Anda di halaman 1dari 8

Refleksi Kendiri BIG PISMP Sem 1 April 2011

Bersyukur kepada Tuhan kerana saya telah mengikut semua aktiviti


semasa kursus Bina Insan Guru (BIG) yang telah dilaksanakan di Kem Alapong,
Lundu pada 18 April hingga 21 April 2011 yang lalu. Kursus BIG ini sebenarnya
merupakan fobia bagi saya selama semester ini memandangkan majoriti kursus
BIG ini adalah terdiri daripada aktiviti-aktiviti lasak yang sekaligus menguji
ketahanan mental dan fizikal saya. Saya begitu bersyukur dan sangat gembira
kerana saya dapat bertahan sehinggalah BIG ini berakhir selepas 4 hari 3 malam.
Banyak pengalaman, kebaikan, dan manfaat yang telah saya dapat dan perolehi
daripada aktiviti ini.
Pertama sekali, saya sedar bahawa pengurusan masa adalah amat
penting demi memastikan segala aktiviti yang dirancang dapat berjalan
dengan lancar dengan masa yang telah ditetapkan. Hal ini penting kerana
sekiranya sesuatu aktiviti telah bertangguh atau tergendala, ianya pasti akan
menjejaskan atur cara atau aktiviti yang seterusnya. Kesannya, semua perkara
terpaksa dijalankan dengan kadar yang lebih cepat dan menyebabkan kami
menghadapi kekurangan masa bagi sesuatu sesi atau slot aktiviti. Sepanjang
BIG ini, saya sentiasa patuh akan masa dan menasihati atau memberitahu akan
rakan yang lain supaya membuat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan.
Sebagai contoh, kami dikehendaki berada di Dewan Serbaguna 10 minit lebih
awal bagi aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) seperti yang telah diamanahkan
oleh Puan Rojiah. Oleh itu, apabila kami terdengar bunyi wisel yang
menandakan tiba masanya untuk pergi ke dewan, kami akan terus melepaskan
segala kerja dan tugasan yang kami sedang buat dan pergi ke dewan bagi
memastikan kelancaran sesuatu aktiviti. Pendek kata, saya berpendapat bahawa
sikap menepati masa haruslah dipupuk dari semasa ke semasa bagi
memastikan sesuatu aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar.
Selain itu, kursus BIG ini juga berjaya membina keperibadian saya yang
sempurna, seperti memupuk sikap keterbukaan, toleransi, kerjasama, tolong-
menolong, kerajinan, kesabaran, ketabahan, dan sebagainya dalam diri saya.
Hal ini demikian kerana sepanjang 4 hari dan 3 malam ini, saya dan juga rakan-
rakan yang lain terpaksa melakukan banyak perkara yang tidak pernah saya
lakukan dalam seumur hidup saya, seperti mendirikan gajet, memasang rakit,
berakit, menghidupkan api dan memasak di hutan rimba dan di tepi pantai, dan
banyak lagi. Saya sedar bahawa tanpa nilai-nilai yang saya perkatakan di atas,
semua itu mustahil dapat dilaksanakan dan dilakukan. Malah daripada BIG ini,
saya sedar bahawa kerjasama yang sepenuh dan koheren dalam kalangan
ahli kumpulan adalah penting demi menyiapkan sesuatu tugasan tepat
pada masanya. Oleh itu, kursus BIG ini telah berjaya memupuk nilai-nilai moral
yang baik dalam diri saya, membina modal insan yang lebih sempurna dan
menjadikan saya seorang yang lebih baik dalam semua aspek.
