Anda di halaman 1dari 4

Krisis Air di Malaysia? Apakah punca-puncanya?

Krisis air bermaksud sesuatu kawasan itu mengalami masalah pembekalan air bersih.
Contohnya, beberapa kawasan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan mengalami
catuan bekalan air selama beberapa bulan akibat krisis air ini. Maka, faktor-faktor yang
membawa kemelut air ini harus difahami oleh semua pihak supaya isu ini diselesaikan.

Sebab utama masalah air berlaku dikaitkan dengan fenomena musim kemarau yang
keterlaluan itu. Kejadian kemarau yang berpanjangan ini merupakan fenomena yang di luar
jangkaan semua pihak lalu menyebabkan langkah untuk mengawal bekalan air tidak
dilaksanakan segera. Akibatnya, banyak kawasan tadahan air hujan dan loji air tidak
mempunyai bekalan yang cukup untuk keperluan masyarakat kita itu.

Selain itu, krisis air ini disebabkan oleh sikap masyarakat kita yang suka membazirkan air
tersebut. Amalan negatif ini wujud kerana kadar tarif bekalan air di Malaysia begitu rendah
menyebabkan masyarakat tidak menghargai kemudahan bekalan air bersih itu. Ringkasnya,
masalah air berlaku kerana rakyat negara ini tidak memahami betapa pentingnya bekalan air
bersih itu lalu membazirkannya sahaja.

Tambahan pula, penyelenggaraan paip air yang tidak efektif telah menjadikan kemelut ini
semakin serius. Pihak yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan ini tidak menjalankan
tugas mereka sebaik mungkin sehingga membawa pelbagai kejadian paip pecah yang
membazirkan air itu. Lantaran itu, sikap sambil lewa pihak berkuasa dalam menjaga paip air
telah membawa krisis air ini terus menjadi bahan berita semasa negara ini.

Kajian telah membuktikan bahawa krisis air ini disebabkan juga oleh kadar pembangunan
yang keterlaluan oleh pihak berkuasa. Apabila pembangunan dilaksanakan tanpa kawalan
sudah pasti kualiti bekalan air yang diperoleh menjadi tidak baik kerana permintaan yang
terlalu tinggi itu. Jelaslah, pembangunan yang drastik ini membawa isu bekalan air menjadi
meruncing.

Kesimpulannya, semua faktor tadi membuktikan krisis air di negara ini memang wujud.
Kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya masyarakat tidak dibebankan dengan
masalah air saban tahun itu. Slogan jimatkan penggunaan air harus menjadi pegangan dalam
jiwa rakyat Malaysia supaya krisis air ini tidak lagi menjadi mimpi ngeri masyarakat kita.
Pengurusan Lestari Atasi Krisis Kekurangan Bekalan Air Bersih

Air merupakan anugerah Allah SWT yang sangat penting terhadap kehidupan sejagat. Tanpa
sumber air yang mencukupi adalah mustahil bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan
hidup. Penegasan berhubung kepentingan sumber air telah banyak dinukilkan di dalam al-
Quran. Antaranya, sebagaimana yang telah disentuh di dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan Dia menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu
pelbagai jenis buah-buahan yang menjadi rezeki untukmu. Dia juga telah menundukkan
bahtera bagimu supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah
pula menundukkan sungai-sungai bagimu” (Surah Ibrahim, ayat 32).

Secara umumnya negara kita mempunyai banyak sumber air. Namun demikian, dewasa ini
bekalan sumber air bersih semakin berkurangan sedangkan permintaan terhadapnya semakin
meningkat selari dengan peningkatan jumlah populasi penduduk. Mungkin timbul persoalan
dalam kalangan kita mengapa situasi sedemikian boleh berlaku sedangkan kita mempunyai
sumber air yang banyak di sekeliling kita.

Sebenarnya, keadaan ini timbul adalah ekoran daripada peningkatan jumlah penduduk dari
semasa ke semasa, selain pelbagai kegiatan berkaitan yang mengakibatkan berlakunya
pencemaran ke atas sumber air yang ada. Ia sekali gus meletakkan kita di dalam krisis yang
meruncing untuk mendapatkan bekalan air bersih yang mencukupi bagi menampung segala
aktiviti seharian. Bukan itu sahaja, malah terdapat pelbagai faktor lain yang menyumbang
kepada berlakunya masalah kekurangan bekalan air bersih. Antaranya ialah peningkatan suhu
global, yang mana ia telah menyebabkan kadar kehilangan air berlaku dengan lebih cepat
akibat daripada proses penyejatan air yang tinggi ke atmosfera.

Selain itu, pencemaran akibat daripada pengurusan sisa buangan yang tidak sistematik juga
telah menyebabkan sumber air bersih tercemar. Misalnya, longgokan sampah di tapak-tapak
pelupusan sampah telah menyebabkan terhasilnya sisa toksik yang seterusnya akan mengalir
ke sungai-sungai dan sumber air bersih yang lain. Pengaliran sampah dan sisa toksik ini
akhirnya menyebabkan air tercemar dan bekalan air bersih menjadi semakin berkurang.
Lebih memburukkan lagi krisis sumber air bersih ialah apabila simpanan air bawah tanah
juga semakin berkurangan. Sedangkan air bawah tanah merupakan antara sumber bekalan air
bersih yang cukup penting dan perlu dipelihara. Situasi ini terjadi dek kerana kegiatan
pembalakan yang kian berleluasa pada hari ini sehingga menjejaskan kawasan tadahan air.

