Anda di halaman 1dari 19

9.2 Proses adat perkahwinan etnik Brunei di Kg.

Benoni, Papar

Menurut Amran kasimin (1995) adat dapat didefinisikan sebagai alat kebiasaan

atau peraturan yang merupakan adat resam termasuklah bersopan santun apabila

bertutur yang menjadi sifat dan sikap manusia secara semula jadi yang akan diwarisi

secara turun-temurun. Selain itu, menurut Amran kasimin(1995) juga, adat merupakan

kebiasaan sesuatu perbuatan yang diulan-ulang dan diterima oleh masyarakat sebagai

sesuatu peraturan hidup yang mesti sebagai contoh adat perkahwinan yang diamalkan

secara turun-temurun atau diwarisi daripada nenek moyang mereka. Hal ini dapat

dilihat dalam perkahwinan etnik Brunei yang masih meneruskan adat perkahwinan

yang diturunkan oleh nenek moyang mereka. Manakala perkahwinan pula adalah

penyatuan seorang lelaki dan wanita dan zuriat yang dilahirkan oleh seorang

perempuan akan diakui sebagai anak kepada kedua-dua pihak. Perkahwinan juga

dapat ditafsirkan sebagai penerimaan masyarakat terhadap hak seorang lelaki dan

wanita untuk hidup sebagai suami isteri (Lucy Mair,1965). Walaubagaimanapun,

tanggapan orang melayu Brunei terhadap perkahwinan ialah satu tahap sejarah dalam

hidup seseorang. Bagi mereka perkahwinan adalah sesuatu yang murni, anugerah

illahi untuk membina sebuah mahligai yang harmoni. Perkahwinan tersebut bertujuan

membentuk komuniti yang kecil dalam sesebuah rumah tangga selain memenuhi

keperluan naluri manusia sebagai suami dan isteri. Kerana itu pada umumnya,

perkahwinan dari kaca mata orang melayu Brunei adalah sekali bagi seseorang, lebih-

lebih lagi kepada kaum wanita. Bagi orang yang berkahwin berkali-kali, pada

umumnya masyarakat masih tidak dapat menggangapnya sebagai yang lumrah.

Kerana itu, perkahwinan perlu dirancang, supaya segala upacara dapat dijalankan

sebaik-baiknya. Keizinan orang tua perlu dipinta dan restu daripada mereka perlu
diperoleh. Adat istiadat perlu dilalui dan adat berkampung mesti dihormati. Dalam

masyarakat yang dikatakan moden, pertemuan diantara teruna dan dara boleh terjadi

tanpa banyak rintangan, sama ada di tempat kerja, di majlis-majlis tertentu atau

sebagainya. Perkahwinan hasil daripada pertemuan bebas seumpama ini dalam

banyak hal boleh melangkaui adat-adat kelaziman perkahwinan yang biasanya

dilakukan. Walaupun demikian, dalam masyarakat yang masih tertutup, pertemuan

pasangan lelaki dan perempuan sukar terjadi. Hubungan diantara kedua-dua pihak

sukar dijalin kecuali melalui orang perantaraan sebagai penghubung dan untuk

mengetahuihal diri kedua-dua belah pihak. Perkara ini dapat disimpulkan adat

perkahwinan dapat berubah dari semasa ke semasa dan sesebuah perkahwinan juga

mestilah dapat pengiktirafan oleh semua pihak samada pihak keluarga, masyarakat

dan undang-undang. Hal ini dapat dilihat melalui perkahwinan brunei dimana

masyarakat memberikan reaksi dan peranan dalam melangsungkan sesebuah majlis

perkahwinan.

Perkahwinan orang brunei hampir sama dengan adat perkahwinan pribumi lain di

Sabah. Apabila seorang pemuda berkenan akan seseorang gadis, dia akan

memaklumkan perkara tersebut kepada kedua-dua orang tuanya. Kemudian ibu bapa

pemuda tersebut akan menghantar wakil untuk merisik gadis yang diingini

dikahwininya.

Sebelum adat perkahwinan Brunei

i. Merisik (meninjau)

Daripada segi prinsipnya, merisik bermaksud menyisat dengan lebih dekat lagi
tentang kedudukan seorang perempuan itu sama ada sudah bertunang atau sebaliknya.

