Anda di halaman 1dari 25

BAB 1

BAB 1 : HARI PERTAMA

Aku duduk menatap papan kenyataan yang dipenuhi memo dan surat pekeliling itu

dengan perasaan cuak. Bilik Penolong Kanan Hal Ehwal Murid bersaiz 10X10 itu terasa begitu

sempit. Klaustrofobia. Nasib baiklah pintu dibiarkan terbuka. Kalau tidak, pastilah aku sudah

diserang keresahan yang selalu berjaya membuat emosiku bercelaru tidak menentu.

Hari ini merupakan hari pertama persekolahanku di tingkatan 5 di salah sebuah sekolah di

daerah Papar. Aku terlambat 3 hari masuk sekolah kerana masalah dokumentasi dari sekolahku

sebelum ini. Kami sekeluarga pindah ke sini semenjak cuti semester tahun lepas. Ia juga

mencatat rekod sebagai sekolahku yang ke-7 sepanjang usiaku bergelar pelajar. Hanya ada dua

alasan untuk itu. Pertama, kerana ayahku adalah penguatkuasa undang-undang yang selalu

dipindahkan tempat kerja; dan kedua kerana masalah disiplinku sendiri. Namun kali ini kami

tidaklah benar-benar pindah, tapi pulang. Setelah berbelas tahun menabur khidmat di daerah dan

negeri asing, permohonan abah untuk bertugas di tempat sendiri akhirnya diluluskan.

Memandangkan perkhidmatan abah sudah sampai ke penghujung, maka kami akan terus menetap

di sini. Lagipula, sebagai satu-satunya anak lelaki, nenek telah mewariskan rumah dan tanah

yang ditinggalinya untuk kami.

Kesal, aku melirik ke arah abah yang sedang mengurus dokumen perpindahanku sambil

bercerita santai bersama guru Penolong Kanan HEM yang memperkenalkan dirinya sebagai Puan

Tan. Orangnya kecil molek dan fasih bertutur dalam Bahasa Melayu meskipun pelat cinanya

masih ketara. Proses itu sepertinya berlangsung terlalu lama, setidaknya untuk orang yang cepat

bosan seperti aku. Namun tampaknya abah seakan menikmati keadaan itu. Lebih-lebih lagi

ketika dia menjelaskan perihal catatan yang ditulis dalam fail peribadiku. Suaranya demikian

bersemangat seolah-olah aku tidak ada di sana untuk memprotes sindirannya. Sesekali Puan Tan

Luna Zura
1
BAB 1

menoleh ke arahku, menatapku dengan mata menghakimi lalu melemparkan senyuman terpaksa

yang membuatku menyumpah dalam hati. Manusia memang mudah menghukum dan membuat

penilaian. Seharusnya aku sudah terbiasa menghadapi semua ini. Malangnya, meski sudah

ratusan kali, sakit itu sama seperti kali pertama aku menerimanya.

“Jadi bagaimana, Dian? Sudah bersedia di sekolah baharu?” tanya Puan Tan membentur

telingaku. Enggan, aku kembali membalas tatapannya yang kini sudah berubah menjadi hangat

dan bersahabat.

Bersedia? Aku tidak pernah bersedia untuk melakukan ap-apa.

Laju aku mengangguk.

“Jangan buat hal di sekolah, faham? Tahun ni tahun penting. Kalau apa-apa jadi, abah tak

tahu di mana mau sekolahkan kau lagi. Syukurlah pengetua di sini izinkan kau masuk. Hargai

peluang yang ada, faham?” kata abah tegas sambil merenungku tajam.

“Ya,” jawabku sepatah sambil memejamkan mataku. Aku bahkan hampir menutup

telingaku kalau saja aku tidak segera mengawal diri.

“Tengoklah gayanya ni, cikgu. Memang kuat melawan dia ni, cikgu,” adu abah dengan

suara kesal. Kalau di rumah, pastilah tangannya sudah hinggap ke bahuku.

Puan Tan ketawa renyah. “Tak apa. Mungkin dia malu. Dian jangan risau ya. Kawan-

kawan di sini semua baik-baik belaka. Kalau ada masalah, segera beritahu saya. Jangan bertindak

sendiri. Ayah kamu betul. Ini tahun penting. SPM tu penentu masa depan, kamu tahu,kan?”

“Ya.” Sekali lagi aku menjawab sepatah, sekadar menyedapkan keadaan. Hatiku tertanya-

tanya, apakah orang yang gagal SPM tidak punya masa depan? Tapi tentu saja, soalan itu lebih

baik ditelan saja daripada diutarakan.

Luna Zura
1
BAB 1

Mereka sepertinya puas dengan jawapanku, lalu kembali menyelesaikan proses akhir

pendaftaran. Aku ditempatkan di kelas 5 Sastera yang dikenali sebagai kelas paling hujung.

Hanya itu saja yang masih kosong dan layak dengan keputusan peperiksaanku yang cukup

makan. Puan Tan menyuruhku mencari kelas itu sendiri dengan memberi arahan yang jelas

sehingga orang buta pun dapat mencarinya. Abah pun meminta diri, dan mengajakku untuk

keluar bersamanya.

“Ingat, Di. Jangan cari pasal di sini. Kawal panas baran kau tu. Kalau kau dibuang

sekolah lagi, tak payahlah sekolah langsung. Kau kahwin sajalah sama si Marjan.” Abah

memberi amaran setelah kami keluar dari bangunan pentadbiran. Aku membalas kata-kata abah

dengan mata melotot. Marjan adalah budak 3 suku di kampung kami. Umurnya sudah empat

puluh tapi perkembangan otaknya terhenti pada usia 9 tahun. Dia masih bujang dan berasal dari

keluarga berada. Ayahnya merupakan salah satu orang penting dalam pembukaan kampung dan

sering memperkenalkan dirinya sebagai waris Sultan Brunei yang hilang.

Dasar munafik! Padahal dia sendiri selalu gagal mentadbir panas barannya, umpatku

dalam hati.

Tanpa menjawab, aku pun menyalam tangan abah dan berharap agar dia segera pergi dari

situ. Abah mempunyai tenaga yang luar biasa dalam menasihatiku. Juga memukuliku. Kalau

dibiar, mungkin kami akan berdiri di situ sampai pulang sekolah.

