Anda di halaman 1dari 11

MINGGU 2

Tajuk: Mengakses maklumat daripada internet dan sumber rujukan


tentang kaedah hubungan antarabangsa.

http://www.scribd.com/doc/62455668/Hubungan-Antarabangsa

Apa itu Hubungan Luar?


Ilmu membantu manusia memahami fenomena alam dengan lebih jelas
dan sistematik. Lebih tepat lagi ia membantu manusia menjelaskan sebab,
cara, masa dan tempat sesuatu fenomena alam itu berlaku. Peristiwa-
peristiwa tersebut sukar dijelaskan hanya dengan berpandukan suatu bidang
pengetahuan. Peristiwa-peristiwa yang berlaku itu menyebabkan manusia
lebih matang dan berhati-hati dalam tindakan yang mereka lakukan.   
Ilmu membantu manusia memahami fenomena alam dengan lebih jelas dan
sistematik. Lebih tepat lagi ia membantu manusia menjelaskan sebab, cara,
masa dan tempat sesuatu fenomena alam itu berlaku. Peristiwa-peristiwa
tersebut sukar dijelaskan hanya dengan berpandukan suatu bidang
pengetahuan. Peristiwa-peristiwa yang berlaku itu menyebabkan manusia
lebih matang dan berhati-hati dalam tindakan yang mereka lakukan.

Sebagai contoh, konflik yang berlaku kepada seseorang atau dalam


hubungan individu dengan individu lain mungkin boleh dijelaskan melalui
pelbagai bidang ilmu seperti psikologi, sosiologi dan sains politik. Bagaimana
pula dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada skala yang lebih besar?
Contohnya konflik yang berlaku dalam hubungan antara sesebuah negara
dengan negara yang lain atau antara negara dengan entiti-entiti lain dalam
hubungan antarabangsa seperti syarikat-syarikat multinasional dan
organisasi-organisasi antarabangsa.

Jelas di sini bidang kepakaran tertentu diperlukan bagi memahami kes-kes


seperti yang dinyatakan di atas. Berdasarkan keperluan tersebutlah maka
bidang hubungan antarabangsa diperkenalkan sebagai suatu cabang ilmu
yang bermanfaat membantu hubungan antara manusia sebagai satu
masyarakat atau komuniti dengan masyarakat lain. Apabila bercakap
berkenaan perkaitan bidang ini dengan tindakan yang dilakukan, pihak yang
paling rapat berkait dengan soal ini ialah penganalisis dan pembuat dasar
bagi sesebuah negara. Peristiwa 11 September 2001 mengajar pembuat
dasar supaya lebih berwaspada dan berhati-hati. Perbincangan berkenaan
sistem antarabangsa, aktor-aktor yang terlibat dalam sistem antarabangsa
dan pendekatan-pendekatan dalam hubungan antarabangsa yang digunakan
oleh penganalisis dan pembuat dasar perlu diketahui agar kefahaman
mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku pada peringkat antarabangsa lebih
jelas dan seterusnya dapat menghasilkan dasar yang lebih baik dan rasional.

Apa itu Hubungan Antarabangsa?

1
MINGGU 2

Cara terbaik memahami maksud istilah hubungan antarabangsa ialah


dengan mentakrifkannya secara literal iaitu sebagai kajian berkenaan
hubungan atau interaksi yang melampaui sempadan negara. Berdasarkan
takrif umum ini andaian dapat dilakukan di sini bahawa hubungan yang
melampaui sempadan bukan sahaja melibatkan hubungan antara negara
dengan negara bahkan juga ia merupakan hubungan yang turut melibatkan
entiti-entiti (atau dalam istilah politik disebut sebagai aktor) lain. Entiti ataupun
aktor-aktor tersebut terdiri daripada organisasi dan institusi antarabangsa,
syarikat-syarikat multinasional dan individu-individu.

Secara tradisinya ia lebih ditakrifkan sebagai hubungan yang hanya


melibatkan negara iaitu unit terpenting yang dikaji dalam bidang ini. Takrif
sedemikian berlaku kerana ia mempunyai kaitan dengan latar belakang
perkembangan bidang ini sekitar dua peperangan dunia antara 1914-1945.
Namun, pengkaji-pengkaji hubungan antarabangsa selepas era tersebut
terutamanya sekitar 1960-an dan 1970-an mula memberi tempat kepada
peranan aktor-aktor lain dalam hubungan ini.

