Anda di halaman 1dari 10

Teori-Teori Kaunseling

- TEORI ROGERIAN (PEMUSATAN INSAN) Pengenalan


Teori Pemusatan Insan disebut juga sebagai teori konsep kendiri atau teori fenomenologi yang
digolongkan ke dalam psikologi kemanusiaan (humanistic), gestalt dan kewujudan. Ia diasaskan
oleh Carl Ransom Rogers di dalam tahun 40an yang menamakannya kaunseling bukan-arahan
atau kaunseling pusatan-klien. Ia mencabar pendekatan-pendekatan pusatan-kaunselor dan
kaunseling arahan yang mengandaikan bahawa kaunselor itu dalam semua hal dan berkeupayaan
membantu kliennya di dalam semua bidang.
Ia mencabar teknik-teknik dan tatacara-tatacara yang berbentuk nasihat, saranan, arahan
kaunselor, pujukan, pengajaran, diagnosis dan pentafsiran oleh kaunselor. Cabaran ini dilakukan
oleh Rogers semata-mata kerana kepercayaan dan keyakinannya bahawa manusia itu memang
baik, memang boleh dipercayai, dan memang mempunyai keupayaan yang banyak untuk
memahami diri mereka sendiri serta menyelesaikan masalah-masalah yang mereka alami sendiri,
tanpa campur tangan secara langsung oleh kaunselor. Ia berpendirian bahawa manusia itu boleh
menuju ke arah penentuan kendiri, jika mereka dibawa terlibat di dalam perhubungan kaunseling
atau terapi. Baginya sifat-sifat peribadi dan sikap kaunselor serta hubungan antara klien dengan
kaunselor itu adalah merupakan dua faktor utama bagi kejayaan sesuatu proses kaunseling tanpa
memerlukan arahan-arahan yang langsung dari kaunselor seperti yang dianjurkan sebelum dan
selepasnya. Kerana itulah tatacara dan teknik tidak penting baginya.
Melalui penglibatannya yang meluas di dalam kaunseling dan psikoterapi individu, Rogers telah
mengemukakan teori dan pendekatannya yang dinamakan terapi pusatan-klien di dalam tahun
1951. Teori ini terus diperbaikinya dan hasilnya diterbitkan di dalam tahun 1962.
Teori dan pendekatan yang dikemukakan oleh Rogers ini mencetuskan minat yang mendalam di
kalangan para pendidik yang menekankan pengajaran pemusatan pelajar. Di samping itu, Rogers
juga telah mencuba teorinya untuk digunakan dengan kelompok-kelompok, dan juga dalam
kaunseling keluarga pada tahun 1970 dan 1972. Sejak kebelakangan ini seolah-olah sudah
muncul minat untuk menerapkan teorinya di dalam bidang perhubungan antarabangsa dan
politik.
2.0 Latar Belakang Tokoh
Carl Ransom Rogers dilahirkan pada 8 Januari 1902 di Oak Park, Illinois Chicago. Rogers
merupakan anak ke-empat dari enam orang adik beradik. Ayahnya merupakan seorang kontraktor
dan jurutera. Kedua-dua ibubapanya sangat kuat berpegang kepada agama. Rogers mempunyai
adik beradik seramai enam orang dan lima daripada mereka adalah lelaki. Hubungan mereka
adik beradik sangatlah rapat. Rogers amat rapat dengan ibunya berbanding ayahnya.
Semasa kecil Rogers adalah seorang murid yang cerdik dan pintar. Walaupun dilahirkan dalam
keluarga yang ramai, Rogers merupakan seorang pelajar yang suka mengasingkan diri dan
pendiam di sekolah. Beliau sangat sensitif orangnya.
Rogers telah memasuki Universiti Wisconsin dan memperolehi pencapaian di dalam bidang
akademik yang sangat baik. Di universiti itu beliau mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti,

