Anda di halaman 1dari 10

BAB 1 Pelajar sebagai Pembelajar

BAB 1 PELAJAR SEBAGAI PEMBELAJAR


1.0 Pengenalan
1.1 Tahap Perkembangan Manusia

1.1.1 Faktor yang Mempengaruhi Perkembangan Manusia

1.2
1.3
1.4
1.5

Definisi dan Perkembangan Remaja Sepintas Lalu


Ciri-ciri Remaja sebagai Penuntut Ilmu
Persekitaran Pembelajaran yang Berkesan untuk Pelajar Remaja Masa Kini
Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pembelajaran Remaja

BAB 1 Pelajar sebagai Pembelajar

HASIL PEMBELAJARAN
Selepas membaca bab ini, pelajar akan dapat:
-Menghuraikan tahap perkembangan manusia.
-Membincangkan faktor yang mempengaruhi perkembangan manusia.
-Menerangkan definisi dan perkembangan remaja secara umum.
-Menghuraikan ciri-ciri remaja sebagai penuntut ilmu.
-Mengenal pasti persekitaran yang sesuai untuk pelajar remaja.
-Menilai faktor yang mempengaruhi pembelajaran remaja.
(Sila beli buku ini untuk rujukan yang terperinci)

1.0 Pengenalan
Pada abad yang ke-21 ini, zaman persekolahan merupakan suatu pengalaman
yang dilalui oleh hampir semua kanak-kanak dan remaja di dunia. Dalam usia
yang masih mentah, persekolahan selalu dilihat oleh kanak-kanak dan remaja
sebagai satu peluang untuk bertemu dengan rakan sebaya, berkawan dan saling
berhubungan. Di sekolah juga para pelajar boleh mendapatkan model terbaik
untuk dicontohi, iaitu daripada kalangan guru. Walaupun terdapat pelbagai
fungsi tersiratnya, fokus utama dalam agenda persekolahan ialah proses
pembelajaran dan perkembangan pelajar.
Pembelajaran merupakan proses seseorang pelajar memperoleh sesuatu
kefahaman atau konsep dan mengubah serta mengabaikan kefahaman atau
konsep tertentu yang telah dipelajari itu (Murphy dan Alexander, 2006). Bagi
mencapai salah satu daripada matlamat persekolahan, pengetahuan yang
diperoleh menerusi proses pembelajaran itu kemudiannya diuji dan dinilai dalam
bentuk peperiksaan yang sesuai dengan tahap perkembangan pelajar. Akhirnya,
setelah pelajar diakui telah menguasai sesuatu bidang pelajaran tertentu, maka
diharapkan akan berlaku pemindahan pengetahuan dan perubahan tingkah laku
yang sewajarnya.