Menurut Beridge (1992: 1), kajian hubungan antarabangsa melibatkan


subjek yang luas merangkumi aktiviti-aktiviti pelbagai bentuk negara (kuasa
besar, negara kapitalis, demokratik liberal dan sebagainya) dan aktor-aktor
antarabangsa lain seperti syarikat-syarikat multinasional. Ia juga merangkumi
kajian mengenai kaedah negara-negara tersebut mencapai dasar luar mereka
seperti propaganda serta kajian mengenai peraturan dan institusi-institusi
sistem negara yang terlibat dalam hubungan tersebut. Goldstein (1994:1)
menjelaskan maksud hubungan antarabangsa dengan lebih khusus merujuk
sebagai kajian mengenai hubungan antara kerajaan-kerajaan. Di samping itu
beliau turut memberi penekanan pada peranan aktor-aktor lain yang turut
terlibat dalam hubungan tersebut seperti organisasi antarabangsa, syarikat
multinasional, individu-individu.

Beliau menambah lagi bahawa hubungan politik ini dipengaruhi oleh faktor
geografi dan sejarah. Berdasarkan hakikat tersebut beliau berpendapat
bidang hubungan antarabangsa adalah bidang kajian yang luas kerana ia
melibatkan bidang-bidang ilmu lain. Henderson (1998: 1) mentakrifkan
hubungan antarabangsa sebagai proses pembahagian kuasa di antara
negara-negara di peringkat antarabangsa manakala Holsti (1995: 19)
beranggapan bahawa bidang ini merujuk kepada semua bentuk interaksi
antara anggota-anggota pelbagai masyarakat (negara) sama ada disokong
oleh kerajaan ataupun tidak. Jelas di sini hubungan antarabangsa adalah
kajian mengenai hubungan dan interaksi antara pelbagai aktor di peringkat
antarabangsa dan berdasarkan takrif-takrif di atas kita boleh bahagikan aktor
hubungan antarabangsa kepada dua bentuk iaitu aktor negara dan aktor

2
MINGGU 2

bukan negara.

Aktor-Aktor Hubungan Antarabangsa

Siapakah aktor dalam hubungan antarabangsa? Daripada suatu segi


soalan ini mudah dijawab kerana berdasarkan takrif-takrif sebelum ini, negara
dilihat sebagai satu-satunya aktor yang dimaksudkan berdasarkan hakikat
pertama, sifat hubungan adalah melampaui sempadan (iaitu satu ciri utama
negara). Kedua, aktor-aktor lain yang terlibat adalah entiti-entiti yang
terkandung atau mewakili negara-negara tertentu sama ada disokong
ataupun tidak oleh kerajaan masing-masing. Lebih khusus lagi sebenarnya
hubungan yang dimaksudkan di sini melibatkan kerajaan negara-negara di
dunia. Dalam hubungan antarabangsa, para pengkaji hubungan
antarabangsa mengkaji keputusan dan tindakan kerajaan-kerajaan tersebut.

Namun secara realiti, di peringkat antarabangsa, hubungan yang berlaku


melibatkan aktor-aktor lain yang terlibat dengan keputusan dan tindakan
kerajaan-kerajaan tersebut. Aktor-aktor ini terdiri daripada syarikat-syarikat
multinasional (MNCs) yang selalunya mampu mengatasi keputusan dan
tindakan negara-negara bagi menentukan kepentingan masing-masing.
Sesetengah syarikat-syarikat tersebut memiliki kuasa monopoli dalam
sumber-sumber yang diperlukan oleh negara sama ada berbentuk bahan
mentah, industri berteknologi tinggi mahupun produk elektronik bagi
kegunaan pengguna. Antara syarikat-syarikat tersebut termasuklah kumpulan
tujuh syarikat-syarikat pengeluar minyak terbesar di dunia iaitu Aramco
(Exxon, Shell Oil Company, British Petroleum, dFrance’s Compagnie
Françaaise des Petroles, Mobil, Socal, Texaco dan Gulf) dan syarikat
pengeluar kapal terbang penumpang Boeing.