termasuk rombongan ke negeri China sebagai perwakilan dalam World Student Christian
Federation Conference. Beliau mendapat Ijazah pertamanya dalam bidang Sejarah pada tahun
1924. Beliau menerima Ijazah kedoktorannya pada tahun 1931.
Pada tahun 1928, sebelum menerima ijazah kedoktorannya, beliau mula bekerja di Rochester
New York, terutamanya dengan kanak-kanak dan remaja yang bermasalah yang dirujuk oleh
mahkamah dan agensi-agensi kepada Child Study Department of the Society for the Prevention
of Cruelty to Children. Kemudian beliau dilantik menjadi pengarah kepada Rochester Guidance
Center. Pada tahun 1940 dia menjadi professor di Ohio State University. Di antara tahun 1945
sehingga 1957 beliau terlibat secara langsung dengan Counseling Center di University Of
Chicago. Rogers kemudian berpindah ke University Of Wisconsin. Pada tahun 1964 beliau
menyertai Western Behavioral Science Institute sebagai resident fellow. Dari tahun 1968
sehingga beliau meninggal dunia, Rogers menjadi resident fellow di Center for studies di La
Jolla, California. Rogers telah menulis beberapa buah buku antara lain buku-buku yang
ditulisnya ialah Counseling and Psychotherapy (1942), Client-centered Therapy (1951), On
Becoming a Person (1961), Carls Rogers On Encounter Groups (1970).
Rogers banyak menerima penghormatan di sepanjang hidupnya. Beliau merupakan orang
pertama menjadi pengerusi kepada American Association for Applied Psychology . Beliau
bertugas sebagai pengerusi American Psychocogical Association (APA) dari tahun 1946 1947 .
Rogers meninggal dunia di La Jolla, California pada 4 Februari 1987 ketika berusia 85 tahun
selepas menjalani pembedahan tulang punggung yang patah akibat satu kemalangan.
3.0 Pandangan Terapi Terhadap Kejadian Manusia
Menurut Amir Awang (1987), Carls Rogers mempunyai pandangan yang cukup teguh mengenai
sifat tabii manusia. Baginya manusia boleh berkembang secara positif dan membina jika wujud
perasaan percaya mempercayai, hormat menghormati yang boleh dirasai dan dialami. Rogers
menolak sekuat-kuatnya anggapan bahawa manusia itu tidak boleh dipercayai dan pasif, dan
menjadi mangsa sifat biologi atau persekitarannya. Ia menolak anggapan kepercayaan bahawa
manusia itu perlu diarah, didorong, diajar, didera, diberi ganjaran, dikawal dan diuruskan
hidupnya oleh orang lain. Ia yakin bahawa manusia memang dari mula lagi sudah mempunyai
kecenderungan dan keupayaan semulajadi untuk berkembang peringkat demi peringkat menuju
ke arah nirwana kendiri, andainya wujud keadaan-keadaan yang sesuai.
Menurut Ee Ah Meng (1997), Carls Rogers dalam teori Pemusatan Insan membuat andaian
bahawa manusia adalah rasional, baik dan bertanggungjawab. Manusia boleh membuat
keputusan sendiri yang membawa keoada kebebasan dan berdikari. Sifat-sifat yang ada pada
manusia adalah seperti membina, bekerjasama, boleh dipercayai, bersifat realistik dan sanggup
bersosial. Perasaan-perasaan negatif yang terdapat pada manusia seperti marah dan benci
memang wujud akibat penafian keperluan seperti kasih sayang, keselamatan dan penerimaan.
Andaian-andaian teori ini terhadap manusia adalah seperti :
1. Konsep kendiri adalah persepsi tentang diri individu berdasarkan interaksi kita dengan orangorang lain.
2. Individu bertingkah laku dalam bentuk yang boleh meningkatkan konsep kendirinya.
3. Masalah-masalah yang berlaku kerana timbul atau wujudnya antara konsep kendiri dengan
pengalaman-pengalaman yang lalu.
4. Hanya dengan pengalaman dan penghormatan barulah individu akan bersedia untuk berkongsi
masalahnya.

