Anda di halaman 1dari 10

1.

0 Konsep Kolaborasi dalam Pengajaran Berkesan


Mutu hasil pembelajaran pelajar bergantung kepada cara pengajaran guru dalam
menyampaikan sesuatu ilmu atau kemahiran semasa proses pengajaran dan
pembelajaran (PdP). Raba (2017) menyatakan dengan jelas bahawa seseorang guru
berperanan menentukan bahan pengajaran terbaik serta memandu pelajar ke arah
sumber pengetahuan yang boleh dipercayai. Malahan Nor Lela dan Nur Afrina (2020)
berpendapat guru bertanggungjawab dalam menentukan keberkesanan proses
pembelajaran melalui pengajarannya. Teknik atau cara pengajaran seseorang guru
di dalam bilik darjah perlu diberi perhatian rapi untuk memastikan proses
penyebaran ilmu berjalan lancar dan pelajar memperoleh pendidikan yang
bermakna.
Rentetan dari perkembangan teknologi abad ke-21, corak dan senario sistem
pendidikan telah mengalami inovasi dan transformasi secara holistik yang mana turut
membawa perubahan kepada kaedah atau pendekatan sesuatu proses pengajaran
dan pembelajaran (PdP). Teknik atau kaedah pengajaran secara konvensional yang
lebih berpusatkan guru dianggap tidak lagi releven dalam dunia pendidikan masa kini
sebaliknya pembelajaran berorientasikan pelajar sedang diarusperdanakan secara
radikal. Sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan tidak dapat
diwujudkan jika hanya satu pihak sahaja yang memainkan peranan. Kolaborasi dari
kedua belah pihak atau lebih diperlukan untuk memastikan keberkesanan proses
pengajaran dan pembelajaran.
Berenyi & Deutsch (2018) menyatakan antara amalan pengajaran guru yang
berkesan termasuklah amalan pengajaran yang menggalakkan kerjasama antara
pelajar, menyokong pembelajaran secara aktif dan usaha guru dalam meningkatkan
pencapaian pelajar. Berdasarkan Model pengajaran Slavin (1995), tahap pengajaran
berkesan dapat dicapai jika guru-guru berkebolehan menyesuaikan pengajarannya
dengan tahap motivasi pelajar untuk belajar, mengurus perilaku pelajar, membentuk
kumpulan pelajar dalam pengajaran dan menguji serta menilai pelajar. Melalui model
pengajaran Slavin 1995 ini jelas menunjukkan pengajaran yang berkesan dapat
diwujudkan jika guru menerapkan budaya kolaborasi dalam pembentukan kumpulan
pelajar untuk menyiapkan sesuatu tugasan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran.
Kolaborasi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) ialah hubungan erat
dari segi kerjasama antara dua pihak atau lebih. Manakala menurut Md Izzat (2013),
kolaborasi tidak hanya bererti bekerja bersama-sama tetapi bermaksud bekerjasama
mencapai tujuan bersama yang tidak dapat dicapai oleh seseorang individu atau
organisasi. Kolaborasi merupakan satu gaya perhubungan secara lansung dalam
mencapai matlamat yang sama (Friend & Cook, 2012). Kesimpulannya, kolaborasi
secara umumnya bermaksud perhubungan erat atau permuafakatan ahli dalam
sesuatu kumpulan yang saling bergantung antara satu sama lain untuk membuat
keputusan bagi mencapai matlamat yang sama. Budaya kolaborasi boleh dilihat
dalam hubungan dua hala atau usaha sama seorang guru dengan guru yang lain,
antara guru dan pelajar, antara guru dengan pentadbir sekolah dan sebagainya.

