Anda di halaman 1dari 11

TIPS MENDISIPLINKAN KANAK-KANAK Disiplin secara umumnya bermaksud " peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya

berkelakuan baik". Namun, maksud peraturan yang digunakan disini adalah bersifat agak tegas dan 'mesti'. Malangnya, bagi kanak-kanak yang sedang melalui proses pembesaran, mereka tidak mahu terkongkong dengan perkataan 'jangan'. Perkataan ini seolah-olah memberikan tanda tanya dan akan menyemarakkan lagi rasa ingin tahu mereka. Bagi Pembimbing Awal yang mahir, penggunaan perkataan 'jangan' akan disertai dengan sebab dan alasan yang kukuh supaya kanakkanak dapat memahami dengan mudah. Mendisiplinkan kanak-kanak adalah tanggungjawab besar ibu bapa, bermula dari usia awal kelahirannya. Ianya penting untuk membentuk perkembangan mental dan emosi yang seimbang. Pada peringkat 1 - 7 tahun, kanak-kanak menjadikan ibu bapa, kakak, abang serta orang dewasa yang paling hampir dengannya sebagai contoh dalam kebanyakan situasi. Oleh sebab itu, orang dewasa jika di TASKA adalah Pembimbing Awal bertanggungjawab menunjukkan nilai yang baik kepada kanak-kanak. Jika dirumah, ibu bapa dan mereka yang lebih dewasa mempunyai tanggungjawab yang sama seperti Pembimbing Awal ini. Supaya kanak-kanak tidak terkeliru, kedua pihak ibu bapa dan Pembimbing Awal ini perlu mempunyai komunikasi yang baik serta berbincang mengenai perkembangan disiplin kanak-kanak ini. Pada umur 3 tahun keatas, kebiasaannya kanak-kanak akan menunjukkan sikap tidak mahu terlalu bergantung kepada orang dewasa. Ini menandakan mereka sudah membina identiti sendiri dan berasa lebih selamat, tetapi tidak bermakna kanak-kanak menjadi seorang pemberontak. Menunjukkan sifat degil adalah cara bagi kanak-kanak menunjukkan ketegasannya. Apabila dia menolak untuk bekerjasama, dia sebenarnya sedang cuba memberitahu "Saya tidak suka peraturan ini".

Jadi, apakah yang perlu dilakukan (berusahalah, walaupun kadangkala bukan semudah itu); 1. Fahami. Cuba letakkan diri anda ditempatnya. Contohnya jika anda mahu dia makan pada waktunya. Jika dia sedang seronok bermain, hampirinya, peluk dan beritahu mengapa dia perlu makan. Secara psikologinya anda memberitahu bahawa anda mengambil berat dan ingin tahu mengapa dia tidak mahu makan. Jangan memarahinya tetapi pastikan dia makan apa yang sepatutnya. 2. Tetapkan had. Setiap yang dilakukan ada batasan atau hadnya. Lebih-lebih lagi jika di TASKA. Contohnya, jika sudah sampai waktu tidur/rehat, beritahu dia perlu ambil waktu