Menurut Suradi Salim (1996), manusia dianggap mempunyai sifat-sifat positif dan mempunyai
keinginan untuk berfungsi penuh, iaitu hidup dengan seberapa berkesan yang boleh. Jika
seseorang itu dibenarkan untuk berkembang dengan bebas, beliau akan berkembang dengan
sempurna dan akan menjadi individu yang positif dan berjaya. Pandangan seseorang tentang
dirinya dalam konteks persekitarannya menentukan tingkah lakunya dan kepuasan peribadinya.
Jika diberikan atau disediakan dengan persekitaran yang menggalakkan, manusia akan
berkembang dengan yakin ke arah nirwana kendiri menjadi apa sahaja yang dia inginkan. Jika
manusia tidak menerima kasih sayang dan sokongan orang yang penting baginya, kemungkinan
besar manusia menganggap dirinya tidak berharga dan menganggap orang lain tidak boleh
dipercayai, serta mereka akan bersikap mempertahankan diri dan perkembangan ke arah nirwana
diri akan terhalang. Persepsi seseorang tentang diri dan persekitaranya merupakan realiti
baginya.
Bagi Rogers, untuk membolehkan seseorang itu berkembang secara positif dan membina,
mestilah wujud tiga suasana atau keadaan, iaitu;
1. Kejujuran, keikhlasan da kebenaran
2. Penerimaan tanpa syarat dan perasaan ambil berat
3. Kefahaman yang mendalam
Jika ketiga-tiga keadaan ini dapat dirasai dan dialami oleh klien di dalam hubungannya dengan
kaunselor, ia juga akan mula menghayati sifat-sifat dan ciri-ciri ini dan seterusnya lebih bersedia
untuk menerima pengalaman-pengalaman yang dilaluinya.
4.0 Matlamat Terapi
Matlamat yang ingin dicapai di dalam kaunseling / Terapi Pemusatan Insan ini bukanlah sekadar
menyelesaikan masalah yang dihadapi atau dialami pada masa itu, tetapi apa yang lebih
diutamakan ialah untuk mencapai perasaan bebas dan besepadu bagi diri seseorang individu itu.
Tujuan kaunseling adalah untuk membantu klien di dalam proses perkembangannya, agar ia
dapat menghadapi dan mengatasi masalah masa kini dan masalah-masalah di masa hadapan.
Dengan berasaskan kepada matlamat yang ingin dicapai, maka klien haruslah bersedia untuk
memisahkan dirinya daripada apa yang selama ini telah sebati dengan dirinya bagi membolehkan
dirinya berhadapan dengan realiti. Menurut Amir Awang (1987), terdapat beberapa perkara yang
dapat diperhatikan dan dirasai oleh klien itu sendiri untuk mencapai maksud yang ingin dituju di
dalam kaunseling :
i) Klien bersedia menerima, merasai dan mengalami realiti yang sebenar, tanpa mengherotberotkannya untuk disesuaikan dengan struktur kendiri seseorang itu. Klien tidak lagi bimbang
atau takut untuk berhadapan dengan realiti. Ia sedia menerima dirinya sendiri baik atau buruk,
ia dapat mengalami hidup dengan cara yang baru dan dapat terus berkembang.
ii) Klien akan merasa yakin pada diri sendiri. Biasanya klien tidak yakin yang ia boleh
mengemudikan hidupnya, kerana itu ia sering meminta dirinya dibimbing dan diarah. Tetapi
apabila ia sudah sedia menerima dirinya dan berhadapan dengan kenyataan, ia pun akan mula
mempunyai keyakinan dan keupayaan sendiri untuk mengawal dan mengarah hidupnya.
iii) Klien akan dipandu dan diarah oleh perasaan dan pemikirannya sendiri. Walaupun penting
bagi seseorang untuk memberi perhatian kepada nilai-nilai dan norma-norma masyarakat,
individu perlu juga mempunyai nilai-nilai sendiri untuk memandu dirinya. Ia harus bersifat inner
directed dan tidak dikongkong oleh outer directedness. Melalui inner directedness ini ia akan

memperolehi kepuasan kerana ia dapat membuat sesuatu keputusan berdasarkan pertimbangan


sendiri.
iv) Klien dalam keadaan untuk terus berkembang. Apabila wujud di dalam diri klien kesediaan
untuk terus hidup, untuk terus mengalami peristiwa-peristiwa baru, untuk terus menghadapi
cabaran-cabaran dan masalah-masalah baru, maka individu telah mencapai suatu tahap positif di
dalam proses hidupnya. Dari sini ia akan bersedia membuat ketetapan-ketetapan baru untuk
dirinya, untuk mencari matlamat-matlamat baru untuk hidupnya. Ia tidak lagi perlu bergantung
kepada orang lain untuk mengarah atau mengawal hidupnya. Ia sudah berupaya menuju ke arah
matlamat baru.
5.0 Teknik Pemusatan Insan
Menurut Hansen, Stevic & Warner (1986), Kaunseling Pemusatan Insan mengandaikan bahawa
setiap individu mempunyai keinginan untuk berkembang, matang dan mencapai atau menuju ke
arah kesempurnaan kendiri. Ini adalah merupakan satu-satunya pendekatan teraputik yang utama
yang bergantung terhadap gerakan dalaman klien untuk menuju ke arah pertumbuhan. Individu
dilihat sebagai boleh memulihkan diri, memerlukan kemesraan, dan persekitaran yang
menyokong untuk mencapai kepuasan kendiri pada tahap yang tinggi.
Menurut Gelso & Carter (1985), hubungan kaunselor dengan klien dilihat sebagai ramuan yang
penting di dalam psikoterapi. Dalam perhubungan kaunseling, komunikasi difokuskan kepada
individu yang mengalami masalah. Rogers (1986) menyarankan tiga suasana yang fasilatatif iaitu
:
i. Ketulenan sebenar atau kongruen
ii. Penerimaan, mengambil berat dan bersangka baik
iii. Mempunyai kefahaman empati
Kajian yang telah dibuat menunjukkan kaunseling pemusatan insan yang dicadangkan oleh
Rogers adalah sesuai untuk menggalakkan peningkatan penyesuaian psikologikal pada diri klien.
Melalui kaunseling pemusatan insan, klien telah meningkatkan penghargaan kendiri. Menurut
Carkhuff dan Berenson (1967), kajian-kajian telah mengesahkan kepentingan sumbangan empati,
penghormatan dan ketulenan dalam proses kaunseling. Brammer dan Shostrom (1982), satu ciri
utama yang membezakan kaunseling pemusatan insan dengan pendekatan lain ialah
meningkatnya tahap tanggungjawab pada diri klien berbanding dengan yang dijangkakan oleh
kaunselor.
Amir Awang (1987), menjelaskan bahawa Rogers telah mengemukakan beberapa sifat yang
terdapat di dalam teori ini. Antaranya ialah teori ini dianggap sebagai fleksibel dan sedia
menerima perubahan dari semasa ke semasa. Ia memberi fokus kepada keupayaan klien serta
tanggungjawabnya untuk mencari jalan bagi menghadapi kenyataan, dan seterusnya
menghasilkan tingkahlaku yang sesuai dengan realiti. Pendekatan teori ini memberi tumpuan
utama kepada dunia fenomenologi klien sendiri. Ini bermaksud setiap klien melihat kenyataan
atau realiti menurut kaca mata dan teropongnya sendiri. Manakala kaunselor harus bersedia
untuk menerima persepsi subjektif ini dan harus bersedia merasai dan mengalami apa yang
dirasai dan dialami oleh klien melalui proses empati. Kaunselor juga harus mengelak dari
mencemuh, menyangkal, mengkritik atau sebagainya.
Pendekatan teori ini boleh digunakan dengan semua jenis klien iaitu normal, neurotik dan

psikotik. Melalui hubungan yang dibina oleh kaunselor bersama klien yang kongruen, menerima
kliennya tanpa syarat dan mempunyai keupayaan untuk berempati, klien dengan sendirinya akan
menemui dirinya sendiri melalui proses kaunseling. Dengan menggunakan teori ini kaunselor
hendaklah ikhlas, jujur, mesra dan bersedia menerima kliennya, serta mempunyai kebolehan
untuk berempati secara tepat. Dengan sifat dan kebolehan ini, klien bolehlah diajak untuk
memberi fokus kepada apa yang dirasai dan dialaminya masa kini dan pada ketika itu.
Sebagai suatu teori yang menekankan usaha bersama di antara kaunselor dan klien untuk
membolehkan klien berkembang, kaunselor dan klien terlibat secara langsung di dalam proses
berkembang untuk menuju ke arah matlamat, manakala kuasa dan kawalan tidak dipegang oleh
kaunselor. Malah klienlah yang memilikinya, dan klien juga yang menentukan bagaimana ia
hendak menggunakan kuasa dan kawalan ini bagi mengembangkan dirinya.(Rogers, 1977).
Antara teknik-teknik teori Pemusatan Insan ialah :
5.1 Penerimaan Tanpa Syarat
Teknik ini menekankan supaya kaunselor mempunyai sikap menerima klien tanpa syarat iaitu
tanpa menilai tingkahlaku, peristiwa atau perasaan klien sama ada baik atau jahat. Dalam ertikata
lain, kaunselor haruslah bersedia menerima kliennya tanpa mengenakan apa-apa syarat ke
atasnya. Ia harus bersedia menerima kliennya tanpa prasangka atau sebarang penilaian.
Kaunselor juga haruslah juga sering berwaspada agar ia tidak memberi gambaran kepada
kliennya yang ia sedia menerima kliennya, agar kliennya rasa senang terhadapnya lantas memuji,
menyanjung atau menghargai kesediaanya menerima klien. Sikap ikatan dua hala ini (double
binding) hendaklah dielak bagi menghindarkan perasaan ada udang disebalik batu. Tanpa
mengenakan syarat seperti ini, klien akan dapat merasa ketulenan kaunselor tadi untuk
menolongnya dan dengan wujudnya persepsi dan perasaan seperti ini, maka lebih mudahlah
proses perubahan personaliti berlaku, kerana tidak akan terasa sebarang ancaman.
5.2 Empati
Sifat empati adalah kebolehan untuk merasa dan mengenalpasti perasaan orang lain dan
kemampuan memberitahu kepada klien daripada sudut pandangannya, iaitu cuba masuk ke
dalam ruang rujuk klien.
Di dalam teknik ini memerlukan kaunselor mempunyai kefahaman empati yang tepat. Klien
yang datang bersamanya membawa dunia subjektifnya, yang tentu berbeza daripada dunia
subjektif kaunselor itu sendiri. Dari huraian klien, baik melalui bahasa mahupun melalui gerakgeri tubuh badannya, kaunselor haruslah berusaha menyelami dunia subjektif kliennya, sehingga
ia dapat merasai, mempersepsi dan mengalami segala apa yang dirasai, dipersepsi dari alam
objektifnya dari realiti yang sebenar.
5.3 Ketulenan
Sifat jujur, ikhlas dan tulen harus ada pada kaunselor yang menggunakan teknik ini. Ketulenan
adalah kebolehan untuk menjadi sejati dan benar dengan orang lain. Kaunselor tidak sepatutnya
menyelewengkan komunikasi, menyembunyikan motif atau bertindak dengan agenda yang
tersembunyi, berpura-pura dan mengelak.
Kaunselor haruslah bersikap terbuka dengan klienya. Ia tidak tersekat-sekat atau teragak-agak