Ini dilakukan apabila seseorang lelaki itu tertarik hati kepada seorang perempuan

yang tidak dikenali dan ingin memperisterikannya, ataupun pada diri seseorang lelaki

itu telah timbul keinginan untuk beristeri dan masalah pemilihannya diserahkan bulat-

bulat kepada kedua ibu bapa.

Selepas itu, pihak lelaki akan menghantar rombongan yang biasanya yang terdiri

daripada dua hingga empat orang yang terdiri daripada saudara kepada orang tua atau

yang mempunyai pertalian saudara seperti mak cik atau pak cik, tidak kira sama ada

daripada adik beradik sebelah bapa atau ibu si lelaki. Amalan ini dilakukan untuk

mendapatkan maklumat tentang diri perempuan yang hendak dikahwini. Ia dilakukan

untuk mengetahui sama ada perempuan itu telah berpunya atau belum, mengetahui

tentang ahlak, tingkah laku, tabiat, termasuk kesopanannya terhadap orang tua dan

lain-lain lagi. Wakil juga ingin mengetahui tentang didikan agama, sama ada telah

khatam Al-quran atau tidak. Ciri-ciri lain yang wujud pada diri perempuan tersebut

juga dipertimbangkan untuk dijadikan neraca bagi menilai diri perempuan tadi. Bagi

kebanyakan orang, latar belakang kedua-dua ibu bapa juga diperkirakan dalam hal

mencari isteri. Hal ini bertujuan agar lelaki tersebut mendapat pasangan yang baik

sama ada sebagai isteri atau anak-anak mereka kelak. Malah dalam al-quran juga

terdapat garis panduan untuk setiap lelaki yang ingin mencari pasangan hidup.

Selain itu, terdapat peruntukan hari-hari yang patut dipatuhi semasa melakukan

risikan di rumag si gadis. Misalnya melayu brunei memperuntukan hari seperti hari

isnin, khamis dan jumaat adalah hari yang baik untuk tujuan tersebut. Biasanya

sesuatu pekerjaan yang besar yang dilakukan pada hari-hari ini dipercayai akan
melahirkan natijah yang baik.

Walaubagaimanapun, terdapat perkara yang perlu ada dalam adat merisik dalam

etnik brunei. Misalnya, bagi rombongan lelaki yang ingin pergi ke rumah perempuan

tersebut perlu membawa sekurang-kurangnya RM 50.00 ringgit sebagai hadiah dan

tanda penghormatan kepada keluarga perempuan tersebut. Sejurus selepas itu, wakil

rombongan lelaki seperti orang tua akan melakukan “Buka Mulut” atau sebagai

pembuka bicara yang bermatlamat ingin menyatakan hasrat bagi pihak lelaki ingin

melamar perempuan tersebut untuk dijadikan isteri.Keputusan penerimaan pihak

perempuan terhadap keputusan itu Selalunya keputusan tidak dibuat pada hari itu

tetapi selang 2 hari atau ada juga berminggu baru keputusan tersebut disampaikan

kepada pihak lelaki. Ini dipanggil sebagai “adat berjarum”. Setelah mengetahui

jawapan, pihak pengantin lelaki akan pergi sekali lagi ke rumah pengantin perempuan

untuk menanyakan tentang “tanda pertunangan”. Jika wanita tersebut bersetuju

menerima lamaran lelaki tersebut peringkat seterusnya akan dilakukan iaitu

mangadakan pertunangan.

Walaubagaimanapun, terdapat peraturan yang pelu dipatuhi sebelum

melangsungkan perkahwinan tersebut.Menurut Rokiah Awang(2018) Jika sekiranya,

pasangan tersebut samada pengantin lelaki atau perempuan yang mempunyai saudara

yang lebih tua tetapi belum berkahwin, pasangan tersebut akan didenda. Misalnya

kalau kesalahan tersebut berpihak kepada perempuan, perempuan tersebut perlu

membeli cincin dan baju kurung manalaka bagi pihak lelaki, baju melayu sebagai

membayar denda tersebut. Amalan ini disebut sebagai “langkah dulang” atau panasan.