1.1 Kolaborasi guru dan pelajar dalam mewujudkan pengajaran berkesan


Teknik kolaborasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan
pendekatan yang sesuai diterapkan dalam bilik darjah. Guru perlu sedia maklum
bahawa setiap pelajar mempunyai keupayaan pembelajaran, personaliti dan gaya
pembelajaran yang berbeza. Seseorang guru perlu memahami psikologi anak
muridnya untuk memastikan gaya pengajaran yang digunakan sesuai dengan gaya
pembelajaran pelajar. Ini kerana Rehman & Heider (2013) menjelaskan psikologi
seseorang pelajar memainkan peranan penting dalam gaya pembelajarannya. Ada
sesetengah pelajar yang selesa belajar secara berkumpulan dan terdapat juga
setengah pelajar yang lebih gemar belajar bersendirian. Abdul Rasid et al. (2013)
menyatakan seorang guru perlu menetapkan aras pengajaran yang baik untuk
mengelakan pelajar bijak menjadi bosan dan pelajar lemah merasa pengajaran guru
terlalu sukar.Dengan kata lain, seorang guru perlu tahu tentang ‘apa’ yang hendak
diajar dan ‘bagaimana’ untuk mengajar sesuatu perkara kepada pelajar (Cathrine
dan Sabariah, 2019).
Seseorang guru dikatakan mempunyai cara pengajaran yang berkesan apabila
anak muridnya memahami isi pengajaran atau konsep ilmu yang diterapkan sewaktu
proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Lantaran itu, guru perlu menjalin
hubungan erat dengan pelajar untuk memastikan sesuatu pengetahuan atau
kemahiran dapat disampaikan secara efektif dan berkesan. Seseorang guru
disarankan untuk mengadakan pengajaran secara aktif agar pelajar dapat mendalami
proses pembelajaran dengan lebih efektif dan mampu menghubungkait tahap
pemikiran mereka dengan isi pengajaran guru. Selain itu, guru perlu mewujudkan
satu persekitaran pembelajaran koperatif dan kolaboratif yang mana dapat
meningkatkan motivasi pelajar dan mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif
dalam bilik darjah. Melalui pembelajaran koperatif dan kolaboratif, murid dapat
memahami sesuatu konsep ilmu dengan mudah, menggalakkan kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif, meningkatkan pencapaian, pengetahuan berterusan dan
motivasi pelajar (Bhavani dan Zamri, 2017). Bukan sahaja itu, guru juga berperanan
mewujudkan bilik darjah yang bersifat kolaboratif supaya dapat membantu
meningkatkan pencapaian kumpulan atau individu (Yahya, 2005). Kolaborasi antara
guru dan pelajar dapat dilihat apabila seorang guru memberi tugasan dalam
kumpulan yang memerlukan penglibatan setiap pelajar yang berbeza dari segi tahap
kognitif dan pemikiran. Dalam aktiviti berkumpulan, semua ahli berhak untuk
menyuarakan pendapat dan berkongsi pengetahuan. Aktiviti ini juga menggalakkan
pelajar bijak membantu rakannya yang lemah untuk memastikan tiada seorang pun
pelajar yang ketinggalan mengikuti perkongsian pengetahuan pada masa itu.

1.2 Kolaborasi guru dan guru dalam mewujudkan pengajaran berkesan


Kolaborasi merangkumi interaksi setiap anggota dalam sesuatu kumpulan untuk
saling memahami antara satu sama lain dalam usaha mencapai matlamat yang
dipersetujui bersama (Norshidah et al., 2016). Budaya kolaborasi terbentuk apabila
pendidik secara intelektual dan fizikal berkongsi kualiti pengajaran dan pembelajaran
dalam pertemuan secara bersemuka (Kamarudin et al., 2019). Kolaborasi dalam
kalangan warga pendidik untuk mewujudkan pengajaran berkesan dapat dilihat
melalui pelaksanaan Komuniti Pembelajaran Profesional ( Professional Learning
Community-PLC) dan juga pendekatan pengajaran kolaboratif (PPK).
Zuraidah (2010) meyatakan Komuniti Pembelajaran Profesional (KPP)
didefinisikan sebagai melahirkan budaya belajar untuk belajar yang menggambarkan
senario guru belajar, murid-murid juga belajar. Pengamalan KPP dapat membantu
mengubah amalan pengajaran, keperluan pembelajaran murid dapat difokuskan dan
mewujudkan pengajaran yang berkesan (Waters, 2009). Hal ini disokong oleh
pendapat DuFour (2004) yang menjelaskan kolaborasi dalam KPP membolehkan
guru berkongsi amalan pengajaran yang sama dalam bentuk pengetahuan ataupun
perkongsian alat bantu mengajar. Sebagai contoh, guru cemerlang boleh berkongsi
teknik dan strategi pengajaran dengan guru novis untuk bersama-sama memperbaiki
kualiti pengajaran bagi mencapai teknik pengajaran yang berkesan kearah
meningkatkan pencapaian murid dalam sesuatu matapelajaran.
Seterusnya, pendekatan pengajaran kolaboratif (PPK) perlu diterapkan dalam
budaya pendidikan bagi memastikan keberkesanan kaedah pengajaran. Menurut
Adam et al. (2017), pengajaran kolaboratif biasanya melibatkan dua orang guru
yang bekerjasama secara kolaboratif dalam merancang, menyediakan rancangan
pengajaran, melaksanakan dan menilai pencapaian aspek yang ditumpukan dalam
mata pelajaran. Mohd Asnorhisham dan Abdul Rahim (2018) menyatakan pengajaran
kolaboratif merupakan satu sumber pembelajaran secara profesional melalui
rundingan persahabatan dan teguran ikhlas dari rakan sekerja. Guru-guru perlulah
bersikap terbuka berkongsi pendapat mengenai teknik pengajaran dan menerima
dengan positif kritikan yang diberikan oleh rakan guru yang lain bagi tujuan
perkongsian bersama untuk belajar memantapkan kaedah pengajaran. Freudenstein
(1991) meyatakan terdapat tiga bahagian utama dalam pengajaran yang
menerapkan konsep pengajaran kolaboratif seperti yang ditunjukkan dalam Rajah
1.
1) Pra-pengajaran - Peringkat perancangan dan persediaan
2) Pengajaran - Peringkat persembahan dan pelaksanaan.
3) Pasca-pengajaran - Peringkat penilaian dan pengubahsuaian.

Rajah 1 Konsep Pengajaran Kolaboratif (Freudenstein 1991)

