Anda di halaman 1dari 20

8.

0 IDEA DAN INSTITUSI POLITIK

8.1 KEDAULATAN PARLIMEN

Penubuhan monarki kebangsaan di Eropah pada abad ke-15 telah merintis jalan kepada
kemunculan pemerintah mutlak pada abad ke-16 dan ke-17. Kemunculan negara bangsa
pada abad ke-15, meletakkan asas bagi kemunculan sistem pemerintahan beraja mutlak di
Perancis pada abad ke-16 dan 17. Sistem pemerintahan beraja mutlak bermaksud sistem
kerajaan di mana cara pemerintahan raja tidak dikawal oleh parlimen dan segala perintah raja
akan menjadi undang-undang. Menurut sistem pemerintahan beraja mutlak, raja dilantik atas
kehendak Tuhan untuk memerintah rakyat. Oleh itu, menjadi tanggungjawab rakyat untuk
membantu raja dalam menjalankan pentadbiran. Sekiranya raja bertindak kejam dan berlaku
tidak adil, rakyat harus menerimanya dengan tenang sebagai hukuman atas dosa yang
dilakukan mereka. Pandangan ini diterima oleh pihak gereja dan mendapat sokongan
daripada raja-raja negara bangsa.

8.1.1 FAKTOR MEMPENGARUHI KEMUNCULAN PEMERINTAHAN BERAJA MUTLAK

JEAN BODIN (1530-1596)

Bodin dilahirkan pada tahun 1530 di Angers dan meninggal dunia pada tahun 1596. Beliau
mengesyorkan supaya Perancis diperintah oleh kerajaan pusat kerana kerajaan pusat yang
kuat akan dapat mengawal wilayah dengan lebih baik dan berkesan. Idea oleh Bodin ini
muncul ekoran tindakan golongan Huguenot (Calvinis) mencabar dan mengancam undang-
undang dan kekuasaan kerajaan pusat Perancis. Pemerintahan mutlak dimaksudkan oleh
Bodin dalam bukunya berjudul The Six Books of Republic. Bodin juga percaya bahawa kuasa
berdaulat dalam negara wujud dalam bentuk kekuatan ketenteraan. Kuasa mutlak yang
dianjurkan oleh Bodin juga mengambil kira hak rakyat. Raja dikehendaki memerintah menurut
hukum Tuhan dan jika memerintah sebaliknya dianggap raja yang zalim. Kerajaan juga
dikehendaki memenuhi segala kehendak rakyat. Dalam pada itu, rakyat pula diminta supaya
tidak mengumpul banyak kekayaan hingga menggugat kestabilan dan ketenteraman negara.
Menurut Bodin, ia akan mengelakkan revolusi, pemberontakan atau sebarang tindakan politik
lain yang bakal menggugat kestabilan negara.

HUGO GROTIUS (1583-1645)

Grotius ialah tokoh dari Belanda dan karya beliau yang terkenal ialah De hire Belli ac Pacis.
Menurut Grotius, kemunculan negara bangsa menyebabkan tidak wujud negara dunia Kristian
seperti yang dilihat pada Zaman Pertengahan Awal. Kini tiada negara yang lebih kuat, lebih
bebas atau lebih mampu daripada negara lain, dan muncul sistem politik berbilang negara
atau sistem antarabangsa. Oleh itu, negara-negara tersebut harus menjalinkan hubungan
sesama mereka menurut garis-garis kelakuan yang disetujui. Bagi Grotius, negara berhak
melakukan peperangan dalam mempertahankan diri serta membela hukum antarabangsa.
Grotius menambah, sesiapa yang mencabuli hukum alam atau antarabangsa dianggap
sebagai penceroboh terhadap masyarakat antarabangsa kerana ia akan memusnahkan
segala dasar yang diadakan untuk mewujudkan kebahagiaan dan keamanan dunia. Grotius
juga menegaskan peperangan yang dilakukan terhadap sesebuah negara yang mencabuli
hukum antara negara adalah salah dan boleh dihukum. Idea yang dimajukan oleh Grotius
adalah baik, tetapi ia disalah guna oleh negara mutlak. Idea Grotius telah dilaksanakan oleh
Richelieu dalam sistem pentadbiran Perancis.

CARDINAL DUC DE RICHELIEU (1585-1642)

Richelieu ialah paderi besar gereja Katolik dan seorang bangsawan. Beliau telah memimpin
Perancis ketika negara menghadapi pelbagai masalah pada abad ke-17. Richelieu
memberatkan peranan kuasa sebagai unsur penting dalam amalan tatanegara. Segala
perhatian ditumpukan bagi mewujudkan sebuah kerajaan pusat yang kuat di Perancis.
Richelieu mengambil langkah menghapuskan sentimen kewilayahan dan pergelutan dalam
negara yang mengancam kestabilan politik di Perancis pada abad ke-17. Richelieu juga
percaya negara Perancis yang kuat akan menjadi lebih berkesan dan berpengaruh di dalam
dan luar negeri. Oleh itu, beliau telah mewujudkan tentera laut yang lengkap dengan kapal-
kapal perang dan peralatan baharu dan moden. Richelieu juga telah menghapuskan
kekacauan yang berlaku dalam gereja Katolik. Beliau menolak peranan gereja dalam politik
dan kenegaraan.

Pandangan Richelieu terkandung dalam bukunya berjudul Wasiat Politik. Dalam buku
ini, beliau mengemukakan pandangan tentang keperluan mengekalkan kekuasaan dan
kemutlakan negara. Richelieu berpendapat kerajaan pusat yang kuat perlu untuk menghadapi
ancaman sekiranya pentadbiran dijalankan oleh ramai pihak. Ketika Richelieu menjadi Ketua
Menteri, Perancis mempunyai sistem pemerintahan pusat yang kuat. Harus ditegaskan
negara mutlak Richelieu ialah negara yang wujud menurut perintah Tuhan dan baginya kuasa
mutlak adalah satu seni pemerintahan. Richelieu juga menolak pendidikan diberikan kepada
rakat jelata. Beliau bimbang golongan berpendidikan akan melahirkan masyarakat yang kritis
dan akan menyoal dasar kerajaan. Perkembangan ini akan menyebabkan rakyat tidak setia
kepada negara. Kepentingan negara mutlak memerlukan kerajaan tidak menggalakkan
pendidikan dalam kalangan rakyat jelata. Richelieu juga percaya bahawa pelajaran kesenian
dan kesusasteraan harus dikawal oleh kerajaan untuk memajukan negara dalam sosial demi
kepentingan dalam berkuasa mutlak.
Di negara Barat terdapat dua jenis bentuk kerajaan yang diamalkan iaitu negara
kesatuan dan negara persekutuan. Pelaksanaan mana-mana bentuk kerajaan ini akan
mempengaruhi keharmonian kerajaan pusat dan tempatan di negara masing-masing.
Kerajaan kesatuan merupakan sebuah kerajaan yang memberi kuasa yang luas kepada
kerajaan pusat dan mengehadkan kuasa kepada kerajaan tempatan (local government).
Kerajaan kesatuan sesuai dilaksanakan bagi sebuah negara seperti Perancis kerana
mempunyai keluasan geografinya tidak luas atau besar dan mempunyai jumlah penduduk
tidak terlalu ramai. Pengaruh geografi yang tidak begitu luas lebih memudahkan komunikasi
dua hala dan sebarang keputusan boleh dilaksanakan secepat mungkin tanpa berlakunya
masalah dalam pentadbiran. Sistem Negara kesatuan di Perancis dibentuk berdasarkan ciri-
ciri tertentu.