Abah pun berlalu. Aku menghantar pemergiannya dengan tatapan jengkel. Di sudut lain,

aku memahami kerisauannya. Aku juga berharap agar ini menjadi sekolahku yang terakhir. Aku

sudah kapok hidup berpindah-randah seperti seorang nomad yang mencari padang ragut yang

lebih subur untuk haiwan ternakan mereka. Dalam konsep ini, haiwan ternakan itu adalah

emosiku yang sentiasa labil dan cenderung mendorongku bertindak ekstrem dan impulsif. Kukira

Luna Zura
1
BAB 1

aku menghadapi kecelaruan personaliti yang agak kronik. Aku memiliki tingkat perubahan mood

yang boleh berubah-ubah secara drastik. Hidup berdampingan dengan emosi yang tidak stabil

bukanlah hal yang mudah. Perlu tekad yang kuat untuk dapat menjalani semuanya. Tapi aku

tidak kuat. Namun aku sudah bertekad untuk mengawal diri. Aku mahu menjadi peribadi yang

lebih baik dan terlepas dari semua gangguan yang aku miliki. Aku mahu menjadi pelajar paling

rajin di alam semesta dan lulus peperiksaan SPM dengan cemerlang lalu pindah ke planet lain.

Bumi ini dipenuhi orang-orang normal yang tidak menerima orang sepertiku.

Begitu bayang abah lenyap di balik bangunan, hatiku disergap kesunyian. Aku merasa

ditinggalkan sendiri dan terasing dalam dunia yang tidak kukenali ini. Aku menebarkan

pandanganku pada persekitaran sekolah yang sepi. Loceng yang menandakan bermulanya masa

persekolahan sudah dibunyikan sejak aku berada di pejabat lagi. Beberapa orang pelajar melintas

di hadapanku dan melempariku senyum ramah yang hanya kubalas dalam hati. Mujurlah mereka

terus berlalu pergi dan tidak menunjukkan niat untuk memulakan perbualan denganku.

Aku melirik jam di pergelangan tangan kiriku. Sudah dua puluh lima minit selepas jam 7.

Ini bermakna sudah ada guru di dalam kelas yang ingin kutuju. Bayangan tentang hal-hal negatif

mulai memenuhi ruang fikiranku. Betapa tidak enaknya nanti aku mengetuk pintu di tengah sesi

pembelajaran lalu dipaksa memperkenalkan diri di hadapan kelas. Seluruh mata akan tertumpu

ke arahku dan mengawasiku dengan penilaian-penilaian yang akan mengangguku sampai ke

malam. Rasanya lebih baik aku ditanam hidup-hidup daripada harus berhadapan dengan semua

itu.

“Eh, Dian? Kenapa masih di sini?” sapa satu suara dari arah belakang dengan pelat cina

yang ketara. Tanpa menoleh pun aku tahu itu suara Puan Tan. Sebelum sempatku menjawab, dia

sudah berada di sisiku.

Luna Zura
1
BAB 1

“Kenapa belum masuk kelas lagi? Kamu malu?” tanyanya.

Aku menggeleng laju. Malu bukanlah perkataan yang tepat. Enggan barangkali lebih

sesuai.

“Kamu mahu saya hantarkan? Atau...eh...tu nah ada pengawas sekolah. Hey, Haziq! Sini

kamu,” laju mulut Puan Tan memanggil seorang pengawas lelaki yang kebetulan lewat tidak jauh

di hadapan kami.

Ah, sudah! Ketusku dalam hati. Ini jauh lebih memalukan daripada apa yang aku fikirkan.

Segera aku menundukkan kepalaku, berpura-pura menekuri kasut sambil tanganku menggenggan

tali beg sekolah yang kusandang. Dari ekor mata, aku melihat pengawas itu berjalan menuju ke

arah kami.

“Ada apa, cikgu?” tanyanya. Suaranya terkesan maskulin membuatku ingin menoleh.

“Tolong cikgu hantarkan murid baru ni ke kelas 5 Sastera, boleh?”

“Boleh,” jawabnya laju tanpa ragu-ragu.

“OK, Dian? Cikgu ada kelas. Kamu ikut Haziq ya? Dan jangan lupa ambil buku teksmu

waktu rehat nanti di bilik buku teks. Tanya Haziq kalau tak tahu di mana,” kata Puan Tan dan

berlalu tanpa menunggu respon balasku.

Begitu ditinggalkan berdua, rasa canggung dan kaku pun berdiri di antara kami. Meski

tidak memandangnya, aku yakin lelaki itu – sang pengawas, pasti sedang menatapku. Apa yang

seharusnya kulakukan sekarang ini? Mendongak kepala dan berkata, Hello, salam perkenalan.

Namaku Dian. Boleh hantarkan aku ke kelas 5 Sastera sebelum kusesat ke hatimu? Ah, itu

terlalu sinis. Betapa aku berharap agar aku bertingkah layaknya seperti orang normal.

Malangnya, aku tidak normal.

Luna Zura
1
BAB 1

“Jadi? Kau mahu tetap berdiri di situ atau ikut aku? Atau kau mahu aku bawa kelas itu ke

sini?” tanyanya tiba-tiba memecah hening. Sarkastik sekali bunyinya untuk sebuah perkenalan

pertama. Aku menyumpah dalam hati. Pertanyaan itu mencalar egoku; menerbitkan perasaan

marah dan kesal yang saling bersahut. Segera kudongakkan kepalaku, siap untuk membalas

serangannya.

Lalu seketika aku terkesima.

Lelaki itu - sang pengawas. Dia berdiri tepat di hadapanku dengan baju seragam

pengawas biru putih dan tali leher berwarna merah tua. Ruas cahaya matahari menimpa

wajahnya menyinarkan sepasang mata jernihnya yang berwarna coklat hazel. Kelopak matanya

begitu indah dan redup, mata paling cantik yang pernah kulihat di dunia. Hidungnya, bibirnya,

dagunya, alisnya, adalah sebuah kombinasi yang sempurna. Rambutnya yang lurus lembut

dibiarkan jatuh ke dahi, meliuk indah diitup angin. Tubuhnya tinggi, sedikit kekar dan terkesan

atletis, melengkapkan ketampanannya.

Tiba-tiba aku merasa begitu kerdil di sisinya; dengan saiz tubuhku yang kurus

melengking dan ketinggianku yang cukup-cukup 5 kaki, juga dengan parut jerawat batu yang

kadang membuatku merasa seperti hantu kum-kum yang dimakan sumpah. Sedang dia, kulit

wajahnya begitu mulus. Pakai skin care apa dia? Atau cuma pakai air wuduk dan selawat tiap

pagi depan cermin? Wajahnya itu – sungguh tidak pernah kuduga dapat kulihat di alam nyata

kecuali di halaman majalah fesyen, atau di kotak seluar dalam lelaki yang dipamer di rak jualan

di supermarket, atau dilukis oleh seorang pelukis sebagai wajah malaikat dalam komik-komik

lagenda Dewata Raya. Atau setidaknya seperti keturunan Elf yang digambarkan oleh J.R.R

Tolkien dalam novel The Lord of The Ring.

