembelajaran yang saya akan letakkan di dalam RPH saya. Selepas sesi
pengajaran dijalankan, saya akan mencatatkan refleksi pengajaran tentang
kelemahan dan kekuatan serta langkah penambahbaikan. Bagi saya ini adalah
sangat penting untuk mengenal pasti meningkatkan mutu pengajaran guru
praktikum. Selain daripada itu, ini adalah juga satu kewajipan bagi guru praktikum
untuk menyelitkan refleksi pada belakang RPH. Saya nasihatkan agar penulisan
refleksi ini tidak ditangguh-tangguh kerana takut kita terlupa tentang setiap peristiwa
dalam sesi pengajaran kita.

Menyentuh pula tentang portfolio yang perlu disediakan oleh guru praktikum.
Pada praktikum fasa I, unit praktikum telah meminta guru praktikum untuk
menyediakan lima fail iaitu fail portfolio diri, fail RPH teras, fail RPH elektif dan fail
kokurikulum. Berbeza pula pada praktikum fasa II, unit praktikum meminta guru
praktikum untuk menambah lagi dua fail iaitu fail Pentaksiran murid dan fail bahan
bantu belajar. Bilangan fail yang perlu disediakan adalah berdasarkan kehendak unit
praktikum. Saya nasihatkan agar guru praktikum sentiasa cakna dengan info-info
baharu yang dikemukakan oleh unit praktikum. Fail-fail yang saya sediakan saya
akan sampul menggunakan kertas pembalut hadiah supaya fail tersebut kelihatan
lebih menarik. Ini adalah salah satu tips untuk mendapat rentas cemerlang.

Berikut tadi adalah tentang sesi pengajaran seorang guru praktikum. Saya
ingin mengulas pula tentang hubungan baik dengan ahli keluarga sekolah. Saya
ingin berkongsi tentang tips-tips untuk membina hubungan dengan guru-guru di
sekolah termasuklah pihak pentadbir. Sebenarnya, semua guru-guru memandang
tinggi terhadap guru-guru keluaran IPG. Hal ini demikian kerana, mereka maklum
tentang latihan dan pendedahan yang telah diberikan oleh para pensyarah di IPG
masing-masing. Oleh itu, tugas praktikum adalah untuk menjaga dan memelihara
persepsi mereka itu. Tunjukkanlah perilaku yang baik dengan menjaga pertuturan,
perbuatan dan memek muka. Setiap pergerakan kita di sekolah itu sebenarnya
sangat diperhatikan. Ringan-ringankan mulut untuk bertegur sapa dengan guru-guru
di sekolah dan jangan hilangkan senyuman di bibir anda. Walaupun pihak pentadbir
berada jauh daripada bilik guru, guru praktikum haruslah sentiasa beramah mesra
dengan pihak pentadbir kerana, kata-kata mereka dan ulasan tentang diri kita akan
diutarakan kepada pensyarah penyelia sekaligus mempengaruhi markah praktikum
kita.

Tibalah kepada kemuncaknya. Tidak pernah disangka dan tidak terjangkau


dek akal fikiran yang sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan atas maya.
Sangat berbeza dengan praktikum fasa I yang hanya dijalankan secara normal.
Pada bulan Mac 2020, kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP). Saya menjangkakan PKP ini hanya dalam jangka masa yang
tidak begitu lama tetapi rupanya sehingga ke hari ini sewaktu saya menaip anekdot
ini. Saya berkesempatan untuk menjalankan praktikum selama enam minggu secara
bersemuka dan enam minggu selebihhnya adalah secara atas talian. Perasaan saya
agak bercampur-baur, tidak tahu sama ada ingin sedih atau gembira. Sedih kerana
terpaksa berhadapan dengan norma baharu yang langsung tidak pernah dilalui oleh
sesiapa sebelum ini. Gembira pula kerana dapat pulang kepangkuan keluarga.
Namun, Alhamdulillah saya dan kawan-kawan dapat mengharungi cabaran-cabaran
ini dibantu oleh para pensyarah penyelia baik teras dan elektif yang sentiasa
memberi dorongan dan sokongan juga tips-tips yang berguna untuk digunakan
dalam pengajaran atas talian ini.

Sebenarnya, saya tidaklah terlalu arif menggunakan teknologi. Saya banyak


meminta bantuan dan tunjuk ajar daripada kawan-kawan. Penat jugalah menyiasat
tentang aplikasi yang boleh digunakan dan yang menarik. Hal ini demikian kerana,
berpraktikum atas talian ini bukan sahaja pengajaran atas talian tetapi bahan-bahan
yang perlu disemak oleh pensyarah juga perlu dimuat naik secara atas talian.
Segala-galanya saya pelajari secara ekspress tentang aplikasi-aplikasi yang sesuai.
Bukan itu sahaja, jadual-jadual juga sangat terhad. Satu minggu hanya satu jam
sahaja bagi subjek Bahasa Melayu manakala untuk subjek Sejarah dua minggu
hanya satu jama sahaja. Agak sukar bagi saya kerana, terdapat banyak silibus-
silibus yang perlu dikejar. Kalua ikutkan jadual yang diberi ini, murid-murid hanya
akan belajar satu Standard Pembelajaran sahaja dalam satu minggu bagi subjek
Bahasa Melayu dan dua sahaja bagi subjek Sejarah. Selain itu, terdapat banyak
prosedur untuk mengadakan kelas.