CIRI-CIRI KERAJAAN KESATUAN PERANCIS

1. Kuasa penuh kepada kerajaan pusat

Di negara Perancis, kerajaan pusat mempunyai kuasa dalam semua aspek pemerintahan,
boleh mengubah sempadan dan kuasa, dan juga boleh membatalkan perundangan yang telah
diluluskan oleh peringkat negeri/wilayah. Di dalam negara kesatuan Perancis juga kerajaan
pusat berkuasa penuh untuk menguruskan seluruh pemerintahan di negara Perancis.

2. Pentadbiran wilayah

Untuk memudahkan pentadbiran maka kerajaan kesatuan telah membahagikan negara


kepada beberapa wilayah atau cawangan dan diberi kuasa untuk mentadbir. Pentadbiran
wilayah ini merupakan wakil kerajaan pusat. Walau bagaimanapun kuasa ini boleh ditarik balik
oleh kerajaan pusat. Bentuk seperti ini adalah merupakan sistem sentralisasi iaitu pemerintah
pusat memiliki kedaulatan penuh untuk menyelenggarakan urusan dari pusat ke wilayah.
Pemerintah wilayah hanya melaksana ketetapan yang diputuskan oleh kerajaan pusat.
Setelah sistem pemerintahan beraja dan sistem feudal dihapuskan di Perancis, pada tahun
1790 pentadbiran baru telah dibentuk iaitu negara Perancis telah dibahagikan kepada 83
department (wilayah) dan setiap wilayah dibahagi pula kepada cantons (daerah) dan daerah
pula dipecahkan kepada commune.
3. Pentadbiran Department

Pentadbiran department akan diketuai oleh Prefet yang dilantik oleh kerajaan pusat. Prefet
bertanggungjawab secara langsung kepada Menteri Dalam Negeri dan berperanan untuk
menguruskan perkhidmatan di kawasan tempatan. Di setiap department telah ditubuhkan
sebuah majlis iaitu General Council. Ahli-ahlinya dilantik oleh pemerintah peringkat pusat.
Majlis ini merupakan institusi tempatan yang menghubungkan penduduk tempatan dengan
kerajaan pusat.

5. Pentadbiran Commune

Commune pula berperanan untuk mentadbir kawasan bandar yang diketuai oleh Datuk
Bandar (Mayor) sebagai ketua eksekutif. Datuk Bandar pula akan dibantu oleh Majlis
Bandaran (Municipal Council). Institusi commune berperanan mengendalikan perkara-
perkara yang berkaitan dengan pentadbiran bandar seperti meluluskan permit bangunan,
menjaga keselamatan penduduk, dan menguruskan pendaftaran perkahwinan. Commune
merupakan institusi yang dibentuk bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk
tempatan seperti pejabat pendaftaran, mahkamah rendah, jabatan kerja raya, polis tempatan
dan sebagainya. Datuk Bandar akan menjadi wakil kerajaan pusat di kawasan bandar. Datuk
Bandar berperanan untuk menguatkuasakan undang-undang tempatan, mendaftar jurutera
awam, menguruskan pekerja di kawasannya dan sebagainya. Walau bagaimanapun segala
keputusan yang dibuat oleh Datuk Bandar boleh dipinda atau dibatalkan oleh kerajaan pusat.

8.2 PERJUANGAN HAK ASASI MANUSIA

Dasar Dalam Negara

Louis XIV menyusun semula pentadbiran pusat negara kepada empat majlis utama seperti
Majlis Negara (mengurus hal ehwal luar Negara), Majlis Despatches (mengurus hal ehwal
tempatan), Majlis Kewangan (menguruskan masalah percukaian, tarif, perbelanjaan dan
pendapatan) dan Majlis Privy (menguruskan pentadbiran keadilan). Louis XIV juga telah
melantik menteri-menteri yang berkebolehan untuk membantunya mentadbir, antaranya ialah
Jean-Baptiste Colbert (Menteri Kewangan), Le Teller Menteri Hal Ehwal Luar), Louvois
(Menteri Peperangan), dan Vauban (Menteri Ketenteraan). Louis XIV juga menggunakan
intendent, iaitu pegawai yang bertanggungjawab bagi melaksanakan dasar-dasar diraja di
pelbagai provinsi Perancis. Intendent ditugaskan untuk menyelia pentadbiran, keadilan,
pengutipan cukai, dan pentadbiran ketenteraan di peringkat daerah. Louis XIV percaya
sebagai pemerintah mutlak bagi seluruh Eropah, beliau harus hidup bergaya.

Beliau mendirikan istana besar yang mempunyai reka bentuk menarik dan indah di
Versailles dan di beberapa buah tempat lain. Raja menetap di Versailles yang dikelilingi oleh
istana yang besar. Golongan bangsawan Perancis bergantung hidup kepada pencen daripada
raja atau kepada kerja-kerja yang memberikan gaji yang tinggi. Oleh itu, golongan bangsawan
Perancis menghabiskan hidup mereka di istana Versailles untuk mendapat sokongan dan
wang pencen. Perkhidmatan awam terdiri daripada pegawai-pegawai yang berkebolehan.
Kejayaan Louis juga dibantu oleh Menteri Kewangannya yang berkebolehan, iaitu Jean
Baptiste Colbert (1619-1683). Melalui dasar-dasar Colbert, Perancis menjadi negara industri
dan kuasa militer. Zaman Louis XIV juga zaman keemasan bagi kesusasteraan Perancis.
Antara tokoh seni yang terkenal ialah Racine dan Moliere.