Kini keputusan dan tindakan kerajaan bukan sahaja kurang berkeupayaan


mempengaruhi syarikat-syarikat tersebut, malah sebaliknya keputusan dan
tindakan kerajaan-kerajaan pula yang dipengaruhi oleh kepentingan syarikat-
syarikat tersebut. Sebagai contoh, penguasaan Aramco dalam teknologi dan
modal dalam industri pengeluaran minyak menyebabkan pada dekad 1950-an
hingga akhir 1960-an, mereka menguasai hampir 95 peratus sumber bekalan
minyak dunia walaupun lokasi-lokasi pengeluaran minyak tersebut terletak di
kebanyakan negara-negara Asia Barat (Daniels, 1995: 450-451).

Aktor-aktor lain yang terlibat dalam proses hubungan, interaksi dan tawar
menawar ini termasuklah organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu, individu-individu seperti pemimpin dan warganegara
negara-negara tertentu, kumpulan-kumpulan bukan kerajaan dan kumpulan-
kumpulan pendesak seperti kumpulan pengganas. Namun, buku ini akan
mengkategorikan aktor-aktor tersebut kepada dua bentuk iaitu aktor negara

3
MINGGU 2

dan aktor bukan negara.

Aktor Negara

Aktor yang paling penting dalam hubungan antarabangsa ialah negara.


Negara ialah entiti yang bersempadan yang dikawal dan dikuasai oleh
kerajaan dan diduduki oleh sejumlah penduduk. Sesebuah negara bebas
daripada sebarang ancaman, ugutan dan tekanan luar malah ia berkuasa
secara mutlak (konsep kedaulatan) bagi menentukan kepentingan dan
kebajikannya sendiri. Antara lain, sesebuah negara berkuasa menggubal dan
melaksanakan undang-undang, mengutip cukai, membentuk kuasa tentera,
menggunakan sumber asli malah boleh dikatakan sebenarnya sesebuah
negara dapat melakukan apa sahaja dalam lingkungan sempadannya demi
kepentingan nasional. Kedaulatan yang dimiliki oleh sesebuah negara diiktiraf
oleh negara-negara lain melalui hubungan diplomatik dan selalunya melalui
keahlian dalam PBB. Populasi yang membentuk sebagai warganegara atau
rakyat bagi sesebuah negara membentuk masyarakat mereka sebagai suatu
institusi yang berbeza daripada masyarakat negara lain. Identiti institusi ini
kita kenalinya sebagai bangsa.

Masyarakat antarabangsa pada masa kini menerima konsep negara


sebagai negara yang demokratik sebagai mengesahkan kerajaan yang
memimpin rakyat atau sesuatu bangsa tersebut dipilih oleh rakyat melalui
pilihan raya. Justeru itu, bagi sesetengah ahli sains politik pengiktirafan
antarabangsa merupakan satu lagi ciri penting kewujudan sesebuah negara.
Dalam hal ini kita dapat melihat bahawa kerajaan-kerajaan yang tidak dipilih
oleh rakyatnya seperti kerajaan Aparteid di Afrika Selatan dan kerajaan
Taliban di Afghanistan tidak dapat kekal lama dalam hubungan antarabangsa
kerana tidak diiktiraf kewujudannya oleh masyarakat antarabangsa.

Dalam kehidupan harian, kebanyakan pembaca mentakrif istilah negara


secara umum sebagai keputusan yang dibuat oleh kerajaan sesebuah negara
atau negara disamakan dengan kerajaan. Oleh itu tindakan kerajaan diterima
secara mudah sebagai tindakan oleh rakyat sesebuah negara seperti dalam
kenyataan ‘Malaysia menyokong resolusi PBB dan Iraq menawan Kuwait’.