Di samping itu, kursus BIG ini juga merupakan satu media
untukmembolehkan saya memahami akan diri saya dengan lebih mendalam
lagi. Iktibar dan kesedaran ini telah saya peroleh sepanjang saya menghadiri
dan menyertai aktiviti LDK yang diadakan pada setiap pagi dan malam
sepanjang kursus tersebut dijalankan. Dalam LDK tersebut, kami telah diminta
membuat beberapa kajian soal selidik seperti Soal Selidik Minat Kerjaya (Self-
Directed-Search/SDS), Inventori Pengurusan Konflik, What Motivates You?,
dan Self Esteem Test. Daripada aktiviti-aktiviti soal selidik yang telah saya
jalankan, saya dapat memahami diri saya dengan lebih mendalam lagi. Bagi
Soal Selidik Minat Kerjaya, saya sedar bahawa ciri social adalah amat penting
sekali bagi pekerjaan sebagai seorang guru kerana kita sentiasa berhadapan
dan dengan murid dan mendidik mereka. Sekiranya kita tidak suka bersosial
ataupan berurusan dengan orang lain, maka adalah sukar bagi kita sekiranya
kita ingin menjalankan tugas kita dengan baik. Dan sudah tentu ciri-ciri yang lain,
seperti artistic, investigative, reality, dan sebagainya juga adalah amat penting
sebagai pelengkap bagi pekerjaaan kita sebagai seorang guru. Bagi Inventori
Pengurusan Konflik pula, saya bersyukur kerana selepas menjalani inventori
tersebut, saya merupakan salah seorang yang berada pada kategori yang
normal. Namun, ini menyedarkan saya supaya sentiasa berwaspada dan
mengambil berat tentang perasaan dan pengurusan konflik saya demi
menjadikan saya seorang yang lebih sempurna dan seimbang dari semua aspek.
Malah, untuk soal selidik What Motivates You pula, saya sedar bahawa kerjaya
yang menyeronokkan, melakukan kerja yang bermanfaat dan cabaran tugas/
kerja merupakan antara 3 aspek yang harus menjadi prioriti dan keutamaan
dalam memilih pekerjaan berbanding dengan aspek-aspek yang lain seperti cuti,
ganjaran, gaji, jaminan masa hadapan dan sebagainya. Kajian soal selidik dan
aktiviti ini penting bagi saya kerana ia telah meningkatkan semangat saya
untuk menjadi seorang guru yang bertanggungjawab, berdedikasi, dan
bersentiasa berpusatkan murid dalam melakukan semua perkara.
Malah, saya juga sedar bahawa mematuhi peraturan dan undang-
undang yang telah ditetapkan adalah amat penting. Hal ini demikian untuk
memastikan keselamatan kita terjamin dan demi mengelakkan sebarang perkara
yang tidak diingini berlaku. Oleh itu, saya pelajari bahawa kita haruslah
mematuhi semua peraturan dan undang-undang kerana setiap peraturan yang
ditetapkan mempunyai kewajaran dan rasionalnya. Contohnya, apabila kami
mula sampai ke Kem Alapong, kami telah diberi taklimat ringkas oleh Encik
Micheal Tarang Jelaming, Penyelaras Kursus BIG ini tentang peraturan dan
undang-undang yang harus dipatuhi sepanjang 4 hari 3 malam ini. Dalam
taklimatnya, beliau telah menegaskan tentang aspek pengangkutan, pakaian,
kawasan larangan, pergerakan, kebersihan, bilik air, menepati masa, tempat
makan, adab makan, keselamatan, kecemasan, tazkirah, dan sebagainya.
Begitu juga untuk setiap aktiviti, seperti aktiviti air dan aktiviti darat, arahan dan
peraturan telah dijelaskan terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang aktiviti.
Pada pengamatan saya, ini penting, khususnya semasa di aktiviti air kerana
saya tidak tahu berenang dan dengan peraturan dan arahan yang dibagi akan
memastikan saya sentiasa selamat dan tidak berada dalam keadaan yang
membahayakan. Oleh itu, bersyukur kerana dengan arahan jelas yang diberi,
saya dapat selamat menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut.
Saya juga sedar bahawa kita haruslah bertanggungjawab dalam semua
perkara yang telah diamanahkan kepada kita. Hal ini demikian kerana kami
akan bertukar peranan ataupun jawatan berselang 6 jam secara bergilir-gilir.
Antara jawatan yang telah saya sandangkan sepanjang 4 hari 3 malam ini
termasuklah ketua, penolong ketua, setiausaha, Quarters Master (QM) makanan,
QM peralatan, penolong QM makanan, penolong QM peralatan dan sebagainya.
Malah, setiap orang berpeluang menyandang jawatan tersebut dan merasai
kesenangan dan kesusahan jawatan tersebut, memandangkan setiap jawatan
mempunyai tugasannya yang tersendiri. Namun, saya sentiasa berwaspada,
bertanggungjawab, berhati-hati dalam setiap tugasan yang diamanahkan kepada
saya. Pendek kata, BIG ini telah melatih saya untuk menjadi seorang yang tidak
mudah pecah amanah dan melakukan yang terbaik dalam semua perkara.
