Anda di halaman 1dari 17

BAB 7

MEMBUAT KEPUTUSAN

OBJEKTIF BAB

Setelah anda mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Mendefinisikan proses membuat keputusan.
2. Menyenaraikan elemen-elemen dalam situasi membuat
keputusan.
3. Membincangkan proses yang terlibat dalam membuat
keputusan.
4. Membezakan situasi yang wujud dalam membuat keputusan.
5. Membincangkan kebaikan dan keburukan membuat keputusan
secara berkumpulan.
6. Mengenal pasti teknik-teknik yang digunakan dalam membuat
keputusan secara berkumpulan.

7.1 PENGENALAN

Apabila disebut ‘keputusan’, ia bukanlah merupakan sesuatu yang asing


ataupun satu istilah baru yang didengar. Setiap di antara kita tentunya
dapat menerangkan atau memahami maksud perkataan ini, malah kita
semua sering berhadapan dengan kehidupan seharian yang memerlukan
kita membuat keputusan. Seorang pengurus tidak dapat lari daripada
terlibat dalam membuat keputusan dalam organisasi sama ada keputusan
yang melibatkan isu-isu yang mudah (simple) atau yang kompleks. Oleh
itu, dalam Bab 7 ini, kita akan sama-sama mempelajari beberapa konsep
penting dalam proses membuat keputusan dan serba-sedikit teknik-
teknik membuat keputusan.

7.2 DEFINISI KEPUTUSAN

Dalam istilah pengurusan, keputusan merupakan pilihan yang dibuat di


antara dua atau lebih alternatif yang ada. Keputusan juga dikatakan
sebagai pilihan yang dibuat setelah membuat penganalisisan ke atas
alternatif yang wujud dan diikuti dengan tindakan untuk melaksanakan
pilihan tersebut. Proses membuat keputusan pula ialah satu proses
membuat pemilihan alternatif yang terbaik untuk mencapai sesuatu
objektif. Dengan kata lain, proses membuat keputusan merupakan satu

141
siri langkah atau peringkat yang membawa kepada sesuatu tindakan,
pulangan, atau penilaian. Walaupun proses membuat keputusan telah
diterangkan dalam bab sebelum ini tetapi oleh kerana pengurus perlu
juga membuat keputusan dalam ketiga-tiga fungsi pengurusan yang lain
seperti mengorganisasi, mengawal dan mempengaruhi, maka aspek
mengenai keputusan memerlukan satu bab yang khusus dan berasingan.

Seperti yang diterangkan di atas, kita semua menghadapi situasi membuat


keputusan setiap hari. Ia mungkin dalam bentuk keputusan yang mudah
seperti apa yang hendak dimakan, baju mana yang hendak dipakai dan
pasaraya mana yang akan dikunjungi untuk membeli-belah.

Keputusan juga mungkin perlu dibuat bagi perkara-perkara yang berisiko


dan kompleks seperti proses pembelian rumah dan kereta, pelaburan
syarikat malah pemilihan pasangan hidup juga merupakan antara
keputusan berisiko dan penting yang perlu dibuat. Para pengurus dalam
sesebuah organisasi membuat keputusan yang melibatkan organisasi
sehari-hari dan akan mengkomunikasikan keputusan yang dibuat kepada
ahli-ahli organisasi yang lain. Walau bagaimanapun, tidak semua
keputusan yang dibuat mempunyai kesan yang signifikan kepada
organisasi.

Ada keputusan yang melibatkan ramai ahli organisasi, kos yang tinggi dan
mempunyai kesan jangka panjang ke atas organisasi. Keputusan-
keputusan sebegini boleh memberi kesan kepada organisasi, bukan sahaja
kepada sistem pengurusan tetapi kepada kerjaya pengurus yang
melaksanakannya. Contohnya, keputusan untuk membuka pusat
pengeluaran atau kilang di kawasan yang lain.

Sebaliknya, ada keputusan yang dibuat melibatkan hanya sebahagian kecil


sahaja ahli dalam organisasi, kos yang sedikit dan hanya memberi kesan
jangka pendek kepada organisasi. Contohnya, keputusan untuk membeli
dua buah komputer untuk kegunaan Jabatan Sumber Manusia.

7.3 JENIS-JENIS KEPUTUSAN

Keputusan boleh dikategorikan mengikut jumlah masa yang pengurus


ambil dalam membuat keputusan tersebut, bahagian organisasi yang
terlibat dalam membuat keputusan dan fungsi-fungsi dalam organisasi
yang difokuskan dalam membuat sesuatu keputusan.

