Anda di halaman 1dari 6

FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

KARYA KLASIK
PANTUN BUDI

Tanam lenggun tumbuh kelapa,


Terbit bunga pucuk mati;
Budi tuan saya tak lupa,
Sudah terpaku di dalam hati.

Jentayu burung jentayu,


Hinggap di balik pohon mayang;
Bunga kembang akan layu,
Budi baik bilakan hilang.

Tenang-tenang air di laut,


Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.

Bunga melati bunga di darat,


Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

( Rahman Shaari; Lukisan Zaman )


PENGENALAN

Puisi lama adalah pancaran masyarakat lama. Masyarakat lama dapat difahami apabila

mengkaji dan menghayati puisi lama. Pantun adalah genre tersendiri yang dihasilkan

masyarakat lama dan terus hidup sehingga kini. Muhammad Haji Salleh (1986)

mengatakan bahawa pantun telah memperlihatkan kecerdikan, genius dan kesempurnaan

seni sastera bagi setiap bangsa Melayu. Di dalam pantun mengandungi jiwa, seni

kebijaksanaan dan budi bahasa masyarakat melayu. Maka kenyataan ini bersesuaian

dengan kenyataan pantun adalah manifestasi akal-budi masyarakat.

Pantun memiliki dua bahagian utama iaitu pembayang dan maksud, tertaut secara

integratif sehingga tertera sebagai suatu pengucapan yang terindah. Dua bahagian itu

ibarat dua struktur , luaran dan dalaman, lahir dan batin, tetapi bertaut menjadi satu iaitu

pantun. Rene-Daillie (1983) di dalam Bab V11 bukunya menyebut kedua-dua struktur itu

ibarat body and soul, tetapi menyedari falsafah Descartes, jasad dan roh tidak wujud

sebagai satu kesatuan, kerana kedua-duanya berasal dari substance yang berbeza. Tetapi

dari sudut Melayu-Islam, jasad dan roh itu bergabung menjadi satu, menjadi manusia,

maka begitulah pantun.

Sumber-sumber yang digunakan di dalam pembayang maksud adalah dari alam, ia bukan

direka begitu saja, seperti kata Rene-Daillie (1983; 136-137), bersumberkan binatang,

ikan dan sumber dari laut, burung, sayuran, tumbuhan dan sebagainya. Korpus sumber

yang alamiah digunakan sejauh mana terjangkau oleh akal dan pancaindera manusia.

Begitu juga dengan maksud, yang merupakan jiwa atau roh pantun itu, korpus datanya

bersumberkan pengalaman inderawi. Maka di peringkat ini pantun mengandungi

persoalan yang rasional dan logical kesan dari interaksi manusia .


FALSAFAH BUDI DI DALAM PANTUN

Budi berasal daripada perkataan Sanskrit yang bererti asas-hikmah, dan di dalam ilmu

kejawen budi diibaratkan sebagai pelita atau obor yang menyinari jalan yang ditempuh

oleh manusia (R. Paryana Suryadipura; 1993:176-177). Bukhari al-jauhari di dalam kitab

yang terkenal yang dijadikan rujukan dan nasihat kepada Raja dan Kerajaan. Budi akan

sentiasa dikenang sehingga selagi seseorang itu masih hidup. Seseorang yang sentiasa

menabur budi dapat diibaratkan;

Budi tuan saya tak lupa,


Sudah terpaku di dalam hati.

Setiap orang yang telah menabur budi akan dikenang segala jasa dan budi oleh manusia.

Seseorang yang berbudi ialah seseorang yang membuat jasa dan berjasa kepada orang

yang menerima budi-baktinya. Begitu juga budi yang baik begitu tinggi nilainya ibarat

emas dan oleh kerana ianya tak ternilai ia dikenang sehingga dibawa mati.