Secara realiti, tindakan-tindakan yang dilakukan oleh negara melalui


proses dalaman yang kompleks yang melibatkan pelbagai kepentingan dan
kumpulan-kumpulan dalaman. Malah sebenarnya, aktor yang benar-benar
terlibat dalam proses pembuatan keputusan dan pelaksanaan tindakan
negara tersebut ialah individu yang digelar sebagai pemimpin sesebuah
negara (sama ada ketua kerajaan atau ketua negara mengikut sistem politik
negara-negara tertentu). Individu-individu yang turut sama terlibat secara

4
MINGGU 2

langsung adalah birokrat-birokrat yang terlibat dalam kementerian luar


sesebuah negara yang bertindak di atas nama negara.

Sistem antarabangsa yang wujud pada masa kini mempunyai struktur yang
beroperasi berdasarkan peraturan dan bentuk interaksi yang tertentu.
Sesetengah peraturan tersebut bersifat jelas dan ada yang bersifat kabur. Ini
termasuk soal keanggotaan negara dalam sistem, hak dan tanggungjawab
anggota (negara) dalam sistem dan bentuk tindakan serta respons yang
seharusnya wujud antara negara-negara. Kebanyakan negara yang wujud
pada masa kini adalah bersifat negara-bangsa. Namun masih banyak negara-
negara yang belum bergelar negara-bangsa akibat kesan peperangan dunia
yang sukar menentukan status kewujudan mereka sama ada berdasarkan
bangsa atau sempadan. Isu-isu konflik dan peperangan yang berlaku pada
masa kini banyak berorientasikan isu perebutan sempadan dan juga konflik
berteraskan kumpulan masyarakat seperti etnik dan bangsa.

Apabila sebahagian rakyat sesebuah negara mengenal pasti diri mereka


sebagai entiti yang berbeza daripada kepentingan yang diwakili oleh kerajaan
seperti perbezaan bangsa, mereka mungkin menentang kerajaan yang wujud
demi mendapatkan hak pemerintahan dan sempadan jajahan sendiri yang
dikenal pasti sebagai kepentingan mereka. Peperangan di Balkan, Kashmir
dan di Timor Timur adalah antara isu yang berunsurkan pentakrifan sesuatu
kumpulan masyarakat sebagai satu bangsa. Kewujudan negara berasaskan
pecahan bangsa ini adalah sebahagian daripada bentuk perkembangan
terkini dalam sistem negara-bangsa kini. Sistem negara juga dipengaruhi oleh
perkembangan-perkembangan yang lain seperti globalisasi, kemajuan
telekomunikasi dan senjata nuklear.

Kemerdekaan negara-negara kecil seperti bekas Kesatuan Soviet,


Czechoslovakia dan Yugoslavia menambahkan jumlah negara di dunia.
Jumlah keseluruhan negara-negara di dunia sebenarnya bergantung pada
status negara-negara tertentu yang bersifat separa-entiti politik iaitu sama ada
ia bakal berpecah atau bakal bergabung dengan entiti-entiti politik yang lain.

Pada tahun 1999, hanya 189 buah negara wujud sebagai anggota PBB
termasuk sebuah negara berkecuali iaitu Switzerland (Goldstein, 2001: 13).
Masih ada entiti-entiti lain seperti Timor Timur yang kini belum sepenuhnya
berstatus negara dan Palestin yang masih terumbang-ambing statusnya.

Sesetengah entiti-entiti politik yang lain lebih dirujuk sebagai negeri dan
bukan negara seperti Taiwan kerana ia masih dianggap oleh China sebagai
sebahagian daripada negara tersebut. Oleh sebab itu Taiwan tidak dapat
diterima sebagai anggota PBB. Selain daripada itu masih banyak lagi tanah-
tanah bekas jajahan yang dikuasai oleh negara-negara lain seperti Puerto

5
MINGGU 2

Rico dan Guam yang dikuasai Amerika Syarikat, Bermuda dan Kepulauan
Falkland yang dikuasai British, Martinique oleh Perancis dan Netherlands
Antilles oleh Belanda. Beberapa entiti-entiti baru mungkin akan wujud pada
masa hadapan hasil pemecahan akibat tuntutan kuasa autonomi penduduk di
sesebuah negara seperti di Quebec, Kanada, Sahara Barat, Kurdistan dan
sebagainya (Goldstein, 2001: 13).

Saiz negara yang wujud dalam sistem antarabangsa juga berbeza.