Baiklah. Saya ingin gambarkan kepada pembaca bagaimana situasi seorang


guru praktikum ingin mengadakan kelas secara atas talian.

Saya : Saya ingin mengadakan kelas pada Isnin 19 Oktober 2020 jam
8.00 pagi – 9.00 pagi
Guru Baik. Saya akan maklum kepada pihak ibu bapa di dalam
Pembimbing : Whatsapp.
Guru Maaf, Intan. Waktu tersebut ramai ibu bapa yang anaknya yang
Pembimbing : lain menggunakan telefon dan komputer riba.
Saya : Baik. Saya tukar kepada jam 11.00 pagi – 12.00 tengah hari.
Guru Baik. Nanti saya maklumkan semula.
Pembimbing :
Guru Intan, waktu itu sesuai.
Pembimbing :

Begitulah hari-hari kami berlangsung tiap kali ingin mengadakan kelas. Lihatlah,
betapa kami perlu menyesuaikan waktu kami dengan waktu murid-murid kami. Hal
ini adalah untuk memastikan kesemua murid mendapat pembelajaran yang
sepatutnya mereka dapat. Bukan itu sahaja, terkadang ketika kami perlu diselia dan
jam kami tidak mencukupi kami terpaksa bertukar jadual dengan guru-guru lain
supaya sesuai dengan murid-murid dan pensyarah penyelia kami. Disebabkan itu
saya sangat tekankan hubungan baik dengan warga sekolah. Sekiranya anda tidak
baik dengan guru-guru di sekolah, bagaimana anda ingin bertukar-tukar masa
mengajar dengan mereka yang lebih banyak komitmennya berbanding anda.
Pensyarah juga terkadang ada yang menyelia bukan seorang tetapi ramai. Mereka
terpaksa membahagikan masa dengan sebaiknya supaya dapat hadir pada setiap
kelas seliaan pelajar mereka.
Saya : Puan, saya akan mengadakan kelas pada Isnin 19 Oktober 2020
jam 8.00 pagi – 9.00 pagi.
Pensyarah Boleh, nanti saya akan masuk dalam Google Meet kelas awak
Penyelia : pada jam tersebut tetapi saya perlu selia rakan kamu juga. Jadi
saya terpaksa sertai kedua-duanya.
Saya : Tidak mengapa, Puan. Yang penting Puan ada.

Itulah perbualan antara saya dan pensyarah penyelia setiap kali ingin mnegadakna
kelas. Setelah tarikh dan masa telah dipersetujui oleh kesemua pihak, saya akan
membuat satu hebahan dalam bentuk mesej untuk dikongsikan dalam aplikasi
Whatsapp seperti berikut:

👋🏻👋🏻👋🏻👋🏻👋🏻👋🏻👋🏻👋🏻
Assalamualaikum.
📌Makluman Perjumpaan secara Atas Talian Bahasa Melayu 4C
📖📖📖📖📖📖📖📖
Tarikh : 17 November 2020 (Selasa)
Masa : 11.00 pg - 12.00 tghari
Kelas : 4 Cendekiawan
Platform : Google Meet.
📣Pautan Google Meet
https://meet.google.com/syp-hoid-wtc?authuser=1
Bahan dan alat yang diperlukan :
1. Buku catatan sendiri
2. Alat tulis
📌 PERHATIAN
▪️Digalakkan menyertai google meet guna emel yg disediakan oleh pihak
sekolah.
▪️Anda dikehendaki menyertai google meet 10 minit sebelum kelas bermula.
▪️ Pastikan mikrofon ditutup sepanjang PdP berlangsung. Buka apabila perlu
sahaja.
👩🏻‍🏫 Buka kamera sepanjang sesi pengajaran berlangsung
📌Sila isi kehadiran menggunakan pautan di bawah
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScZf16bvyEdypTzxarGCT197XjAYc
GhF8bHqM1NKq4wx2T-XA/viewform?usp=sf_link

