Anda di halaman 1dari 11

KAJIAN KES 2

1.0 SUBJEK

Nama : Jali (bukan nama sebenar)


Jantina : Lelaki
Asal : Teluk Medan, Bagan Serai, Perak.
Umur : 16 tahun
Bangsa : Melayu
Agama : Islam
Bilangan adik- beradik : 5 orang (anak sulung)
Pekerjaan bapa : Guru sekolah rendah
Tinggal bersama : Ayah, ibu dan 4 orang adik
Pencapaian akademik : Sederhana

2.0 KES

Nama Kes
Tabiat Merokok

Perihal Kes
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), tabiat ialah perangai, perbuatan yang
sering dilakukan dan juga merupakan tingkah laku. Oleh yang demikian tabiat merokok
ini adalah sesuatu yangsering dilakukandan menjadi tabiay di kalangan mereka. Rokok
adalah tergolong sebagai dadah. Tembakau dan candu atau dadah yang terdapat dalam
rokok telah dibuktikanmemudaratkan kesihatan. Hubungan langsung antara merokok
dengan penyakit serius seperti kanser paru-paru dan jantung, kanser, batuk yang serius
dan sebagainya menunjukkan betapa serius permasalahan merokok. Justeru, jika tiada
usaha dan langkah pencegahan diambil untuk membendungnya tabiat buruk ini akan
terus menjadi satu ancaman, pembaziran, merugikan keluarga, masyarakat dan negara.
Kajian Kes
Jali (bukan nama sebenar) adalah anak sulung daripada lima orang adik beradik.
Ayah Jali bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah rendah di Teluk Medan
manakala ibu Jali pula merupakan suri rumah sepenuh masa. Jali hidup di dalam sebuah
keluarga yang sederhana tetapi amat bahagia. Oleh kerana Jali merupakan anak sulung,
maka Jali bertanggungjawab menjaga adik-adiknya di rumah dan perlu menunjukkan
contoh yang baik kepada adik-adik.

Setiap kali tiba waktu solat maghrib, Jali akan pergi bersembahyang di surau yang
berdekatan dengan kampung. Jali akan bersembahyang sehinggalah waktu isyak. Setelah
habis sembahyang, Jali akan berkumpul dengan rakan-rakan kampung sambil menghisap
rokok. Di sinilah bermulanya penglibatan Jali dalam menghisap rokok iaitu sejak Jali
berusia 14 tahun. Jali mengakui bahawa dia menghisap rokok bukanlah atas desakan dan
ajakan kawan-kawan tetapi atas perasaan ini mencuba yang tinggi menyebabkan Jali
terperangkap dengan rokok. Jali juga bimbang jika dia tidakmenghisap rokok dia akan
ditolak di dalam kumpulan tersebut. Jali secara beransur-ansur menambah bilangan rokok
yang diambil akibat daripada ketagihan. Sehari Jali akan menghhisap rokok sebanyak 6-7
batang.

Jumlah bilangan rokok yang diambil menyebabkan Jali berasa sedikit tertekan
kerana kos yang tinggi. Jali mula menipu ibu meminta wang untuk memberli rokok.
Kononnya dia mahu membeli buku latihan tetapi Jali menggunakan wang tersebut untuk
membeli rokok. Jali juga mengaku kepada teman wanitanya bahawa dia bukanlah
seorang perokok. Lama kelamaan, timbul kesedaran di dalam diri Jali. Jali berasa sangat
bersalah kepada ibu dan teman wanitanya kerana terpaksa menipu. Mulai dari hari itu,
Jali berazam untuk berhenti merokok tetapi dalam masa yang sama Jali juga bimbang
dirinya akan disish daripada kumpulan rakannya yang majoritinya merokok.
3.0 ANALISIS KES SECARA TEORITIKAL

Teori Yang Dipilih


Teori Rational Emotive Behavior Therapy (REBT)