Dasar Ekonomi Merkantilisme

Louis juga melaksanakan dasar ekonomi merkantilisme untuk memastikan negaranya muncul
sebagai negara yang kuat dan agung. Menteri Kewangan, Colbert melaksanakan dasar
merkantilisme dengan bersungguh-sungguh. Colbert juga mempunyai rancangan-rancangan
yang meluas untuk mengukuhkan Perancis melalui perdagangan dan perniagaan. Usaha
yang bersungguh-sungguh dalam membangunkan ekonomi merkantilisme ini sehingga beliau
dipanggil Colbertisme di Perancis. Colbert memulakan industri baharu, menggalakkan
pengilang-pengilang dan pereka-pereka, memansuhkan tarif tempatan; tol, mengurangkan
kadar bunga ke atas hutang kerajaan, mengawal upah, dan harga kebanyakan barangan.
Colbert juga membuat penambahbaikan kepada tentera laut, perkapalan perdagangan, lebuh
raya dan laluan air. Walaupun dasar Colbert telah meningkatkan pendapatan kerajaan,
namun perbelanjaan untuk perang bertambah dengan pesat.

Ketenteraan

Louis mendapatkan bantuan Louvois, Menteri Perang untuk melakukan reformasi


ketenteraan. Raja sekarang mempunyai kawalan penuh ke atas angkatan tentera. Louis
menghapuskan dominasi golongan bangsawan ke atas bidang ketenteraan dan memulakan
kawalan langsung ke atas ketenteraan. Pelantikan pegawai-pegawai tentera dilakukan
berasaskan merit. Kerajaan bertanggungjawab dalam merekrut tentera, menyediakan
perumahan, dan bekalan makanan untuk mereka. Louis XIV menyediakan sepasukan bala
tentera yang terdiri daripada 4000 tentera. Tentera Perancis muncul sebagai tentera yang
terkuat di Eropah ketika itu.
Dasar Agama

Louis bertindak untuk memaksa golongan bukan Katolik untuk menerima agama Katolik, iaitu
golongan Huguenot (gelaran yang diberikan kepada sebilangan rakyat Perancis yang
memeluk agama Proteston). Pada akhir abad ke-18, mereka dipanggil Proteston Perancis
atau Calvinis. Edict of Nantes yang ditandatangani pada tahun 1598 oleh Raja Henry VI yang
memberi kebebasan kepada Huguenot untuk menganut agama pilihan mereka dan
mempunyai peluang yang sama untuk memegang jawatan dalam kerajaan. Ia menandakan
berakhirnya peperangan agama yang menimpa Perancis pada separuh kedua abad ke-16. Di
zaman Raja Louis XIV, Edict of Nantes ditafsirkan secara sempit untuk menafikan kebebasan
kepada Huguenot.

Oleh itu pada Oktober 1685, Louis XIV membatalkan Edict of Nantes. Tindakan Louis
mendapat sokongan daripada rakyat tempatan. Walaupun perang agama sudah tidak ada,
penganiayaan terhadap Proteston telah berlaku. Semua menteri Protestan telah diberikan dua
minggu untuk meninggalkan negara ini kecuali mereka memeluk agama Katolik dan semua
Protestan lain dilarang meninggalkan negara. Tindakan Louis menyebabkan seramai 400 000
Huguenot meninggalkan Perancis dan berpindah ke England, Prusia, Holand, Switzerland,
Afrika Selatan dan Benua Amerika Utara. Pembatalan Edict of Nantes ini telah menjatuh
reputasi Louis XIV di luar negeri dan menjadikan negara-negara yang mengamalkan
Protestan bersempadan dengan Perancis telah memusuhi Louis XIV.

Dasar Luar Negara

Dasar luar negara Louis XIV adalah untuk meluaskan wilayah. Semasa pemerintahan Louis
XIV, wilayah kekuasaan meluas ke Sungai Rhine dengan Perancis menguasai wilayah-
wilayah yang diperintah oleh putera-putera Jerman, negara Spanish Netherlands (Belgium
Moden) dan United Province (kerajaan Belanda hari ini).
8.3 MEMUTIHKAN KUASA RAJA

Selepas Zaman Pertengahan, telah berlaku kemerosotan sistem feudalisme di Eropah.


Keadaan ini telah membolehkan raja-raja mengumpul kekayaan dan mengukuhkan
kedudukannya. Ini telah membawa kepada penubuhan negara bangsa iaitu sebuah negara
yang bebas daripada konsep dunia empayar dan di bawah kedaulatan raja berkuasa mutlak.
Negara bangsa di Eropah terbentuk melalui dinasti, keluarga baharu, perkahwinan diraja dan
konsep empayar. Perkembangan ini berlaku di negara England pada abad ke-15 dan England
berada di bawah pemerintahan beraja mutlak hampir 2 abad iaitu bermula pada 1485 setelah
berakhirnya Perang Bunga Ros. Sistem pemerintahan ini diasaskan oleh Raja Henry VII dari
Dinasti Tudor yang memerintah England dan berakhir pada tahun 1603 semasa pemerintahan
Ratu Elizabeth I.

Mengikut sistem raja berkuasa mutlak, seseorang pemerintah (raja) berkuasa


sepenuhnya untuk menggubal dan melaksanakan segala dasar dan kedudukannya adalah
mengatasi undang-undang negara. Sepanjang pemerintahan Dinasti Tudor, England
mempunyai kerajaan yang stabil dan mendapat sokongan daripada rakyat. Kerajaan ini
menghormati prinsip perbatasan kuasa pemerintah seperti mana yang terdapat dalam Magna
Carta dan tidak membelakangkan parlimen. Dasar-dasar pemerintahan raja berkuasa mutlak
di England seperti keagamaan, luar negeri dan perdagangan yang dijalankan oleh Raja Henry
VII, Raja Henry VIII dan Ratu Elizabeth I diterima oleh rakyat. Namun demikian semasa
pemerintahan Dinasti Stuart (1603-1688), sistem pemerintahan beraja mutlak semakin
diperkasakan oleh Raja James I dan Raja Charles I sebelum bertukar kepada raja
berpelembagaan.

8.3.1 Perkembangan Sistem Pemerintahan Raja Berkuasa Mutlak

Selepas tamatnya Perang Bunga Ros, sistem pemerintahan beraja mutlak telah diterima oleh
rakyat kerana ingin menamatkan keadaan huru-hara yang berlaku. Sistem beraja mutlak yang
diasaskan oleh Dinasti Tudor memperlihatkan sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat
sokongan rakyat. Pemerintahan Dinasti Tudor adalah berdasarkan kepada Magna Carta iaitu
satu piagam yang digubal untuk mengawal kuasa raja. Raja-raja Tudor tidak mementingkan
prinsip kesucian raja dalam melaksanakan pemerintahan mereka. Raja-raja Tudor dapat
bekerjasama baik dan dapat mengawal 2 buah dewan parlimen England yang terdiri daripada
House of Lords (tuan tanah, bishop dan kerabat diraja) dan House of Common (knight, orang
kaya dan peguam). Pada abad ke-17, muncul golongan gentry di luar bandar yang memiliki
tanah dan menjadi kaya daripada golongan bangsawan. Di bandar pula muncul golongan
bourjois yang semakin kaya dan menguasai ekonomi melalui kegiatan perdagangan.
Kedua-dua kumpulan mula berani mempertikaikan pengaruh politik golongan
aristokrat dalam House of Lords. Pada abad ke-17 juga, wujud perbalahan antara mazhab
Kristian di England iaitu antara penganut Protestan (golongan puritan) yang tidak berpuas hati
dengan gereja Anglican (gereja kebangsaan di England) di atas pengamalan tradisional
gereja Kristian (Katolik). Golongan puritan ini ingin membersihkan amalan agama di England
daripada pengaruh gereja Katolik Rom dan mahu gereja di England bebas daripada kawalan
politik. Golongan puritan menjadi semakin berpengaruh dan menarik minat pelbagai golongan
masyarakat kerana dalam ajaran mereka mengutamakan kehidupan berdisiplin dan menolak
upacara atau istiadat agama yang tradisional. Pemerintah Dinasti Tudor berjaya menangani
dengan baik tentangan golongan puritan yang tidak berpuas hati dengan golongan anglican
dan ingin mewujudkan gereja yang bebas daripada kawalan politik.