itu untuk merehatkan badan setelah melakukan aktiviti yang lainnya supaya dia dapat meneruskan aktiviti yang lainnya pada sebelah petang misalnya. Sebelum tidur, galakkan dia membersihkan diri serta menukar pakaian. Jika dia masih tidak mahu tidur, galakkan dia berbaring dahulu, ajarkannya membaca doa tidur, pastikan cahaya yang masuk kebilik tidak terlalu terang, tiada bunyi yang boleh menganggunya. InsyaAllah, dari pengalaman saya sendiri ianya berjaya. 3. Beri perhatian. Selain dari memberi perhatian kepadanya ketika dia nakal atau degil, anda juga perlu dekatinya ketika dia dalam situasi 'angin baik'. Beritahu apa yang betul dan tidak betul. Kebiasaannya apabila anak melakukan kesalahan, dia akan rasa bersalah. Jadi, anda tidak perlu cepat mengamuk, sebaliknya cakap secara baik dan jelaskan mengapa anda marah kepadanya. 4. Mendisiplin bukan bermakna mengawalnya. Mendisiplin bermaksud mengajar kanakkanak mengawal dirinya sendiri. Hukuman mungkin boleh mendisiplinkannya, tetapi kadangkala tidak memberi kesan kepada kanak-kanak. Jika rasa marah anda membuak, jauhi diri darinya dan apabila anda tenang semula, beritahu dia apa yang patut dan tidak patut dia lakukan. 5. Beri peluang memilih. Kanak-kanak memerlukan ruang untuk membuat pilihan sendiri. Jadi,berilah mereka peluang. Mulakan dengan yang mudah, misalnya beri dia peluang membuat pilihan pakaian yang disukainya. Sekali lagi beritahunya apa yang boleh dan tidak boleh atau yang sesuai dan tidak sesuai untuknya. Tips di atas bukanlah satu jaminan untuk kanak-kanak tidak lagi bersikap degil, tetapi dengan kesabaran anda, kanak-kanak sebenarnya secara perlahan akan belajar bahawa berdegil bukan cara terbaik untuk mendapatkan apa yang dia mahukan. Posted in: Tips Mendisiplinkan Kanak-Kanak by Focus On The Family Malaysia
Keibubapaan adalah sesuatu yang mahal dan kompleks, dan setiap orang daripada kita tidak perlu mengikuti kursus empat tahun untuk mendapatkan ijazah dalam bidang ini. Sebaliknya, ia adalah komitmen sepanjang hayat dari saat anak anda dikandungkan. Setiap seorang daripada kita memasuki alam keibubapaan tanpa mempunyai pengalaman. Kekecewaan yang dialami tatkala kita berhadapan dengan masalah keibubapaan berlaku kerana kita tidak mempunyai model yang direkacipta khas atau satu pelan terperinci untuk diikuti sebagai respon kepada situasi yang tidak dapat dielakkan. Saya teringat pengalaman saya setiap kali menaiki kapalterbang pada waktu malam. Apabila saya melihat ke hadapan, saya dapat melihat lampu-lampu hijau menyempadani landasan terbang, yang mana ia memberitahu kapten kapalterbang arah kapalterbang itu harus menghala. Jika dia terus beraada di lingkungan sempadan berlampu itu, dia akan selamat. Zon yang bercahaya itu menggambarkan keselamatan, tetapi bahaya berada di sebelah kiri atau kanannya. Bukankah itu yang kita perlukan sebagai ibu bapa? Sepatutnya ada tanda sempadan yang jelas yang boleh memberitahu kita arah untuk kita menghalakan kapal keluarga kita. Kita memerlukan prinsipprinsip panduan yang akan membantu kita membesarkan anak-anak dengan selamat dan sihat.