“Hello?”

Luna Zura
1
BAB 1

Hello, Dian? Wake-up! Hatiku berteriak. Malangnya jasadku sedang berkhianat pada

tuannya. Aku terus berdiri menatapnya seakan takut kalau dia hilang begitu mataku berkelip.

Melihatku terus mematung, dia pun mulai salah tingkah. Barangkali dia mengira aku tuli atau

terkena sawan tegun– itupun kalau isitilah itu wujud – seperti saat kau melihat hantu pocong

menghalang jalanmu ketika pulang mengaji. Ya, tertegun seperti itulah.

“Matamu cantik,” kataku tanpa sedar lalu menyesali kecerobohanku.

“Huh?” tanyanya hairan.

“Kelasku, di mana?” tanyaku gugup.

“Kau mahu pergi sendiri atau mahu aku tunjukkan?”

“Kau rasa?”

“Rasa apa?”

Ya, Tuhan, betapa tidak nyamannya keadaan ini. Aku mulai menggaru telapak tanganku,

berusaha mengusir apa saja perasaan yang kualami saat ini dan bertingkah normal. Lelaki itu

menatapku bingung. Aku segera memalingkan wajahku, menghindar renungannya yang

menyihir.

“Ikut aku,” katanya dengan nada jengkel.

“Jangan mengarah,” bentakku kasar.

“Jadi kau mahu pergi sendiri? Cepatlah. Aku ada kelas,” balasnya lalu membalikkan

tubuhnya ke arah bertentangan,. Aku mendengus, siap untuk mengajukan protes yang tidak

bermakna. Namun begitu melihat dia mulai menjauh, aku buru-buru mempercepatkan langkahku

dan berjalan di belakangnya seperti anjing membuntuti tuannya. Aku memerhatikan gerak

langkahnya yang melaju dan menyedari kalau dia sedang kesal padaku. Dia bahkan tidak

menoleh sama sekali.

Luna Zura
1
BAB 1

Tak lama, dia pun berhenti di hadapan pintu kelas yang di atasnya terlekat papan tanda

kecil bertulis 5 Sastera. Aku hampir melanggar belakangnya kalau saja aku tidak buru-buru

menghentikan langkahku. Tanpa memperdulikan aku yang spontan memakinya, dia mengetuk

pintu kelas yang terbuka dan menjelaskan tentangku pada guru yang sedang bertugas waktu itu.

Guru itu, dengan tanda nama Nazri di dadanya, mengangguk-angguk dan bertanyakan soalan

yang tiada kaitan denganku. Karakternya persis watak Cikgu Jaafar dalam drama Cili Padi. Aku

membayangkan dia menyanyi lagu drama itu bersama Melisa Saila dan Tam Suhaimi. Tawaku

hampir terlepas kalau saja aku tidak segera menggigit bibirku.

“Masuklah,” bisik sang pengawas mengejutkanku.

Aku mendongak dan mendapati kalau kami sudah berdiri berhadapan dalam jarak yang

demikian hampir. Aku malah dapat menghidu aroma tubuhnya. Jantungku berdetak keras begitu

mata kami beradu. Sekali lagi aku terkesima memandangnya. Serentak itu, lagu Another You

daripada kumpulan Cromox bermain di dalam kepalaku. Ruang itupun berubah menjadi semesta

yang indah dan meninggalkan kami berdua di dalamnya. Ya Tuhan, mata itu! Sungguh, aku

benar-benar sudah terlanjur jatuh cinta pada pesona di wajahnya.

“Hah! Kalau dah habis berenung-renung, bolelah masuk kelas ye, cik kak. Yang kamu

Haziq kalau nak pindah ke sini boleh juga cikgu aturkan,” sindir Cikgu Nazri keras diikuti derai

tawa seisi kelas. Aku menyaksikan cakerawalaku hancur berkecai dan mengembalikan aku

semula ke alam nyata. Kami berdua tersipu malu lalu sama-sama memalingkan wajah. Aku

segera masuk ke kelas dan Cikgu Nazri menyuruhku duduk di sebuah bangku kosong dua baris

dari belakang. Tidak ada formaliti basa-basi tentang perkenalan diri dan itu membuatku sangat

lega.

Luna Zura
1
BAB 1

Meja-meja di kelas ini disusun 3 baris dengan ruang berjalan yang sempit. Seluruh kelas

padat dengan jumlah pelajar yang kuanggar hampir empat puluh orang. Aku berjalan ke arah

yang ditunjuk Cikgu Nazri, dengan kepala menunduk, berusaha mengabaikan mata-mata yang

sedang menatapku. Ketika sudah sampai di tempat yang kutuju, aku segera mengisi ruang kosong

di sebelah kiri. Aku menyapa dua teman sebangkuku dengan ekspresi ramah meski kurasa

wajahku merah padam menahan malu.

“Hai, namaku Jane,” bisik gadis yang duduk di bahagian tengah padaku tanpa menoleh.

Matanya melekat di papan hitam, pura-pura berkosentrasi pada pelajaran. Kulitnya perang dan

matanya sejenis upturned, mirip mata kucing yang seksi. Wajahnya terkesan angkuh dan

intelektual.

“Aku Azwa. Panggil Wawa saja. Kau?” Sahut gadis di sebelah Jane. Dia merendahkan

kepalanya, bersembunyi di balik bahu Jane. Orangnya manis dengan bebola mata yang hitam

pekat. Rambutnya berpotongan bob dan tubuhnya gempal. Riak wajahnya seperti orang yang

suka bergosip.

“Hai Jane, hai Wawa. Aku Dian,” jawabku gugup.

“Aku Ikhwan.” Satu suara berbisik menyahut dari belakang. Serentak itu bangkuku

digegar. Jengkel, aku menoleh ke belakang dan melotot marah. Lelaki itu menahan ketawanya

melihat ekspresi wajahku. Orangnya terbilang tampan. Jenis badboy yang menjadi idaman gadis-

gadis dalam filem Ali Setan atau dalam novel Lagenda Budak Setan.

“Hai Wan,” balasku sinis lalu berpaling semula ke depan. Kudengar tawa terpendam Jane

dan Azwa di sebelahku.

“Apa katamu? Haiwan?” Dia membalas. Nadanya tersinggung.

Luna Zura
1
BAB 1

“Cikgu nampak tu Ikhwan,” kata Cikgu Nazri sambil melontarkan pandangan tajam ke

arah Ikhwan dan mengacukan dua jarinya dengan gaya dramatis.“Mau jual minyakkah tu?”