Selepas berakhir Dinasti Tudor pada tahun 1603, maka bermula pula era
pemerintahan Dinasti Stuart (1603-1702) di England yang diasaskan oleh Raja James I dari
Scotland. Namun dasar pemerintahan Dinasti Stuart berbeza dengan Dinasti Tudor, dan ini
telah membawa penentangan parlimen dan berlaku kebangkitan golongan puritan sehingga
membawa tercetusnya perang saudara yang dikenali sebagai Revolusi Puritan (1642-1648).
Raja James I merupakan raja yang berpegang kuat kepada doktrin kuasa suci raja. Baginda
menegaskan bahawa kedudukan raja mengatasi kedudukan undang-undang. Oleh itu semua
pihak seperti parlimen, mahkamah, gereja, dan sebagainya mesti berkhidmat kepada raja
dan bukannya berkongsi kuasa. Pemerintahan Raja James 1 mendapat tentangan daripada
golongan puritan dan ahli-ahli parlimen kerana baginda mengamalkan dasar agama yang
lebih memihak kepada mazhab Katolik.

Golongan puritan juga telah menolak bishop yang dilantik oleh Raja James I dan
kemarahan golongan ini memuncak apabila baginda mengahwinkan puteranya dengan puteri
dari Perancis yang bermazhab Katolik. Tindakan baginda yang membelakangkan parlimen
dalam urusan pengenaan cukai telah memburukkan lagi hubungan Raja James I dengan
golongan puritan. Ketegangan hubungan ini telah mendorong Raja James I membubarkan
parlimen pada tahun 1611. Tindakan baginda telah menyebabkan keadaan politik England
kucar kacir dan lebih memburukkan keadaan apabila Raja Charles I yang memerintah
England pada tahun 1625 juga tidak menyukai golongan puritan. Baginda juga bertindak
membelakangi parlimen dalam urusan pengutipan cukai. Mana-mana ahli parlimen yang
menentang baginda telah ditahan dan tentera akan mengawal mereka. Akibat tidak berpuas
hati dengan pemerintahan kuku besi raja, maka rakyat telah bersatu untuk menafikan kuasa
mutlak raja.
Akibatnya pada tahun 1628 parlimen telah mengemukakan Petition of Right yang
mengutuk tindakan autokratik raja. Akibat kecaman ini baginda telah menangkap 9 orang ahli
parlimen yang menentang baginda secara terbuka di parlimen. Sehubungan itu, baginda
membubarkan parlimen dan memerintah secara mutlak tanpa parlimen selama 11 tahun. Raja
Charles I telah mengenakan pelbagai jenis cukai dengan bebas dan menaikkan cukai dengan
sewenang-wenangnya telah mengancam ahli-ahli parlimen. Dalam aspek agama pula, Raja
Charles I memulihkan semula amalan roman khatolik sebagai amalan dalam gereja Anglican
yang menyebabkan kebangkitan golongan puritan. Pada tahun 1639, Raja Charles I telah
menubuhkan semula parlimen untuk tujuan mendapatkan peruntukkan yang diperlukan oleh
baginda tetapi ahli parlimen enggan bekerjasama dengan baginda. Ini telah mendorong
baginda membubar semula parlimen yang baru ditubuhkan dalam masa 3 minggu dan
menangkap beberapa ahli parlimen.

Pada tahun 1642, rusuhan telah berlaku di Ireland yang telah menyebabkan beberapa
orang British bermazhab Protestan dibunuh oleh penganut Katolik. Sekali lagi berlaku
pertikaian tentang penubuhan tentera sama ada dikendalikan oleh raja atau parlimen.
Akhirnya peperangan telah berlaku dan tentera gereja di bawah pimpinan Oliver Cromwell
telah berjaya mengalahkan tentera raja pada tahun 1645 dan tahun 1648. Raja Charles I telah
dihukum bunuh dan parlimen telah mengisytiharkan England sebuah negara republik dengan
Oliver sebagai ketua negara yang baharu. Pemerintahan Oliver berhadapan dengan
kebangkitan 2 golongan iaitu levellers dan diggers yang dianggap mengancam
pemerintahannya. Pada tahun 1658, Oliver meninggal dunia dan diganti dengan anaknya iaitu
Richard Cromwell. Walau bagaimanapun dalam masa setahun memerintah beliau telah
meletakkan jawatannya kerana tidak mendapat sokongan parlimen dan tentera.
8.4 MACHIAVELLI – MATLAMAT MENGHALALKAN CARA

Karya Machiavelli ‘The Prince' diterbitkan pada tahun 1532. Beliau berkhidmat sebagai
diplomat dengan Republik Florence dan pernah menyaksikan konflik antara Florence dengan
Venice, Pisa, Milan dan Naples. Pengalaman sebagai diplomat telah menjadikannya bersikap
sinis terhadap motif-motif ahli politik. Beliau adalah seorang patriot yang mempunyai
keinginan yang kuat untuk menyatukan politik Itali. Pada ketika itu, perpecahan politik bukan
saja mencetuskan perang saudara di Itali tetapi juga menyebabkan campur tangan dan
serangan Jerman, Switzerland, Perancis dan Sepanyol. Dalam keadaan politik itu,
Machiavelli berpendapat bahawa Itali hanya boleh diselamatkan dengan kemunculan seorang
pemimpin yang berkaliber dan berkemampuan menyatukan politik Itali dan mempertahankan
negaranya daripada serangan luar. Maka, The Prince, merupakan sebuah panduan untuk
memupuk seorang pemimpin yang ideal untuk menjamin kebebasan rakyat, penguasaan
tampuk kerajaan dan kebebasan daripada pemberontakan dan serangan luar. Prinsip utama
karya The Prince adalah matlamat menghalalkan cara.