Begitulah juga dengan saiz penduduknya. Kedua-dua elemen ini mampu
mempengaruhi kedudukan negara sebagai aktor antarabangsa. Saiz yang
luas menandakan penguasaan daripada aspek geopolitik, hasil galian dan
penguasaan ruang udara yang luas. Saiz penduduk pula memberi gambaran
keupayaan sesuatu masyarakat bertindak sebagai pasaran yang luas bagi
ekonomi sesebuah negara. Kedudukan China sejak kebelakangan ini begitu
menonjol dalam sistem antarabangsa, bukan sahaja daripada aspek politik
bahkan juga aspek ekonominya. Jumlah penduduknya yang melebihi satu
bilion orang mampu menyediakan pasaran yang luas bagi ekonomi China
yang semakin berkembang. Kedudukan China mungkin lebih berdaya saing
berbanding India dan Indonesia di mana saiz geografinya tidak dapat
menyaingi saiz penduduknya. Perkara yang sama dinikmati oleh Amerika
Syarikat yang mempunyai keupayaan geopolitik dan pasaran yang kukuh
akibat saiz geografi dan penduduknya.

Negara-negara di dunia juga berbeza daripada aspek saiz aktiviti ekonomi


mereka yang selalunya diukur pada Keluaran Kasar Negara (KNK). Amerika
Syarikat merupakan negara yang teratas dalam senarai negara yang memiliki
kadar KNK yang tinggi iaitu sebanyak $8 trilion (Daniels, 1995: 37).
Kedudukan tersebut bukan sahaja memberi ruang yang luas kepada Amerika
Syarikat supaya bertindak sebagai aktor yang aktif dalam sistem
antarabangsa malah mampu mendominasikan hampir sebahagian besar
struktur sistem antarabangsa seperti dalam PBB, Tabung Kewangan
Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Undang-undang Antarabangsa dan
peraturan-peraturan perdagangan antarabangsa dalam Organisasi
Perdagangan Dunia (WTO). Satu perlima daripada ekonomi dunia berpunca
daripada ekonomi Amerika dan bersama enam lagi kuasa ekonomi dunia,
Amerika menyumbang hampir separuh daripada ekonomi dunia (Daniels,
1995: 40). Negara-negara lain yang turut menguasai ekonomi dunia
termasuklah China, Jepun, Jerman, India, Perancis, Britain, Itali, Brazil,
Mexico, Kanada, Rusia, Sepanyol dan Korea Selatan.

Beberapa negara di dunia pada masa kini juga turut mempunyai


kedudukan sebagai kuasa besar dunia kerana memiliki kuasa dan pengaruh
ketenteraan dan ekonomi yang kuat. Hubungan antara kuasa-kuasa besar
membentuk sistem hubungan tambahan dalam hubungan antarabangsa.

6
MINGGU 2

Mereka mempunyai peraturan dan bentuk hubungan yang tersendiri sesama


mereka. Kuasa terbesar dalam kumpulan kuasa-kuasa besar tersebut yang
digelar superpower lazimnya mempunyai kuasa yang terkuat antara kuasa-
kuasa yang lain merujuk kepada pemilikan senjata dan keupayaan nuklear.
Semasa Perang Dingin, dua kuasa besar yang bergelar superpower ini
berada pada Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Kejatuhan blok komunis
pada awal 1990-an bermakna hanya Amerika Syarikat yang kekal sehingga
kini dikenali sebagai superpower. Peranan negara-negara lain turut penting
dalam sistem antarabangsa namun pengaruh mereka tidaklah setanding
pengaruh yang diberikan oleh kuasa-kuasa besar dunia sebagai aktor
hubungan antarabangsa

Dalam perbincangan di atas, jelaslah aktor negara yang berdasarkan


empat ciri penting kewujudan negara (sempadan, populasi, kerajaan dan
kedaulatan) mampu memberi kesan pada kedudukan dan pengaruh negara
sebagai aktor dalam hubungan antarabangsa. Walau bagaimanapun, perlu
dijelaskan di sini tiada elemen yang tertentu yang dapat menyatakan tahap
kekuasaan sebenar sesebuah negara. Namun sehingga ini sejarah
menunjukkan penguasaan aspek ketenteraan (keselamatan) dan ekonomi
menentukan kedudukan negara dalam sistem antarabangsa.

Aktor Bukan Negara

Negara mungkin bertindak sebagai aktor terpenting dalam hubungan


antarabangsa namun mereka tetap dipengaruhi, dikawal, dikekang oleh
pelbagai aktor-aktor lain yang dikenali sebagai aktor bukan negara. Aktor-
aktor bukan negara ini, boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
Pertama, kumpulan yang berada dalam negara yang mempengaruhi dasar
luar negara. Sebagai contoh, di Malaysia kesatuan sekerja mungkin bertindak
sebagai kumpulan pendesak yang mampu mempengaruhi dasar kerajaan
mengenai peluang pekerjaan bagi tenaga asing di Malaysia. Kemasukan
buruh asing secara bebas sama ada buruh mahir ataupun kasar boleh
menggugat peluang pekerjaan bagi tenaga buruh dalam negara dalam
suasana aktiviti ekonomi yang semakin kurang di negara. Pertubuhan seperti
Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkeupayaan
mempengaruhi dasar kerajaan dalam melindungi pengusaha dan pengguna
tempatan daripada produk, bentuk dan premis-premis perniagaan yang
diimport dari luar negara.

Kumpulan-kumpulan yang sama turut wujud di negara-negara luar yang


bertindak mempengaruhi keputusan dan tindakan kerajaan dalam usaha
melindungi kepentingan masing-masing. Sebagai contoh, peladang-peladang
di Eropah berkuasa mempengaruhi Kesatuan Eropah (sebelumnya dikenali
Komuniti Eropah) supaya melancarkan dasar Common Agricultural Policy

7
MINGGU 2

(CAP) yang mampu melindungi kepentingan hasil pertanian tempatan dan


pada masa yang sama meletakkan halangan ke atas barangan pertanian
yang diimport dari negara luar komuniti tersebut.

Tindakan-tindakan yang dilakukan aktor-aktor bukan kerajaan tersebut


membantu mempengaruhi bentuk aktiviti ekonomi yang kebanyakannya
menjadi agenda dalam politik antarabangsa. Perkembangan dan kepesatan
dalam aktiviti ekonomi yang berlaku pada masa kini melampaui keupayaan
dan kuasa negara untuk mengawal. Pelaburan asing terus masuk ke negara-
negara tertentu bukan atas insentif yang disediakan oleh kerajaan tetapi atas
desakan syarikat-syarikat multinasional supaya terus bersaing mencari lokasi
pengeluaran yang lebih efisien dan menguntungkan mereka. Keuntungan
yang dibawa oleh mereka melalui pemindahan modal, teknologi, peluang
pekerjaan dan pendapatan hasil cukai bagi kerajaan tempatan mengatasi
kepentingan-kepentingan lain yang mungkin ada pada negara yang menerima
kedatangan mereka.

Sebagai contoh, pada 1996, kerajaan Nigeria menerima pelaburan syarikat


minyak Royal Dutch Shell membuka loji petroleum di kawasan perairannya
walaupun menerima desakan daripada kumpulan pencinta alam tempatan.
Keupayaan syarikat-syarikat perniagaan yang pada mulanya bersifat aktor
dalaman sesebuah negara yang menentu arahkan perjalanan hubungan
antarabangsa meletakkan mereka kalaupun tidak melebihi mungkin
menyamai kedudukan negara. Oleh sebab itu dalam sesetengah
perbincangan akademik, syarikat-syarikat multinasional juga digelar syarikat-
syarikat transnasional.

Satu lagi bentuk aktor bukan negara ialah organisasi-organisasi


antarabangsa bukan kerajaan (INGOs). Organisasi-organisasi swasta ini,
sesetengahnya mempunyai saiz dan sumber yang besar yang mampu
mempengaruhi aktor-aktor lain seperti negara, MNCs dan INGOs yang lain.
Peranan mereka mula diterima di peringkat antarabangsa walaupun tidak
setanding peranan negara. Antara kumpulan-kumpulan ini termasuklah
kumpulan The Greenpeace, International Olympic Committee, International
Studies Association, Federation Internationale de Football Association (FIFA)
dan sebagainya. Sesetengah organisasi-organisasi tersebut ditubuhkan
bermotifkan politik, kemanusiaan, ekonomi dan teknikal. Namun kesemuanya
mampu memberikan pengaruh sebagai aktor yang penting dalam hubungan
antarabangsa.