“Kalau laku, apa salahnya. Cuba-cuba nasib saja cikgu,” balas Ikhwan santai lalu

disambut gelak tawa seisi kelas.

Aku mengeraskan kepalaku, berusaha untuk tidak menoleh dan memakinya. Cikgu Nazri

mententeramkan kelas yang sudah terlanjur ribut. Ketika tidak ada yang memperdulikannya, dia

memukul meja dua kali dengan pembaris panjangnya. Dia pun mulai berleter lalu meninggalkan

kami dalam kemarahan 10 minit sebelum kelas selesai. Begitu bayangnya hilang, aku segera

menjadi pusat perhatian rakan sekelas. Pelajar-pelajar di bahagian hadapan yang majoritinya

adalah perempuan menoleh ke belakang dan menatapku sekilas dengan rasa ingin tahu.

“Kau dulu sekolah di mana?” tanya seorang pelajar perempuan yang duduk di hadapanku.

Dia memperkenalkan namanya Zuriani. Tubuhnya lebih kurus daripada aku dan dia memakai

tudung yang dilipat meruncing membuat bentuk wajahnya tak ubah seperti pocong. Melihatnya,

aku segera mengemaskan hujung tudungku.

“Labuan,” sahutku sepatah.

“Kenapa kau pindah Papar?” Jane menyampuk.

“Err...bapa aku pindah kerja.”

“Oh, selamat datang ke Papar, land below the wind,” sahut Azwa ketawa.

“Terima kasih. Tapi aku memang orang sini,” balasku tersenyum tawar.

“Kau tinggal di mana?” Ikhwan menggegar bangku lagi dari belakang.

“Kampung Takis,” desisku menahan jengkel. “Dan jangan gegar bangkuku!”

“Oh, dekat saja. Aku di Kampung Pengalat Besar,” balas Ikhwan santai.

Aku menoleh kesal. “Tiada yang tanya.”

Luna Zura
1
BAB 1

“Manalah tahu kau mahu ke rumahku.”

“Buat apa aku mahu ke rumahmu?”

“Manalah tahu kau mahu berkenalan dengan bakal mertua.”

“Huh? Sembarang saja kau! Perasan,” gerutuku geram. Ikhwan ketawa senang melihat

kemarahanku.

“Kau ada bawa coklat? Atau sigup? Di sana murahkan?” tanya seorang pelajar lelaki di

sebelah Ikhwam. Wajahnya dipenuhi jerawat nasi yang cuba ditutupnya dengan bedak badan

hingga kulitnya yang gelap terkesan kelabu. Rambutnya hitam licin berminyak dan di sisir ke

belakang. Aku meragui kalau dia benar-benar tujuh belas tahun.

“Maaf, tiada,” jawabku sopan. Tiba-tiba hatiku hiba melihatnya. Raut wajahnya demikian

menderita, seperti seorang duda ditinggalkan isteri dengan anak 3 dan hutang yang menumpuk.

“Diamlah kau Jumran! Sigup pula kau tanya. Jangan layan dia, Dian. Pengorat tu. Pergi

kau balik tempat duduk kau di belakang sana,” marah Azwa a sambil menjulurkan lidahnya pada

Jumran. Aku menoleh semula ke depan dan kudengar Jumran memaki Azwa sebelum pindah

semula ke tempat duduknya.

“Hey, Dian! Kau tahukah siapa yang hantar kau tadi?” tanya Azwa separuh berbisik.

“Bapa aku?” tanyaku hairan.

“Bukan. Yang pengawas tadi tu,” jawabnya genit.

“Oh, itu.Tidak.” Serta-merta ingatanku kembali pada Haziq dan pesonanya.

“Dia pelajar paling popular di sini. Budak 5 Sains. Paling tampan, paling pintar dan tentu

saja, paling sombong,” sahut Jane, juga berbisik seakan topik itu adalah rahsia besar. Aku diam

mematung, enggan mengulas lanjut topik yang membuatku merasa tidak nyaman itu. Aku berani

Luna Zura
1
BAB 1

bersumpah beberapa orang di belakang kami, termasuk Ikhwan, menyondongkan badan untuk

mencuri dengar perbualan kami. Aku mulai paranoid.

“Namanya Haziq. Dan aku percaya dia tidak lebih tampan daripada aku,” sampuk Ikhwan

membuktikan telahanku benar.

“Dan tentu saja tidak lebih bodoh dari kau. Kau bolehkah diam? Jangan menyampuk.

Bagus lagi kau tolong picit jerawat si Jumran,” marah Azwa. Jumran, yang mendengar namanya

disebut, menoleh ke arah kami.

“Apa?” tanyanya dengan wajah ingin tahu.

“Sini kau Jumran. Si Wawa mau tolong picit jerawat kau,” balas Ikhwan mengejek. Aku

menggigit bibir menahan tawa.

Marah Azwa meledak. Dia mengambil buku latihannya dan menampar-nampar tangan

Ikhwan. Kali ini aku benar-benar tidak dapat menahan tawaku lagi. Begitu melihatku terhibur

dengan lawaknya, Ikhwan semakin galak mempermainkan Azwa. Mereka pun bertengkar dan

hanya berhenti ketika guru seterusnya, yang memperkenalkan dirinya sebagai Cikgu Bahar

masuk untuk subjek Sejarah.

Cikgu Bahar mengarahkan kami menyalin nota daripada buku teks sementara dia

menyiapkan rekod rancangan pengajarannya. Oleh kerana aku belum mengambil buku teks, Jane

mengongsikan bukunya denganku. Aku hanya menyalin separuh, lalu berhenti kerana bosan.

Aku sebenarnya sangat menyukai mata pelajaran Sejarah. Malangnya, kebanyakan guru yang

mengajarnya menggunakan pendekatan yang sama saja seolah-olah tidak ada kaedah yang lebih

baik daripada itu. Mana mungkin seseorang dapat menyintai negaranya hanya dengan menyalin

nota tanpa penerangan yang lebih jelas? Sejarah itu sendiri adalah suatu proses yang hidup. Ia

adalah hasil interaksi sesuatu peristiwa yang berkembang dalam memanusiakan manusia.

Luna Zura
1
BAB 1

Memahami sejarah bermakna memahami diri, seterusnya mewujudkan kemajuan. Ia takkan

berguna kalau sekadar untuk dihafal lalu dilupakan setelah peperiksaan tamat.

Loceng rehat pun berbunyi, menamatkan mata pelajaran yang kucintai itu begitu saja.