Hal ini jika tidak dilakukan, pasangan tersebut tidak akan dikurniakan anak dan nasib
malang akan menimpa mereka.

ii. Pertunangan

Setelah lamaran diterima, istiadat pertunangan akan menyusuli pada tarikh yang

dipersetujui. Pertunangan ialah simbol ikatan perhubungan antara lelaki dan

perempuan yang akan menjadi suami isteri. Sejurus sahaja lamaran diterima, upacara

tanda pertunangan akan dilakukan. Semasa dilaksanakan upacara tanda pertunangan,

rombongannya terdiri daripada ibu bapa bakal pengantin beserta sanak saudara yang

terdekat. Biasanya ahli rombongan ini lebih banyak bilangannya berbanding semasa

merisik dan bajarum.Mereka akan membawa lebih kurang RM50 ringgit hingga

RM120. Selain itu, mereka juga akan membawa sebentuk cincin emas, sirih junjung

dan lain-lain kelengkapan seperti kasut, kain baju dan lain-lain. Barang-barang

tersebut biasanya akan diletakkan di dalam beberpa biji dulang gangsa dan digubah

dengan cantik. Bagi pihak perempuan pula, mereka tidak akan membiarkan pihak

lelaki pulang dengan dulang yang kosong. Oleh itu, mereka juga akan menyediakan

barang-barang yang sesuai untuk diisi ke dalam dulang sebagai balasannya.Menurut

Rokiah awang ( 2018) penghantaran dulang pada masa itu lebih banyak jika

dibandingkan dengan penghantaran berian pada majlis perkahwinan dilangsungkan.

Apabila rombongan lelaki tiba di rumah pihak pengantin perempuan, mereka

akan disambut dengan penuh istiadat oleh keluarga pihak perempuan. Setelah

menyatakan hasrat kedatangan, perbincangan daripada segi menentukan tempoh

pertunangan akan dibincangkan mereka, hantaran yang diminta. Upacara yang

penting sekali dalam adat menghantar tanda pertunangan ini ialah upacara

menyarungkan cincin ke jari manis gadis yang bakal disunting. Biasanya ia akan
dilakukan oleh ibu bakal pengantin lelaki atau wakilnya. Si gadis tadi

kemudiannyaakan bersalaman dengan bakal ibu mertua serta saudara-mara pihak

lelaki yang datang.

Dalam kes putus tunang yang berkemungkinan akan berlaku, sekiranya pihak

lelaki yang memutuskan pertunangan, sebarang hantaran yang telah diberikan kepada

pihak perempuan tidak akan dikembalikan kepada pihak lelaki. Namun sekiranya

pihak perempuan memutuskan pertunangan, hantaran beserta cincin pertunangan

perlu dikembalikan kepada pihak lelaki. Pada masa ini penentuan berian juga akan

dibincangkan mereka.

iii. Penentuan berian dan mas kahwin

Setelah tempoh pertunangan tamat dan tarikh menghantar berian tiba, maka

rombongan pihak lelaki akan datang sekali lagi ke rumah bakal pengantin perempuan.

Adat ini dimeriahkan dengan hantaran berupa jumlah berian, belanja hangus,

pelangkahan dan sebagainya. Menurut Tuan Haji Saman (2018) jumlah berian yang

diminta adalah berupa belanja rumah,katil, belanja kedai dan seekor kerbau jantan

yang besar. Anggaran ini jika dikira berjumlah RM10,000 yang merupakan berian

yang paling minimum jika hendak melangsungkan. Berian merupakan pemberian

yang berbentuk hadiah yang diberikan kepada bakal pengantin perempuan begitu juga

dengan sebaliknya. Pemberian ini boleh berbentuk wang ringgit atau berupa benda

yang bernilai. Manakala mas kahwin pula, bagi etnik brunei di sabah adalah

berjumlah RM 100 bagi yang bujang, manakala yang janda berjumlah RM80. Mas
kahwin ialah suatu pemberian yang wajib di berikan oleh suami kepada isteri

mengikut hukum islam. Penentuan jumlahnya bergantung kepada persetujuan

daripada kedua-dua belah pihak. Oleh kerana perkara penetapan berian dimaklumkan

oleh orang tua bakal pengantin perempuan di hadapan majlis, maka jarang-jarang

berlakunya tawar menawar yang dibuat oleh orang tua bakal pengantin lelaki. Hal ini

mungkin dianggap sebagai satu keaiban bagi mereka. Sebaliknya, orang tua bakal

pengantin perempuan pula jarang-jarang meletakkan jumlah harga yang tinggi kerana

takut pula dituduh ‘menjual anak’.Menurut Rokiah binti Awang pemberian mas

kahwin akan diberikan sendiri oleh si suami kepada si isteri sebaik sahaja selepas

akad nikah. Namun begitu, mas kahwin atau berian ini sebenarnya ialah suatu yang

dituntut dalam perkahwinan kerana ia suatu penentuan yang ditetapkan dalam islam.