Akhir sekali, aktor bukan negara juga dapat dilihat daripada segi
organisasi-organisasi antara kerajaan (IGOs). Organisasi-organisasi tersebut
dianggotai oleh kerajaan negara-negara tertentu. Contoh yang terbaik adalah
seperti PBB dan agensi-agensi yang wujud di dalam PBB sendiri. Organisasi-

8
MINGGU 2

organisasi yang sama termasuklah seperti Bank Dunia, IMF, Organisation of


Petroleum Exporting Countries (OPEC), The International Atomic Energy
Agency, WTO, Association of South East Asian Nations (ASEAN), Liga Arab,
North Atlantic Treaty Organisation (NATO), Organisation of African Unity
(OAU) dan banyak lagi. Setiap IOGOs mempunyai peranan tersendiri dan
berbeza daripada segi saiz dan keupayaan (Goldstein, 2001: 15).

Kedua-dua organisasi iaitu INGOs dan IGOs lebih dikenali sebagai


organisasi antarabangsa membantu memenuhi fungsi-fungsi yang berguna
dalam hubungan antarabangsa. Berdasarkan penjelasan di atas, jelas
peranan yang dimainkan oleh aktor-aktor bukan negara juga penting dalam
hubungan antarabangsa. Namun, peranan negara sebagai aktor terpenting
tidak dapat dinafikan memandangkan pertama, negara adalah lapisan terakhir
yang menentukan corak hubungan tersebut dan kedua yang lebih penting
ialah selagi sistem antarabangsa yang wujud pada masa kini berupa sistem
negara-bangsa, negara terus memainkan peranan utama dalam hubungan
antarabangsa.

Hubungan Antarabangsa Sebagai Bidang Kajian

Bidang hubungan antarabangsa adalah sebahagian daripada ilmu sains


politik. Oleh itu hubungan antarabangsa juga adalah bidang yang mengkaji
politik antarabangsa yang mengkaji dasar tindakan kerajaan ke atas kerajaan-
kerajaan lain. Namun, sebenarnya hubungan antarabangsa bersifat lebih luas
daripada itu yang turut mengkaji disiplin-disiplin ilmu yang lain seperti
ekonomi, sejarah, sosiologi dan disiplin-disiplin lain lagi. Sehubungan dengan
itu, beberapa universiti menawarkan kursus hubungan antarabangsa sebagai
subjek pilihan atau sekurang-kurangnya dibincangkan dalam kursus-kursus
tertentu seperti sains politik, undang-undang antarabangsa, ekonomi dan
sosiologi.

Hubungan politik antara negara-negara meliputi pelbagai bentuk aktiviti


seperti diplomasi, peperangan, perdagangan, pakatan, pertukaran budaya,
penglibatan bersama dalam organisasi antarabangsa dan sebagainya.
Aktiviti-aktiviti tertentu yang wujud dalam hubungan tersebut boleh menjadi
isu yang perlu diperhatikan oleh bukan sahaja oleh pembuat dasar bahkan
juga oleh sarjana-sarjana seperti isu rundingan dagangan antarabangsa dan
konflik etnik tertentu. Sehubungan dengan itu, pembuat-pembuat dasar
mempunyai dua bentuk respons terhadap isu-isu tersebut iaitu sama ada
secara bekerjasama atau berkonflik. Pilihan yang dibuat sudah tentu
mempengaruhi bentuk hubungan antara sebuah negara dengan negara-
negara lain. Dalam hal ini, sarjana-sarjana hubungan antarabangsa memberi
penekanan pada kedua-dua bentuk hubungan dalam kajian mereka.