Terima kasih atas kerjasama semua


Seperti yang tertera pada hebahan tersebut, platform yang saya gunakan ialah
Google Meet dan Google Form. Google Meet digunakan untuk saya mengadakan
interaksi bersama-sama murid manakala Google Form pula kebanyakan digunakan
untuk mengambil kehadiran dan memberi latihan sama ada dalam bentuk objektif
mahupun penulisan. Sesi pengajaran biasanya akan disertakan dengan penggunaan
Power Point, Quizziz, Youtube, Words, dan lain-lain lagi bergantung kepada
kesesuaian. Power Point kebiasaannya digunakan sebagai bantuan penerangan
guru. Bagi memberi gambaran kepada murid tentang pengajaran guru. Quizizz pula
saya gunakan untuk memberi latihan dalam bentuk pertandingan. Dimana, murid-
murid dapat melihat kedudukan markah mereka masing-masing seterusnya
meningkatkan persaingan antara mereka. Youtube digunakan untuk menunjukkan
video-video bantuan yang akan membantu menjadi inti dalam sesi pengajaran.
Words pula saya banyak gunakan untuk menghasilkan penulisan bersama-sama
murid. Kesemua aplikasi ini tidak asing bagi murid-murid saya kerana murid saya
kini sudah terbiasa dengan dunia teknologi. Cumanya, saya dapat lihat keterujaan
mereka menggunakan bahan-bahan teknologi bersama-sama rakan dan guru dalam
sesi pengajaran.

Sememangya, praktikum fasa II ini sangat berbeza dengan fasa I. Kita


bergantung kepada penggunaan teknologi untuk menarik minat murid berbanding
pengajaran bersemuka yang boleh dirancakkan dengan pelbagai bentuk permainan
bahasa. Sejujurnya, saya sangat buntu kerana bagi hemat saya, saya tidak mahu
teknologi yang sama digunakan berulang kali dalam sesi pengajaran kerana saya
tidak mahu menimbulkan kebosanan dalam sesi pengajaran. Ditambah lagi dengan
keadaan saya yang perlu diselia oleh pensyarah. Saya tidak mahu murid-murid
hilang tumpuan dalam sesi pengajaran saya. Lebih-lebih lagi apabila nama mereka
dipanggil dan tiada sahutan daripada pihak murid. Itu sebenarnya sangat
memalukan saya tambahan apabila pensyarah sedang menyelia pengajaran saya.

Kini saya ingin beralih kepada kekangan sewaktu saya berpraktikum. Kedua-
kedua fasa mempunyai kekangan yang berbeza kerana situasi fasa masing-masing
yang berbeza. Pada praktikum I, kekangan yang paling terbesar ialah kekangan
wang. Seperti yang sedia maklum, kebanyakan bahan bantu belajar (BBB) adalah
maujud dan memerlukan kos yang besar untuk disediakan oleh kami. Tambahan,
BBB perlulah kelihatan menarik, berwarna-warni, lasak, besar dan cukup kuantitinya
untuk semua murid. Saya terkadang terpaksa melupakan beberapa barang dan
makanan yang hendak dibeli sewaktu bulan-bulan praktikum. Sehinggakan terpaksa
menggunakan wang simpanan sendiri untuk dilaburkan semasa praktikum. Namun,
kesemua itu terubat dengan kegembiraan murid-murid dan keterujaan mereka
melihat bahan-bahan yang telah disediakan oleh saya.

Lain pula pada praktikum fasa II. Pada awalnya saya sangat bersyukur
kerana wang-wang saya tidak perlu dilaburkan pada BBB dan fail-fail portfolio.
Namun, kegembiraan itu bukan berpanjangan apabila masalah internet melanda di
kawasan perumahan saya. Disebabkan satu sahaja platform yang digunakan bagi
menjalankan sesi pengajaran, banyak data internet yang perlu digunakan bagi satu
kali kelas sahaja. Saya terpaksa meredah kawasan yang mempunyai internet
kelajuan tinggi untuk mengadakan kelas. Pada minggu kedua praktikum secara atas
talian, saya telah menukar rangkaian internet saya kepada Digi. Barulah kelas saya
dapat dijalankan secara sangat lancar tanpa masalah internet.

Bagi saya, kedua-dua praktikum ini sangat memberi kesan yang mendalam
kepada saya sebagai guru pelatih. Kedua-dua fasa ini memberi peluang yang luas
kepada saya untuk mendalam ilmu pengajaran sama ada secara bersemuka atau
secara atas talian. Alhamdulillah, kedua-dua pengalaman ini dapat saya hadapi
dengan rentas cemerlang pada kedua-dua fasa praktikum. Saya sangat berbangga
dengan pencapaian diri saya. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada
pensyarah penyelia saya Puan Warti binti Kimi, Dr. Zarina binti Ahmad dan Dr.
Norasiah binti Haji Abdullah yang sentiasa memberikan tunjuk ajar serta nasihat,
dorongan dan tips-tips supaya tidak mengalah menghadapi norma baharu ini
sepanjang praktikum kedua-dua fasa ini.Tidak lupa juga kepada ketua-ketua
jabatan, Dr. Nazariyah binti Sani dan Pn. Noreha binti Sarkawi yang sudi menyelia
pengajaran saya sepanjang sesi praktikum saya.

Anda mungkin juga menyukai