Perihal dalam menetapkan berian ini juga sebenarnya, melalui satu perjanjian

atau berbatu-batu mengikut adat etnik brunei ini. Dalam perjanjian ini, hantaran akan

dianggap hilang atau terhapus jika sekiranya pihak lelaki yang ingkar, sama ada tidak

mahu meneruskan perkahwinan atau berubah fikiran pada saat-saat akhir, iaitu setelah

upacara adat menghantar berian dibuat. Namun, jika bakal pengantin perempuan ingin

membatalkan perkahwinan, maka pihak perempuan mesti mengembalikan hantaran

dengan kos yang berganda. Sehubungan itu, perkara lain yang perlu dibincangkan

kedua-dua pihak semasa majlis menghantar tanda pertunangan itu ialah penetapan

tarikh untuk upacara majlis menghantar berian. Hal ini akan dipilih pada hari yang

baik, bulan baik mengikut kalendar islam dan dengan persetujuan kedua-dua belah

pihak.

Penentuan mengenai tarikh melangsungkan upacara perkahwinan akan diminta

oleh ketua rombongan bakal pengantin lelaki, semasa majlis menghantar berian ini.
Makluman tarikh berkenaan merupakan sesuatu yang dianggap penting kerana, selain

memudahkan kedua-dua belah pihak membuat persediaan awal. Para hadirin juga

akan dapat mengetahui, masa akan mereka akan berkumpul beramai-ramai

( berurung-urung) selain sebagai peringatan kepada mereka supaya tidak mengadakan

majlis -majlis atau upacara yang serupa atau yang lain semasa tarikh tersebut.

Semasa adat perkahwinan etnik Brunei

iv. Perkahwinan

Perkahwinan etnik brunei terdiri daripada beberapa proses yang perlu dipatuhi

dalam masyarakat tersebut. Antaranya adat berbedak, berinai, akad nikah, bersanding

dan adat bersuap.

Langkah pertama dimulakan dengan adat berbedak yang merupakan tradisi orang

brunei. Majlis berbedak dalam masyarakat melayu Brunei dikenali sebagai “malam

masuk berbedak”. Majlis ini berbeza sedikit daripada majlis “Berbedak mandi”

kerana jemputan yang diundang lebih ramai daripada majlis berbedak mandi yang

hanya dihadiri oleh keluarga terdekat. Majlis ini agak meriah dan diadakan di kedua-

dua rumah bakal pengantin. Mula-mula diadakan dirumah bakal pengantin

perempuan, selepas itu baharulah diadakan di rumah bakal pengantin lelaki. Pada

kebiasaannya keperluan untuk majlis ini bagi bakal pengantin perempuan ialah bedak

lutut, bedak malam, segangsa, bunga-bungaan, langsir, dian empat pucuk, dian kecil

dua kotak, dan pakaian persalinan seperti kain putih, tuala dan kain baju yang

disediakan oleh keluarga bakal pengantin perempuan. Bapa bakal pengantin


merupakan orang yang mula-mula sekali “membedaki” bakal pengantin dan selepas

itu diikuti oleh bakal bapa mentua. Apabila kaum lelaki membedaki, barulah giliran

perempuan memulakannya dengan didahului oleh ibu bakal pengantin dan ibu mentua

bakal pengantin. Namun majlis ini sudah tidak beberapa lagi diadakan pada malam

hari pada zaman sekarang. Perubahan ini ialah untuk memudahkan kaum kerabat yang

tinggal jauh menghadirkan diri ke rumah pengantin. Apa yang penting “majlis

berbedak” ini ialah untuk memberi seri wajah kepada bakal pengantin sewaktu

melaksanakan majlis berinai. Selain itu, menurut Rokiah binti Awang ( 2018 ) selain

adat berbedak dilakukan, terdapat juga “adat mandi renjis” yang diamalkan di

Kampung Benoni, Papar. Mandi renjis dilakukan selepas pertunagan atau 44 hari

sebelum perkahwinan. Ia merupakan mandi 4 penjuru dan mandi renjis ini dapat

disamakan dengan mandi bunga. Antara bahan-bahan yang terdapat disitu ialah kayu

langir atau kayu manis yang direndam dalam air yang mengeluarkan bau wangian.

Mandi renjis dilakukan adalah untuk menaikkan seri wajah bakal pengantin.

Sejurus selepas itu, majlis berpacar dilakukan. Majlis berpacar merupakan acara

yang tidak kurang pentingnya di dalam masyarakat melayu tradisional di negara

Brunei. Di semenanjung malaysia, majlis ini dipanggil sebagai majlis berinai. Di

negara kita majlis ini dilakukan sekali sahaja pada sebelah malam sehari sebelum

menjelangnya “Hari akad nikah”. Majlis ini dilakukan secara berasingan di rumah

pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Di dalam majlis tersebut, upacaranya

hanya dihadiri oleh sebilangan kecil orang-orang tua dan ahli keluarga yang terdekat.

Di dalam upacara itu, pengantin akan duduk di sisi katil bilik dengan kedua-dua belah

kaki dihanjurkan ke hadapan. Orang yang akan memulakan upacara itu adalah kedua

ibu bapa bakal pengantin dan diikuti oleh para jemputan. Setelah selesai memacari
pengantin, pacar-pacar yang diletakkan ini akan ditambah dengan pacar-pacar yang

baru agar lebih tersusun. Perkara ini dilakukan oleh “pengangun” dengan dibantu oleh

beberapa perempuan yang lanjut usia. Pacar-pacar yang dilekatkan pada bahagian

tangan dan kaki itu booleh dibuka dalam masa 2 atau 3 jam. Pacar membawa maksud

iaitu sebuah lambang bagi dua pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah

tangga. Walaubagaimanapun, adat ini sudah jarang dilakukan tetapi ia masih

diamalkan. Pada umumnya, orang melayu Brunei melakukan adat ini tanpa

memahami segala bentuk keperluan dan falsafah mengapa adat ini perlu. Adakalanya,

adat ini dilakukan tanpa ibu bapa kandung atau bakal mertua tetapi hanya

menggunakan pertolongan teman biasa yang turut menginai kuku jari tangannya. Adat

ini dilakukan hanya untuk bersuka-suka sahaja.

Selepas itu, upacara akad nikah telah bermula. Akad nikah daripada perkataan

bahasa arab iaitu ‘aqd’ atau ijab qabul yang merupakan ikrar perkahwinan.

Dimaksudkan dengan akad nikah ialah ijab daripada pihak wali perempuan dan

wakilnya dan qabul dari pihak calon suami atau wakilnya. Akad nikah merupakan

syarat wajib dalam proses atau upacara perkahwinan menurut islam. Akad nikah

boleh dijalankan oleh wali atau diwakilkan kepada seorang jurunikah.Upacara akad

nikah akan dimulakan setelah rombongan pihak bakal pengantin lelaki telah sampai

ke rumah pengantin perempuan. Bakal pengantin tersebut telah diiringi oleh keluarga

terdekat pengantin tersebut serta juga diiringi oleh pengapit pengantin lelaki.
Gambar 1: Bakal pengantin lelaki tiba ke rumah pengantin perempuan
Dengan diiringi oleh pengapit lelaki.

Dalam adat perkahwinan orang Brunei, majlis “akad nikah” dilangsungkan di

rumah bakal pengantin perempuan pada sebelah petang hari jumaat kira-kira jam 2.00

hingga 3.00 petang, ataupun petang hari sabtu pagi kira-kira jam 10.00 hingga 11.00

pagi. Majlis ini akan dimulai dengan bacaan khutbah perkahwinan oleh jurunikah

yang diberi tauliah atau diiktiraf oleh Majlis agama islam sabah. Perkara ini perlu

didengar dengan teliti oleh pengantin dan disaksikan oleh orang ramai sebagai

peringatan kepada mereka. Setelah itu, jurunikah akan menyerahkan majlis ini kepada