9
MINGGU 2

Skop kajian dalam hubungan antarabangsa adalah luas dan bergantung


kepada bidang-bidang yang berkaitan dengan hubungan antara negara-
negara. Secara tradisi, hubungan antarabangsa lebih mengkaji permasalahan
mengenai peperangan dan keamanan iaitu bidang yang dikaji dalam
pengajian keselamatan antarabangsa. Sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an,
selain mengkaji mengenai peperangan dan keamanan, hubungan
antarabangsa turut mengkaji isu-isu seperti diplomat, pembentukan pakatan
dan perjanjian, serta pembangunan dan pengukuhan kuasa tentera. Selepas
Perang Dingin tamat, tumpuan kajian hubungan antarabangsa yang
berteraskan isu keselamatan diperluaskan. Ia bukan lagi bersifat kajian yang
menyentuh berkenaan perlumbaan kuasa ketenteraan antara kuasa-kuasa
besar dunia bahkan turut melibatkan konflik serantau, konflik etnik dan
perdagangan. Penglibatan sarjana-sarjana hubungan antarabangsa dalam
proses pembuatan dasar luar negara turut meningkat akibat perkaitan secara
langsung antara bidang-bidang yang dikaji dengan isu-isu yang dihadapi oleh
negara-negara pada ketika itu.

Pada sekitar 1970-an dan 1980-an, kajian dalam hubungan antarabangsa


meluas kepada tumpuan kajian mengenai ekonomi kerana hubungan antara
negara pada ketika itu lebih didominasi oleh hubungan ekonomi. Peristiwa
kejatuhan harga minyak di pasaran pada 1973-1974 dan 1979-1980
menyebabkan jurang hubungan antara negara-negara semakin jauh
terutamanya kedudukan antara negara maju dengan negara membangun.
Hubungan yang bersifat ekonomi ini turut melibatkan isu-isu sampingan yang
lain seperti isu alam sekitar, migrasi, pemindahan teknologi, pelaburan terus
asing dan sebagainya. Berdasarkan kepada perkembangan tersebut,
beberapa sarjana menganggap hubungan antarabangsa tidak tepat jika dikaji
dengan menggunakan kaedah politik tetapi seharusnya turut dikaji daripada
perspektif ekonomi. Justeru itu, bidang politik ekonomi antarabangsa
diperkenal dan memberi saingan pada bidang kajian keselamatan
antarabangsa yang lebih mendominasi hubungan antarabangsa sebelumnya.

Proses globalisasi yang melanda pada dekad 1990-an merubah tumpuan


kajian dalam hubungan antarabangsa kepada peranan aktor-aktor selain
daripada negara yang turut berperanan menentukan perjalanan sistem
antarabangsa. Namun ini tidak sama sekali mengetepikan negara secara
langsung sebagai aktor yang paling penting dalam kajian hubungan
antarabangsa. Bermula kurun ke 21, kajian hubungan antarabangsa kembali
kepada skop kajian yang tradisi iaitu mengenai isu keselamatan. Walaupun
dunia dikejutkan oleh serangan pengganas pada 11 September 2001 ke atas
Amerika Syarikat, pengkaji hubungan antarabangsa berpendapat ia bukanlah
isu yang baru kerana ia masih berupa isu keselamatan, konflik dan
peperangan yang sebelum ini menjadi tajuk utama kajian dalam hubungan

10
MINGGU 2

antarabangsa. Konflik di Asia Timur, konflik di bekas negara Soviet dan


konflik antara India dan Pakistan adalah antara isu-isu yang berkaitan dengan
keganasan dan konflik.

Jelas di sini kajian dalam hubungan antarabangsa merangkumi pelbagai


isu lain yang bersilangan dan berkaitan dengan hubungan antara negara-
negara dalam sistem antarabangsa. Dalam kata lain, unit analisis dalam
kajian hubungan antarabangsa masih tertumpu pada aktor utamanya iaitu
negara-bangsa. Apakah negara sahaja yang menjadi aktor penting dalam
hubungan antarabangsa? Buku ini cuba membincangkan pelbagai isu yang
berkaitan dengan peranan pelbagai aktor-aktor dalam hubungan
antarabangsa dalam pelbagai isu merangkumi isu konflik etnik serantau,
perdagangan dan perundangan. Dalam buku ini juga perbincangan umum
akan menyentuh mengenai bentuk hubungan antara pelbagai aktor dalam
pelbagai peringkat seperti hubungan diplomatik antara negara, krisis
hubungan Utara-Selatan dan sebagainya.

11

Anda mungkin juga menyukai