untuk menyampaikan apa jua yang dirasainya, baik yang positif mahupun negatif. Dengan yang
demikian ia dapat menjadi sebagai contoh atau model kepada kliennya untuk juga bersifat
terbuka, jujur dan ikhlas di dalam menyatakan perasaan dan pengalamannya.
5.4 Aktif Mendengar dan berfikir
Mendengar merupakan satu kemahiran yang amat penting dalam sesi kaunseling. Tumpuan yang
penuh ataupun konsentrasi hendaklah diberikan kepada apa yang klien cakap samada secara lisan
atau bukan lisan. Tumpuan atau perhatian merupakan prasyarat terhadap membantu. Pendengar
yang aktif akan memberi maklum balas tentang apa yang dicakapkan menggunakan
perkataannya sendiri untuk tiga sebab iaitu ;
a. ia akan memastikan ia betul-betul faham apa yang dicakapkan oleh kliennya
b. ia akan memastikan ia betul-betul telah mendengar
c. ia akan membantu klien membuat pendedahan kendiri
Mengenal pasti perasaan dapat memberitahu kepada klien bahawa kaunselor sedang mendengar
dan menggalakkan klien untuk bercakap lebih bebas. Ini boleh membantu untuk merangka suatu
ketetapan yang lebih memuaskan. Menurut Mc Kay, Davis dan Fanning (1983) menyatakan
bahawa mendengar dengan aktif memerlukan kaunselor bekerjasama di dalam proses
berkomunikasi. Ini termasuklah parafrasa, menjelaskan dan maklum balas.
5.4.1 Parafrasa
Parafrasa bermaksud mengatakan dengan perkataan sendiri apa yang telah
dikatakan oleh klien seperti;
apa yang saya faham
dengan kata lain
Kaunselor harus memparafrasakan apabila klien menyebut sesuatu yang penting kepadanya.
5.4.2 Penjelasan
Penjelasan bermaksud bertanyakan soalan untuk mendapatkan penjelasan agar kaunselor boleh
memahami kenyataan-kenyataan yang kabur. Tujuannya ialah memahami dari konteks
bagaimana cara berfikir klien dan perasaannya terhadap sesuatu masalah.
5.4.3 Maklum Balas
Sewaktu temubual kaunseling maklum balas menyediakan peluang untuk kaunselor berkongsi
apa yang difikirkan, dirasakan dan untuk menyemak persepsi. Untuk menyemak persepsi
kaunselor merangka apa yang dia dengar dan dipersepsikan ke dalam tentatif.
5.5 Kongruen
Kongruen memerlukan kaunselor bersifat telus terhadap klien, iaitu jika kaunselor merasa marah
terhadap cara klien berkomunikasi tetapi dia menyembunyikannya. Ini menyebabkan berlakunya
tidak kongruen. Adalah menjadi satu dilema untuk menjadi kongruen kerana ia kadangkala
bercanggah dengan sikap tidak menghukum.
5.6 Mendengar untuk merasa
Interaksi yang berkesan melibatkan pemahaman yang mendalam terhadap dunia seseorang dan

menyatakan kefahaman itu kepada klien. Melalui pendengaran dan tindakan yang tepat, halangan
yang merintangi persefahaman dua hala boleh dihindari. Dinkmeyer & Losoney, 1980,
mengenalpasti dan menyatakan perasaan dalam sesuatu mesej boleh dirangka dalam bentuk;
perasaan kamu sekarang
jika apa yang saya dengar ini betul
5.7 Mendengar dengan empati
Mendengar dengan empati bermaksud kaunselor menyedari bahawa walaupun sesuatu perkara
amat berat tetapi kaunselor perlu juga membantunya. Kaunselor perlu bertanya diri sendiri
bagaimana kepercayaan dan keputusan walau pun ia mungkin gagal tetapi boleh mengurangkan
kerisauan klien.