wali, iaitu ayah pengantin perempuan atau wali wakilnya. Pada kebiasaanya, wali

akan menjalankan upacara akad nikah atau ijab kabul ini. Namun kadang-kadang,

wali akan meminta jurunikah untuk mewakili upacara akad nikah atau ijab kabul

berkenaan. Semasa dijalankan ijab kabul, dua orang saksi akan mendengar dan

memerhati dengan teliti. Sebaik sahaja selesai ijab kabul yang dijawab dengan

sempurna, semasa pengantin lelaki memegang tangan imam, para saksi akan dirujuk

oleh tuan imam untuk mendapatkan mereka sama ada lafaz ijab dan kabul itu

sempurna dan terang atau sebaliknya. Setelah sah dan sempurna ijab kabul tadi, doa
selamat pun dibaca dan diaminkan oleh semua hadirin. Sebelum dijalankan upacara

akad nikah, ada beberapa perkara lagi yang perlu dibuat terlebih dahulu. Antaranya

ialah pengantin lelaki perlu berwuduk terlebih dahulu, berlatih membaca dua kalimah

syahadah dan taklik perkahwinan dengan diperhatikan oleh tuan imam. Wali dan dua

orang saksi akan bertanya kepada pengantin perempuan, sama ada rela dinikahkan

dengan lelaki yang bakal menjadi suaminya itu. Tuan imam akan membaca khutbah

nikah di hadapan pengantin lelaki dengan disaksikan oleh orang ramai. Setelah akad

nikah ini sempurna, maka sahlah sudah ikatan pertalian mereka sebagai suami

isteri.Tambahan pula, melalui akad nikah anak yang akan dilahirkan oleh pasangan

tersebut akan dilahirkan secara sah dan diiktiraf sebagai keluarga mereka.

Sejurus selesainya akad nikah, adat “basuh kaki” akan dijalankan atau disebut

sebagai ‘Buri Fu ‘o’ adalah suatu kebiasaan dimana kaki pengantin akan disiram

dengan air. Hal-hal yang diperlukan untuk upacara ini adalah air, sebuah parang dan

pengasah batu ( semacam batu tang digunakan untuk mempertajam sesuatu). Setiap

calon pengantin harus mengambil dari salah satu kasut mereka. Pengantin wanita

perlu meletakkan kaki kanan di atas pengasah batu dan kemudian mempelai itu akan

menginjak kaki kanan pengantin wanita dengan kaki kanannya. Keluarga pengantin

lelaki akan mula menyiram air ke kaki pengantin dan setelah mereka selesai, mereka

harus menyerahkan wang atau perhiasan sebagai hadiah untuk orang tua dilantik

mewakili pengantin. Di masa lali, hadiah itu tidak biasanya dalam bentuk wang tunai.

Sebaliknya para tetamu memberikan pohon ternakan misalnya lembu dan buah iaitu

pohon mangga, tetapi pada hari itu, mereka akan memberikan sebuah simbol yang

mewakili hadiah mereka seperti buah mangga.


Pada malam akad nikah, menurut Haji Saman ( 2018 ) mereka akan melakukan

upacara marhabban atau dipanggil sebagai berzanji. Marhabban ialah suatu doa-doa,

puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad s.a.w. yang dilafazkan dengan

suatu irama atau nada yang biasa dibacakan ketika majlis aqiqah, khatan,

perkahwinan dan maulidur rasul. Isi marhabban menceritakan tentang kehidupan Nabi

Muhammad , yang disebutkan secara beturutan mengenai salasilah keturunannya,

zaman kanak-kanak , remaja, pemuda sehingga diangkat menjadi rasul. Di dalamnya

juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi muhammad s.a.w. serta

pelbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia. Pembacaan marhabban

pada umumnya dilakukan di masjid atau di rumah untuk mendapatkan keberkatan .

Upacara marhabban ini biasanya jemaah akan duduk atau berdiri sambil bacaan

berzanji secara bergilir seorang demi seorang sambil di sahuti oleh jemaah lain

dengan kalimah ‘Allah’.