Walau bagaimanapun, kaedah umum yang selalu digunakan dalam


mengkategorikan keputusan adalah berdasarkan kepada ‘bahasa
komputer’ iaitu membahagikan semua keputusan kepada dua jenis iaitu
keputusan yang ‘diprogramkan’ dan yang ‘tidak diprogramkan’.

142
(a) Keputusan yang Diprogramkan

Ia merupakan keputusan-keputusan yang rutin dan dibuat secara


berulang-ulang dan secara tipikal. Organisasi memerlukan kaedah-kaedah
tertentu untuk menangani keputusan-keputusan yang diprogramkan. Ia
mungkin melibatkan penentuan bagaimana membuat pesanan barang
daripada pembekal ataupun cara penyusunan barang di atas rak di dalam
kedai. Keputusan-keputusan yang rutin dan berulang-ulang ini selalunya
dibuat mengikut garis panduan pengurusan yang telah ditentukan.

(b) Keputusan yang Tidak Diprogramkan

Berbanding dengan keputusan yang diprogramkan, keputusan jenis yang


kedua ini dibuat pada masa-masa tertentu sahaja (one shot) dan tidak
berstruktur. Contohnya, keputusan untuk memasarkan produk ke
Nigeria iaitu satu pasaran yang baru bagi produk syarikat atau keputusan
untuk melabur dalam sebuah syarikat yang baru tersenarai di BSKL.
Pengurus yang terlibat dalam membuat keputusan sebegini perlu berfikir
secara mendalam dan perlu mengambil kira banyak faktor sebelum
membuat keputusan.

SOALAN DALAM TEKS 7.1

1. Berdasarkan huraian di atas, bezakan di antara


keputusan dan proses membuat keputusan.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

7.4 TANGGUNGJAWAB MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM


ORGANISASI

Seperti banyaknya keputusan yang perlu kita buat sehari-hari, organisasi


juga mempunyai pelbagai jenis keputusan yang perlu dibuat seperti
keputusan untuk mengeluarkan produk baru, pembelian mesin baru dan
keputusan pelaburan syarikat.

Disebabkan kepelbagaian keputusan yang perlu dibuat dalam organisasi,


perlu dibentuk beberapa asas bagi menentukan siapa di dalam organisasi
yang bertanggungjawab untuk membuat sesuatu keputusan. Asas yang

143
dibentuk adalah berdasarkan dua faktor iaitu skop keputusan yang
hendak dibuat dan tahap/peringkat pengurusan yang terlibat dalam
membuat sesuatu keputusan.

Skop keputusan adalah merujuk kepada peratus bahagian daripada sistem


pengurusan keseluruhan yang mendapat kesan daripada keputusan yang
dibuat. Semakin besar bahagian ini, maka lebih besar skop sesuatu
keputusan.

Peringkat/tahap pengurusan pula adalah terdiri daripada pengurusan


peringkat rendah, peringkat pertengahan dan tinggi. Rasionalnya
perlantikan siapa yang akan membuat keputusan adalah kerana lebih luas
skop sesuatu keputusan, lebih tinggi peringkat pengurus yang
bertanggungjawab untuk membuat keputusan itu.

Pengurus yang bertanggungjawab untuk membuat sesuatu keputusan


tertentu walau bagaimanapun boleh mendapatkan nasihat atau
pandangan daripada pengurus bahagian lain dalam organisasi dan
daripada pekerjanya sebelum menetapkan sesuatu keputusan. Malah,
kebanyakan pengurus hari ini lebih suka membuat keputusan secara
berkumpulan berbanding dengan individu.

Pernahkah anda mendengar perkataan ‘konsensus’? Konsensus


merupakan satu kaedah yang digunakan oleh pengurus dalam membuat
sesuatu keputusan. Apa yang dimaksudkan dengan konsensus adalah
persetujuan bersama oleh individu-individu yang terlibat dalam membuat
sesuatu keputusan selepas membuat perbincangan dan bertukar-tukar
fikiran.

Pengurus yang ingin menggunakan kaedah konsensus dalam membuat


keputusan walau bagaimanapun perlu sedar bahawa kewujudan ramai
individu dalam membuat keputusan kadangkala tidak dapat mencapai
satu keputusan yang baik. Kekurangan kemahiran teknikal atau
hubungan interpersonal yang lemah menyebabkan wujudnya halangan
untuk mencapai sesuatu konsensus.