Saya turut dapat memahami tentang flora dan fauna serta lautan
dengan lebih mendalam melalui BIG ini. Semasa melakukan aktivti darat, iaitu
kembara ke hutan rimba, kami telah dibahagikan tugasan untuk menyiapkan
lembaran kerja eksplorasi flora dan fauna. Kami dikehendaki untuk
memerhatikan flora dan fauna sepanjang kami memasuki ke hutan rimba di
Lundu dengan berjalan kaki dari tempat perkhemahan. Selain itu, kami
dikehendaki untuk mencatatkan ciri-ciri flora dan fauna tersebut dan dan
menerangkan fungsinya. Oleh itu, saya berpeluang untuk melihat banyak haiwan
dan tumbuhan yang tidak pernah saya lihat selama ini dan mendapat banyak
pendedahan dan pengetahuan tentang flora dan fauna yang telah dibentang dan
dikongsikan pengalaman bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain.
Sementara aktiviti berakit di laut semasa aktiviti air merupakan sesuatu yang
baharu kepada saya kerana ia merupakan kali pertama saya berakit di laut. Saya
berpeluang untuk mendekati lautan dan merasai keunikan alam sekitar. Saya
turut merasai kesukaran menghidupkan api dan memasak di hutan rimba dan
juga di persisiran pantai. Semua ini adalah sebagai persiapan kepada saya
selepas menamatkan pengajian sekiranya saya ditempatkan di tempat
pedalaman. Walaupun agak susah dan penat, tetapi ia telah membakar
semangat saya untuk tabah meneruskan kehidupan dan lebih memahami
hutan rimba dan lautan.
Di samping itu, saya berpendapat bahawa kursus BIG ini mampu
mencungkil bakat dan potensi yang sekian terpendam dalam diri
seseorang. Sebagai contoh, saya baru perasan bahawa saya mempunyai bakat
untuk menyanyi selepas menghadiri kursus ini apabila saya dikehendaki untuk
mewakili kumpulan saya dalam pertandingan karaoke solo pada malam
persembahan. Selain itu, semasa sesi pembentangan pada slot moral, saya juga
berpeluang untuk membentang salah satu bahagian pada hari yang ketiga, iaitu
mengenai langkah-langkah untuk mengatasi masalah ponteng sekolah. Dari situ,
bakat membentang dan juga berdebat dengan pendapat kumpulan-kumpulan
lain dapat terbentuk. Malah, saya perhatikan sebenarnya terdapat banyak orang
yang mahir memasak dalam kumpulan kami. Saya bersyukur kerana dengan
bakat dan potensi memasak yang ada dalam kalangan ahli kumpulan saya,
kumpulan kami telah berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan
memasak. Jadi, saya berpendapat bahawa BIG membolehkan setiap orang
melihat kebolehan, bakat dan potensi sendiri yang tidak perasan selama ini dan
dari situlah seseorang itu akan berusaha untuk mengasah dan meningkatkan
kebolehan dan bakat masing-masing.
Lantas, saya percaya dan berpegang kuat kepada prinsip kita haruslah
berani mencuba sesuatu yang baharu dan tidak mengalah kalah sehingga
kita mencuba dengan sedaya upaya. Sebagai contoh, kumpulan kami, iaitu
kumpulan 4 dikehendaki mempersembahkan persembahan dikir barat untuk
malam persembahan tersebut. Walaupun tidak ada orang dalam kalangan kami
yang pandai dikir barat, namun kami tetap mencuba dengan menggunakan
kaedah dan cara yang tersendiri. Berkat hasil daripada usaha dan kerjasama
setiap ahli kumpulan, kami berjaya mempersembahkannya dengan agak berjaya
dan mendapat tempat kedua pada malam persembahan tersebut. Jadi, ini jelas
membuktikan bahawa semua perkara akan berhasil dan menampakkan
kejayaan sekirannya kita berusaha gigih dan mempunyai iltizam untuk
membuat perkara tersebut.