Jane dan Azwa mengajakkku ke kantin tetapi aku menolaknya dengan alasan mahu mengambil

buku teks. Azwa menawarkan diri untuk membelikan makananku, dengan duitku tentu saja. Tapi

itulah sebenarnya masalahku. Aku tidak punya duit belanja. Sejak dulu abah memang jarang

memberikan kami 3 beradik duit belanja ke sekolah.

“Aku tidak lapar. Ibuku selalu masak berat untuk sarapan,” bohongku. Kebohongan itu

sudah terlalu sering kugunakan hingga kedengarannya sangat menyakinkan di telingaku. Mereka

pun mempercayainya dan memintaku untuk menunggu di hadapan kelas setelah urusanku

selesai.

Melalui instruksi penunjuk arah yang diberikan Jane, aku pun mencari bilik buku teks

sendirian. Malangnya guru bertugas tidak ada di tempatnya. Aku disuruh datang semula selepas

masa rehat oleh pengawas SPBT yang bertugas. Aku pun berpatah balik semula ke kelas

menunggu Jane dan Azwa menjemputku seperti yang telah kami persetujui bersama. Aku disapa

oleh beberapa orang pelajar lelaki yang wajahnya segera terlupakan olehku. 2 orang daripada

mereka mengajakku berbual yang hanya kubalas dengan senyum risih. Beberapa minit kemudian

Jane dan Azwa pun datang bersama bungkusan makanan dan minuman. Aku menyambut

kedatangan mereka dengan rasa lega seperti mereka adalah dewa penyelamat.

“Mana buku teksmu, Dian? Sudah kau ambil?” tanya Azwa.

Aku menggeleng. “Katanya lepas rehat.”

Luna Zura
1
BAB 1

“Alamak! Lepas rehat subjek Pendidikan Islam, kan? Habislah kau kalau lambat. Ustazah

Arfiah tu garang. Dia tak suka murid lambat,” sahut Jane dengan wajah khuatir. Aku mengangkat

bahuku acuh tak acuh.

Merasa tidak ada apa yang dapat dilakukan, Jane pun mengajak kami ke bawah pohon

dekat pagar, tempat kesukaan mereka. Tidak dinafikan perutku sedikit berkeroncong melihat

kelahapan Jane menikmati mi goreng bungkus yang dibelinya. Aku berharap agar bunyi perutku

tidak didengari oleh dua sahabat baruku itu.

Jane dan Azwa pun bercerita tentang hal-hal yang berkait tentang sekolah. Bermula

daripada karakter rakan sekelas; lalu berlanjut pada cerita guru-guru. Aku berusaha menunjukkan

minatku pada cerita mereka meski fokusku sudah mulai menghilang. Terlalu banyak informasi

dan nama-nama yang disebut menyebabkan otakku sulit berproses.

Cerita itu pun kemudiannya berbalik semula pada Haziq. Aku tidak tahu siapa yang mulai

tapi topik itu membuatku kembali merasa tidak nyaman. Aku khuatir wajahku tidak dapat

menyembunyikan keterujaanku setiap kali mendengar namanya disebut. Aku segera

memalingkan wajahku dan berpeluk tubuh. Aku menggaru lenganku perlahan, lalu

membenamkan kukuku ke atasnya.

“Tapi jangan buang-buang waktu. Dia sudah dicop oleh si Zetty,” tukas Jane. Sikapnya

jelas pahit. Dia menoleh padaku. “Kau masih di sini Dian? Sepertinya kau melamun,” katanya

dengan nada tersinggung.

“Ya, masih. Dan siapa Zetty?” tanyaku pura-pura berminat. Aku tidak merasa harus tahu

siapa Zetty. Bukan urusanku. Haziq memang mempesonakan tapi cukup hanya itu.

Luna Zura
1
BAB 1

“Zetty tu ketua ahli kumpulan Feminin. Bukan Feminin yang artis tu. Ni feminin lokal.

Jenis kampung-kampung. Jauh sekali macam si As atau si Deq Nor. Gaya hidup macam 90210

padahal semua pun miskin,” cemuh Azwa mencebir bibir.

“Zetty tu, dia obses sangat dengan Haziq. Walaupun Haziq sudah tolak cintanya tapi dia

tetap anggap Haziq miliknya,” lanjut Jane.

“Kan mottonya Veni, Vedi, Vinci.” Azwa menyahut sinis.

“Julius Caeser?” tanyaku menahan gelak.

“Nanti waktu kelas agama kau jangan terjeling-jeling pula si Haziq tu. Ya, aku tau dia

hensem tapi kau jangan cari pasal. Dan jangan pernah terfikir mahu duduk di bangku kosong

sebelah Haziq walaupun itu satu-satunya pilihan yang kau ada. Lebih baik kau duduk di lantai

atau terus escape kelas,” pintas Jane tegas.

“Kelas agama? Kenapa kelas agama?” tanyaku bingung.

“Oh, aku lupa bagitau yang kelas kita dan kelas Sains akan bergabung untuk kelas agama.

Pelajar muslim di kelas kita akan ke kelas Sains manakala pelajar non-muslim di kelas Sains

akan ke kelas kita untuk subjek Pendidikan Moral.”

Oh, begitu. Pasti canggung sekali, fikirku getir. Tiba-tiba aku diserang panik memikirkan

yang aku akan berjumpa dengan Haziq setelah perlakuanku yang dungu pagi tadi. Di kelasnya

pula!

Loceng berbunyi menghentikan kegusaranku. Bingkas kami bertiga bangkit dan berjalan

menuju ke kelas. Rakan-rakan lain menyusul bersama dan memenuhi ruang kelas yang tadinya

kosong. Aku segera mengambil beg sekolahku.

“Tak perlu bawa beg, Dian. Bawa buku teks Pendidikan Islam dan alat tulis saja,” kata

Jane sambil mengeluarkan buku teksnya dari dalam beg.

Luna Zura
1
BAB 1

“Huh? Kalau barang kita hilang macamana?” tanyaku tak puas hati.

“Bawalah barang yang berharga.”

Seluruh isi begku adalah berharga, terutama diari dan walkman yang sentiasa kubawa

bersama. Aku tidak rela barang peribadiku disentuh orang lain. Memikirkan kemungkinan ia

akan diselongkar membuat bulu romaku meremang. Sudahku bilang. Aku paranoid.

“Cepatlah ambil buku teksmu. Lepas tu kau terus ke kelas 5 Sains di sebelah bilik guru.

Kau tahu di mana bilik guru, kan?” tanya Jane.

Aku mengangguk. “Habis tu, beg aku?” desakku.