Perkara-perkara yang dikemukakan :

1. Perihal Pemerintah dan Tujuan Kuasanya :

Kestabilan dan keselamatan sesuatu kerajaan bergantung kepada kuasa pemerintah. Walhal
pun begitu, tujuan kuasanya bukan untuk kepentingan pemerintah saja tetapi juga untuk
kepentingan rakyat.

2. Perihal Pemerintahan sesuatu jajahan takluk dan kestabilannya :

Dalam sistem kerajaan sesuatu negara yang ditakluki (a) pemimpin haruslah mengekalkan
kuasanya dengan tinggal sendiri di negara itu atau (b) mendirikan koloni-koloni di situ atau (c)
menubuhkan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang berjiran atau (d) melemahkan
negara-negara berjiran yang kuat.

3. Perihal pemerintahan sesuatu kerajaan kecil (princedom) :

Machiavelli mengingatkan bahawa dalam sesuatu kerajaan kecil yang diperintah oleh
seorang putera, fikiran rakyat mudah berubah-ubah. Pada hal itu, paksaan haruslah
digunakan untuk menentukan fikiran mereka. Pembunuhan, hukuman dan penipuan
dicadangkan untuk memupuk kehormatan dan menegakkan sesuatu orde politik baru

4. Perihal Hubungan Kerajaan dengan Angkatan Tentera :

Mengikut Machiavelli, sebuah kerajaan yang luat haruslah mempunyai tentera nasional yang
terdiri daripada rakyat negara. Kebanyakan kerajaan Itali adalah dibiasakan dengan
menggunakan askar upahan asing untuk hal pertahanan. Askar upahan dianggap bahaya
dan tidak berguna. Tambahan pula, seorang putera haruslah sentiasa memerhatikan hal-hal
ketenteraan untuk menjamin kewujudan negara. (national survival)

5. Perihal Pemerintah dan Kefleksibelan Nilai Etikanya :

Beberapa bab dalam The Prince adalah berkaitan dengan nilai moral tingkah laku seorang
pemerintah. Mengikut Machiavelli, nilai etika, sama ada baik atau buruk, adalah relatif dan
demi kepentingan kuasa kerajaan haruslah diubahsuaikan mengikut perubahan politik.

6. Perihal kekejaman dan kuasa pemerintahan :

Kekejaman haruslah dianggap sebagai suatu senjata untuk menjadikan rakyat bersatu padu
dan mengekalkan kepatuhan rakyat kepada negara dan pemerintah. Mengikut Machiavelli,
antara kasih sayang dan ketakutan, adalah lebih baik seorang pemimpin memilih ketakutan
untuk menjamin sokongan rakyat oleh kerana fikiran rakyat mudah berubah-rubah dan
kesetiaan mereka kepada negara adalah palsu.

7. Perihal Bagaimana Menggalakkan Keyakinan Rakyat :

Menurut Machiavelli, undang-undang biasanya untuk mengekalkan keyakinan manusia dan


paksaan digunakan untuk mengawal binatang. Pada hal pemerintahan, sekiranya undang-
undang tidak berkesan, maka paksaan yang melibatkan penipuan, kepura-puraan dan
kekejaman haruslah digunakan. Jadi, seorang pemerintah memahami sifat semula jadi
manusia dan juga binatang.

8. Perihal personaliti luaran dan personaliti dalaman seorang pemerintah dan


hubungannya dengan rakyat :

Machiavelli membezakan antara personaliti dalaman dan personaliti luaran. Walaupun


personaliti dalaman haruslah bersifat kejam dan keras terhadap rakyat tetapi personaliti
luaran yang boleh disaksikan oleh rakyat haruslah menunjukkan sifat murah hati untuk
mendapatkan sokongan daripada rakyat. Pada hal itu, misalnya, seorang pemerintah
haruslah menggalakkan rakyat mengembangkan kegiatan perdagangan, pertanian, kesenian,
kesenian dan sebagainya. Beliau merujuk kepada contoh Empayar Rom di mana para
pemerintah menghibur rakyat dengan mengadakan pesta dan pertunjukan untuk
mendapatkan sokongan dan kesetiaan.
9. Perihal sesuatu kerajaan yang wujud di bawah kawalan gereja :

Dalam sesuatu kerajaan yang wujud di bawah naungan gereja, kewibawaan pemerintah
biasanya tertakluk kepada hukum-hukum agama yang ditetapkan oleh gereja. Dalam keadaan
itu, pemerintah perlu bertindak tanpa mempedulikan pengaruh gereja.

8.5 KONTRAK SOSIAL

Sebelum tertubuhnya kerajaan persekutuan Amerika, orang Eropah berlumba-lumba untuk


meneroka dan membuat penempatan di benua Amerika seperti orang Sepanyol, Portugis,
Perancis, Belanda dan British. John Cobat merupakan orang pertama meneroka di Amerika
pada tahun 1497, diikuti oleh Sir Humphrey Gilbert (1583) dan Sir Walter Raleigh (1584).
Kesemua usaha mereka menemui kegagalan kerana mendapat tentangan kaum peribumi
Red Indian dan kawasan tersebut tidak sesuai untuk pertanian. Pada tahun 1607, Kapt. John
Smith membuka koloni di Virginia dan berjaya memajukannya kerana memiliki kubu-kubu
pertahanan di Jamestown dan wujudnya hubungan baik dengan puak Red Indian. Ini telah
mendorong lebih ramai orang British berhijrah ke Amerika untuk memulakan kehidupan baru
ekoran kerajaan Britian mengenakan cukai yang tinggi kepada mereka dan masalah agama
terutama daripada golongan puritan. Pada tahun 1620, golongan puritan telah mendarat di
New Plymounth dan telah mendapat bantuan orang Red Indian untuk menanam jagung.