Sudah menjadi lumrah dunia, setiap perkara akan ada baik dan buruknya.
Begitu juga dengan konsensus. Keputusan-keputusan yang dicapai
melalui konsensus mempunyai kebaikan dan keburukannya yang
tersendiri. Kebaikan kaedah ini ialah ia fokus kepada pendapat daripada
ramai individu dalam membuat keputusan dan pekerja akan lebih
komited dalam melaksanakan sesuatu keputusan yang mereka sendiri
terlibat. Manakala keburukannya adalah ia kerap melibatkan
perbincangan-perbincangan yang mengambil masa yang lama bagi
membuat sesuatu keputusan dan ini boleh meningkatkan kos organisasi.

144
SOALAN DALAM TEKS 7.2

1. Jelaskan maksud ‘konsensus’.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

7.5 ELEMEN-ELEMEN SITUASI KEPUTUSAN

Wilson dan Alexis telah mengemukakan beberapa elemen asas yang


wujud dalam situasi membuat keputusan (Certo, 1997). Lima daripada
elemen-elemen tersebat ialah:

(a) Pembuat Keputusan

Pembuat keputusan merupakan individu-individu atau kumpulan yang


membuat pilihan di kalangan alternatif yang wujud. Menurut pandangan
yang dikemukakan oleh Dale, pembuat keputusan yang lemah biasanya
mempunyai empat ciri berikut iaitu reseptif, eksploitasi, halangan (hoarding)
dan pemasaran (Certo, 1997).

Pembuat keputusan yang mempunyai orientasi reseptif percaya bahawa


sumber bagi semua kebaikan adalah di luar daripada diri mereka. Oleh
itu, mereka sangat bergantung kepada cadangan daripada ahli-ahli lain
dalam organisasi. Orientasi eksploitasi pula merujuk kepada pembuat
keputusan yang percaya bahawa sumber bagi semua kebaikan adalah di
luar daripada diri mereka dan mereka bersedia untuk ‘mencuri’ idea-idea
orang lain bagi membuat sesuatu keputusan.

Pembuat keputusan yang mempunyai ciri halangan (hoarding) pula


merupakan mereka yang ingin mengekalkan status quo sebaik mungkin.
Mereka tidak suka mendapatkan bantuan daripada orang lain dan percaya
kepada keputusan mereka sendiri. Apa yang penting bagi mereka adalah
mengekalkan kedudukan dan status yang sedang mereka miliki.

Pembuat keputusan yang bercirikan pemasaran adalah yang melihat diri


mereka sebagai komoditi atau barangan yang sama nilainya dengan
keputusan yang mereka buat. Oleh itu, mereka akan membuat keputusan
yang akan meningkatkan nilai mereka dan sentiasa sedar terhadap apa
yang orang lain fikirkan mengenai keputusan yang mereka buat.

Ciri pembuat keputusan yang ideal adalah yang memberi penekanan


terhadap merealisasikan potensi organisasi dan diri mereka sendiri.

145
Mereka cuba menggunakan bakat yang ada dan menggunakan
pertimbangan yang bijaksana dalam membuat keputusan. Selain daripada
itu, mereka juga bebas dari keempat-empat ciri yang disebutkan di atas.

(b) Matlamat yang Dikehendaki

Matlamat yang ingin dicapai oleh pembuat keputusan merupakan elemen


yang kedua dalam situasi keputusan. Dalam kes ini matlamat yang ingin
dicapai adalah objektif organisasi.

(c) Alternatif yang Relevan

Situasi keputusan selalunya mengandungi sekurang-kurangnya dua


alternatif yang relevan. Apa yang dimaksudkan dengan alternatif yang
relevan adalah alternatif yang dianggap berkemungkinan untuk
menyelesaikan masalah yang wujud dan boleh dilaksanakan. Alternatif
yang tidak dapat menyelesaikan masalah yang wujud atau yang tidak
boleh dilaksanakan adalah alternatif yang tidak relevan dan tidak diambil
kira dalam situasi membuat keputusan.

(d) Susunan Alternatif

Susunan alternatif merupakan satu proses atau mekanisme untuk


menyenaraikan alternatif (ranking) mengikut yang paling dikehendaki
kepada kurang dikehendaki. Proses ini boleh menjadi subjektif, objektif
atau gabungan kedua-duanya. Pengalaman pembuat keputusan adalah
contoh proses yang subjektif manakala kadar output per mesin adalah
contoh proses yang objektif.

(e) Pilihan Alternatif-Alternatif

Elemen terakhir dalam situasi membuat keputusan ialah pilihan sebenar


di antara alternatif yang ada. Pilihan ini mewujudkan keputusan sebenar.
Biasanya pengurus memilih alternatif yang boleh memaksimumkan
pulangan jangka panjang kepada organisasi.