5.8 Menghormati
Menghormati adalah kemahiran interpersonal yang menunjukkan penghargaan tentang keunikan
orang lain, toleransi terhadap perbezaan atau kelainan, kemahuan dan keinginan untuk
berinteraksi dengan orang lain secara sama rata.
5.9 Penerimaan yang mesra
Teknik ini merupakan keupayaan untuk bersifat terbuka, peramah dan menerima menggunakan
komunikasi bukan lisan yang boleh menyampaikan isyarat-isyarat kongruen, keterbukaan dan
kesudian untuk mendengar.
5.10 Konfrontasi
Konfrontasi merupakan keupayaan untuk memberitahu seseorang individu itu tentang
perselisihan tingkah laku dan kesannya terhadap dirinya sendiri, dengan cara yang tidak agresif,
tidak menghakimi, tidak kritikal atau tidak defensif (mempertahankan diri). Ia bertujuan untuk
menyedarkan individu tersebut sama ada tingkah lakunya menggalakkan atau menghalang
perhubungan interpersonalnya.
5.0 Peranan Kaunselor
Dengan adanya sikap dan kebolehan berempati, kaunselor haruslah berperanan seperti yang
dijelaskan oleh Corey (1996);
a. Kaunselor berfungsi sebagai fasilitator bagi perkembangan seseorang klien. Kaunselor
haruslah mewujudkan suasana teraputik iaitu mewujudkan suasana yang tenang, selesa dan
sesuai agar dapat menggalakkan klien mengalami suatu rasa bebas untuk meneroka dan
mengalami cabang-cabang hidup yang disangkalnya. Oleh itu klien dapat dibantu supaya tidak
bersifat defensif. Kaunselor harus menganggap klien sama taraf dengan kaunselor dan berusaha
mengenali masalahnya.

b. Kaunselor perlu mewujudkan suasana iaitu kaunselor harus berada dalam keadaan kongruen
dan klien berada dalam keadaan tidak kongruen. Kaunselor bersedia menerima tanpa syarat,
prasangka dan tidak beranggapan buruk terhadap klien. Kaunselor harus berempati bagi merasai
dan mengalami apa yang dirasai dan dialami oleh klien.
c. Kaunselor haruslah memperlihatkan kepada kliennya yang ia dianggap sebagai sama taraf
dengan dirinya dan secara bersama mereka akan berusaha untuk mengenali masalah klien dan
mengatasinya.
d. Kaunselor tidak akan mendiagnos masalah klien. Ia hanya menjadi sebagai cermin yang akan
membantu klien melihat dirinya dan masalahnya dengan jelas.
Untuk mempastikan tercapainya perkara-perkara yang disebutkan di atas, haruslah wujud:
a. pertemuan, baik secara langsung atau tidak langsung, di antara kaunselor dengan klien
b. kaunselor haruslah di dalam kongruen, dan klien pula berada di dalam keadaan tidak kongruen
c. Kaunselor bersedia menerima kliennya tanpa syarat, tanpa sebarang prasangka dan anggapan
d. Kaunselor boleh berempati bagi merasai dan mengalami apa yang dirasai dan dialami oleh
klien
e. Kaunselor haruslah bersifat jujur, ikhlas dan terbuka
f. Klien pula haruslah dapat melihat dan merasai, tak banyak sedikit, sifat-sifat dan kebolehankebolehan di atas yang ada pada kaunselor
6.0 Peranan Klien
Untuk sesuatu sesi kaunseling itu mencapai kejayaan, klien juga tidak terlepas memainkan
peranannya; antara peranan-peranan klien adalah seperti:
a. Klien haruslah memutuskan bahawa dia memerlukan khidmat kaunseling dan datang secara
sukarela dan bukan atas dasar paksaan atau disuruh oleh orang lain
b. Pada awalnya, klien menghadapi kebimbangan, percanggahan perasaan dan fikiran
c. Klien harus merasa bersedia untuk berbincang apabila merasa diterima dan dapat menghayati
perhubungan kaunselor dengan klien
d. Klien merasa lebih terbuka dan bebas meluahkan perasaan dan menjelajah diri
e. Klien akan cuba untuk mencari penyelesaian dengan bantuan klien sendiri
f. Klien akan menentukan pilihan dan tindakannya sendiri. Kaunselor hanya bertindak membantu
klien dalam membuat pilihan
g. Klien berupaya dan bersedia untuk berubah
h. Klien bersedia untuk terus berkembang dalam usaha mencari matlamat baru
7.0 Aplikasi teori dalam bidang kaunseling
Teori ini sangat sesuai digunakan di dalam seting sekolah kerana ia menekankan kaedah
pengajaran pemusatan pelajar. Ini bersesuaian kerana teknik-teknik dan tatacara-tatacara yang
digunakan adalah berbentuk nasihat, saranan, pujukan dan pengajaran adalah sesuai untuk
pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah. Teori ini juga sangat berkesan dalam
mengubah tingkah laku pelajar.
8.0 Kekuatan Terapi