Subjek disiplin biasanya dikaitkan dengan Kanak-kanak Bersemangat Tinggi. Kanak-kanak seperti ini seolah-olah dilahirkan dengan idea yang jelas tentang bagaimana dia mahukan dunia ini harus beroperasi dan tidak boleh bertoleransi dengan sesiapa yang membangkangnya. Dia mengumumkan peperangan dengan kesemua bentuk autoriti sama ada di rumah atau di luar. Kanak-kanak Bersemangat Tinggi ini biasanya mempunyai kreativiti yang berpotensi dan peribadi yang kuat berbanding dengan adik-beradik yang lain, dengan syarat ibu bapanya dapat membantu dia menentukan hala tujunya dan mengawal nalurinya yang membuak. Soalan: Jika anda terpaksa memilih antara corak pendisiplinan berbentuk autoritarian dan satu lagi yang berbentuk permisif dan tidak tegas, mana satukah yang akan anda pilih? Yang mana satukah lebih baik untuk anak-anak? Jawapan: Kedua-dua corak pendisplinan yang ekstrim ini akan meninggalkan kesan buruk pada peribadi anak-anak, dan saya tidak dapat mengatakan yang mana satu akan mendatangkan kesan lebih buruk. Pada satu hujung adalah bentuk opresif, di mana seorang kanak-kanak itu menerima penghinaan akibat dominasi yang total. Atmosfera di mana dia dibesarkan adalah kaku dan tegar, dan dia hidup dalam ketakutan. Dia tidak berupaya untuk membuat keputusannya sendiri, dan personalitinya tersorok di bawah penguasaan dan kawalan ibu bapa yang autoritatif. Akibat dari dominasi ini, kanak-kanak itu membesar sebagai seorang yang sentiasa mengharapkan orang lain, mempunyai perasaan marah yang dalam dan terpendam, dan menjadi remaja yang suka melawan. Tetapi hujung ekstrim yang bertentangan juga merosakkan kanak-kanak. Dalam ketiadaan penyeliaan seorang dewasa, kanak-kanak itu akan naik kepala, dan ini berlaku sejak dia bayi lagi. Dia akan berfikir bahawa dunia ini bergerak mengikut kemahuannya, dan dia sering mengutarakan kata kesat dan tidak menghormati orang di sekeliling mereka. Anarki dan kacau-bilau bertakhta di rumahnya. Ibunya biasanya adalah wanita yang paling letih dan paling berputus asa di kawasan tempat tinggal mereka. Kesusahan dan keaibannya mungkin berbaloi jika sikap pasifnya menghasilkan anak-anak yang baik. Malangnya tidak. Cara yang paling sihat untuk membesarkan anak boleh ditemui di kawasan selamat di tengah-tengah antara kedua-dua corak pendisiplinan yang ekstrim tadi. Kanak-kanak terdorong untuk melakukan yang terbaik dalam persekitaran di mana dua perkara ini kasih sayang dan kawalan didapati dalam nisbah yang seimbang. Apabila dacing ini menurun pada satu bahagian, masalah biasanya mula berlaku di rumah. Soalan: Anda meletakkan penekanan tinggi tentang menanamkan rasa hormat semasa mereka membesar. Mengapakah aspek ini sangat penting? Adakah anda hanya mahukan orang dewasa rasa berkuasa dan dapat mengawal kanak-kanak? Jawapan: Tentu sekali tidak. Perasaan hormat adalah penting kerana beberapa sebab tertentu. Pertama, hubungan kanak-kanak dengan ibu bapanya menyediakan asas kepada sikapnya terhadap lain-lain bentuk autoriti yang akan dia temui. Ia menjadi asas kepada pandangannya terhadap guru-guru sekolah, pegawai penguatkuasa undang-undang, majikan dan mereka yang bekerja dengannya di kemudian hari. Guru-guru, contohnya, boleh mengenalpasti dengan cepat sama ada seorang pelajar itu telah biasa memberontak di rumah kerana sikap itu dibawa terus ke bilik darjah. Sekali lagi, perhubungan di rumah adalah pertembungan social yang pertama dan yang paling penting bagi seorang kanak-kanak, dan masalah yang dialami mereka di sana biasanya akan dibawa hingga mereka dewasa. Kedua, jika anda mahu anak anda menerima nilai-nilai yang cuba anda tanamkan apabila dia mencecah umur belasan tahun, maka anda mestilah menjadi seorang yang cukup mereka hormati semasa mereka kecil. Apabila seorang kanak-kanak itu berjaya membantah autoriti anda semasa lima belas tahun pertamanya, mengetawakan anda dan terang-terangan melanggar kepimpinan anda, dia akan terus