Saya juga telah mendapat satu pengajaran yang sangat bermakna melalui
BIG ini, iaitu bersosial dengan orang lain akan memudahkan kita dalam
masyarakat. Hal ini demikian kerana kita sebagai manusia tidak dapat hidup
tanpa kawan, memandangkan manusia adalah golongan yang hidup
berkumpulan, berorganisasi, dan bersosial. Dengan kata lain, kita perlu
berinteraksi dengan orang lain. Dengan cara komunikasi yang sesuai, kita akan
mendapat banyak kawan yang dapat berkongsi masalah dan mendapatkan
bantuan yang dapat membantu kita menyelesaikan masalah kita. Dengan
mengambil contoh BIG ini, saya telah berjaya mendapatkan banyak bantuan
daripada rakan sekelas dan juga rakan dari kumpulan yang lain dengan
berkenalan dan berkomunikasi dengan mereka, sama ada semasa memasak,
mendirikan bendera, memasang khemah, membina gajet, menhidupkan api,
terlibatan dalam kawalan sentri, dan sebagainya. Tanpa bantuan daripada rakan
yang lain, adalah mustahil saya dapat melaksanakan semua ini. Oleh itu, jelaslah
di sini bahawa sosial yang aktif adalah sangat penting bagi memastikan kita
dapat bergaul dan berkomunikasi dengan orang lain dengan baik. Kursus ini juga
secara langsung merapatkan hubungan silaturahim sesama rakan sekelas
dan juga rakan-rakan juga kumpulan yang lain. Semua ini tidak dapat saya
pelajari jika tidak menjalankan BIG pada semester ini.
Terdapat beberapa kelemahan pada diri saya yang telah saya perasan
dan sedar sepanjang saya menjalankan BIG ini. Antaranya termasuklah saya
tidak mempunyai keyakinan yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara.
Contohnya, sebelum menjalankan BIG ini, saya telah dimaklumkan bahawa
mewakili kumpulan kami untuk menyertai pertandingan karaoke solo pada
malam persembahan. Pada mulanya saya amat menolak dan tidak mahu kerana
takut akan menjatuhkan air muka. Namun atas dorongan dan sokongan dari ahli
kumpulan dan juga rakan sekelas, saya telah mengambil keputusan untuk
menyanyi. Begitu juga semasa aktiviti air dan aktiviti water confident, sebenarnya
saya takut untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut kerana saya fobia akan air
dan tidak pandai berenang. Malah, saya juga berasa takut melakukan aktiviti
abseiling kerana saya gayat tinggi. Namun dengan bantuan rakan yang sama
kumpulan dan sekelas,saya telah berjaya menjalankan semua aktiviti yang
dirancang oleh pihak institut dengan lancar dan berjaya. Jadi, selepas BIG ini,
saya dapati keyakinan saya meningkat dan sentiasa berasa berkeyakinan
diri dalam melakukan semua perkara.
Selain itu, saya juga mendapati bahawa saya agak lemah dari segi
mental dan fizikal. Dari segi mental, dahulu saya sering mengambil alternatif
mudah dengan memutus asa apabila berhadapan dengan masalah yang
meruncingkan. Saya juga tidak begitu kuat dalam konteks melakukan aktiviti-
aktiviti fizikal seperti dalam berlari, memasang khemah, mamasang rakit, berakit,
dan sebagainya. Saya sedar bahawa semua aktiviti yang dirancang dalam BIG
adalah bertujuan untukmemupuk, menguji, dan meningkatkan ketabahan dan
keberanian diri sebagai seorang guru melalui semua aktivti tersebut.
Mengetahui kelemahan saya itu sekarang, jadi saya bertekad menjadi seorang
yang sentiasa sihat dan kuat dari aspek mental dan fizikal. Saya juga akan
sentiasa melatih dan meningkatkan aspek fizikal dan mental saya, seperti
bersenam pada masa lapang, membaca buku-buku motivasi, sentiasa berbual-
bual dan mendapatkan nasihat yang berguna dan padat dengan senior ataupun
guru pensyarah saya. Nescaya selepas menjalani BIG ini dan mempraktikkan
semua langkah yang telah saya cadangkan di atas, saya akan menjadi seorang
yang cerdas dan cergas pada masa yang akan datang.
Bagi cara-cara penambahbaikan pula, pada pendapat saya, program BIG
ini akan menjadi lebih menarik jika sesetengah slot dan sesi diisi dengan
aktiviti-aktiviti IQ yang mencabar, seperti stesen games, dilemma konflik,
main peranan, dan sebagainya. Permainan berbentuk stesen
games merupakan salah satu cadangan yang sangat digalakkan. Dalam stesen
games, setiap kumpulan haruslah menyelesaikan tugasan yang diberikan dalam
setiap stesen, sama ada berbentuk fizikal atau mental. Setiap kumpulan hanya
boleh pergi ke stesen yang seterusnya sekiranya mereka dapat menyelesaikan
sesuatu masalah tersebut. Dengan ini, barulah semangat bekerjasama antara
kumpulan dapat dipraktikkan dengan baik, lantas ia dapat menguji ketabahan
seseorang peserta menyelesaikan masalah dalam situasi yang begitu
meruncingkan.