Rasional Teori Dipilih


Teori ini dipilih adalah kerana teori ini memberi penekanan kepada tiga aspek
utama iaitu kognitif, emosi dan tingkah laku. Teori ini juga memberi penekanan kepada
pemikiran, penganalisaan, penilaian, perlakuan dan membuat keputusan. Pendekatan ini
juga bercorak didaktif atau mengajar, mengarah dan mengutamakan kepada pemikiran
daripada kepercayaan yang tidak rasional itu. Terapi ini yakin tentang kewujudan sistem
kepercayaan yang tidak rasional di dalam diri setiap individu. Kepercayaan yang tidak
rasional itu perlu dicabar dan diperbetulkan supaya dapat mewujudkan sistem
kepercayaan yang baik dan rasional. Dalam konteks ini, ia merupakan satu sistem
pendidikan semula yang mengajar individu untuk melihat sistem kepercayaan yang
menjadikannya sengsara dan digantikannya dengan satu set kepercayaan yang membawa
kesejahteraan dan kebahagiaan pada diri seseorang individu dan seterusnya kepada orang
yang signifikan dengannya.

Terapi ini telah memberikan penekanan terhadap idea-idea dan kepercayaan yang
tidak rasional dalam diri individu yang bermasalah. Ianya dapat dikenalpasti sekiranya
individu itu mempunyai ciri-ciri utama seperti:
 Rasa malu yang teramat (Awfulizing)
 Terlalu menuntut (Demandingness)
 Merendah diri yang teramat (Self-devaluation)
 Daya toleransi yang rendah
 Lemah semangat
 Mengalah dan menyalahkan (Deservingness & damnation)
Ciri-ciri ini jelas ditunjukkan dalam diri Jali seperti mudah mengalah dan menyalahkan
apabila Jali bimbang tidak akan diterima di dalam kumpulan rakannya.
Corey (1996) telah menjelaskan bahawa terapi REBT berlandaskan kepada
andaian bahawa manusia dilahirkan dengan keupayaan untuk berfikiran secara rasional
dan tidak rasional. Manusia berupaya untuk memelihara dirinya, bergembira, berfikir,
menterjemahkan diri, sayang menyayangi, berkomunikasi dengan orang lain,
berkembang dan mengiktiraf diri sendiri. Manusia juga berkecenderungan untuk
merosakkan dirinya, tidak mahu berfikir, suka menangguhkan membuat sesuatu,
mengulangi kesilapan, mempercayai tahyul, tidak sabar, mementingkan kesempurnaan
semata-mata, selalu menyalahkan diri sendiri, cuba mengelakkan pengiktirafan dan
pertumbuhan potensi. Semua fenomena ini meyakinkan bahawa terapi ini dapat
membantu manusia untuk menerima kembali diri mereka sendiri setelah melakukan
kesilapan dan belajar untuk hidup lebih harmonis.

Bagaimana Kes Timbul Berdasarkan Teori


Seperti di dalam kajian kes di atas, Jali mempunyai kesedaran untuk berhenti
merokok, namun Jali bimbang akan ditolak di dalam kumpulan rakannya yang merokok.
Jali telah memasang pemikiran ini sebelum mencubanya. Oleh kerana wujud pemikiran
yang tidak rasional ini, Jali terperangkap di dalam situasi ini.

Dalam REBT, manusia bermasalah adalah bukan akibat daripada sesuatu perkara
atau peristiwa tetapi adalah disebabkan oleh pandangan atau pemikiran mereka sendiri
terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku. Bagi REBT juga, seseorang akan menghadapi
neurosis atau psikosis bukan disebabkan oleh sesuatu peristiwa tetapi kerana idea-idea
dan kepercayaan-kepercayaan yang tidak rasional, tidak realistik dan tidak logik.
Implikasi daripada pemikiran yang karut dan songsang ini akan menimbulkan gangguan
emosi dan tingkah laku yang bersifat self defeating.

Corey (1996) menjelaskan prinsip asas kepada gangguan emosi adalah sebahagian
besarnya akibat daripada hasil pemikiran tidak rasional dan pemikiran kalah diri. Hasil
daripada pemikiran ini menyebabkab seseorang individu itu suka menyatakan sesuatu
dengan perkataan ‘sepatutnya’, ‘seharusnya’ dan ‘semestinya’. Perkataan ini pernah
diulang oleh Jali apabila dia berkata “Kalau saya berhenti merokok saya pasti rakan-
rakan saya akan mengejek saya dan mungkin juga saya akan dipulaukan”. Perkataan ini
sering diulang sehingga menyebabkan Jali takut untuk mencuba.

Matlamat Terapi
Matlamat Teori REBT adalah bertujuan untuk menunjukkan kepada klien bahawa
verbalisasi mereka merupakan punca utama terjadinya gangguan-gangguan emosi dan
tingkah laku yang dialami oleh klien.