Proses pembelajaran dan pengalaman


menimba ilmu akan berubah sejajar dengan
peralihan peringkat pengajian, misalnya dari
peringkat
sekolah
rendah
ke
sekolah
menengah. Dalam konteks ini, bukan sahaja
bahan pembelajaran menjadi semakin sukar
kerana perlu disesuaikan mengikut tahap
perkembangan kognitif remaja, malah mereka juga dipertanggungjawabkan
untuk memperoleh pencapaian akademik yang lebih tinggi. Selain itu, pengajian
mereka juga akan lebih mengkhusus serta akan mempengaruhi pemilihan
bidang pengajian di kolej atau universiti dan bidang pekerjaan mereka pada
masa hadapan.
Dengan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi pada peringkat menengah,
proses pembelajaran remaja di sekolah tidak selalunya tenang. Pada masa-masa
tertentu, akan berlaku peristiwa yang mungkin tidak menyeronokkan. Misalnya,
kejadian pelajar gagal memberikan jawapan yang tepat setelah menawarkan diri
untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru. Pelajar itu mungkin begitu
yakin dengan jawapan yang diberikan, malangnya jawapan itu salah. Peristiwa
ini akan menjadi suatu pengalaman yang sangat pahit bagi pelajar tersebut
sekiranya guru berkenaan kurang arif dalam menangani suasana sedemikian.
Justeru, akan timbul perasaan kurang enak dalam diri remaja seperti malu, tidak
bermotivasi lagi untuk mengambil bahagian dalam proses pengajaran dan
pembelajaran serta berasa sangsi dengan kemampuan sendiri.
Kesan negatif yang dialami oleh remaja seperti dalam contoh di atas
sedikit sebanyak dapat dikurangkan sekiranya bakal guru dibekalkan dengan
pengetahuan asas tentang sifat-sifat pelajar remaja. Berikutan itu, dalam bab
pertama ini, para bakal guru akan didedahkan dengan gambaran awal tentang
pelajar remaja dan hal-hal yang bersangkutan dengan pembelajaran mereka.
Bab ini dimulakan dengan huraian tentang lapan tahap perkembangan manusia
serta faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan manusia. Kemudian,
definisi remaja dan perkembangan kelompok remaja akan diterangkan secara
sepintas lalu. Perubahan dan perkembangan diri remaja akan diperhalus dalam
bab yang kedua. Dalam bab yang pertama ini juga, pembaca akan didedahkan
dengan ciri-ciri remaja sebagai penuntut ilmu, persekitaran pembelajaran yang
berkesan untuk pelajar remaja masa kini dan akhir sekali, faktor yang
mempengaruhi pembelajaran remaja (Sila beli buku ini untuk rujukan yang
terperinci).

1.1 Tahap Perkembangan Manusia


Bahagian ini akan menghuraikan tahap perkembangan manusia. Sebelum itu,
kita akan pelajari dahulu makna perkembangan manusia. Selain itu, tiga aspek
perkembangan manusia juga akan diterangkan .
Perkembangan manusia merujuk kepada pola perubahan yang dilalui oleh
seseorang, bermula daripada proses persenyawaan hingga penghujung
hayatnya. Kebanyakan proses perkembangan manusia melibatkan pertumbuhan
dan perkembangan, namun berlaku juga
kemerosotan dari tiga aspek iaitu aspek fizikal,
kognitif dan sosioemosi.
Perkembangan aspek fizikal merujuk
kepada perubahan pada tubuh luaran dan
dalaman manusia. Pengaruh genetik yang kita
peroleh
daripada
ibu
bapa
kandung,
perkembangan otak, ketinggian, perubahan
berat badan, peningkatan kemahiran motor dan perubahan hormon merupakan

antara contoh perkembangan aspek fizikal. Perkembangan kognitif pula dicirikan


dengan kemajuan serta kekurangan dalam aspek pemikiran dan kecerdasan.
Aktiviti minda seperti penghafalan sajak, penyelesaian masalah matematik dan
khayalan tentang kehidupan masa depan menunjukkan perkembangan aspek
kognitif. Sementara itu, perihal emosi, personaliti dan hubungan dengan orang
lain tergolong dalam perkembangan aspek sosioemosi. Remaja yang melawan
cakap orang tua, bertindak langsang terhadap rakan sebaya dan menunjukkan
rasa seronok ketika berada dalam aktiviti sosial adalah antara contoh
perkembangan aspek sosioemosi. Walaupun ketiga-tiga aspek perkembangan
fizikal, kognitif dan sosioemosi ini dibincangkan secara terpisah, namun semua
aspek tersebut sebenarnya sangat berkaitan dan saling mempengaruhi antara
satu sama lain.
Kebanyakan buku tentang perkembangan manusia mengemukakan lapan
tahap perkembangan manusia seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 1.1 (Sila
beli buku ini untuk rujukan yang terperinci). Oleh sebab perkembangan
seseorang manusia itu berbeza antara satu dengan yang lain, pembahagian
umur untuk setiap tahap tersebut dinyatakan secara anggaran sahaja. Dengan
kata lain, ada individu yang mencecah suatu tahap perkembangan lebih cepat
atau lebih lambat daripada pembahagian umur yang dinyatakan dalam bab ini.
Secara fitrahnya, perkembangan manusia bermula apabila sperma
daripada seorang lelaki disenyawakan dengan ovum dalam rahim seorang
wanita. Pertumbuhan sel selepas persenyawaan berlaku dengan pesat. Daripada
setitis darah, sel akan membentuk seketul daging dan kemudian akan ditiupkan
roh. Janin dalam kandungan seorang ibu akan terus membesar dan matang
dengan bergantung sepenuhnya kepada tubuh ibu tersebut. Tempoh janin
berada dalam rahim ibu selama sembilan bulan dan sepuluh hari ini dikenali
sebagai zaman pra kelahiran.
Selepas dilahirkan, janin dikenali sebagai bayi. Zaman bayi berlanjutan
sehingga umur bayi mencecah tiga tahun. Walaupun dalam tempoh ini
pergantungan seseorang bayi ke atas orang dewasa sangat tinggi, namun
mereka memperoleh pelbagai kepandaian seperti kemahiran berbahasa,
pemikiran simbolik dan kemahiran sosial.
Selepas mencapai umur tiga tahun, bayi melangkah ke zaman kanakkanak awal yang bermula dari penghujung zaman bayi sehingga kanak-kanak
tersebut masuk ke alam persekolahan formal. Pada zaman ini, tubuh kanakkanak terus membesar dan kuat. Kebanyakan mereka akan memasuki institusi
pendidikan prasekolah atau tadika. Maknanya, mereka sudah mula berdikari dan
pandai menjaga diri sendiri. Mereka asyik bermain terutamanya dengan rakan
sebaya. Kesediaan mereka untuk masuk ke darjah satu terpamer pada sikap
mereka yang boleh mematuhi arahan dan kebolehan mereka mengecam nombor
dan abjad.
Pada usia tujuh tahun, kebanyakan kanak-kanak di seluruh dunia akan
mula mengikuti pelajaran secara formal. Zaman kanak-kanak pertengahan ini
berlanjutan sehingga kanak-kanak mencapai baligh. Pada tahap ini, kawalan
kendiri mereka meningkat dan mereka mula terdedah kepada dunia luar serta
pelbagai jenis budaya. Mereka sudah boleh menguasai kemahiran asas iaitu
membaca, menulis dan mengira. Isu pencapaian akademik dan sukan
merupakan antara perkara pokok bagi kanak-kanak zaman pertengahan.
Seterusnya, kanak-kanak pertengahan akan memasuki zaman remaja
yang ditandai dengan proses baligh. Definisi dan perkembangan remaja akan
diterangkan dalam bahagian 1.2 bab ini dan dilanjutkan perbincangan
mengenainya dengan terperinci dalam Bab 2.
Zaman yang paling mantap dalam perkembangan manusia ialah zaman
dewasa awal, iaitu merujuk kepada individu yang berumur antara 20 hingga 40

tahun. Pada zaman ini, kebanyakan orang dewasa mencapai kemuncak


keupayaan fizikal serta melalui peristiwa-peristiwa penting dalam kehidupan
mereka seperti menjalin percintaan secara serius, mendirikan rumah tangga,
mempunyai anak sendiri, membina kerjaya, mengumpul harta, mendapat
pengiktirafan dan mencapai pelbagai kejayaan.
Kalau orang dewasa awal mempunyai kelebihan dari segi kekuatan fizikal,
orang dewasa pertengahan pula dihormati kerana kematangan dan kemampuan
mental mereka. Kebanyakan mereka akan mencapai puncak dalam kerjaya
seperti mendapat kenaikan pangkat serta menjadi ketua dalam organisasi dan
memimpin masyarakat. Pada tahap ini juga, orang dewasa pertengahan yang
mempunyai anak akan berpisah dengan anak seorang demi seorang kerana
mereka mendirikan rumah tangga dan mempunyai kehidupan berkeluarga
sendiri. Di samping itu, ada juga orang dewasa pertengahan yang terpaksa
menjaga orang tua mereka yang telah uzur. Peristiwa-peristiwa seperti ini
membuatkan orang dewasa pertengahan kerap membuat refleksi tentang makna
kehidupan serta mulai memindahkan nilai dan prinsip hidup mereka kepada
generasi muda.
Tahap kelapan dalam perkembangan manusia bermula pada usia 60-an
hingga hembusan nafas terakhir. Pada zaman ini, orang dewasa lanjut
mengalami kemerosotan dari aspek fizikal, kognitif dan sosioemosi. Kebanyakan
mereka telah bersara, justeru kemampuan kewangan mereka juga menurun.
Orang dewasa lanjut sangat memerlukan sokongan sosioemosi daripada
keluarga dan teman akrab terutamanya ketika uzur. Mereka juga paling kerap
berfikir tentang kematian berbanding individu dalam tahap perkembangan yang
lain (Sila beli buku ini untuk rujukan yang terperinci).

1.1.1 Faktor yang Mempengaruhi Perkembangan Manusia


Perkembangan manusia pada asasnya dipengaruhi oleh faktor baka khususnya
bagi kebanyakan perkembangan aspek fizikal. Faktor baka merujuk kepada ciriciri genetik yang kita peroleh daripada ibu bapa kandung kita. Warna kulit,
ketinggian dan raut wajah kita ditentukan oleh faktor keturunan. Sungguhpun
demikian, faktor baka turut berperanan dalam aspek perkembangan kognitif
seperti kecerdasan dan aspek perkembangan sosioemosi seperti kecenderungan
perasaan kita.
Kebanyakan perubahan tipikal bagi bayi dan kanak-kanak seperti
kebolehan untuk berjalan dan bertutur kata pula dipengaruhi oleh faktor
kematangan tubuh dan otak. Oleh sebab kematangan tubuh dan otak berbeza
antara seseorang individu dengan individu yang lain, maka ada individu yang
berjalan dan mula bercakap lebih cepat atau lebih lambat berbanding individu
lain seusia dengannya. Faktor kematangan organ dalaman seperti kelenjar seks
pula mempengaruhi detik seseorang kanak-kanak mencapai proses baligh.

Di samping itu, perkembangan manusia


turut dipengaruhi oleh faktor persekitaran
terutamanya
perkembangan
dari
aspek
sosioemosi seperti personaliti. Contoh faktor
persekitaran ialah seperti bentuk keluarga, status
sosioekonomi, budaya dan bangsa, konteks
sejarah serta tempoh kritikal. Rajah 1.1
menunjukkan contoh-contoh khusus pengaruh
persekitaran ke atas perkembangan manusia.

Rajah 1.1 Contoh Khusus Pengaruh Persekitaran ke atas Perkembangan Manusia

1.2 Definisi dan Perkembangan Remaja Sepintas Lalu

Zaman remaja merupakan satu tempoh peralihan dari alam kanak-kanak ke alam
dewasa. Secara puratanya, zaman remaja bermula pada sekitar umur sebelas
tahun dan berakhir lebih kurang sepuluh tahun berikutnya, iaitu pada usia awal
20-an. Seorang kanak-kanak dikatakan telah menjadi seorang remaja apabila
mengalami baligh. Proses ini menunjukkan bahawa sistem reproduktif seorang
kanak-kanak itu telah matang.

Bagi kanak-kanak lelaki, baligh ditandai dengan kemampuan sistem badan


mereka untuk menghasilkan sperma yang terkandung dalam pancutan air mani
kali pertama. Proses pengeluaran sperma julung-julung kali ini dikenali
sebagai spermarche (Papalia, Olds & Feldman, 2007). Kebanyakan kanak-kanak
lelaki mengalami spermache, ketika sedang tidur dan kadang-kadang proses itu
didorong oleh suatu mimpi. Oleh yang demikian, pancutan air mani kali pertama
juga dikenali sebagai mimpi basah. Baligh kanakkanak lelaki boleh berlaku seawal umur 13 tahun.
Bagi kanak-kanak perempuan pula, baligh
ditunjukkan dengan pengeluaran darah haid yang
pertama atau menarche (Papalia, Olds & Feldman
2007). Baligh kanak-kanak perempuan boleh
berlaku seawal umur 9 tahun. Biasanya, kanakkanak perempuan yang bertubuh besar akan
mengalami baligh lebih awal berbanding kanakkanak bertubuh kecil.
Proses
baligh
berlaku
disebabkan
perubahan hormon di dalam badan. Perubahan
kadar pengeluaran hormon ini bukan sahaja
menyebabkan berlakunya pertumbuhan fizikal yang cepat dan mendadak, malah
menyebabkan perubahan pada perkembangan kognitif dan psikososial remaja.
Dari segi perkembangan fizikal misalnya, ketinggian, berat badan dan bentuk
tubuh remaja akan mengalami perubahan yang besar. Jika ditinjau dari aspek
kognitif pula, pada tahap ini kebanyakan remaja sudah mampu berfikir tentang
perkara-perkara abstrak dan melakukan penaakulan saintifik. Dalam tempoh ini,
otak remaja masih melalui proses pertumbuhan dan perkembangan. Justeru,
kadangkala kita mendapati ada segelintir remaja yang cenderung membuat
pertimbangan yang tidak tepat, tidak matang dan tidak munasabah. Pencarian
identiti diri dan peranan rakan sebaya pula merupakan antara perkembangan
aspek psikososial yang sangat penting untuk remaja.
Oleh sebab zaman remaja merupakan satu zaman yang penuh dengan
perubahan rencam, maka keperluan fizikal, kognitif dan psikologi mereka mesti
menjadi fokus utama dalam proses pembelajaran. Begitu juga dengan perbezaan
yang dibawa masuk oleh mereka bersama ke dalam kelas, misalnya perbezaan
dari aspek budaya, pengalaman dan pengetahuan sedia ada. Justeru, peranan
guru adalah sangat penting dalam membimbing pembelajaran remaja agar
aspek fizikal, kognitif dan psikososial mereka berkembang dengan sebaik
mungkin.
Perkembangan remaja akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Bab
2. Perbincangan tersebut meliputi perkembangan remaja awal dan remaja akhir
dari aspek fizikal, kognitif serta sosioemosi.

1.3 Ciri-ciri Remaja sebagai Penuntut Ilmu


Secara umumnya, pada zaman remaja, tempoh penumpuan terhadap pelajaran
dan pengawalan tingkah laku kendiri pelajar remaja biasanya meningkat,
manakala tingkah laku hiperaktif akan menurun (McDevitt dan Ormrod, 2004).
Sebelum kita meneliti ciri-ciri remaja sebagai penuntut ilmu secara khusus, ada
baiknya kita lihat dahulu ciri-ciri penuntut ilmu seperti yang digariskan oleh
Bandura (2001). Pengenalpastian ciri-ciri penuntut dapat membantu kita untuk
memahami keadaan-keadaan yang membolehkan pembelajaran remaja
berlangsung dengan cara yang paling berkesan dan terbaik.
Menurut Bandura (2001), seseorang penuntut mempunyai keupayaan
untuk menggambarkan sesuatu perkara secara simbolik. Keupayaan
menggambarkan sesuatu secara simbolik ini merupakan suatu proses asas

dalam semua jenis pembelajaran. Dengan keupayaan ini, penuntut dapat


menggambarkan sesuatu perkara yang dipelajari atau pengalaman mereka
dalam bentuk imaginasi mental dan huraian secara lisan. Contohnya, setelah
mempelajari tentang penentangan terhadap penubuhan Malayan Union,
penuntut pada asasnya mempunyai keupayaan untuk menggambarkan dan
menghuraikan secara lisan tentang peristiwa penentangan tersebut.
Selain itu, penuntut juga mempunyai keupayaan untuk belajar daripada
pengalaman sendiri dan juga daripada pengalaman orang lain. Belajar daripada
pengalaman sendiri dikenali sebagai pembelajaran secara enaktif, manakala
belajar daripada pengalaman orang lain dinamakan pembelajaran vicarious,
(Bandura,
2001).
Menerusi
pembelajaran
secara vicarious,
seorang
pelajar
dapat
mempelajari sesuatu tingkah laku yang kompleks
misalnya menjadi langsang.
Bandura dan ahli psikologi aliran kognitif
sosial yang lain percaya bahawa penuntut
mempunyai keupayaan untuk bertindak secara
proaktif, mengawal dan mengurus diri. Proaktif
bermaksud pelajar dapat membuat perancangan
untuk bertindak bagi mencapai sesuatu yang dihajati. Dengan kata lain, mereka
ialah agen yang aktif dalam perkembangan mereka sendiri. Mereka ada
keupayaan untuk membentuk matlamat dan membuat perancangan bagi
mencapai matlamat tersebut. Sekiranya pelajar mempunyai matlamat yang jelas
dan mampu dicapai, mereka boleh menentukan tindakan yang wajar diambil.
Akhir sekali, menurut Bandura lagi, penuntut berupaya membuat refleksi
kendiri. Maksudnya, mereka mempunyai keupayaan untuk berfikir tentang
proses pemikiran sendiri dan menganalisis pengalaman sendiri. Refleksi kendiri
digunakan untuk membina kepercayaan dan jangkaan tentang persekitaran diri
mereka. Proses membuat refleksi ini penting untuk
mengawal proses pembelajaran masing-masing.
Beberapa penulis lain cuba menghuraikan
ciri-ciri penuntut dari pelbagai sudut. Misalnya,
Lent (2006) melihat ciri-ciri penuntut dari segi
tempoh penumpuan, motivasi, pengetahuan sedia
ada, sikap terhadap pembelajaran, sikap terhadap
pelajaran, minat dan kemahiran teknologi,
kekuatan dan cabaran intelektual serta penampilan fizikal. Bagi Reid (2007) pula,
ciri-ciri penuntut boleh ditinjau dari aspek kecenderungan belajar seseorang
penuntut itu. Ada penuntut yang cenderung dengan pembelajaran secara visual
(misalnya, menerusi lukisan, carta dan komputer), pembelajaran secara audiotori
(misalnya, membuat senarai dan mencari maklumat), pembelajaran kinestetik
(menerusi
lawatan
dan
aktiviti
luar
bilik
darjah)
dan
pembelajaran tactile (misalnya, membuat demonstrasi dan model). Di samping
itu, penuntut dapat dibezakan dari segi minat mereka untuk bekerja dalam
kumpulan atau secara individu, tempoh penumpuan, kecekalan atau ketekunan
mereka
terhadap
tugas
dalam
tempoh
yang
ditetapkan
dan
kebertanggungjawaban atau kebolehan mereka untuk berdikari.
Dengan mengkhususkan perbincangan kepada kelompok remaja sahaja,
Crawford (2007) menjelaskan beberapa ciri utama remaja sebagai penuntut.
Bagi setiap ciri yang dikemukakan, Crawford turut mencadangkan peranan atau
tindakan yang dapat diambil oleh para guru.
Ciri pertama yang dicadangkan oleh Crawford ialah remaja merupakan
penuntut yang aktif. Oleh yang demikian, guru tidak digalakkan untuk terlalu
banyak mengarah ketika dalam proses pembelajaran remaja. Hal ini kerana

sebagai penuntut yang aktif, remaja lebih bertanggungjawab terhadap


pengurusan dan pembelajaran mereka sendiri.
Ciri kedua ialah remaja suka menjelajah banyak perkara dan bertanya
pelbagai soalan. Maka dalam sesi pengajaran dan pembelajaran untuk remaja,
guru wajar memasukkan kaedah penyoalan, membuat tafsiran, perdebatan dan
membuat analisis.
Ciri seterusnya ialah remaja merupakan kumpulan pelajar yang paling
rencam dalam sistem pendidikan. Justeru, mengajar kelompok remaja
merupakan satu tugas yang sangat mencabar. Tekanan dan harapan pelbagai
pihak yang diletakkan pada guru kadangkala melampaui kemampuan masa dan
tenaga guru. Apatah lagi dengan hambatan untuk menghabiskan sukatan
pelajaran dan penilaian pelajar yang turut mengganggu proses pengajaran.
Dalam keadaan ini, ada masanya guru perlu memaksimumkan penyampaian
pengajaran serta mengurangkan interaksi dengan pelajar.

1.4 Persekitaran Pembelajaran yang Berkesan untuk Pelajar Remaja


Masa Kini

Berdasarkan ciri-ciri fizikal, kognitif dan sosioekonomi remaja, Murphy dan


Alexander (2006) mengemukakan beberapa cadangan yang dapat dilaksanakan
oleh pentadbir sekolah dan guru dalam menyediakan persekitaran yang
menggalakkan pembelajaran bagi pelajar remaja. Pembentukan persekitaran
pembelajaran yang berkesan adalah sangat penting kerana menurut Bandura
(2001), selain faktor pemikiran, jangkaan, kepercayaan dan tingkah laku
penuntut, pengaruh persekitaran penuntut juga perlu diambil kira dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Murphy dan Alexander (2006), pihak pentadbir sekolah dan guru
perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan pencapaian,
kepuasan dan minat remaja. Pelajar remaja suka akan bahan pembelajaran dan
aktiviti kurikulum serta kokurikulum yang sesuai dengan minat peribadi mereka.
Untuk itu, guru hendaklah membuat kajian ringkas tentang minat, latar belakang
dan budaya pelajar masing-masing agar isu-isu yang berkaitan boleh
dimasukkan dalam persekitaran sekolah, tugas kelas dan perbincangan.
Sekiranya matlamat pengajaran sama dengan minat pelajar, maka mudahlah
bagi guru untuk memastikan pelajar memberikan tumpuan terhadap kandungan
dan proses pembelajaran.
Seterusnya, pelajar remaja akan lebih tertarik sekiranya berada dalam
persekitaran pembelajaran yang mengiktiraf keunikan mereka sebagai individu
yang tersendiri dan menggalakkan daya kreativiti mereka. Salah satu daripada
kelebihan pelajar remaja ialah mereka boleh berfikir perkara-perkara abstrak,
berfikir secara bebas dan secara kreatif. Pihak sekolah boleh menggunakan
kepintaran pelajar remaja untuk menyelesaikan masalah dan membuat
keputusan yang bijak. Galakkan mereka untuk memahami masalah dengan cara
sendiri dan memikirkan penyelesaiannya. Binalah satu suasana yang melibatkan
pelajar dalam pembuatan keputusan bagi aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
Persekitaran dan aktiviti pembelajaran juga perlulah menyokong hal ini.
Bagi pelajar remaja, hubungan dengan rakan sebaya sangat penting
dalam hidup mereka. Mereka pasti tertarik jika dapat terlibat dengan rakan
sebaya dalam aktiviti pembelajaran seperti aktiviti berkumpulan, perbincangan
kelas dan pembelajaran bersama. Dengan kata lain, pembelajaran tidak
semestinya terfokus kepada guru sahaja. Pembelajaran dengan rakan sebaya
akan lebih bermakna jika tahap kognitif dan penaakulan moral berbeza antara
satu sama lain. Dengan kata lain, pelajar dalam tahap pemikiran konkrit boleh
digabungkan dengan pelajar remaja dalam tahap pemikiran formal.