SOALAN DALAM TEKS 7.3

1. Cuba anda bezakan di antara pembuat keputusan


yang mempunyai ciri reseptif, eksploitasi, halangan
dan pemasaran.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

146
7.6 PROSES MEMBUAT KEPUTUSAN

Keputusan adalah satu pilihan daripada satu himpunan alternatif yang


wujud. Proses membuat keputusan mengandungi satu siri langkah-
langkah yang diambil oleh pembuat keputusan untuk membuat sesuatu
keputusan.

Proses yang digunakan oleh seorang pengurus untuk membuat


keputusan mempunyai impak yang penting ke atas kualiti keputusan yang
dibuat oleh pengurus. Jika pengurus menggunakan satu proses yang
teratur dan sistematik, kebarangkalian keputusan yang dibuat untuk
menjadi baik atau berkualiti adalah tinggi berbanding dengan jika
menggunakan suatu proses yang tidak teratur dan tidak sistematik.
Model (cara) bagi membuat proses keputusan yang dicadangkan kepada
pengurus ditunjukkan dalam Rajah 7.1 di bawah.

Rajah 7.1
Proses Membuat Keputusan

Mengenal pasti Menyenaraikan alternatif Memilih alternatif


kewujudan masalah penyelesaian masalah yang paling sesuai

Melaksanakan alternatif
Mendapatkan maklum balas yang yang dipilih
berkait dengan masalah

Sumber: Certo. (1997). Modern management, 161.

Mengikut susunan, langkah dalam membuat keputusan terdiri daripada


mengenal pasti masalah yang sedia ada, menyenaraikan alternatif untuk
menyelesaikan masalah, memilih alternatif yang paling baik,
melaksanakan alternatif yang telah dipilih dan mengumpulkan maklum
balas untuk mengetahui jika perlaksanaan alternatif dapat menyelesaikan
masalah yang wujud.

Model ini adalah berdasarkan kepada tiga andaian utama, iaitu

(i) mengandaikan manusia adalah makhluk ‘ekonomi’ yang


mempunyai objektif untuk mendapatkan kepuasan atau
pulangan yang maksimum;

147
(ii) mengandaikan bahawa dalam situasi membuat keputusan,
semua alternatif dan kemungkinan kesan daripada
alternatif yang dipilih diketahui; dan
(iii) mengandaikan bahawa pembuat keputusan mempunyai
beberapa sistem keutamaan untuk memandu mereka
dalam meletakkan susunan setiap alternatif yang
dikehendaki bagi setiap keputusan yang dibuat.

Walau bagaimanapun, dalam kehidupan sebenar, satu atau lebih daripada


andaian ini biasanya tidak dipenuhi. Oleh itu keputusan yang dibuat
adalah kurang optimal untuk organisasi.

(a) Mengenal Pasti Kewujudan Masalah

Membuat keputusan ialah satu proses menyelesaikan masalah yang sekali


gus melibatkan penghapusan halangan-halangan untuk mencapai
matlamat organisasi. Langkah pertama yang perlu dibuat adalah
mengenal pasti dengan jelas apa sebenarnya masalah atau halangan-
halangan yang wujud. Selepas masalah dikenal pasti barulah pihak
pengurusan boleh mengambil langkah-langkah untuk menghapuskan
halangan itu.

(b) Menyenaraikan Alternatif Penyelesaian Masalah

Apabila masalah telah dikenal pasti, pengurus perlu menyenaraikan


berbagai penyelesaian yang mungkin boleh digunakan. Dalam konteks
ini, realitinya hanya sebilangan kecil sahaja daripada masalah yang wujud
dalam organisasi dapat diselesaikan melalui satu cara. Oleh itu pengurus
perlu mencari beberapa alternatif penyelesaian yang ada untuk
menyelesaikan masalah yang wujud.

Sebelum mencari alternatif penyelesaian, pengurus perlu sedar bahawa


terdapat lima kekangan/had yang wujud dalam mendapatkan alternatif
penyelesaian:

(i) Faktor autoriti atau kuasa (contohnya: pihak atasan


mungkin terlebih dahulu memberitahu bahawa ada
alternatif tertentu yang telah/boleh digunakan).
(ii) Faktor biologi (contohnya: faktor manusia dalam
organisasi mungkin tidak sesuai untuk melaksanakan
alternatif tertentu).
(iii) Faktor fizikal (contohnya: kemudahan fizikal dalam
organisasi seperti mesin mungkin tidak sesuai untuk
alternatif tertentu).

148
(iv) Faktor teknologi (contohnya: teknologi dalam organisasi
mungkin tidak memadai untuk sesuatu alternatif ).
(v) Faktor ekonomi (contohnya: organisasi mungkin tidak
mampu menanggung kos yang tinggi bagi alternatif
tertentu).