REBT berusaha ke arah satu perubahan falsafah hidup dan isealogi berpandukan
kepada andaian atau asumsi bahawa masalah emosi dan perlakuan manusia adalah
berpunca daripada falsafah hidup manusia itu sendiri. Oleh itu tujuan asas REBT ialah
bukan sahaja untuk menghapuskan gejala atau masalah klien tetapi ke arah
mendorongkan klien agar dapat menguji secara kritis nilai-nilai dalam dirinya. Sekiranya
masalah yang dihadapi klien seperti ketakutan atau kegagalan dalam sesuatu perkara
maka sasaran terapis bukan hanya untuk mengurangkan rasa ketakutan tetapi juga untuk
menangani perasaan kegagalan seterusnya. Dalam maksud yang lain tujuan utama proses
teraputik REBT ialah untuk membantu klien membebaskan dirinya daripada masalah-
masalah yang telah dinyatakan atau yang tidak diluahkan kepada terapis.

Proses teraputik REBT merupakan suntikan penyembuhan pemikiran yang tidak


rasional kepada pemikiran yang lebih rasional. REBT membuat andaian bahawa manusia
merupakan makhluk yang rasional dan gangguan emosi adalah disebabkan oleh
pemikiran yang tidak rasional yang wujud dalam hidup seseorang yang telah dipelajari
daripada ibu bapa, rakan-rakan dan masyarakat amnya. Seseorang individu itu boleh
memperolehi kebahagiaan sekiranya ia mempelajari cara berfikiran rasional dan
membuang pemikiran yang tidak rasional.

Teknik Yang Digunakan


 Main Peranan
Klien akan menunjukkan semula tingkah laku kebimbangan, kemarahan dan
kemurungan. Kaunselor akan menerangkan bagaimana ianya terjadi. Kemudian
peranan akan diambil alih oleh kaunselor pula (reverse role-play) sehingga klien
boleh menerangkan sendiri semula bagaimana pemikiran yang tidak rasional itu
boleh berlaku.

Jali merasakan dirinya tidak mampu berhenti daripada merokok kerana


bimbang akan ditolak oleh rakan-rakannya yang merokok. Permikiran yang tidak
rasional ini saya cuba terjemahkannya secara ringkas dan mudah kepada Jali.
Saya menerangkan kepada Jali dengan melukiskan diagram yang menjelaskan
interaksi pelbagai komponen dengan menggunakan konsep ABCDE.

A(peristiwa) B(kepercayaan) C(akibat)


- Rakan-rakan - saya akan disisihkan - saya rasa tersisih
jika berhenti - saya rasa sedih
merokok

D(mencabar halangan) E(kesan)


- awak pastikah awak akan - saya mula sedar
disisihkan? - saya rasa bersemangat
- siapa kata begitu?
- pernah sesiapa kata awak akan disisihkan F(perasaan baru)
jika berhenti merokok?

Setelah melukis diagram ini bersama dengan Jali dan akan menunjukkan
bagaimana pemikiran rasional itu wujud. Dari pemerhatian Jali, dia akan
menjawab setiap persoalan yang saya ajukan. Dari situ, Jali sendiri telah dapat
menerangkan semula perjalanan pemikiran yang tidak rasional itu berubah kepada
pemikiran yang lebih rasional.
 Imageri Rasional-Emotif
Klien akan membuat imaginasi kepada sesuatu oerkara yang sangat buruk yang
boleh berlaku ke atas dirinya seperti membayangkan perasaan kemurungan, ngeri,
ketakutan dan kemarahan. Selepas itu klien akan berusaha untuk merasai
kekecewaan, kesedihan dan kehampaan secara tepat.

Seperti di dalam kes ini, saya cuba membawa membawa Jali memikirkan
kesan merokok dalam jangka panjang. Jika Jali terus merokok sehingga berusia
50 tahun, apakah dia akan mampu hidup selama ini? Mengapa Jali perlu mensia-
siakan usia yang ada dan memudaratkan masa tua Jali dengan merokok? Adakah
Jali mahu meninggalkan orang yang tersayang dengan cepat?