membantah apa sahaja yang anda perkatakan. Emak dan ayah sangat bodoh! fikirnya. Saya dapat memintal mereka di hujung jari saya. Memang betul mereka sayangkan saya, tetapi saya rasa mereka sebenarnya takutkan saya. Seorang kanak-kanak mungkin tidak akan mengutarakan perkataan ini, tetapi dia merasakannya setiap kali dia memenangi perbalahan dengan ibu atau ayahnya. Ketiga, dan berkaitan dengan yang kedua, perasaan hormat adaalh penting dalam masa peralihan kepercayaan daripada satu generasi ke generasi yang lain. Kanak-kanak yang memandang hina ibu dan bapanya tentu tidak akan mencontohi mereka dalam perkara-perkara yang penting. Mengapa? Kerana kanak-kanak kecil biasanya mengidenitikan ibu bapa mereka terutamanya bapa mereka dengan Tuhan. Oleh itu, jika Ibu atau Bapa tidak berbaloi untuk dihormati, maka begitu juga dengan moral mereka, negara mereka, atau sesuatu yang begitu mereka yakini. Soalan: Dari segi filosofi, saya percaya bahawa saya perlu mengawal anak-anak saya, tetapi saya perlukan lebih perincian. Berikan saya langkah-langkah pendisiplinan yang boleh membantu saya melakukan tugas saya dengan betul. Jawapan: Baiklah, izinkan saya mengemukakan enam panduan yang saya rasa dapat anda amalkan. Prinsip-prinsip ini mewakili intisari filosofi saya terhadap disiplin. Pertama: Takrifkan sempadan-sempadannya sebelum ia dikuatkuasakan. Langkah yang paling penting dalam mana-mana prosedur disiplin ialah menentukan harapan dan sempadan terlebih dahulu. Kanakkanak harus tahu kelakuan bagaimana yang boleh diterima dan yang tidak boleh diterima sebelum dia diberi tanggungjawab mematuhi peraturan itu. Ini akan mengelakkan kanak-kanak itu dari merasa tidak adil apabila dia dihukum bagi kesilapan dan kemalangan yang tidak disengajakan. Jika anda belum menakrifkannya, jangan kuatkuasakannya! Kedua: Apabila anda dibantah, responlah dengan tegas dan yakin. Apabila seorang kanak-kanak itu faham apa yang dijangkakan, dia seharusnya dipertanggungjawabkan untuk berkelakuan yang sepatutnya. Ini kedengaran mudah, tetapi sepertimana yang telah kita lihat, kebanyakan kanak-kanak akan melawan autoriti orang yang lebih tua dan mencabar keupayaan mereka memimpin. Ketika dia sedang melawan, kanak-kanak akan memikirkan tentang arahan ibu bapanya dan berdegil untuk tidak mematuhinya. Seperti seorang general tentera dalam peperangan, dia akan mengagak risiko, menghantar bala tenteranya dan menyerang musuh dengan tembakan yang bertalu-talu. Apabila konfrontasi seperti ini berlaku di antara gerasi, adalah penting bagi yang dewasa untuk menang dengan tegas dan yakin. Kanak-kanak itu telah menjelaskan bahawa dia mahu berlawan, dan ibu bapanya seharusnya cukup bijak dan tidak mengecewakannya! Tidak ada yang lebih merosakkan kepimpinan ibu bapa daripada seorang ibu atau bapa yang kalah dalam perbalahan. Apabila ibu bapa sering kalah dalam perbalahan ini, dan berakhir dengan tangisan dan jeritan dan lain-lain bukti kekecewaan, perubahan yang dramatik akan berlaku dalam cara mereka dilihat oleh anak-anak mereka. Mereka tidak lagi dilihat sebagai pemimpin yang berwibawa dan berkeyakinan, sebaliknya dilihat sebagai tidak bertulang dan tidak mewujudkan rasa hormat. Ketiga: Bezakan antara pemberontakan dan sikap tidak bertanggungjawab yang keanak-anakan. Seorang kanak-kanak tidak seharusnya dihukum atas kelakuan-kelakuan yang bukannya pemberontakan. Apabila dia lupa memberi makan anjing atau mengemas katilnya atau mengangkat sampah ke luar apabila dia meninggalkan reket tennis anda di luar dalam hujan atau kehilangan basikal ingatlah bahawa kelakuankelakuan ini adalah biasa bagi kanak-kanak. Ia adalah mekanisme di mana minda yang mentah ini dilindungi daripada tekanan orang dewasa. Berlemah-lembutlah dengnnya apabila anda mengajar dia membuat sesuatu dengan lebih baik. Jika dia gagal memberi respon kepada arahan yang diberikan dengan sabar, kemudian barulah anda boleh mengenakan hukuman yang dipatut diterimanya (dia mungkin terpaksa bekerja untuk membayar balik harga barang yang telah dirosakkan atau dihilangkannya, dan sebagainya). Cuma ingatlah bahawa sikap tidak bertanggungjawab kanak-kanak adalah berbeza daripada permerontakan dan ia harus ditangani dengan sabar.

Keempat: Pujuk dan ajar mereka sebaik sahaja konfrantasi itu berakhir. Selepas waktu konflik di mana ibu bapa telah mendemonstrasikan haknya untuk memimpin (terutamanya jika ia berakhir dengan tangisan anak itu), anak-anak antara umur dua dan tujuh tahun (atau lebih tua) mungkin mahu dikasihi dan dipujuk. Depangkan tangan anda dan gamitlah dia ke sisi anda. Peluknya dengan mesra dan beritahu dia bahawa anda sayangkan dia. Usaplah dia dengan lembut dan beritahunya sekali lagi mengapa dia dihukum dan bagaimana dia boleh mengelak dari dihukum di lain kali. Waktu berkomunikasi ini membina kasih sayang, ketaatan dan keutuhan keluarga. Kelima: Elakkan meminta sesuatu yang mustahil. Pastikan bahawa anak anda mampu melakukan apa yang anda pinta. Jangan hokum dia kerana kencing malam apabila dia tidak sedar atau kerana masih belum pandai menggunakan tandas apabila dia berumur satu tahun atau kerana keputusan pelajarannya buruk sedangkan dia tidak mampu mencapai kejayaan akademik. Permintaan-permintaan yang mustahil ini meletakkan kanak-kanak dalam konflik yang tidak dapat diselesaikan: Tidak ada jalan keluar. Situasi ini menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dielakkan kepada emosi manusia. Keenam: Biarlah kasih sayang menjadi panduan! Satu perhubungan yang bercirikan kasih sayang sejati adalah satu perhubungan yang sihat, walaupun beberapa kesilapan dari pihak ibu bapa tidak dapat dielakkan. Soalan: Saya faham mengapa anda menekankan supaya kanak-kanak diajar untuk menghormati kepimpinan ibu bapanya. Tetapi bukankah ia sepatutnya berlaku di kedua-dua pihak? Bukankah ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab yang sama untuk menghormati anak-anak mereka? Jawapan: Tentu sekali! Secara konsepnya, seorang kanak-kanak itu adalah lemah, dan dia hendaklah dijaga dengan sepenuh perhatian. Kanak-kanak harus tinggal di rumah yang cukup selamat, tidak diperkecil-kecilkan atau diaibkan dengan sengaja, tidak dihukum di hadapan kawan-kawannya dan tidak dipermain-mainkan dengan cara yang menyakitkan. Perasaan dan permintaannya, walaupun ia kedengaran bodoh, hendaklah diambil kira dan dibalas dengan beradab. Dia harus merasa bahawa ibu bapanya benar-benar mengambil berat tentang saya. Maksud saya ialah hormat adalah ramuan yang penting dalam semua perhubungan manusia, dan sepertimana ibu bapa harus menekankan supaya anak mereka menghormati mereka, mereka juga bertanggungjawab untuk menunjukkan contoh sebagai balasannya. Artikel di atas telah ditulis oleh Focus on the Family Malaysia. Soalan dan Jawapan diambil dengan kebenaran dari buku Dr James Dobson yang bertajuk Jawapan Jitu. Bagi sebarang pertanyaan, hubungi Lee Wee Min, Pengarah Eksekutif Focus on the Family Malaysia atau telefon 03-5882 3343/ 3533.

Punca-punca dan cara-cara mengatasi masalah disiplin pelajar


Posted on 14 Mac, 2008 by admin
Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan

pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan? Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibubapa era globalisasi ini. Ibubapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibubapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi. Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tida senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu. Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya. Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekollah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar. Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin. Kemelut ini mudah dibendung jika ibubapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa mereka. Ibubapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibubapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi. Ringkasnya, ibubapa penting dalam membanteras isu disiplin ini. Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.

DISIPLIN MELALUI KASIH SAYANG

Ibubapa perlu melatih anak dengan kasih sayang, di samping mempraktikkan aspek saling menghormati, mempercayai, memahami, memberi perhatian dan menerima.

Menerapkan disiplin di kalangan anak-anak sewajarnya dilakukan tanpa menggunakan kekerasan. Pendidikan secara semikian lebih memberi kesan jika memulakannya ketika anak berada pada awal usia lagi. Dalam masa yang sama ibu bapa mestilah banyak memberi nasihat, perangsang dan pujian, bukannya menghukum secara melulu.

1. Kasih sayang dan disiplin Disiplin dan kasih sayang tidak boleh dipisahkan. Disiplin semata-mata tanpa kasih sayang atau kasih sayang semata-mata tanpa disiplin tidak akan membuahkan hasrat yang diingini kerana disiplin merupakan satu kaedah untuk memastikan kejayaan dalam mencapai sesuatu matlamat dengan cara menghentikan perlakuan yang negatif dan seterusnya melatih anak mematuhi peraturan berdasarkan nilai-nilai yang telah ditentukan oleh ibu bapa melalui proses kasih sayang seperti penerimaan, menghormati, mempercayai, memahami, mengambil berat dan memberi perhatian.

Aspek mendisiplin juga sering dikaitkan dengan hukuman. Sebenarnya disiplin dan hukuman merupakan dua pendekatan yang jauh berbeza. Hukuman lebih terdorong kepada menyakitkan dan memalukan, yang mana kadangkala kesan hukuman tersebut akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa anak.

2. Belaian dalam ketegasan Gabungan kasih sayang dan disiplin lebih bersesuaian digantikan dengan pendekatan belaian dalam ketegasan. Seandainya ibu bapa mengambil pendekatan belaian dalam ketegasan dan tidak bertindak secara kekerasan, maka ibu bapa inilah yang akan lebih mudah diterima oleh anak. Inilah matlamat mendisiplin melalui kasih sayang (saling memberi dan menerima dalam suasana hubungan ibu bapa dengan anak yang harmoni). Hukuman masih boleh dilaksanakan hanya jika setelah beberapa pendekatan lain tidak mendatangkan hasil.

3. Peraturan Keluarga Peraturan keluarga merupakan satu pendekatan yang paling asas dalam mendisiplinkan anak. Anak yang terdidik dengan peraturan keluarga akan menjadi lebih bertanggungjawab dan saling hormat-menghormati. Ini akan memudahkan anak untuk mematuhi beberapa peraturan lain yang bakal ditempuhi bukan sahaja di sekolah malah di mana-mana tempat sekali pun.

3 ciri utama dalam mewujudkan peraturan adalah : Peraturan itu mempunyai matlamat yang mudah difahami. Setiap peraturan mestilah mempunyai alasan kepada limitasi-limitasi yang telah ditentukan. Peraturan perlulah menitikberatkan kesan yang ditinggalkan sekiranya tidak dipatuhi.

4. Peraturan keluarga yang konsisten Ibu bapa perlu mewujudkan peraturan keluarga yang konsisten supaya anak dapat mengendalikan diri mereka dengan sendirinya apabila setiap peraturan yang diwujudkan itu dapat difahami dengan jelas serta tidak ada perubahan yang dilakukan secara mengejut sehingga boleh mengelirukan diri mereka. Anak bukan sahaja belajar menguruskan diri serta bersikap sabar ketika melaksanakan tugasan, malah mereka menjadi lebih bertanggungjawab apabila dewasa kelak.

5. Bertindak lebih baik daripada berjanji Apabila mendisiplinkan anak dengan menjanjikan sesuatu ganjaran ataupun mengenakan sebarang denda, pastikan bahawa ibu bapa bertindak melakukan apa yang telah diperkatakan. Bukan itu sahaja, tindakan yang bakal diambil mestilah konsisten dengan peraturan keluarga yang telah wujudkan. Sikap tegas perlu ada dan ibu bapa tidak boleh membiarkan perasaan simpati melemahkan ketegasan serta peraturan yang telah diwujudkan. Sebagai ibu bapa yang inginkan sesuatu kebaikan dipelajari oleh anak-anak, tindakan yang konsisten adalah lebih baik daripada kata-kata janji yang tidak ditunaikan.

6. Mendidik tanpa jemu Mendidik anak merupakan satu kesenian dalam keibubapaan selagi ibu bapa tidak merasa jemu mempelbagaikan pendekatan yang digunakan. Ibu bapa perlu mendidik anak tanpa jemu kerana pendekatan ini boleh mengurangkan pelbagai masalah apabila nilai-nilai yang murni dapat disematkan ke jiwa anak khususnya di peringkat kanak-kanak lagi. Apabila mereka meningkat dewasa, mereka akan lebih prihatin dan dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk

sebagai bekalan pada masa akan datang.

7. Lembut tapi tegas Ibu bapa perlulah bersikap lemah lembut tetapi tegas dalam mendidik anak-anak. Kebiasaannya ibu bapa yang kurang sabar akan menggunakan cara ugutan mahupun kekerasan seperti merotan. Cara paling baik untuk mengendalikan anak yang sedang merajuk mahupun tidak mendengar kata adalah dengan bersikap tegas. Namun ibu bapa perlulah menjelaskan kenapa sesuatu perkara atau sesuatu permintaan itu boleh atau tidak boleh dipenuhi.

8.Membentuk tingkah laku anak Ibu bapa harus menegur anak secara terus terang supaya mesej mereka dapat mewakili perasaan serta hasrat yang tidak begitu senang dengan tingkah laku yang telah ditunjukkan oleh anak-anak mereka. Sikap bekerjasama yang ditunjukkan oleh ibu bapa dalam melakukan sesuatu perkara bersamasama anak mereka dapat mengukuhkan lagi hubungan ibu bapa dan anak dengan syarat tidak memarahi atau meleteri anak dengan melabelkannya dengan perkataan negatif seperti malas, degil dan sebagainya. Ketika memberi arahan, ibu bapa perlu mengawal emosi supaya nada suara tidak terlalu keras dan tidak juga terlalu lembut tetapi tegas.