Pada tahun 1621, mereka telah menganjurkan ‟Kenduri Kesyukuran” kerana


mendapat hasil jagung yang banyak sebagai tanda berterima kasih kepada tuhan.
Kedatangan orang British semakin bertambah di Amerika dengan membentuk 13 koloni iaitu
telah membuka penempatan koloni di Virginia (1607), Massachusetts dan New Hampshire
(1630), Maryland (1634), Connecticut dan Rhode Island (1636), Delaware (1638), Carolina
Utara (1653), Carolina selatan (1663), New Jersey (1664), New York (1664), Pennsylvania
(1681) dan Georgia (1732). Pada abad ke-18, Britian dan Perancis mempunyai koloni di
Amerika Utara. Pada tahun 1756, telah tercetus Perang Tujuh Tahun (1756-1763) antara
Britian dengan Perancis di Eropah. Dalam perang ini Perancis telah kalah dan perang ini
ditamatkan melalui Perjanjian Paris. Oleh kerana perang ini melibatkan belanja yang besar,
Britian mendesak koloni di Amerika membiayai sebahagian perbelanjaan perang tetapi
mendapat bantahan penduduk koloni. Raja George III tidak menghiraukan bantahan ini,
sebaliknya memperkenalkan 4 akta bagi mengutip cukai di koloni seperti akta pelayaran, gula,
setem dan teh.
Penduduk tetap membantah dengan melaungkan slogan ‟tiada cukai tanpa
perwakilan” dan ini telah membimbangkan Britian. Britian telah menarik balik kesemua akta
kecuali akta teh. Melalui Akta Teh, hanya SHTI sahaja boleh menjual teh kepada penduduk
di koloni-koloni tanpa membayar cukai dan penduduk koloni tidak boleh mengimport teh. Hal
ini menimbulkan kemarahan penduduk di koloni. Pada tahun 1773, beberapa orang penduduk
koloni menaiki kapal SHTI dan membuang kotak-kotak teh ke laut. Peristiwa ini dikenali
sebagai Peristiwa Pembuangan Teh Boston dan ekoran daripada peristiwa ini pelabuhan
Boston telah ditutup pada tahun 1774. Tindakan Britian ini telah menyebabkan penduduk di
koloni bangkit memperjuangkan kemerdekaan mereka daripada Britian. Pada Sept. 1774,
pemimpin 13 koloni telah bertemu di Philadelphia dan bersetuju menubuhkan sebuah Kongres
(Parlimen Bersatu).

George Washington telah dilantik sebagai pemimpin tentera koloni-koloni Amerika dan
mengisytiharkan perang terhadap Britian pada tahun 1775. Pertempuran telah berlaku di
Lexington pada April 1776. Pada Julai 1776, kongres yang bersidang di Philadelphia telah
meluluskan Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika yang ditulis oleh Thomas Jefferson.
Melalui pengisytiharan ini, 13 koloni telah digabungkan menjadi Amerika Syarikat yang
merdeka. Kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh tentera Britian seperti di Saratoge
(1777) dan Yorktown (1781). Pada tahun 1783, perang telah ditamatkan melalui Perjanjian
Versailles iaitu Britian mengakui kemerdekaan Amerika Syarikat dan menyerahkan kesemua
13 tanah jajahannya.

Pada tahun 1787, perwakilan daripada semua negeri telah bertemu di Philadelphia
untuk merangka perlembagaan seperti Benjamin Franklin, George Washington, John Adams,
Alexander Hamilton, James Madison dan George Mason. Pilihanraya pertama Amerika
Syarikat telah diadakan pada 4 Nov. 1789 dan George Washington telah dilantik menjadi
Presiden Amerika Syarikat yang pertama. George Washington bertindak untuk mewujudkan
perpaduan antara negeri-negeri persekutuan dengan dibantu oleh Thomas Jefferson, Henry
Knox, Alexander Hamilton dan John Kay. Antara yang dilakukan oleh Washington ialah
memperkenalkan sistem cukai yang adil dan seragam antara negeri, menyeragamkan
penggunaan mata wang, menubuhkan Bank Nasional pada tahun 1791, dan memindahkan
pusat pentadbiran dari Philadelphia ke Washington. Bangunan Capitol dan White House telah
dibina di Washington sebagai lambang perpaduan dan demokrasi rakyat Amerika Syarikat.
Kongres pertama telah diadakan di Capitol pada tahun 1800. Pada tahun 1812,
Perang Inggeris-Amerika telah meletus disebabkan tindakan Britian memeriksa semua kapal
Amerika yang menuju ke Eropah untuk menggelakkan bekalan sampai ke tangan musuh.
Amerika mengumumkan dasar berkecuali dalam Perang Napoleon. Ini telah menyebabkan
Britian menahan dan memeriksa kapal-kapal dagang Amerika dan ini telah menjejaskan
kegiatan perdagangan Amerika. Selepas perang tamat muncul kebimbangan Amerika
terhadap aktiviti peluasan kuasa Eropah dalam hal ehwal Amerika sehingga munculnya
‟doktrin Monroe” yang menekankan konsep ‟Amerika untuk orang Amerika” pada tahun 1823.
Doktrin ini diwujudkan bertujuan untuk menjaga kepentingan negara daripada pencerobohan
kuasa luar terutama Eropah. Amerika juga menegaskan bahawa peperangan akan
dilancarkan terhadap mana-mana pihak yang melanggar doktrin ini.

Pada abad ke-19, Amerika telah berkembang daripada 13 buah koloni kepada 50 buah
negeri melalui 3 cara iaitu pembelian, perjanjian dan peperangan. Menjelang tahun 1850-an,
Amerika telah mempunyai sempadan negeri seperti hari ini. Walau bagaimanapun, Amerika
mula menampakkan pepecahan antara negeri-negeri utara dan selatan. Perpecahan ini
semakin serius sehingga meletusnya Perang Saudara pada tahun 1861-1865 antara
Kesatuan Amerika Syarikat (Negeri-negeri Utara) dengan Gabungan Negeri-Negeri Amerika
(Negeri-Negeri Selatan). Perang ini meletus disebabkan oleh masalah hamba abdi, tindakan
negeri-negeri selatan menarik diri dari kesatuan Amerika, perbezaan antara negeri-negeri
Utara dengan Selatan dan wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap undang-undang
kerajaan pusat.

Perang ini bermula apabila Fort Sumter telah diserang oleh tentera selatan pada 12
April 1861. Pada Sept. 1862 pula tentera selatan telah mengalami kekalahan di Maryland dan
di Gettysburg pada Julai 1863. Selepas perang tamat, Abraham Lincoln telah memberi ucapan
termasyhur yang dikenali ‟Ucapan Gettysburg” dan berakhir dengan kata-kata ‟...kerajaan
daripada rakyat, oleh rakyat, bagi rakyat tidak akan lenyap dari muka bumi...”. Perang saudara
ini telah banyak memberi kesan seperti lebih ½ juta orang Amerika terkorban, amalan
perhambaan dihapuskan di Amerika dan negeri-negeri Utara dan Selatan bersatu semula.
Selepas tamatnya perang, Amerika Syarikat telah membangun sebagai sebuah negara yang
bersatu yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Amerika juga mengalami perubahan ekonomi
yang pesat dalam bidang perindustrian, pertanian dan pengangkutan.
8.6 PENGASINGAN KUASA

Sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak telah digantikan dengan raja berperlembagaan
selepas berakhirnya Revolusi Cemerlang yang berlaku secara aman dan memberi impak
yang besar terhadap perubahan landskap politik England selepas 1688. Raja Charles II telah
ditabal sebagai raja England selepas Richard Cromwell meletak jawatannya dan mesti
mengamalkan sistem beraja berperlembagaan. Sistem pemerintahan raja berperlembagaan
juga membawa kepada perkembangan politik kepartian apabila wujud dua buah parti iaitu
Parti Whig dan Parti Torries yang sebahagian besarnya dikuasai oleh golongan aristokrat,
gentry dan bourjuis. Golongan rakyat atau kelas bawahan masih tidak diberikan ruang untuk
terlibat secara langsung dalam politik di England ketika itu. Selepas Raja Charles II meninggal
dunia pada tahun 1685, diganti pula oleh Raja James II yang lebih cenderung untuk
memulihkan kembali doktrin kuasa suci raja.