4.0 TINDAKAN KAUNSELOR

Saya telah meneroka Jali sebaik mungkin bagi mengenalpasti masalah sebenar
Jali sehingga dia berasa sukar untuk berhenti merokok. Masalah Jali ini adalah berpunca
daripada perasaan bimbang akan penerimaan kawan terhadap dirinya, ketagihan dan juga
faktor persekitaran di mana keluarga di kampung juga secara majoritinya merokok di
hadapannya.

Sewaktu penerokaan saya telah mengaplikasikan pelbagai kemahiran dalam


menggunakan teknik kerusi kosong seperti kemahiran soalan terbuka dan soalan tertutup,
dorongan minima, parafrasa, refleksi, merumus, konfrantasi, mentafsir mendengar,
memimpin dan memfokus. Kesemua kemahiran ini saya aplikasikan sebaik yang
mungkin bagi memahami diri dan situasinya, mengenalpasti keperluannya termasuk
harapan, cita-cita serta matlamat hidupnya, membuat rancangan untuk tindakan dan
menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya.

Saya juga memfokuskan kepada pergerakan badannya atau non verbal klien.
komunikasi non verbal merupakan sistem komunikasi secara menyeluruh yang
bergantung kepad alisan dan tanpa lisan. Komunikasi non verbal dapat memberi lebih
banyak maklumat berbanding dengan komunikasi verbal di mana pergerakan badan
adalah lebih tulen maklumatnya. Saya memfokuskan kepada pergerakan badan, aktiviti
tangan, kaki dan juga kedudukan badan. Saya akan bertanya kepada dia jika dia tidak
nampak selesa dan apabila luahannya tidak selaras dengan pergerakan yang
dilakukannya. Melalui pemerhatian ini saya akan dapat menilai sejauh mana luahan itu
telus dari Jali sendiri.

5.0 IMPLIKASI

Selepas sebulan lebih Jali melalui beberapa sesi dan dibimbing dengan pelbagai
maklumat mengenai cara berhenti merokok, Jali akhirnya berjaya berhenti daripada
merokok. Dia mula sedar bahawa apa yang difikirkan selama ini adalah tidak benar.
Walaupun Jali tidak merokok, namun dia masih diterima di dalam kumpulan rakannya.
Jali juga sangat gembira kerana dia tidak lagi perlu menipu ibu dan teman wanitanya
kerana mahu menyembunyikan tabiat merokoknya. Jali juga berasa kesihatannya semakin
bagus walaupun pada peringkat permulaan, Jali sentiasa berasa lemah dan pening.
Namun semuanya itu ditahan untuk mendapatkan kesan yang baik.

Jali juga berasa bangga dengan dirinya kerana berjaya berhenti daripada merokok
kerana bagi dirinya ini adalah merupakan perubahan yang paling besar pernah
dilakukannya sepanjang hayatnya. Bagi Jali tiada apa yang mustahil jika dia sentiasa
berfikiran secara positif dan dengan cara pemikiran ini Jali yakin mampu melakukan
sesuatu dengan baik dan berkesan.
6.0 REFLEKSI

Kekuatan
Terapi REBT lebih berkesan dan dapat diselesaikan dalam jangka waktu yang
tidak lama. Dengan menggunakan teori REBT, saya akan mencabar dan mematahkan
sistem kepercayaan tidak rasional yang wujud di dalam diri klien. saya juga tidak perlu
berjumpa dan berbincang dengan klien dalam jangka waktu yang lama atau menunggu
klien sehingga celik akal mengenai masalahnya. Saya hanya perlu mengetahui apa cara
untuk membantu klien dan tidak perlu untuk membuang masa yang lama sehingga klien
menderita dan merana. Sewajarnya klien yang datang dapat menikmati hidup yang
bahagia lebih awal. Dengan menggunakan teori REBT saya merasakan ianya lebih
mudah, cepat dan lebih praktikal dalam membantu klien.

Hubungan emosi dan pemikiran yang berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan.
Segala pemikiran dan kepercayaan yang tidak rasional itu berpunca daripada proses dan
pengaruh budaya dan pembelajaran. Manusia juga sangat suka mengamalkan pemikiran
yang tidak rasional dengan menyebut-nyebut dan bertindak secara tidak rasional. Adalah
menjadi tanggunggjawab saya mengubah segala pemikiran dan perasaan ini melalui
menyusun semula persepsi dan pemikiran dengan menggunakan teknik-teknik tertentu
agar klien tidak mempunyai fikiran tidak rasional.