Antara aktiviti yang melibatkan kolaborasi warga pendidik yang semakin mendapat
tempat dalam sistem pendidikan terutamanya negara maju ialah pelaksanaan lesson
study. Lesson study adalah berasaskan teori pembelajaran sosial konstruktivisme
(Rock & Wilson, 2005) yang memberi tumpuan kepada pembelajaran individu melalui
interaksi dalam kumpulan, masyarakat, rakan sebaya dan persekitaran (Olusegun,
2015). LS dalam bahasa Jepun “jugyoukenkyuu” merujuk kepada amalan bagi
meningkatkan PdP yang melibatkan sekumpulan guru berkolaborasi menggembleng
idea, pengalaman dan kemahiran meningkatkan isi kandungan serta pengetahuan
pedagogi guru untuk memastikan mereka boleh membaiki teknik pengajaran ke arah
mewujudkan kaedah pengajaran berkesan. Terdapat beberapa kajian yang
menyokong bahawa pelaksanaan LS boleh meningkatkan kualiti PdP dengan
membangunkan pendekatan pengajaran yang bermakna antaranya kajian Maths
Development Team (2017), Coenders & Verhoef (2018) dan Uştuk & Çomoğlu
(2019). Terdapat aktiviti lain yang melibatkan kolaborasi antara guru dalam
meningkatkan kualiti pengajaran untuk mencapai teknik dan strategi pengajaran
berkesan antara ialah
Ringkasnya, guru berperanan besar untuk memastikan proses pembelajaran dan
pengajaran berlaku secara efektif dan berkesan. Setiap guru bertanggungjawab
memastikan keberkesanan proses pembelajaran dengan membaiki kualiti pengajaran
dan menguasai setiap konsep pengetahuan isi kandungan dan pedagogi sesuatu
mata pelajaran. Kepakaran dalam subjek yang diajar juga diperlukan oleh seseorang
guru agar dapat menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada pelajarnya. Kreativiti
dalam menyampaikan ilmu dan menyediakan bahan bantu mengajar yang menarik
perlu ada dalam diri setiap guru agar minat dan motivasi pelajar dapat ditingkatkan.
Guru perlu bijak menerapkan budaya kolaborasi yang memerlukan penglibatan aktif
pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar matlamat sesuatu PdP itu
dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Kolaborasi antara rakan-rakan guru juga penting dalam usaha membaik pulih
teknik dan strategi pengajaran untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan
penyampaian ilmu yang efektif dapat diwujudkan. Ibu bapa juga perlu mendirikan
jalinan kolaborasi dengan pihak sekolah khususnya guru untuk menambah
keberkesanan pengajaran dan melahirkan anak didik yang seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani dan intelek. Jalinan kolaborasi ini bukan sahaja penentu
kepada kejayaan sesuatu proses pengajaran guru malah mampu memberi kesan
positif terhadap pembelajaran murid dalam usaha sama menghasilkan individu yang
mampu mendepani cabaran abad ke-21.
Rujukan
Abdul Rasid, J., & Hasmah, I. (2013). Pelaksanaan Pembelajaran Menyeronokkan
dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa
Melayu, 3(2), 49–63.
Adam, Mohd Asnorhisham, Hamdan, Abdul Rahim, Salim, Noraini, and Jamian,
Jaafar. 2017. “Enhancing Malay Language Literacy Proficiency Through
Collaborative Teaching Approach.” Serials Publications 97 (12): 21–29.
Bhavani Somasundram dan Zamri Mahamod. (2017). Keberkesanan Pembelajaran
Koperatif Terhadap Pencapaian dan Motivasi Murid Sekolah Menengah Dalam
Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM ( Malay
Language Educational Journal – MyLEJ). ISSN: 2180-4842, Vol. 7(1):11-23.
Berenyi, L. & Deutsch. N. 2018. Effective teaching methods in business higher
education: A student’s perspective. International Journal of Education and
Information Technologies 12: 37-45.
Cathrine Masingan dan Sabariah Sharif. (2019). Pengetahuan Pedagogi Kandungan
(PPK) Guru Bukan Pengkhususan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di Sekolah
Coenders, F. & Verhoef, N. (2018). Lesson study: professional development (PD) for
beginning and experienced teachers. Professional Development in Education,
DOI:http://doi.org/10.1080/19415257.2018.1430050
DuFour, R., Eaker, R., & Many. (2006). Learning by doing: A handbook for
professional learning communities at work. New York: Teachers College Press