“Astaga Dian. Bawalah begmu kalau kau mahu, silakan,” balas Jane jengkel.

Jane dan Azwa pun maju bersama kerumunan pelajar lain yang sudah beransur keluar

daripada kelas. Sementara di luar, pelajar kelas 5 Sains sedang berdatangan masuk. Aku mulai

panik melihat wajah-wajah asing yang mulai mengisi ruang kelas. Beberapa orang daripada

mereka menyapaku yang hanya kubalas dengan mataku yang meliar. Aku tidak dapat

memandang kemanapun tanpa beradu dengan mata-mata yang menatapku seperti makhluk asing.

Panik, aku memeluk beg kuerat lalu berjalan ke luar kelas dan berdiri kebingungan di koridor.

Jane dan Azwa sudah hilang bersama kerumunan dan aku membenci mereka kerana

meninggalkanku sendirian. Aku merasa seperti anak itik hodoh yang tersesat di dalam hutan

setelah ditinggalkan oleh ibunya.

“Kau kenapa Dian?” Tegur satu suara. Ikhwan. Aku segera mengecamnya seakan-akan

aku sudah mengenali suara itu bertahun-tahun, dan bukan hanya beberapa jam yang singkat.

“Aku mau ke bilik buku teks,” jawabku hampir tergagap.

“Mahu aku temankan?” Ikhwan bertanya ragu. Aku menangkap bunyi simpati dalam

suaranya. Pasti tampangku sangat menyedihkan di matanya.

Luna Zura
1
BAB 1

“Tak usah. Biar aku saja,” balasku egois.

“Pasti?”

Aku mengangguk laju. Tanpa menunggu jawapannya, aku segera membelokkan

langkahku ke kanan bangunan, menuju destinasiku. Mujurlah guru yang kucari kali ini ada di

mejanya. Aku segera memaklumkan hajatku. Tanpa banyak soal dan basa-basi perkenalan, dia

menyerahkan seberkas buku teks yang diikat dengan tali rafia kepadaku. Ada dua belas buah

buku kesemuanya yang beratnya sama seperti sekampit beras. Setelah menandatangi surat serah

terima, aku pun keluar dari bilik itu dan mendapati kalau Ikhwan masih menungguku. Dia

bersandar di tiang lorong dan memerhatikanku dengan saksama. Agak terlambat untuk berpura-

pura tidak melihatnya.

“Kenapa kau di sini?” tanyaku meski kutahu soalan itu terdengar dungu.

“Aku takut kau tersesat mencari kelas agama.” Dia berhenti sejenak lalu menatap sekilas

berkasan buku yang kubawa. “Biarku bawa bukumu. Nampaknya berat.”

“Tak usah. Aku baik-baik saja,” balasku mempertahankan harga diri. Tapi dia tidak mahu

mengalah. Laju dia merampas buku-buku itu dari tanganku. Dia kemudiannya mendepangkan

sebelah tangannya menyuruhku berjalan duluan ke hadapan. Aku ingin membantah tapi tubuhku

bergerak lebih laju dari mulutku. Aku akhirnya mendapati kami berjalan beriringan di kaki lima

sekolah.

“Kau, kalau sama orang lain boleh jual mahal, Dian. Tapi sama aku jangan. Aku ni cool.

You know, cool macam Vanila Ice. Ice-ice baby, yo,” katanya sambil beraksi dengan tarian khas

Vanila Ice. Aku ketawa melihatnya.

“Aku bukan jual mahallah,” protesku.

“Habis tu?”

Luna Zura
1
BAB 1

“Segan.”

“Ok, sama orang lain kau boleh segan. Tapi sama aku jangan. Kalau kau mau minta

tolong atau mau tanya atau apapun, bagitau ja aku, deal?”

“Ok,” jawabku tanpa berfikir, sekadar untuk membuatnya senyap. Dia tampaknya puas

dengan jawapanku lalu kembali menarikan tariannya. Selang beberapa langkah, tariannya

terhenti. Aku menatapnya sekilas dan dia menunjukku ke satu arah, yang kuyakin itu adalah

kelas 5 Sains.

“Masuklah. Aku tak suka kelas agama. Maksudku, aku tak suka Ustazah Arfiah,” jelas

Ikhwan tanpa dipinta. Ton suaranya berubah rendah, seakan kecewa.

“Jadi, kau mau escape?” tanyaku spontan.

Ikhwan mengangguk. Senyumnya pahit. Dia meletakkan bukuku di atas bangku,

membuka tali pengikat dengan susah payah lalu mengambil buku teks Pendidikan Islam dan

menyerahkannya padaku. Dia kemudiannya mengikatnya kembali dan menoleh semula padaku.

“Masuklah. Nanti kau dimarah ustazah. Habis kelas nanti aku bagi balik buku-buku kau

ni,” katanya bersungguh. Tanpa menunggu jawapanku, dia pun menjauh. Aku menghantarnya

dengan mataku. Ketika bayangnya lenyap di balik bangunan, aku merasa kehilangan sesuatu

dalam hatiku dan itu membuatku sedih.

Bergeraklah, Dian.

Aku tersentak. Buru-buru aku berjalan menuju kelas 5 Sains. Ketika sampai di hadapan

kelas, aku berniat untuk mengetuk pintu, memberi salam dan bersikap sesopan mungkin. Namun

pemandangan yang kulihat menghentikan niatku.

Kelas itu, ternyata lebih kecil daripada kelas kami, dengan kepadatan pelajar yang

melebihi kapasiti jumlah meja yang disediakan. Meja-mejanya disusun secara berpasangan,

Luna Zura
1
BAB 1

namun setiap pelajar duduk berkongsi bangku. 1 nisbah 2. Mereka tak ubah seperti seperti

pendatang tanpa izin mendengar taklimat daripada juru bot sebelum mendarat di Malaysia.

Namun bukan itu yang membuatku lebih tercengang. Bukan pula kerana wajah-wajah

asing itu menatapku, atau kelibat Jane dan Azwa yang tidak kelihatan. Tapi kerana lengking

suara sang ustazah yang memarahi beberapa orang pelajar yang tidak memakai tudung dalam

loghat Kelantan yang pekat. Ustazah itu, orangnya pendek dengan bentuk muka dan mulut yang

lebar, mirip Cikgu Bedah dalam filem Adik Manja. Aku benci pandang pertama melihatnya.

Kata-kata yang keluar dari mulutnya, boleh membunuh pohon di Pulau Solomon. Aku segera

memaklumi maksud tersirat di balik kata-kata Ikhwan tadi.

“Hah? Kamu kenapa berdiri di situ? Mau apa?” jerkahnya tiba-tiba menoleh kearahku.

Matanya melotot galak. Aku tergamam. Kurasa mulutku melopong dan kuyakin wajahku jelek

waktu itu. Aku memaksa otakku berkerja, setidaknya menjawab soalannya. Namun situasi ini

tidak terduga dan aku tidak siap menghadapinya.

“Mau apa?” jerkahnya lagi. Sengatan suaranya tajam menembus masuk ke telingaku dan

menerbitkan segumpal rasa marah di hatiku. Tanganku mulai gementaran. Nafasku sesak. Lalu

pada waktu itulah, mataku menangkap kilasan seseorang, berdiri dan mengangkat tangan di

sudut penjuru kelas di bahagian hadapan.

“Dia murid baru tu ustazah. Baru daftar pagi tadi.” Jelas suara itu, seorang lelaki dan aku

segera mengecam suara dewa penyelamatku itu, Haziq!

“Oh...Pelajar baharu? Habis tu kenapa tak cakap? Bisu? Jadi apalagi kau tunggu di sana

mak datin? Nak saya bentangkan permaidani merah? Masuklah permaisuri intan payung

kesayangan hamba...” tempelak ustazah membuat pipiku terasa semakin pijar.

Luna Zura
1
BAB 1

“Dian...sini.” Haziq melambai tangannya padaku, menunjukkan sebuah bangku kosong di

sebelahnya. Satu-satunya tempat duduk yang ada di kelas itu. Serta-merta ingatanku kembali

pada amaran Jane dan Amy, lalu menyesal tidak ikut Ikhwan ponteng tadi. Tapi rasanya aku

tidak punya pilihan. Perlahan, aku melangkah menuju ke arah Haziq, dengan kepala menunduk.

Suasana benar-benar hening, sepertinya ada malaikat yang melintas. Kakiku tersandung kaki

meja dan nyaris terjerembab ke lantai. Buru-buru tanganku memaut hujung meja seorang pelajar

perempuan. Perempuan yang duduk disitu menahan ketawa melihat tingkahku membuat benar-

benar ingin menangis.

Nerd! Nerd kau, Dian!

“Cepatlah! Terhegeh-hegeh!” teriak ustazah lagi. Aku mempercepatkan langkahku.

Begitu sampai di meja Haziq, dia mendorong bangku yang seharusnya kutempati sedikit

menjauh, membuat jarak agar kami tidak terlalu dekat. Buru-buru aku melabuhkan punggungku

tanpa mengangkat wajah. Kuatur bukuku di meja lalu berusaha untuk duduk santai. Dari sudut

mata, kulihat Haziq merenungku simpati. Aku berharap agar dia segera mengalihkan

pandangannya agar dia tidak melihat betapa rapuhnya aku. Aku memutar tubuhku ke samping,

membiarkan tudungku tergerai di bahu kanan, sebagai penghalang di antara kami. Khorus lagu

daripada kumpulan Nico bermain di kepalaku; Mengapa kamu, mengapa jadi begitu? Inilah

nasibku.

Aku membuka buku teks dan menyedari kalau aku tidak tahu muka surat berapa yang

sedang dipelajari. Perlahan, Haziq menyodorkan bukunya, dan menunjukkan nombor kecil di

bahagian bawah buku. Tanpa mengucapkan terima kasig, aku segera membuka buku dan

sekerasnya cuba berkonsentrasi pada pelajaran. Namun malangnya suara soprano Ustazah Arfiah

memicu penyakit Misofonia yang kualami sejak bertahun-tahun. Kepalaku mulai serabut. Aku

Luna Zura
1
BAB 1

berusaha menahan diriku untuk tidak menikam-nikam buku notaku dengan pen yang sedang

kupegang; persis seperti yang kulakukan di rumah saat Umi berleter atau bertengkar dengan

abah.

Bertenang, Dian.

Aku melarikan mataku ke samping kiri. Tidak sanggup kulihat wajah Ustazah Arfiah

yang menyebalkan. Lalu pandanganku terbentur dengan tatapan pelajar yang dimarahi sebentar

tadi. Perempuan itu – dengan bentuk wajah segi tiga. Entah sejak bila dia merenungku. Dia

melempariku ekspresi wajah seorang antagonis. Kejam dan tak bersahabat. Matanya yang hitam,

mempamerkan permusuhan yang demikian mendalam. Tenungannya menepati frasa kalau rupa

boleh membunuh. Jahat sekali matanya. Dia terang-terangan melancarkan bendera perang dan

aku mendengar bunyi semboyan melintas di kepalaku.

Aku segera meneka kalau dia adalah Zetty. Pelajar-pelajar perempuan di sekitarnya,

yang juga sedang curi-curi memandangku ketika ini adalah pasukan bala tenteranya, kumpulan

Feminin lokal. Segera kupalingkan wajahku dan mengenyahkan kemarahan yang mulai

menyelimutiku. Beberapa wajah muncul di kepalaku. Wajah-wajah yang pernah menjadi mangsa

pada kemarahanku yang tidak berkepala. Kalau marah aku cenderung menghancurkan.

Kebiasaan yang buruk dan tidak wajar.

Bertenang, Dian.

Aku menarik nafas panjang lalu menahannya beberapa detik sebelum melepaskannya

perlahan-lahan. Ketika kewarasan menguasaiku kembali, aku cuba mengalihkan perhatianku

dengan mencoret-coret buku notaku hingga terhasillah lakaran karakter Goku yang sedang

berperang menyelamatkan dunia. Aku menyedari kalau Haziq berulang-kali menendang kerusiku

seakan memberi amaran agar aku kembali fokus pada pelajaran. Aku menoleh ke arahnya sekilas

Luna Zura
1
BAB 1

dan berniat untuk berhenti. Malangnya aku sudah terlambat dan Ustazah Arfiah segera

menyedari aktivitiku. Dia bertempik marah dan merampas buku notaku lalu mengoyaknya. Dia

kemudiannya membuangnya begitu saja ke lantai setelah mengeronyoknya. Kata-kata kesat pun

berterbangan di udara dan aku berusaha menulikan telingaku agar tidak ketularan marahnya.

Salahku. Memang salahku. Terima sajalah. Padan muka kau, Dian.

“Ustazah, habis masa sudah.” Haziq tiba-tiba bersuara sambil memperlihatkan jam

tangannya. Ustazah Arfiah menghabiskan sisa-sisa marahnya lalu keluar dengan langkahnya

yang angkuh. Seorang pelajar lelaki, dengan tanda nama Nazim memungut kertas yang dibuang

tadi dan membukanya.

“Kau lukis Goku?” tanyanya sambil ketawa. Wajahnya jelas mempeleceh. “Lebih baik

kau lukis aku. Aku lagi handsome dari Goku,” sambungnya masih tertawa.

Aku menjelingnya tajam. Buru-buru aku memberesi buku-bukuku dan berniat untuk

segera pergi dari situ.

“Janganlah kau perasan handsome, Nazim.” Satu suara meledak dari belakangku. Azwa

muncul bersama Jane entah dari mana. Aku tidak melihat mereka sejak mulai memasuki kelas ini

tadi.

“Mari Dian. Kita balik ke kelas.” Jane menggandeng tanganku. Aku menurutinya lalu

tanpa sedar aku menoleh ke arah Haziq yang ternyata sedang menatapku dengan senyum di

matanya.

“Lukisanmu cantik. Tapi jangan melukis di kelas agama lagi,” katanya hampir tak

terdengarkan.

“Diamlah kau,” balasku kesal lalu bergerak bersama kerumunan meninggalkan kelas 5

Sainas.

Luna Zura
1
BAB 1

“Kau memang beranilah, Dian. Berani mati, aku respect-lah sama kau!” kata Azwa

disambut gelak Jane saat kami beriringan pulang ke kelas.

“Pemecah tradisi,” lanjut Jane dengan sisa-sisa ketawa masih melekat di mulutnya.

“Kau nampak muka Zetty tadi? Kufikir dia akan menelan Dian hidup-hidup,” sahut Azwa

meniru gaya Zetty, lalu mereka pun ketawa lagi.

“Tapi lebih lucu muka Dian waktu terbengong di depan pintu.” Jane menyambung.

“Tapi lebih lucu lagi bila Dian lukis Goku. Kau minat Dragon Ball, Dian?” tanya Azwa.

Aku tidak menyahut. Kubuang pandanganku ke hadapan padang; membayangkan

peperangan yang dilancarkan Zetty atas kesalahanku duduk di sisi jejaka idamannya. Tapi aku

tidak mahu berfikir tentangnya. Tiada hubungannya denganku. Pula aku berjanji tidak akan

datang lewat lagi ke kelas agama selepas ini, atau melukis apa-apa saja yang boleh menimbulkan

kemarahan ustazah. Aku sudah berjanji untuk menjaga sikap. Baru tadi pagi aku bertekad untuk

menjadi pelajar paling baik di alam semesta. Belum pun sampai 3 jam, aku sudah

memungkirinya.

Atau mungkin aku akan bolos saja seperti Ikhwan, desis hatiku.

Begitu teringat Ikhwan, aku segera memalingkan kepalaku ke kiri dan kanan.

“Kau cari siapa?” tanya Jane begitu menyedari aku terjenguk ke sana ke mari.

“Ikhwan.”

“Kenapa?”

“Dia bawa bukuku tadi. Dia memang bolos kelas agamakah?”

“ Ya. Tahun lalu Ustazah Arfiah ajar kelas kami juga. Kau tengoklah gayanya tu suka

marah pelajar. Salah kecil pun kena amuk. Akhirnya, ramai-ramai bolos,” jelas Azwa.

Luna Zura
1
BAB 1

“Oh...Ustazah tak sedarkah muridnya kurang?” tanyaku hairan. Aku menyedari kalau

bukan cuma Ikhwan saja yang tidak ada di kelas tadi. Jumran dan sebahagian pelajar lelaki

muslim juga tidak ada.

“Sedar. Tapi dia tak kisah pun. Dia lagi suka kot, kurang beban dia,” jawab Jane.

Kami pun tiba di kelas dan berpapasan dengan pelajar 5 Sains yang baru keluar dari

kelas. Begitu kelas mulai lengang, kami pun masuk. Aku duduk di tempatku, sementara Jane dan

Azwa masih dengan obrolan mereka. Tak lama, aku segera menangkap bayang Ikhwan di tengah

pintu membawa buku teksku. Dia tersenyum saat mendekatiku.

“Kudengar kau buat hal di kelas 5 Sains tadi,” bisik Akmal sambil meletakkan bawaanya

di mejaku. Dia berdiri sambil meletakkan sikunya di atas timbunan buku, menanti reaksiku.

“Lupakan,” desisku kesal. Betapa cepatnya cerita itu tersebar. Aku segera membayangkan

aku menjadi topik gosip yang hangat.

“Kalau Zetty dan kawan-kawannya menganggumu selepas ini, beritahu aku,” balasnya

tanpa melepaskan tatapannya. Suaranya terdengar serius.

“Dalam banyak-banyak cerita, itu yang lebih menarik minatmu?” tanyaku hairan.

“Tentu. Belum ada yang pernah berani melanggar peraturan Zetty. Soal kau dimarah

ustazah itu perkara biasa,” jawabnya ketawa.

Aku menggaru kepalaku. Aku tidak tahu sebejat apa kumpulan Zetty hingga

menimbulkan reaksi seperti itu. Apakah seperti villian dalam komik Marvel? Aku juga tidak tahu

seburuk apa nasib yang akan menimpaku. Aku sudah melihat banyak kebejatan dan pembulian

yang dilakukan oleh pelajar sekolah. Pengalaman di 6 buah sekolah sebelumnya mengajarku

banyak hal. Satu perkara yang pasti adalah, apapun itu - semuanya - hanya sepusar itu-itu juga.

Kejahatan kitar-semula; sepertinya meletakkan barang curi di beg mangsa, atau menulis surat

Luna Zura
1
BAB 1

cinta palsu, atau mengadu-domba rakan-rakan dan menyebar fitnah di kalangan guru. Veni, Vedi,

Vici? Aku berani bertaruh jauh panggang dari api.

Dasar bocah.

Mengingat itu, aku tertawa sendiri. Sinis.

“Hey, kenapa kau ketawa? Aku serius ni,” bentak Ikhwan tertahan. Tawaku terhenti. Aku

tidak sedar kalau dia sangat cermat memerhatikanku.

“Kau tahu, Ikhwan?” kataku dingin.

“Tidak, apa?”

“Aku tak peduli. Selagi dorang tidak menyentuhku, aku cool,” sambungku. Aku tidak

tahu sedingin apa wajahku. Ikhwan tercengang menatapku. Sedetik kemudian, matanya berdecak

kagum.

“Cool! That’s my Wednesday Addam!” serunya haru.

Aku mengeluh. Bukan kerana menyesali perkataan itu keluar daripada mulutku, tapi

kerana aku benci Wednesday Addams.

Luna Zura
1

Anda mungkin juga menyukai