Kelemahan
Pendekatan ini sangat didaktik iaitu bertujuan untuk mengajar dan memberi
contoh teladan yang baik. Pengamalan teori ini juga sukar untuk dipraktikkan kepada
individu yang sukar meninggalkan kelakuan atau tabiat mereka kerana sudah biasa
dengan hidupnya. Penggunaan teori ini juga lebih sesuai digunakan kepada orang yang
betul-betul mahir. Ianya kurang sesuai untuk diterapkan kepada klien yang terlalu tidak
fleksibel dan juga kurang berkesan kepada orang yang mindanya rendah atau tidak
geliga.
REBT lebih menekankan kepada pemikiran (kognitif) dan tidak kepada perasaan
dan emosi. Memandangkan teori ini banyak menggunakan konfrantasi dan arahan, klien
akan menjadi pasif, hanya mendengar dan menunggu arahan daripada kaunselor sahaja.
Sekiranya seorang kaunselor kurang inisiatif dan tidak kreatif dalam usaha untuk
menyedarkan klien terutamanya dengan menggunakan hujah dan cabaran, ia
berkemungkinan menyinggung perasaan klien dan akan mengganggu proses penerokaan.
Bukan mudah untuk menentukan seseorang klien itu benar-benar belajar menyesuaikan
diri dan tingkah laku serta perasaan melalui kata dan bisikan dalaman dirinya sendiri
melalui teori ini. Kadang kala sukar bagi klien untuk menentukan apakah dia mengalami
keraguan, ketakutan dan cemas. Keadaan ini boleh menyebabkan klien susah untuk
menjadi rasional.

7.0 CADANGAN

Saya mencadangkan supaya ilmu kaunseling ini diterapkan kepada semua pelajar
dan guru-guru di sekolah agar mereka semua dapat memahami diri sendiri dan manusia
di sekelilingnya dengan lebih baik. Selain itu agar warga sekolah dapat memperbaiki
kelemahan dan mengasah lagi kekuatan diri yang ada. Melalui ilmu kaunseling juga
mereka akan dapat ilmu bagaimana untuk mengatasi masalah mereka sendiri dengan
lebih baik dan tidak memudaratkan individu yang signifikan. Ini amat penting sebagai
asas dalam menjalani kehidupan seharian.

Unit Bimbingan dan Kaunseling pula berperanan mengukuhkan lagi ilmu yang
ada dengan mengadakan seminar, lawatan, bengkel, Latihan Dalam Kumpulan (LDK),
sesi kelompok, sesi individu, kem, program dan ceramah kepada semua warga sekolah.
Dengan itu semua akan mendapat manfaat dan dapat berkongsi ilmu kaunseling secara
bersama-sama dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian dengan lebih baik.

Cadangan ini diutarakan kerana melalui pengalaman saya menjalani praktikum


dan Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) sebanyak dua kali, majoriti warga sekolah tidak
tahu akan kepentingan ilmu kaunseling dan juga timbul salah faham antara guru-guru
dengan guru pembimbing sekolah. Guru-guru menganggap guru pembimbing sekolah
umpama malaikat yang ‘sepatutnya’ dapat menyelesaikan masalah pelajar-pelajar di
sekolah. Untuk melahirkan sekolah yang cemerlang bukanlah bergantung semata-mata
kepada guru pembimbing tetapi adalah di atas peranan semua pihak. Jika semua warga
sekolah menjalankan tanggungjawan mereka dengan cekal dan amanah, pastinya sekolah
cemerlang akan dapat dilahirkan dengan banyak. Dengan itu, untuk menjayakan dan
memantapkan sesebuah sekolah, bukanlah perlu diusahakan oleh guru pembimbing
sekolah sahaja tetapi atas kesedaran semua pihak.

8.0 PENUTUP

Sebagai penutup, saya merasakan kes seperti ini boleh di atasi dengan baik melalui
tindakan bijak kaunselor. Kaunselor yang memainkan peranannya dengan baik dan
mengaplikasikan segala kemahirannya dengan baik akan dapat menjalankan sebuah sesi
kaunseling yang baik dan berjaya.

Tandatangan,

.............................................................
(NUR LIYANA BINTI MOHAMED JOHAN)
(D20021010330)

Anda mungkin juga menyukai