Selain itu, saya juga dapati bahawa bahan makanan, sama ada
yang kering ataupun yang basah yang dibekalkan adalah terlalu banyak dan
tidak dapat dihabiskan bagi kumpulan kami. Oleh itu saya ingin mencadangkan
agarmengurangkan kuantiti bahan mentah untuk sesi makanan untuk
mengelakkan pembaziran. Kita juga boleh mengurangkan kuantiti makanan
dengan berkongsi sesuatu bahan dengan kumpulan yang lain. Sebagai contoh,
sebungkus serbuk kari, Ajinamoto, ataupun santan boleh dikongsikan dalam 2
kumpulan kerana bukan setiap kali kumpulan tersebut akan memasak menu
yang sama setiap hari.
Tambahan pula, slot moral boleh ditambahbaikan dan
dimurnikan dengan mempelbagaikan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.
Contohnya semasa slot moral, kita bukan sahaja akan membuat pembentangan,
tetapi juga boleh melakukan aktivti-aktiviti yang lebih menarik seperti berinteraksi,
forum, perbahasan, public speaking, dan sebagainya.
Sememangnya peruntukan 4 hari 3 malam bagi kursus BIG ini adalah
sedikit mendesak dan tidak mencukupi. Oleh itu, saya ingin mencadangkan
bahawaalangkah baiknya jika kursus BIG ini diadakan selama 5 hari dan 4
malam supaya masa untuk setiap aktivti yang dirancang mencukupi, tidak
terdesak dan kesannya para peserta akan dapat belajar dan memperoleh
sesuatu ilmu pengetahuan pada tahap yang maksima.
Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada pihak Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang
kerana menyediakan aktiviti yang begitu bermakna untuk guru-guru pelatih untuk
mengisi masa lapang kami dan juga untuk melatih kami untuk menjadi seorang
guru yang sentiasa tabah menghadapi cabaran, berani menghadapi segala
masalah dan meningkatkan semangat kami untuk bertekad menjadi seorang
guru yang dedikasi dan cinta akan pekerjaannya. selain itu, saya juga ingin
mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Micheal Tarang Jelaming, ketua
pegawai Pengurusan BIG Siri 5 Tahun 2011 kerana sentiasa membantu kami
sepanjang kem BIG ini. Ucapan terima kasih juga tidak lupa ditujuakan kepada
Encik Mohd. Azhar bin Zainal, ketua jurulatih, merangkap penasihat Teknikal,
atas segala tunjuk ajar, nasihat dan juga pertolongan beliau sepanjang kem BIG
ini. Tidak lupa juga kepada semua para jurulatih, fesilitator-fesilitator, tutor-tutor
kumpulan, khususnya tutor kumpulan saya, Encik Ambikaphati, dan juga staf-staf
Kem Alapong, terima kasih diucapkan kerana sentiasa membimbing, membantu
dan menolong kami. Saya yakin bahawa tanpa usaha dan kerjasama daripada
semua pihak, mustahil segala aktiviti yang dirancang bersempena dengan BIG
ini dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna.
Secara keseluruhannya, program BIG ini dijalankan dengan lancar dan
juga telah menepati matlamatnya untuk membentuk insan guru yang sempurna.
Ini merupakan kaedah yang baik untuk membentuk insan guru yang seimbang.
Ternyata banyak manfaat yang saya dapat daripada semua aktiviti yang
dijalankan semasa BIG (bina insan guru). Semua pengalaman dan pengetahuan
yang saya dapat saya aplikasikan agar menjadi seorang guru yang lebih jitu dan
serba boleh. Saya berasa seronok dan bersemangat menyertai aktiviti BIG ini.
Diharapkan agar aktiviti ini dijalankan setiap tahun. Saya juga belajar untuk
memberi kerjasama yang jitu dan bertolak ansur dengan ahli kumpulan. Saya
dapat rasakan satu ikatan terjalin semasa aktiviti BIG ini. Terima kasih kerana
memberikan peluang kepada saya untuk menyertai aktiviti ini.

Anda mungkin juga menyukai