Gambar 2: Penduduk Kg. Benoni melakukan Marhabban


Menurut Tuan Haji saman ( 2018) juga, selain marhabban penduduk juga melakukan

kegiatan usrah yang merupakan ceramah yang bermanfaat dan boleh menambahkan

ilmu pengetahuan tentang agama islam. Usrah ditafsirkan sebagai perjumpaan yang

melibatkan kegiatan agama islam seperti perbincangan tentang sesuatu tajuk.

Perkataan usrah berasal daripada perkataan bahasa Arab bermaksud ‘keluarga’.

Walaupun begitu, medium tidak terhad kepada perbincangan sahaja. Terdapat

medium lain seperti ziarah, aktiviti luar, masjid dan rumah. Usrah juga merupakan

tapak asas kepada pembentukan tarbiyah individu muslim.

Selepas keesokan hari, istiadat bersanding akan dilakukan. Istiadat bersanding

merupakan upacara kemuncak dari upacara-upacara yang lain yang terdapat dalam

adat istiadat perkahwinan Melayu Brunei. Ia merupakan detik bersejarah dalam hidup

seseorang terutamanya pada kaum wanita. Kerana itu, pengantin perempuan pelu

dihiaskan secantik yang boleh. Pada hari inilah para jemputan akan berkunjung.

Kebiasaannya majlis bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang yang lazimnya.

Setelah pengantin perempuan siap dihias dan bersedia menjalani upacara

persandingan, pengantin lelaki bersama rombongannya akan datang bertandang ke

rumah pengantin perempuan tersebut. Kalau rumahnya bersebelahan, pengantin lelaki

turun dari rumahnya dan terus ke rumah pengantin perempuan. Kalau rumahnya jauh

sedikit seperti di kampung sebelah dan memerlukan masa yang lama untuk ke rumah

pengantin perempuan, rumah tempat bertandang hanya digunakan untuk bersiap dan

berhias sahaja. Pemergian pengantin lelaki dan rombongannya diiringi dengan

pukulan kompang dan arakan bungga manggar yang mengelilingi mereka di

sepanjang perjalanan menuju ke rumah pengantin perempuan. Selepas itu, kedua -dua

pasangan tersebut akan duduk di atas pelamin. Kadang-kadang persembahan silat


dilakukan ke hadapan pengantin. Upacara bersilat seorang lepas seorang dilakukan

dihadapannya dengan menjujunjung hormat sebelum memulakan langkah. Silat yang

dimainkan itu dinamakan silat pengantin. Adakalanya silat dipersembahkan secara

berpasangan tetapi tidak menggunakan teknik serangan yang banyak. Ini kerana,

tujuan persembahan tersebut adalah menghormati pengantin semata-mata, bukan

untuk memperlihatkan kecekapan bermain langkah. Setelah kedua-dua pengantin

sempurna duduk di atas pelamin, upacara menepung tawar pengantin dimulakan. Adat

ini dilakukan sama seperti yang dilakukan di majlis berinai sebelumnya. Dalam majlis

ini, orang yang dijemput akan menabur beras kunyit, air mawar serta dengan bunga

rampai kepada pasangan pengantin tersebut. Ia adalah sebagai keberkatan kepada

pasangan tersebut. Pengujung selepas itu akan diberikan bunga telur sebagai

cenderahati atau hadiah daripada pihak keluarga pengantin.

Gambar 3: Upacara menepung tawar

Upacara persandingan tidak lengkap jika pasangan itu tidak menggunakan pakaian

tradisional. Etnik Brunei mempunyai pakaian tradisional yang tersendiri seperti mana-

mana etnik lain di Sabah. Antaranya ialah pakaian tradisional Jong Sarat yang

merupakan pakaian tradisi orang Brunei. Jong sarat diperbuat daripada kain tenunan

yang digayakan dengan pelbagai aksesori. Misalnya, kepala pengantin akan


dilengkapi dengan serbang yang dihiasi bunga buatan dan cucuk sanggul untuk lebih

mencantikkannya. Manakala, pada hiasan dada iaitu panding yang bercorakkan bunga

dan hiasan tangan iaitu gelang yang dipanggil “gelang geroncong”. Tujuan pengantin

memakai gelang dengan banyaknya adalah disebabkan ingin mengeluarkan bunyi

yang kuat untuk menarik perhatian pengunjung. Manakala, kaum lelaki pula hanya

memakai baju melayu sahaja. Walaubagaimanapun, pada hari ini, didapati ramai

sudah etnik Brunei memakai pakaian melayu yang moden. Misalnya, pengantin lelaki

akan memakai baju melayu yang dilengkapkan dengan kain songket dan memakai

keris yang disisip di pinggang sebagai perhiasan. Tidak lupa juga dengan perhiasan

atas kepala iaitu bagi lelaki memakai tengkolok, manakala pada wanita memakai

mahkota atau tiara.