Namun begitu oleh kerana terlalu menerima budi adalah diharapkan seseorang itu tidak

terlalu terhutang budi sehingga ia berasa rendah diri, terikat dengan orang yang telah

banyak menabur budi,terlalu mudah tidak tahu berkata tidak, tidak tahu batas dan

sempadan. Konsep ini seolah-olah bercanggah dengan pandangan masyarakat Melayu

yang menggalakkan ahli-ahlinya berbudi atau menabur budi tetapi tidak menggalakkan

orang menerima budi berturut-turutan dan berlarutan. Budi yang baik akan sentiasa

dijunjung dan orang yang budiman akan disanjung contohnya;

Hati terkenang mulut menyebut,


Budi baik rasa nak junjung.
Jelaslah apabila ada orang menabur budi sudah tentu ada yang menerima budi,

penerimaan budi yang berlanjutan akan memerangkap seseorang di dalam satu hubungan

sosial yang berat sebelah. Individu berkenaan akan terhutang budi dan terpaksa

menyerahkan bakti, tubuh badan dan harga dirinya kepada orang yang telah banyak

menabur budi kepadanya. Ini tidak bermakna berbudi, menabur budi, menerima budi,

terhutang budi suatu yang negative tetapi diharapkan setiap orang Melayu tahu had dan

batas sempadan ibarat;

Elok orang hati tak ingin;


Budi bahasa hatiku hancur.

Budi adalah orientasi nilai yang mengukuhkan setiap bangsa, tanpa orientasi nilai, atau

bebas-nilai (value-free) keseluruhan batas-batas kehidupan akan runtuh. Budi amat

penting di dalam kehidupan dan amat penting di dalam social dan interaction. Orang

yang tidak berbudi umpama seorang manusia yang hina seperti;

Hina besi kerana karat,


Hina manusia tidak berbudi..

Manusia yang tidak berbudi diumpamakan sebagai seorang yang hina seperti besi yang

berkarat. Budi adalah antara aspek peribadi seseorang individu yang dinilai tinggi oleh

masyarakat. Pencernaan peribadi tersebut dapat dilihat di dalam pergaulan seharian dan

pertuturan dengan individu lain. Ianya dapat disimpulkan sebagai nilai budi bahasa yang

diucapkan dengan penuh keindahan, benar dan baik. Budi pekerti iaitu perlakuan atau

tingkah laku seseorang yang dapat dinilai dari sudut baik dan buruk, lazimnya perlakuan

yang baik ialah yang tertib dan sopan seperti memberi salam kepada orang yang lebih tua

daripada kita.
Zainal Kling (1995) berpendapat bahawa orang Melayu melihat rupa dan paras jiwa itu

berbentuk budi, iaitu satu peribadi yang mengandungi akal dan rasa. Konsep budi sebagai

‘alam jiwa’ terdapat dalam gagasan budaya. Budi adalah alam jiwa dan daya adalah

geraklaku fizikal. Peribadi Melayu berwajah budi yang mengandungi persoalan akal dan

rasa. Budi adalah struktur batiniah Melayu yang terpancar dari satu Hikmah yang

tertinggi (Tuhan) seperti;

Budi tuan saya tak lupa,


Sudah terpaku di dalam hati.

Setiap budi pastinya sentiasa terpahat di dalam hati orang yang menerima budi. Hati

adalah alat untuk menghayati, proses yang berlaku di hati yang kadangkala tidak disedari

tetapi mengandungi kebenaran dan disebut orang Melayu sebagai kata-hati atau rasa dan

perasaan.

KESIMPULAN

Dapatlah disimpulkan bahawa nilai dan orientasi nilai yang wujud pada setiap diri

manusia, masyarakat dan budaya berperanan membentuk peribadi atau sahsiah serta

jatidiri. Keseluruhan jatidiri manusia Melayu itu ditempa oleh ‘adab dan adat’ Melayu

dan diperkukuhkan serta dimantapkan oleh keseluruhan akhlak islam. Jatidiri yang

terhasil dari binari atau pasangan yang saling melengkapi ini, saling integrarif, tertaut

kuat dan sejati dalam wadah Melayu. Keseluruhan kehalusan akhlak inilah yang

dinamakan BUDI yang akan sentiasa bertaburan dan berkembang selagi manusia

berbudiman antara satu sama lain.


BIBLIOGRAFI

Norazit Selat dan Zainal Abidin Borhan, Pantun Budi: Satu Analisis Nilai. Akademi

Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Wikipedia

Rahman Shaari, 1991. Lukisan Zaman. Selangor: Marwilis Publisher & Distributors Sdn

Bhd.

Mutiara Sastera Melayu Tradisional: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan, Falsafah dan Logika Melayu: Akademi Pengajian Melayu, Universiti

Malaya.

Hashim Musa, Pengantar Ilmu Falsafah Dalam Pengajian Melayu: Akademi Pengajian

Melayu, Universiti Malaya

Anda mungkin juga menyukai