Malah, pembangunan pesat yang berlaku secara tidak terancang juga telah menyebabkan air
hujan tidak serap ke dalam tanah. Sebaliknya ia terus mengalir ke sungai-sungai. Keadaan ini
telah mengakibatkan kuantiti air bawah tanah menjadi semakin berkurangan dan seterusnya
ia telah menjejaskan mutu bekalan air.
Perkara-perkara seumpama itu tidak seharusnya dibiarkan terus berlaku. Ini kerana, jika
dibiarkan berlanjutan ia akan menyumbang kepada permasalahan lain yang lebih besar pada
masa hadapan, yang mana kesan daripada kekurangan bekalan air bersih akan turut
menjejaskan kesihatan masyarakat. Misalnya, akibat daripada kekurangan sumber air bersih
untuk diminum akan menyebabkan berlakunya dehidrasi yakni kekurangan air dalam badan,
selain boleh menyebabkan berlakunya penyakit seperti taun kerana terpaksa meminum air
yang tercemar.

Masalah kekurangan bekalan air tidak hanya memberi kesan ke atas manusia, sebaliknya ia
turut memberi kesan ke atas sumber tanah iaitu menyebabkan tanah menjadi kontang.
Bahkan, air yang tercemar akan turut menjejaskan kualiti tanah dan ini sekali gus akan turut
menjejaskan aktiviti pertanian. Apabila aktiviti pertanian terjejas, maka ia secara langsung
akan memberi kesan ke atas bekalan makanan daripada hasil pertanian yang seterusnya juga
akan turut memberi kesan yang besar ke atas kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Lebih membimbangkan lagi apabila masalah kekurangan air bersih juga akan menyumbang
kepada berlakunya kepupusan terhadap kepelbagaian flora dan fauna. Sebagaimana manusia,
secara fitrahnya flora dan fauna juga memerlukan sumber air bersih untuk hidup. Justeru,
sumber air yang tercemar akan menyebabkan flora dan fauna mati akibat daripada
kekurangan air. Natijahnya, kepupusan yang berlaku ke atas flora dan fauna akan memberi
kesan yang lebih serius lagi seperti mengakibatkan ketidakseimbangan ke atas ekosistem
yang akhirnya akan turut mengancam kehidupan manusia.

Melihat kepada kesan-kesan yang bakal dihadapi akibat daripada kekurangan bekalan air
bersih, seharusnya kita muhasabah diri dan berusaha bagi menanganinya sehingga ke akar
umbi agar kita tidak terjebak ke dalam krisis yang lebih buruk lagi pada masa akan datang.
Kesedaran awal tentang keperluan memelihara dan memulihara sumber bekalan air adalah
penting bagi memastikan kita sentiasa memperoleh bekalan air bersih untuk menjamin kualiti
hidup yang baik bukan sahaja pada hari ini tetapi juga pada hari-hari yang mendatang.

Justeru, antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan bekalan air bersih
ialah dengan memperbanyakkan lagi pembinaan loji rawatan air. Ini bagi membolehkan air
sungai, air tasik dan air dari sumber lain yang tercemar diproses menjadi sumber air bersih.

Selain itu, peningkatan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R & D) juga sangat
penting dalam membantu menambah sumber bekalan air bersih. Ini kerana, aktiviti
penyelidikan dan pembangunan secara proaktif akan membuka laluan yang lebih luas kepada
penciptaan alatan moden dan canggih bagi merawat air buangan dengan lebih efektif. Malah,
melalui R & D juga air laut boleh diproses untuk dijadikan sebagai air minuman.
Langkah seterusnya yang boleh diambil dalam meningkatkan sumber air bersih ialah dengan
menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air bagi memastikan bekalan air bawah tanah
dapat dimaksimumkan. Oleh yang demikian, segala aktiviti pembalakan dan penerokaan
hutan perlu dipantau dan dikawal agar dapat menyediakan lebih banyak lagi kawasan tadahan
air.

Di samping itu, pembuangan sisa kimia dan toksik juga perlu dikawal bagi memastikan
sumber bekalan air tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencemaran. Misalnya, sisa
buangan kimia dari aktiviti pertanian dan industri perlu diurus secara lebih sistematik agar
pencemaran ke atas sumber air dapat dielakkan.

Sudah tiba masanya kita memikirkan dengan lebih serius lagi berhubung isu kekurangan
bekalan air bersih yang bukan sahaja melanda negara kita tetapi juga negara-negara lain di
seluruh dunia pada hari ini. Kita perlu sedar bahawa isu ini bukan suatu isu yang terpencil,
sebaliknya ia merupakan isu global yang sangat serius yang perlu diberi perhatian yang
sewajarnya oleh semua pihak.

Justeru, penglibatan seluruh anggota masyarakat dalam usaha memulihara sumber air adalah
penting bagi memastikan kemelut ini dapat diatasi. Mudah-mudahan dengan kesedaran
seluruh anggota masyarakat berhubung perkara ini akan dapat mempertingkatkan lagi tahap
kebersihan sumber air kita. Lebih-lebih lagi dalam memastikan pengurusan dan pemeliharaan
sumber air yang lebih mapan dan lestari pada masa akan datang agar anak cucu kita tidak
mewarisi sumber bekalan air yang tercemar.

Anda mungkin juga menyukai