(c) Memilih Alternatif Paling Sesuai

Pembuat keputusan boleh memilih alternatif yang paling baik dan sesuai
selepas setiap alternatif dinilai. Proses penilaian alternatif ini
mengandungi tiga langkah iaitu

(i) Pembuat keputusan perlu menyenaraikan seberapa tepat


yang mungkin kesan setiap alternatif kepada organisasi,
sekiranya ia dilaksanakan.
(ii) Mereka perlu menganggarkan kebarangkalian (anggaran
peratus) kesan setiap alternatif akan berlaku kepada
organisasi sekiranya alternatif tersebut dipilih.
(iii) Pembuat keputusan perlu membandingkan kesan setiap
alternatif kepada organisasi dan kebarangkalian kesan
tersebut akan berlaku dengan matlamat organisasi
keseluruhannya.

Selepas ketiga-tiga langkah ini diambil pengurus akan mengetahui


alternatif mana yang paling sesuai dan memberi faedah kepada organisasi.

(d) Melaksanakan Alternatif yang Dipilih

Langkah seterusnya merupakan untuk menjadikan alternatif yang dipilih


sebagai tindakan atau dengan kata lain melaksanakan alternatif yang
dipilih.

(e) Mengumpul Maklum Balas Berkaitan dengan Masalah

Selepas alternatif yang dipilih telah dilaksanakan pembuat keputusan


perlu mengumpulkan maklum balas untuk mengenal pasti kesan
perlaksanaan alternatif ke atas masalah yang telah dikenal pasti di
peringkat pertama tadi. Jika masalah yang wujud masih tidak dapat
diselesaikan melalui alternatif yang telah dipilih tadi, maka pengurus
perlulah mencari dan melaksanakan alternatif yang lain pula.

149
SOALAN DALAM TEKS 7.4

1. Senaraikan langkah-langkah dalam membuat


keputusan.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

7.7 SITUASI SEMASA MEMBUAT KEPUTUSAN

Dalam banyak situasi adalah mustahil bagi pembuat keputusan untuk


mengetahui dengan tepat mengenai kesan masa hadapan ke atas alternatif
yang dipilih untuk dilaksanakan. Ini adalah kerana organisasi dan
persekitarannya sentiasa berubah.

Secara amnya, terdapat tiga situasi yang berbeza di mana sesuatu


keputusan dibuat, iaitu situasi ketentuan yang sempurna, situasi
ketidaktentuan yang sempurna, dan situasi berisiko.

7.7.1 Situasi Ketentuan yang Sempurna

Situasi ini berlaku apabila pembuat keputusan mengetahui dengan jelas


apakah hasil yang akan diperoleh daripada alternatif yang dipilih. Ini
bermakna pengurus mempunyai pengetahuan yang cukup dan lengkap
mengenai sesuatu keputusan dan ini membolehkan mereka
menyenaraikan hasil-hasil yang akan diperoleh bagi setiap alternatif dan
kemudiannya memilih alternatif yang mempunyai hasil yang paling baik
dan berfaedah kepada organisasi. Contohnya, hasil yang akan diperoleh
dari pelaburan yang dibuat melalui pembelian bon kerajaan dapat
diketahui dengan jelas kerana kadar faedahnya telah ditetapkan.

7.7.2 Situasi Ketidaktentuan yang Sempurna

Situasi ini berlaku apabila pembuat keputusan tidak mempunyai ide yang
jelas mengenai hasil/kesan daripada sesuatu alternatif. Keadaan ini
biasanya berlaku bila pembuat keputusan tidak mempunyai data yang
lepas untuk dibuat perbandingan atau ramalan mengenai apa yang akan
berlaku pada masa hadapan.

Dalam situasi ini, pembuat keputusan selalunya menganggap bahawa


alternatif terbaik yang dipilih hanyalah sebagai satu kebetulan sahaja.
150
Contohnya, keputusan untuk memperkenalkan produk syarikat kepada
suatu pasaran yang baru.

7.7.3 Situasi Berisiko

Ciri utama situasi ini ialah maklumat yang ada hanya mencukupi untuk
menganggarkan hasil sesuatu alternatif yang dipilih tanpa mempunyai
maklumat yang lengkap seperti keadaan ketentuan yang sempurna.
Keadaan ini berada di tengah-tengah di antara ketentuan sempurna dan
ketidaktentuan sempurna. Contohnya, risiko yang dihadapi bagi syarikat
yang baru mengambil pekerja baru seramai lima orang untuk
meningkatkan jualan syarikat.

SOALAN DALAM TEKS 7.5

1. Senaraikan tiga bentuk situasi yang wujud dalam


proses membuat keputusan.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

7.8 ALAT-ALAT MEMBUAT KEPUTUSAN

Kebanyakan pengurus membuat keputusan menggunakan gerak hati


(perasaan yang subjektif) yang berdasarkan kepada pengalaman yang
lama di dalam organisasi atau industri tertentu. Di samping itu, alat-alat
membuat keputusan yang lebih objektif juga sering digunakan antaranya
adalah teori kebarangkalian (probability) dan pohon keputusan (decision
tree). Anda akan belajar dengan lebih mendalam mengenai kedua-dua alat
ini dalam bab statistik.

7.9 MEMBUAT KEPUTUSAN SECARA BERKUMPULAN

Seperti yang telah diterangkan pada awal bab ini, pembuat keputusan
adalah terdiri daripada individu dan kumpulan yang membuat sesuatu
keputusan atau memilih satu alternatif terbaik daripada banyak alternatif
yang dikenal pasti. Bahagian ini akan fokus pula kepada membuat
keputusan secara berkumpulan dengan melihat kepada kebaikan dan
keburukan membuat keputusan secara berkumpulan dan proses yang
terlibat dalam membuat keputusan secara berkumpulan.

151
7.9.1 Kebaikan dan Keburukan Membuat Keputusan Secara
Berkumpulan

Banyak organisasi hari ini menggunakan kumpulan untuk membuat


sesuatu keputusan. Contohnya, satu ahli jawatankuasa akademik
universiti ditugaskan untuk membuat keputusan terhadap kursus baru
yang akan ditawarkan atau kumpulan eksekutif pemasaran diminta
menentukan produk baru yang perlu ditawarkan kepada pelanggan.
Kumpulan-kumpulan ini selalunya diminta untuk membuat keputusan
organisasi disebabkan terdapat kebaikan tertentu membuat keputusan
secara berkumpulan berbanding dengan individu.

Pertamanya, kumpulan boleh menghasilkan alternatif keputusan yang


lebih banyak dan yang lebih baik kerana ahli kumpulan boleh
mendapatkan alternatif ini secara kolektif dan berdasarkan kepada
berbagai pengalaman daripada ahli-ahli dalam kumpulan berbanding
dengan keputusan individu oleh seorang pengurus yang mempunyai
pengalaman dan idea yang terbatas.

Keduanya, apabila satu kumpulan membuat keputusan, ahli-ahli dalam


kumpulan akan cenderung untuk menyokong perlaksanaan keputusan itu
kerana mereka terlibat dalam membuat keputusan tersebut berbanding
dengan jika keputusan dibuat oleh hanya seorang individu. Ketiga, ahli-
ahli dalam kumpulan cenderung untuk merasakan bahawa keputusan
yang dibuat adalah hak kepunyaan mereka dan persepsi pemilikan ini
akan membuat mereka berusaha untuk melaksanakan keputusan tersebut
dengan jayanya.

Terdapat juga beberapa keburukan membuat keputusan secara


berkumpulan berbanding dengan individu. Seperti yang telah diterangkan
sebelum ini, kumpulan mengambil masa yang lama untuk membuat
keputusan kerana kumpulan perlu mengambil masa untuk hadir dan
berbincang dengan semua ahli. Kumpulan juga akan meningkatkan kos
organisasi kerana ia mengambil masa ramai individu di dalam organisasi.
Di samping itu, keputusan yang diambil melalui kumpulan akan
cenderung menjadi kurang berkualiti sekiranya dicemari dengan usaha
ahli-ahli kumpulan untuk mengekalkan hubungan persahabatan antara
mereka yang menyebabkan mereka mengabaikan keputusan yang
berkualiti demi untuk menjaga hubungan.

Pengurus perlu menimbangkan semua kebaikan dan keburukan ini


sebelum menentukan untuk menggunakan kumpulan atau individu dalam
membuat sesuatu keputusan.

152
7.9.2 Proses Membuat Keputusan Secara Berkumpulan

Membuat keputusan secara berkumpulan dalam suasana/persekitaran


organisasi yang kompleks merupakan satu cabaran yang hebat. Oleh itu
beberapa proses/teknik telah dibentuk untuk membantu kumpulan
menyahut cabaran ini. Teknik-teknik ini termasuklah percambahan
fikiran (brainstorming), teknik kumpulan nominal dan teknik delphi.

