Anda di halaman 1dari 2

TUTORIAL 5

SOALAN:

Sebagai seorang guru pakar di sekolah tersebut, cadangkan cara yang dapat digunakan
untuk membantu Cikgu Nik memenuhi tuntutan tanggungjawab profesion keguruannya

JAWAPAN:

Pada hemat saya sebagai rakan guru di sekolah, terdapat beberapa cara untuk
membantu Cikgu Nik memenuhi tuntutan tanggungjawabnya sebagai guru di sekolah.
Pertama, memberikan nasihat serta sokongan kepada Cikgu Nik. Seperti yang kita tahu,
dalam proses melaksanakan tugas dan tanggungjawab, guru sering berhadapan dengan
pelbagai cabaran, halangan dan tentangan. Segala permasalahan dan isu berkaitan
dengan guru sedikit sebanyak telah mencetuskan tekanan kepada guru. Menurut
Abdullah Harun (2014), stres guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi
yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan
kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai seorang guru. Maka, stres merupakan
tindak balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh
menyebabkan ketidakseimbangan berlaku. Oleh kerana itu, sebagai rakan sejawat, saya
akan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh Cikgu Nik, dan seterusnya memberikan
bantuan, sokongan dan dorongan kepadanya untuk mengatasi masalah tersebut.

Selain itu, berdasarkan prinsip etika kerja yang telah digariskan, saya juga perlu
sentiasa mengingatkan Cikgu Nik untuk membetulkan semula niatnya serta
mempamerkan tingkah laku yang baik. Sebagai seorang guru, sesuatu tindakan itu
perlulah didasarkan kepada niat kita yang baik dan betul, bukannya atas sebab perkara
lain yang tidak selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru memikul
tanggungjawab serta amanah yang sangat besar. Oleh kerana itulah, guru hendaklah
sentiasa menetapkan niat untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada anak didik.
Dari segi perlakuan yang baik, cara bekerja individu adalah ke arah mencapai hasil yang
berkualiti di samping memperbaiki imej organisasi. Oleh itu, Kementerian Pelajaran
Malaysia menggalakkan guru supaya sentiasa menunjukkan penampilan diri, pertuturan
dan perbuatan yang terbaik sepanjang masa. Penjawat awam perlu menampilkan diri
sebagai seorang yang dinamik, maju, berdaya saing dan dapat mendorong seseorang
melakukan kebaikan dan menjadi sumber inspirasi kepada rakan sejawat. Penjawat
awam juga harus sentiasa menunjukkan ketekalan dalam tanggapan, pengucapan dan
tindakan, sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain, misalnya menepati apa yang
dinyatakan dalam piagam pelanggan. Justeru, jika Cikgu Nik mengamalkan prinsip etika
kerja sebagai guru, tidak mustahil untuk dia menjalankan tanggungjawab dalam profesion
keguruannya.

Tambahan pula, setiap guru perlu berpegang pada prinsip kod etika keguruan.
Kod etika profesion keguruan sama seperti profesion yang lain seperti kejuruteraan,
perubatan dan guaman. Bagi seorang guru, mereka perlu mematuhi kod etika ini demi
menjaga imej, maruah, status, akhlak dan keperibadian seseorang guru. Lebih-lebih lagi
dalam konteks negara kita Malaysia, imej yang dipertontonkan oleh seseorang guru perlu
boleh diteladani oleh anak-anak muridnya supaya imej dan maruah guru dapat
dimartabatkan dan diletakkan di tempat yang tinggi. Di Malaysia, “Tatasusila Profesion
Keguruan” yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, adalah merupakan
landasan dan garis panduan untuk setiap guru menjaga imej profesionnya iaitu daripada
aspek tanggungjawab terhadap murid, ibu bapa, masyarakat dan negara serta rakan
sejawat dan profesion keguruan. Oleh itu, dengan mematuhi dan melaksanakan kod etika
keguruan ini, Cikgu Nik pasti dapat menjalankan tugasnya sebagai guru dengan penuh
berwibawa.

Kesimpulannya, isu yang dihadapi berkaitan dengan Cikgu Nik tidak sewajarnya
dipandang remeh. Perguruan adalah satu profesion yang bermatlamatkan pembentukan
insan manusia yang sempurna agar manusia yang sempurna itu mengerti peranan dan
tanggungjawab mereka terhadap diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.
Menurut perspektif agama kedudukan seseorang guru adalah setaraf dan semulia
pemimpin negara dan tugas mendidik ahli masyarakat meruoakan satu ibadah yang
dituntut.

Anda mungkin juga menyukai