Remaja bukan sahaja berfikir tentang masa kini tetapi sangat mengambil
berat juga tentang masa hadapan mereka. Persoalan yang paling penting
berkaitan dengan masa hadapan bagi seorang pelajar remaja ialah kerjaya. Hal
ini kerana dalam masa beberapa tahun mendatang, mereka akan masuk ke alam
pekerjaan. Justeru, bagi menggalakkan pembelajaran dalam kalangan pelajar
remaja, pendedahan khusus tentang pelbagai kerjaya perlulah dijadikan salah
satu daripada agenda sekolah. Apabila mereka berada dalam persekitaran yang
menekankan perancangan kerjaya masa hadapan mereka, minat mereka
terhadap pembelajaran akan dapat ditingkatkan. Bukan itu sahaja, mereka juga
akan berupaya membuat keputusan yang lebih bijak dengan pendedahan
pelbagai kerjaya.
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian berkaitan dengan
persekitaran
pembelajaran
ialah
penglibatan
pelajar
dalam
aktiviti
kemasyarakatan. Pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar berfikir tentang halhal yang lebih luas daripada keperluan dan kehendak mereka sendiri.
Penglibatan dengan masyarakat dalam pembelajaran akan membantu mereka
mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam bilik darjah. Selain itu,
pemikiran tentang isu-isu kemasyarakatan, budaya dan politik boleh membantu
perkembangan moral pelajar remaja.

1.5 Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pembelajaran Remaja


Hakikat bahawa pendidikan merupakan kunci utama kepada pelbagai kejayaan
yang dicapai oleh orang dewasa memang tidak boleh dinafikan. Semakin tinggi
tahap pendidikan seseorang, semakin cerah peluangnya untuk mendapatkan
pekerjaan yang bagus dan semakin mantap kedudukan ekonominya. Seiring
dengan hal ini, semakin lama seseorang remaja menjalani kehidupan sebagai
penuntut di sekolah serta semakin akrab hubungannya dengan sekolah dan
semakin tinggi darjah penglibatan pelajar dan ibu bapa dengan sekolah, maka
semakin rendahlah kecenderungan remaja untuk terlibat dengan gejala salah
laku atau menghadapi kegagalan dalam pelajaran.
Secara umumnya, remaja berminat untuk belajar sekiranya mereka
berpeluang untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti pembelajaran dan
pengajaran, minat dengan bahan pengajaran dan bahan pengajaran mempunyai
kaitan dengan persoalan yang sedang difikirkan oleh mereka (McKinney,
Schiamberg dan Shelton, 1998).
Berpandukan pelbagai sumber kajian saintifik yang dikumpulkan, Flannery
dan Wester (2004) menyimpulkan bahawa terdapat banyak faktor yang boleh
mempengaruhi pencapaian akademik remaja. Antara faktor tersebut adalah
tahap motivasi remaja, tingkah laku mereka, jangkaan guru terhadap keupayaan
mereka, faktor sosial di luar kawalan remaja seperti sokongan ibu bapa terhadap
guru sekolah dan perbezaan budaya. Semua faktor ini saling berkait. Namun,
tidak semua faktor memberikan kesan yang serupa ke atas pencapaian
akademik remaja. Seseorang remaja tertentu mungkin akan menerima kesan
yang lebih hebat bergantung kepada kekuatan faktor tersebut, masa
pendedahan terhadap sesuatu faktor dan tempoh pendedahan tersebut. Dalam
pada itu, terdapat juga remaja yang begitu terdedah dengan risiko sesuatu
faktor tetapi masih mampu melalui pola perkembangan kehidupan yang positif
meskipun kurang mendapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu, misalnya
ibu bapa.
Bagi memudahkan perbincangan tajuk ini, maka faktor-faktor yang
mempengaruhi pembelajaran atau pencapaian akademik remaja dibahagikan
kepada tiga aspek, iaitu aspek diri remaja itu sendiri, aspek keluarga remaja dan
aspek sekolah

Anda mungkin juga menyukai