(a) Percambahan Fikiran (Brainstorming)

Ia merupakan satu proses membuat keputusan dalam kumpulan di mana


maklum balas negatif ke atas mana-mana alternatif yang dicadangkan
oleh mana-mana ahli kumpulan diabaikan sehingga semua ahli organisasi
mengemukakan alternatif-alternatif yang dirasakan bernilai. Teknik ini
dibentuk dengan teliti untuk menggalakkan semua ahli-ahli kumpulan
menyumbangkan seberapa banyak alternatif-alternatif keputusan yang
logik dan yang boleh difikirkan oleh mereka. Premis kepada teknik ini
adalah jika penilaian ke atas alternatif-alternatif bermula sebelum semua
alternatif yang baik dikemukakan, alternatif-alternatif yang bernilai akan
terlepas pandang atau diabaikan.

Semasa sesi ini dijalankan ahli-ahli digalakkan untuk menyatakan idea-


idea mereka, sementara seorang ahli kumpulan dilantik merekodkan
semua idea untuk perbincangan.

(b) Teknik Kumpulan Nominal

Proses kedua yang berguna untuk membantu kumpulan membuat


keputusan. Proses ini dibentuk untuk memastikan bahawa ahli-ahli
kumpulan mempunyai penglibatan yang sama rata dalam membuat
keputusan. Ia melibatkan beberapa langkah berikut:

(i) Setiap ahli kumpulan mencatatkan idea individu terhadap


keputusan atau masalah yang dibincangkan.
(ii) Setiap ahli mengemukakan idea-idea individu secara lisan.
Idea-idea ini biasanya ditulis di atas papan hitam/putih
untuk di lihat dan di rujuk oleh semua ahli kumpulan.
(iii) Selepas semua ahli mengemukakan idea-idea mereka,
kumpulan tersebut membincangkan idea-idea tersebut
secara serentak. Perbincangan cenderung kepada bentuk
yang tidak berstruktur dan secara spontan.
(iv) Apabila perbincangan telah selesai, satu kertas undi rahsia
(ballot) digunakan bagi membenarkan ahli-ahli
menyokong idea-idea yang disukai tanpa rasa khuatir
(takut). Idea yang menerima paling banyak undi akan
diterima dan dilaksanakan.
153
Selepas setiap ahli mencatatkan ide-ide individu dan mengemukakan
secara lisan kepada kumpulan, kumpulan tersebut membincangkan
semua idea dan kemudiannya mengundi untuk idea terbaik dalam kertas
undi rahsia.

(c) Teknik Delphi

Membantu kumpulan membuat keputusan. Teknik ini merupakan satu


proses membuat keputusan yang melibatkan sirkulasi soal-selidik
mengenai satu masalah yang khusus di kalangan ahli-ahli kumpulan,
berkongsi keputusan (hasil) soal-selidik sesama mereka dan kemudiannya
meneruskan sirkulasi semula dan menghalusi maklum balas individu
sehingga satu konsensus berhubung dengan masalah dicapai.

Berbanding dengan teknik kumpulan nominal dan percambahan fikiran,


teknik delphi tidak mempunyai ahli-ahli kumpulan yang bersemuka.
Langkah-langkah dalam menjalankan teknik ini adalah

(i) Mengenal pasti masalah.


(ii) Ahli-ahli kumpulan diminta mengemukakan alternatif
penyelesaian kepada masalah ini melalui penyelidikan
maklum balas (tanpa dicatatkan nama ahli) terhadap soal
selidik yang dibentuk secara teliti.
(iii) Maklum balas dari semua ahli kumpulan dikumpulkan
dan dikemukakan kepada semua ahli.
(iv) Ahli-ahli kumpulan secara individu diminta untuk
menjana satu penyelesaian individu yang baru kepada
masalah selepas mereka mengkaji maklum balas daripada
semua ahli lain dalam kumpulan yang dikumpulkan
(langkah 3).
(v) Langkah 3 dan langkah 4 diulang sehingga satu
konsensus penyelesaian masalah dicapai.

Ketiga-tiga teknik yang diterangkan di atas mempunyai kebaikan dan


keburukan. Percambahan fikiran (brainstorming) menawarkan kebaikan,
iaitu menggalakkan ekspresi seberapa banyak ide yang mungkin, tetapi
keburukannya adalah ia membazir-kan masa ahli kumpulan bila ada ide
yang tidak praktikal.

Teknik kumpulan nominal, yang menggunakan kertas undi rahsia


mengemukakan satu struktur di mana individu-individu boleh
menyokong atau menolak sesuatu ide tanpa khuatir atau takut kepada
tindak balas. Keburukannya, tidak ada cara untuk mengetahui mengapa
individu-individu mengundi sedemikian.

154
Kebaikan teknik delphi ialah bahawa idea-idea boleh dikumpulkan
daripada ahli-ahli kumpulan yang secara geografinya terpisah atau sibuk
untuk berjumpa secara bersemuka. Keburukannya ialah ahli-ahli tidak
dapat mengemukakan soalan di antara satu sama lain.