Gambar 4: Pakaian tradisional ‘Jong Sarat’ etnik Brunei


Gambar 5: Pakaian tradisional melayu moden

Selepas adat persandingan dilakukan, adat ‘makan bersuap’ akan dilakukan. Ini ialah

adat resam di mana pengantin perempuan akan menyuap pengantin lelaki dengan

tangannya sendiri. Begitu juga dengan sebaliknya iaitu pengantin lelaki akan

menyuap pengantin perempuan. Antara makanan yang disediakan ialah nasi kuning,

air garam dan asam untuk adat makan bersuap. Perkara ini dilakukan adalah untuk

menambah kemesraan antara pengantin baru agar hubungan mereka akan berkekalan.

Akhir sekali iaitu upacara kemuncak, pengunjung akan mengambil gambar dengan

pasangan pengantin tersebut begitu juga dengan keluarga kedua-dua belah pihak.

Dalam sesebuah majlis perkahwinan, pelbagai makanan turut disediakan.

Hidangan makanan adalah sangat penting dalam sesebuah perkahwinan dan

disediakan oleh para pengunjung dan keluarga pengantin itu sendiri. Antara

makanan yang disediakan, misalnya kuih seperti kuih kalupis dan kuih wajik yang

merupakan pencuci mulut yang wajib dihidangkan. Kuih Wajik dihasilkan daripada

pulut yang dimasak dengan santan dan gula melaka atau gula merah. Manakala

kuih kalupis ialah pulut yang berintikan kuah kacang, kari daging atau rendang

yang begitu sesuai untuk dimakan. Manakala, bagi hidangan berat pula ialah
makanan ambuyat yang diperbuat daripada sagu yang dicairkan menggunakan air

panas yang berkuahkan ikan ampap ( masak masam manis) atau air asam serta lauk

pauk yang lain. Terdapat juga hidangan lazimnya yang selalu dimasak oleh orang

sabah selain etnik Brunei. Walaubagaimanapun, hidangan ini tidak akan dapat

disediakan jika amalan ‘merewang’ tidak dilakukan. Merewang ialah gotong-

royong antara tetangga dan keluarga pengantin yang saling berganding bahu

menyediakan hidangan makanan kepada tetamu. Antara kegiatan merewang ini

ialah memotong sayur-sayuran secara berkelompok dan memasak makanan.

Kegiatan merewang ini dibuat adalah untuk mempercepatkan hidangan yang

dimasak agar majlis tersebut dapat dijalankan dengan lancar. Selain membantu agar

majlis perkahwinan dapat dijalankan dengan lancar, kegiatan merewang dapat

mengeratkan silaturahim antara tetangga dan juga keluarga pengantin tersebut.

Gambar 6: Kegiatan ‘merewang’ jiran tetangga di Kg. Benoni


Selepas adat perkahwinan etnik Brunei

v. Penempatan selepas kahwin

Penempatan selepas berkahwin pasangan pengantin etnik Brunei lazimnya

berbentuk ‘Virilokal’. Virilokal ialah selepas berkahwin si isteri perlu pindah ke

kampung atau tempat keluarga si suami. Hal ini dapat dibuktikan dengan adanya adat

‘Mulih’ iaitu tradisi dimana si pengantin lelaki akan pulang ke rumahnya dengan

isterinya selepas tinggal selama 3 atau 7 hari di kediaman isterinya dan keluarga pihak

lelaki akan memberikan hadiah seperti barang rumah dan barangan dapur kepada

pasangan tersebut. Walaubagaimanapun, pada zaman hari ini, pasangan hari ini lebih

memilih tinggal bersama-sama di luar jauh daripada keluarga mereka. Ia juga

beralasan mereka hendak berdikari dan mementingkan ‘privasi’.

Anda mungkin juga menyukai