Menengah. Malaysian Jurnal of Science and Humanities (MJSSH). Vol.4(6):64-71.
Freudenstein, R. (1991). Issues and Problems in primary education. In C.Kenedy &
J.Jarvis (Eds.), Ideas and Issues in primary ELT. (pp 18-22). Walton-on-Thames:
Nelson in association with center for British Teachers.
Friend, M. & Cook, L. (2012). Interactions: Collaboration skills for school
profesionals. 7 th Edition. Boston: Pearson.
Kamarudin Ismail, Rosnah Ishak, Fanny Kho Chee Yuet dan Siti Hajar Kamaruddin.
(2019). Komuniti pembelajaran professional sebagai budaya kolaborasi
professional sekolah: Teori dan Amalan. GEOGRAFIA Online TM Malaysian Journal
of Society and Space 15 issue 4 (261-273). DOI: http://doi.org/10.17576/geo-
2019-1504-19.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005), Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Maths Development Team. (2017). A Handbook for Lesson Study. Ireland: PDST.
Md Izzat Sarip. (2013). Keberkesanan Pengajaran Bahasa Melayu secara kolaborasi
dan Penerapan ICT dalam Pembelajaran. Seminar Bahasa Melayu 2013.
Diperoleh pada 30 November 2020 dari https://docplayer.net/51564461-
Keberkesanan-pengajaran-bahasa-melayu-secar a-kolaborasi-dan-penerapan-ict-
dalam-pembelajaran.html.
Mohd Asnorhisham Adam dan Abdul Rahim Hamdan. (2018). Impak Pendekatan
Pengajaran Kolaboratif Terhadap Penguasaan Standard Asas Menulis Literasi
Bahasa Melayu Tahap Satu. Conference Paper LSP-GABC 2018, International
Conference At Malaysia. Diperoleh pada 29 November 2020 dari
http://www.researchgate.net/publication/326774859_Impak _pendekatan_Penga
jaran_Kolaboratif_Terhadap_Penguasaan_Standard_Asas_Menulis_Literasi-Bahas
a_Melayu_Tahap-Satu.
Noorlela Ahmad dan Nur Afrina Haziqah Azman (2020). Tahap Amalan Pengajaran
Berkesan Guru Prinsip Perakaunan Berasaskan Model Slavin. Jurnal Pendidikan
Malaysia 45(1):53-62. DOI: http//dx.doi.org/10.155/JPEN-2020-45.01-16.
Norshidah Mohamad Salleh, Manisah Mohd Ali, Rosadah Abd Majid dan Khalim
Zainal. (2016). Kolaborasi Universiti, Sekolah dan Komuniti Menerusi Pembelajaran
Tindakan dan Jaringan. Asian Comparative Education Research Network
Conference, November 30th – December 01st 2016. ISBN:978-983-2267-95-9.
Olusegun, B.S. (2015). Constructivism learning theory: a paradigm for teaching and
learning. Journal of Research & Method in Education, 5(6), 66-70
Raba, A. A. 2017. The impact of effective teaching strategies on producing fast and
good learning outcomes. International Journal of Research – Granthaalayah
5(1): 43-58.
Rehman, A. & Heider, K. 2013. The impact of motivation on learning of secondary
school students in Karachi: An analytical study. Educational Research
International 2(2): 139-147
Rock, T.C. & Wilson, C. (2005). Improving teaching through lesson study. Teacher
Education Quarterly, Winter, 77-92.
Slavin, R. E. 1995. A model of effective instruction. The Educational Forum 59(2),
166- 176.
Uştuk, Ö. & Çomoğlu, İ. (2019). Lesson study for professional development of
English language teachers: key takeaways from international practices. Journal on
Efficiency and Responsibility in Education and Science, 12(2), 41-50. Diperoleh
pada 27 November 2020 dari http://dx.doi.org/10.7160/eriesj.2019.120202
Yahya Othman. (2005). Trend dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Siri Pengajaran
Bahasa. Perpustakaa Negara Malaysia. Diperoleh pada 27 November 2020 dari
https://books.google.com.my/books?id=z2Fvz376TYcC&printsec=frontcover&dq
=Rujukan+buku+Pengajaran+Kolaboratif&hl=en&sa=X&ved=2ahUKEwiihdiy1bL
tAhXD7HMBHQNRDwsQ6AEwAXoECAIQAg#v=onepage&q&f=false
Zuraidah Abdullah. (2010). Pembentukan profil Komuniti Pembelajaran Profesional
Sekolah Menengah di Malaysia. Tesis Master yang tidaj diterbitkan. Institusi
Pengajian Kepengetuan Universiti Malaya.
Sumber: https://books.google.com.my/books?
id=z2Fvz376TYcC&printsec=frontcover&dq=Rujukan+buku+Pengajaran+Kolaboratif
&hl=en&sa=X&ved=2ahUKEwiihdiy1bLtAhXD7HMBHQNRDwsQ6AEwAXoECAIQAg#v
=onepage&q&f=false

Anda mungkin juga menyukai