Oleh itu, Raja James II telah disingkirkan dan kemudiannya Marry II dan Raja William
of Orange telah ditabal sebagai raja England yang baharu selepas berlakunya Revolusi
Cemerlang (1698) tanpa berlaku pertumpahan darah. Parlimen meluluskan Toleration Act dan
Bill of Right pada 1699. Raja berperlembagaan adalah sejenis kerajaan yang ditubuhkan di
bawah sistem berperlembagaan yang mengiktiraf raja sebagai ketua negara. Toleration Act
bertujuan mewujudkan kebebasan beragama bagi penganut Kristian yang bermazhab
Protestan di England. Manakala Bill of Right pula mengemukakan beberapa peruntukan
berhubung dengan bidang kuasa raja dalam soal undang-undang dan pencukaian serta
keadilan dan hak untuk mengecapi kebebasan. Raja berperlembagaan di England
memerintah berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh parlimen dan tidak lagi mempunyai
kuasa autokratik.

Raja tidak boleh memansuhkan undang-undang yang telah diluluskan oleh parlimen.
Raja tidak dibenarkan untuk campur tangan dalam urusan mahkamah dalam aspek
penguatkuasaan undang-undang. Kedudukan parlimen menjadi semakin kuat apabila Act of
Settlement diluluskan pada 1701 yang menetapkan hanya raja yang bermazhab protestan
sahaja yang layak menjadi raja. Raja juga bertanggungjawab kepada parlimen sebagai
institusi yang mewakili rakyat dan mempunyai keutuhan dalam soal legislatif dan eksekutif.
Sistem pemerintahan beraja mutlak di England juga telah menghapuskan pergeseran antara
raja dengan parlimen dalam soal-soal dasar pemerintahan dan keadaan ini secara langsung
telah memperkukuhkan perpaduan dalam politik negara tersebut. Raja boleh menghadapi
Petition of Right yang dikemukakan oleh rakyat dan mempertahankan kedudukannya
berdasarkan undang-undang. Oleh yang demikian pada 1689 bermula sistem pemerintahan
raja berpelembagaan di England dan kekal sehingga hari.
8.7 REVOLUSI PERANCIS

Kemunculan negara bangsa pada abad ke-15M, telah menjadi asas bagi kemunculan
pemerintahan mutlak di Eropah pada abad ke-16M dan ke-17M seperti Perancis. Maksud raja
mutlak ialah pemerintahan raja tidak dikawal oleh parlimen dan segala arahan raja merupakan
undang-undang. Raja yang dilantik adalah atas kehendak Tuhan untuk menjadi ketua kepada
rakyat. Oleh itu, menjadi tanggungjawab rakyat untuk membantu raja dalam menjalankan
pentadbiran. Rakyat tidak boleh membantah perintah raja walaupun raja memerintah dengan
zalim. Pemerintahan raja mutlak di Perancis muncul di dorong dengan lahirnya idea-idea oleh
pemikir-pemikir politik seperti Jean Bodin, Hugo Crotius dan Cardinal Duc de Richelien.

Jean Bodin mengesyorkan supaya Perancis diperintah oleh kerajaan pusat yang kuat
supaya boleh mengawal wilayah dengan lebih baik dan berkesan. Hugo Crotius pula
mengatakan sesebuah negara berhak mempertahankan negara dengan membela hukum
antarabangsa dan sesiapa yang mencabuli hukum antarabangsa akan dianggap penceroboh.
Manakala Cardinal pula, berpendapat kerajaan pusat yang kuat perlu untuk menghadapi
ancaman sekiranya pentadbiran dijalankan oleh ramai pihak. Untuk menggelakkan daripada
berlakunya ancaman atau penentangan maka rakyat tidak perlu diberi pendidikan. Menjelang
abad ke-17, Perancis muncul sebagai antara negara yang terkuat di Eropah menggantikan
Sepanyol.

Pemerintahan raja mutlak di Perancis dijalankan oleh Raja Louis XIV (1643-1715)
yang dikenali sebagai ‘Grand Monarch’ yang memerintah selama 72 tahun. Semasa
pemerintahannya berjaya mewujudkan keamanan dan kemakmuran di Perancis. Baginda
mengukuhkan kedudukannya melalui pentadbiran pusat yang kukuh dan teratur. Bagi
memastikan dasar pemerintahannya dapat dilaksanakan dengan baik, baginda terlibat dalam
urusan pelantikan pegawai-pegawai kerajaan dan berjaya mengawal mereka dengan dibantu
oleh menteri-menteri yang berwibawa. Raja Louis XIV mendapat sokongan padu daripada
golongan bangsawan, Huguenot dan institusi-institusi kerajaan. Perkembangan ini
mengukuhkan kedudukan Raja Louis XIV sebagai pemerintah monarki mutlak di Perancis.
Dasar Dalam Negara

Louis XIV menyusun semula pentadbiran pusat negara kepada empat majlis utama dan juga
telah melantik menteri-menteri yang berkebolehan untuk membantunya mentadbir seperti
Colbert (Menteri Kewangan), Le Tellier (Menteri Hal Ehwal Luar), Louvois (Menteri
Peperangan) dan Vauban (Menteri Ketenteraan). Louis juga menggunakan menteri yang
bertanggungjawab bagi malaksanakan dasar-dasar diraja di pelbagai provinsi Perancis.
Penyelia ditugaskan untuk menyelia pentadbiran, keadilan, pentadbiran dan pentadbiran
ketenteraan di peringkat daerah. Louis XIV percaya sebagai pemerintah mutlak bagi seluruh
Eropah, beliau harus hidup bergaya dengan itu beliau mendirikan istana besar di Versailles
dan di beberapa buah tempat lain.

Arkitek-arkitek terkemuka digaji untuk mereka bangunan dan pelukis-pelukis


terkemuka mengindahkannya. Raja menetap di Versailles yang dikelilingi oleh istana yang
besar. Golongan bangsawan bergantung hidup kepada pencen daripada raja dan dikehendaki
tinggal dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan sokongan raja. Perkhidmatan awam
terdiri daripada menteri-menteri yang berkebolehan antaranya Jeans Baptiste Colbert sebagai
menteri kewangan. Zaman Louis XIV juga zaman keemasan bagi kesusasteraan Perancis.
Antara tokoh seni yang terkenal ialah Racine dan Moliere.