9. Mengendali anak yang tidak mematuhi arahan Ibu bapa perlu mempelajari beberapa cara untuk mengendalikan anak yang tidak mematuhi arahan dengan menggunakan pendekatan berunsur motivasi yang kadangkala meninggalkan kesan negatif bertujuan untuk menyedarkan anak supaya tidak terus berkelakuan yang boleh menimbulkan kemarahan mahupun kekecewaan ibu bapa.

4 cara untuk mendisiplinkan anak yang tidak mematuhi arahan : Ganjaran Anak-anak lebih suka menerima sesuatu ganjaran berbentuk hadiah atau pujian, namun ibu bapa perlu berhati-hati ketika memberi ganjaran supaya matlamat asal iaitu ingin membentuk tingkah laku anak tercapai. Tiada tindakan atau reaksi

Kadangkala adalah lebih berkesan mendiamkan diri atau tidak menunjukkan sebarang reaksi kepada tingkah laku negatif anak. Cara ini bukan sahaja dapat menyedarkan kesilapan anak kerana ibu bapa tidak memberi perhatian mereka, bahkan juga anak akan merasakan sendiri beberapa kesan negatif yang terpaksa dihadapi ekoran daripada tingkah lakunya yang tidak berubah. Beri amaran Amaran boleh diberi sebagai peringatan kerana kadangkala anak-anak terlupa akan sesuatu peraturan. Apabila amaran diberikan, pastikan mempunyai alasan-alasan tertentu serta hukuman ringan sekiranya diingkari. Mengenakan denda Denda merupakan sesuatu yang amat tidak disukai oleh anak-anak. Apabila sesuatu denda dikenakan, beberapa reaksi kurang senang akan dipamerkan. Ibu bapa perlu bersabar dan terus bertegas dengan pendirian sehingga tingkah laku negatif anak dapat diatasi.

10. Pujuk sudah, belai pun sudah, tapi Kerenah anak pelbagai ragam. Ada berpendapat mengatakan ibu bapa harus menggunakan pendekatan psikologi dalam mengendalikan anak. Namun kadang kala kesabaran ibu bapa tergugat dengan kerenah anak sehingga ada ibu bapa yang sanggup mengenepikan pendekatan psikologi dan menggantikannya dengan pendekatan tamparlogi. Setiap ibu bapa perlu bersedia dan sentiasa mengingatkan dirinya supaya sentiasa bersabar untuk mengendalikan anak. Dalam kata lain, ibu bapa perlu berada satu langkah ke hadapan memikirkan implikasi yang wujud sekiranya anak tidak dikendalikan secara pujukan, rayuan dan belaian tetapi masih dalam ketegasan kerana sesuatu cara yang senang lagi singkat tidak bererti bahagia, dan sesuatu cara yang susah serta memakan masa tidak bererti derita.

Penutup Sesungguhnya tingkah laku anak-anak merupakan cerminan ibu bapa yang mengasuh serta mendidik mereka. Kadang kala puas ibu bapa memberi perhatian dan kasih sayang tetapi semakin banyak diberi, semakin tinggi pula kerenahnya. Ibu bapa menjadi bingung, kecewa dan hilang pertimbangan apabila berhadapan dengan anakanak. Anak-anak dikatakan tidak ikut tunjuk ajar, sedangkan anak-anak tidak berjaya didisiplinkan. Dalam mendidik anak, disiplin dan kasih sayang amat penting selain menggunakan

pendekatan yang lain. Adakalanya hukuman seperti merotan digalakkan dalam mendidik dan mendisiplinkan anak, tetapi janganlah sampai mendera mahupun parah. Sebenarnya, ramai ibu bapa yang tidak mahu memukul anak mereka dan ibu bapa akan berasa sedih serta menyesal apabila mengambil tindakan tersebut. Lazimnya, tindakan itu diambil dengan harapan anak-anak berubah dan ibu bapa juga mungkin beranggapan bahawa inilah cara yang terbaik untuk mendisiplinkan anak. Sekiranya ibu bapa tidak mahu beberapa kesan sampingan tertanam dalam diri anak, tindakan ini perlulah dielakkan sebaik mungkin.

Aku hidup dalam kenangan , Imbauan rindu sering bertandang, Sumber kekuatan di akan datang.

Anda mungkin juga menyukai