Menurut Shertzer & Stone (1992), antara matlamat yang ingin dicapai ialah membina individu
agar dapat berkembang dengan sihat. Oleh itu antara kekuatan teori ini menurut mereka
ialah :
a. menekankan kepentingan hubungan yang akrab antara kaunselor dengan klien
b. Menanamkan pendapat bahawa penerimaan, penghargaan serta kejujuran
kaunselor merupakan syarat-syarat yang amat penting bagi mewujudkan
perhubungan
c. Memupuk pendapat bahawa klien ialah rakan kongsi penuh dalam hubungan dan
bukan hanya sebagai rakan yang merendah diri

9.0 Limitasi Teori


Seperti teori-teori yang lain, terapi pemusatan insan ini juga mempunyai
kekurangan dan kelemahannya. Antara lain ialah ;
a. Terapi ini tidak mempunyai satu set teknik atau tatacara yang tertentu yang
terdapat di dalam setengah-setengah psikoterapi.
b. Terapi ini kurang menyediakan panduan tentang cara mewujudkan hubungan
kaunselor dengan klien
c. Kebanyakkan konsep di dalam terapi ini tidak dapat dibuktikan dan diukur dengan
mudah. Ianya terlalu abstrak.
10.0 Kesimpulan
Secara positif, suatu sumbangan yang paling besar telah diberikan oleh Rogers
melalui teorinya ialah keyakinannya yang kuat tentang keupayaan dan
kecenderungan manusia untuk berkembang ke arah nirwana kendiri. Pendirian yang
positif seperti ini telah memberikan maruah dan darjat kepada manusia, yang akan
berusaha mencerminkan kepercayaan sedemikian.
Rogers juga secara tidak langsung mengutarakan nilai-nilai dan sikap-sikap positif di
dalam berinteraksi dengan orang lain dengan menegaskan betapa pentingnya kita
menerima orang lain tanpa syarat, bersedia mendengar dan memahami orang lain
dari kaca mata dan dunianya yang subjektif, serta menekankan pentingnya
kejujuran, keikhlasan dan ketulenan di dalam segala tindak tanduk kita, kerana
melalui penghayatan sikap dan nilai-nilai sebegini kita boleh menjadi contoh atau
model yang berguna bagi orang lain.
Tanpa mempunyai pendirian yang menghakim atau judgemental, klien akan lebih
bersedia untuk meluahkan isi hatinya kepada kita, kerana dia yakin bahawa apa
juga yang dikemukakan itu tidak akan diberi nilai, dan hal sebegini tidak dirasakan
sebagai mengancam dirinya.
Secara negatifnya, bolehlah dikatakan bahawa kebanyakkan konsep-konsep yang
dikemukakan itu tidak dapat diperhatikan dan tidak pula dapat diukur dengan
mudah, kerana ianya bersifat konsep yang abstrak.
Pergantungannya kepada laporan kendiri boleh membawa hasil yang tidak begitu
memuaskan kerana klien yang beremosi dan berfikiran kusut mungkin tidak
berupaya untuk melahirkan isi hatinya dengan tenang dan teratur. Ini sudah tentu
boleh menghasilkan kesimpulan-kesimpulan yang juga tidak tepat.
Tanpa sedikit sebanyak panduan, arahan, manipulasi proses kaunseling akan
memakan masa yang amat panjang. Biar apa sekalipun kelemahan-kelemahan yang

terdapat di dalam teori ini, satu hal yang tidak dapat dinafikan ialah teori ini amat
memudahkan klien untuk meluahkan isi hatinya, kerana melalui perhubungan yang
mesra di antara kaunselor dan klien, klien begitu yakin yang kaunselor merupakan
orang yang boleh diharap dan memang bertanggungjawab serta bersunguhsungguh akan berusaha menolongnya.

Anda mungkin juga menyukai