Oleh yang demikian, pengurus perlu secara teliti mempertimbangkan


kebaikan dan keburukan ketiga-tiga teknik tersebut dan mengambil salah
satu daripadanya atau beberapa kombinasi daripada ketiga-tiga teknik
tersebut untuk disesuaikan dengan suasana di dalam organisasi.

7.10 RUMUSAN

Membuat keputusan merupakan tugas pengurus yang perlu dilakukan


dalam menjalankan fungsi-fungsi pengurusan. Dari sudut pengurusan,
keputusan yang dibuat oleh pengurus boleh dibahagikan kepada dua
kategori iaitu keputusan yang ‘diprogramkan’ dan yang ‘tidak
diprogramkan’. Tugas membuat keputusan bukan hanya boleh dibuat
secara individu tetapi keputusan juga boleh dibuat secara berkumpulan.
Seperti juga proses pengurusan yang lain, membuat keputusan juga
mengandungi beberapa langkah yang perlu diikuti sebelum keputusan
yang muktamad diperoleh.

Cuba anda fikirkan kembali kenapa kaedah konsensus


banyak diamalkan oleh kebanyakan organisasi hari ini.

Cuba anda berikan contoh-contoh yang


menggambarkan keputusan yang diprogramkan
(programmed decisions) dan yang tidak diprogramkan (non-
programmed decisions).

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

Jawab betul atau salah bagi penyataan-penyataan berikut:

1. Keputusan yang diprogramkan (programmed decision) adalah rutin


dan berulang kali.
Betul/Salah

155
2. Keputusan adalah pilihan yang dibuat di antara dua atau lebih
alternatif.
Betul/Salah

3. Semakin luas skop keputusan yang perlu dibuat, semakin tinggi


tahap pengurus yang terlibat dalam membuat keputusan tersebut.
Betul/Salah

4. Teknik delphi adalah proses membuat keputusan dalam kumpulan


yang setiap ahli dipastikan akan mendapat peluang penglibatan
yang sama dalam membuat keputusan.
Betul/Salah

5. Untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan jayanya, ia


mestilah disokong oleh tindakan yang bersesuaian.
Betul/Salah

Soalan Esei

1. Terdapat dua jenis keputusan yang akan diambil oleh pengurus,


iaitu keputusan yang diprogramkan dan keputusan yang tidak
diprogramkan. Jelaskan maksud keputusan tersebut.

2. Nyatakan tiga situasi yang akan dialami oleh pengurus semasa


membuat keputusan.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 7.1

Keputusan merupakan pilihan yang dibuat di antara dua atau lebih


alternatif yang ada, manakala proses membuat keputusan adalah satu
proses membuat pemilihan alternatif yang terbaik untuk mencapai
sesuatu objektif.

156
SDT 7.2

Konsensus adalah merupakan satu kaedah yang digunakan oleh para


pengurus dalam membuat keputusan iaitu dengan mendapatkan
persetujuan daripada individu yang lain dalam organisasi apabila
membuat keputusan.

SDT 7.3

Reseptif merupakan ciri pembuat keputusan yang percaya bahawa


sumber bagi semua kebaikan adalah di luar daripada diri mereka dan
mereka sangat bergantung kepada cadangan daripada ahli-ahli lain dalam
organisasi. Eksploitasi pula merujuk kepada pembuat keputusan yang
percaya bahawa sumber bagi semua kebaikan adalah di luar daripada diri
mereka dan mereka bersedia untuk mengambil idea-idea orang lain.
Pembuat keputusan yang bercirikan halangan adalah mereka yang ingin
mengekalkan kedudukan mereka sebaik mungkin dan tidak suka
mendapatkan bantuan daripada orang lain manakala orientasi pemasaran
pula adalah pembuat keputusan yang melihat diri mereka sebagai
komoditi atau barangan yang sama nilainya dengan keputusan yang
dibuat dan mereka akan cuba meningkatkan nilai diri mereka.

SDT 7.4

(i) Mengenalpasti kewujudan masalah.


(ii) Menyenaraikan alternatif penyelesaian masalah.
(iii) Memilih alternatif yang paling sesuai.
(iv) Melaksanakan alternatif yang dipilih.
(v) Mendapatkan maklum balas yang berkait dengan masalah.

SDT 7.5

(i) Keadaan ketentuan yang sempurna.


(ii) Keadaan ketidaktentuan yang sempurna.
(iii) Keadaan berisiko.

157

Anda mungkin juga menyukai