Dasar Ekonomi

Baginda melaksanakan dasar ekonomi merkantilisme untuk memastikan negaranya muncul


sebagai negara yang makmur . Melalui dasar Colbert, wujud perkembangan industri baru,
memansuhkan tarif tempatan, mengurangkan kadar bunga ke atas hutang kerajaan,
mengawal upah dan harga kebanyakan barangan. Dasar ekonomi Colbert telah
meningkatkan pendapatan kerajaan namun perbelanjaan untuk peperangan tempatan
semakin bertambah.

Dasar Ketenteraan

Melalui Louvis (Menteri Perang), Perancis telah mengadakan reformasi dalam ketenteraan
apabila raja mempunyai kawalan penuh ke atas ketenteraan. Baginda juga menghapuskan
dominasi golongan bangsawan ke atas bidang ketenteraan dan memulakan kawalan
langsung ke atas ketenteraan. Kerajaan juga bertanggungjawab merekrut tentera,
menyediakan perumahan dan bekalan makanan kepada golongan tersebut. Pelantikan
pegawai-pegawai tentera dilakukan berasaskan merit. Kesannya tentera Perancis muncul
sebagai tentera yang terkuat di Eropah ketika itu.
Dasar Agama

Dalam aspek agama raja bertindak untuk memaksa golongan bukan Katolik iaitu Huguenot
(Calvinis) untuk menerima agama Katolik. Edict of Nantes yang ditandatangani pada tahun
1598 yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk menganut agama pilihan mereka telah
dibatalkan oleh raja pada 1685. Tindakan Louis menyebabkan seramai 200 ribu penganut
bukan Katolik meninggalkan Perancis dan berhijrah ke England dan Amerika.

Dasar perluasan wilayah

Semasa pemerintahan Raja Louis, wilayah kekuasaan Perancis merangkumi Sungai Rhine
dengan Perancis menguasai wilayah-wilayah seperti Spanish Netherlands dan United
Province. Pada tahun 1787, Raja Louis XIV telah memutuskan untuk mengadakan
Perhimpunan Orang-Orang Kenamaan untuk mengatasi masalah kewangan Perancis
dengan mengenakan cukai ke atas golongan bangsawan, gereja dan hakim. Raja Louis XIV
telah mengadakan persidangan parlimen buat kali pertama pada 5 Mei 1789 dengan mengikut
cara lama yang memberi kelebihan kepada Estet (Parlimen) Pertama dan Kedua, manakala
Estet Ketiga diminta tunggu diluar dewan. Segala usul yang dibincangkan akan diundi yang
akan menyebelahi Estet Pertama dan Kedua. Estet Ketiga menuntut supaya ketiga-tiga Estet
disatukan dan pengiraan undi berdasarkan undi individu, tetapi tidak mendapat persetujuan
oleh Raja Louis XIV.

Pada 12 Jun 1789, Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Negara) telah diisytiharkan


oleh Estet Ketiga dan ini menandakan bermulanya Revolusi Perancis. Apabila pintu dewan
ditutup untuk anggota Perhimpunan Kebangsaan, mereka telah berkumpul di gelanggang
tenis dan mengangkat sumpah bahawa mereka tidak akan bersurai sehingga mereka
mengubal perlembagaan Perancis. Peristiwa ini dikenali sebagai “Sumpah Padang Tenis”.
Perhimpunan Kebangsaan (Estet Ketiga) menuntut konsep persamaan dan keadilan
dilaksanakan dan bukannya keistimewaan diberikan kepada rakyat berdasarkan hak atau
warisan turun temurun. Perjuangan mereka turut mendapat sokongan golongan miskin dan
sebahagian tentera yang dipimpin oleh Marshall de Broglie yang dihantar oleh Raja Louis XIV.
Pada 14 Julai 1789, bangunan Bastille telah jatuh ke tangan golongan Perhimpunan
Kebangsaan (pemberontak) yang memberi semangat kepada golongan revolusi di kawasan
bandar dan desa.
Peristiwa ini diperingati oleh rakyat Perancis sehingga kini dan tarikh ini disambut
setiap tahun sebagai Hari Kebangsaan Perancis. Perhimpunan Kebangsaan juga telah
berjaya menghapuskan sistem feudal, perhambaan, golongan istimewa, monopoli golongan
bangsawan dihapuskan, cukai yang sama untuk semua, menghapuskan buruh paksa,
menghapuskan cukai dan semua jenis hak istimewa gereja ditarik balik. Penghapusan
masyarakat feudal dan sistem feudal di Perancis dikenali sebagai “Hari Ogos”. Pada 26 Ogos
1789, parlimen telah meluluskan Perisytiharan Hak-Hak Manusia dan Warganegara.
Pengisytiharan ini telah mengiktiraf semua manusia dilahirkan dan kekal bebas serta
mempunyai hak yang sama. Ini rakyat bebas untuk bertukar-tukar fikiran selagi tidak
melanggar batas undang-undang. Menjelang tahun 1791, Majlis Perhimpunan Kebangsaan
telah menyiapkan satu perlembagaan ini kerajaan dibahagikan kepada 3 iaitu badan legislatif,
badan eksekutif dan badan judisiari.

Wujudnya perlembagaan ini maka bermulanya pemerintahan raja berperlembagaan


selama setahun kemudian sistem pemerintahan Perancis bertukar menjadi republik. Selepas
itu, negara Perancis mengalami huru hara dan berlaku perpecahan dalam kalangan
pendukung revolusi iaitu golongan jacobin dan girondin. Akhirnya Perancis telah diperintah
oleh diktator Maximilien Robespierre dari golongan jacobin dan zaman ini dikenali sebagai
Zaman Pemerintahan Ganas. Mereka telah mewujudkan Mahkamah Revolusi dan Undang-
Undang Syak. Sesiapa disyaki musuh mereka dan menyokong raja akan dihukum tembak
atau pancung. Raja Louis XIV dan isterinya Marie Antoinnette telah dihukum pancung dengan
alat gilotin. Robespierre sendiri dihukum pancung dengan menggunakan gilotin oleh
penyokong parlimen. Dengan ini berakhirlah zaman pemerintahan ganas di Perancis pada
tahun 1794. Perancis menjadi aman selepas pemerintahannya diambil alih oleh Napoleon
Bonaparte pada penghujung tahun 1799.
RUJUKAN

Mohamad Kamal bin Kamaruddin. (2012). Selatan Sepanyol Abad ke 8 sehingga 11 M:


Sumbangannya Terhadap Kebangkitan Reinaissance di Eropah. Jurnal Sejarah Kaji
Selidik. 100(1).
Qasim Ahmad. (2008). Sejarah Eropah Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

R. Suntharalingam. (2012). Pensejarahan Barat. Selangor: Penerbit Fajar Bakti.

Sachandralingam Sundra Raja. (2015). Sejarah Eropah. Kuala Lumpur: Utusan Publication &
Distributors.

Weech, W.N. (2010) Sejarah Dunia Jilid 6. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai