Anda di halaman 1dari 20

HASIL KERJAKU

UNTUK RUJUKAN....JIKA DIPERLUKAN

FUNGSI WACANA DALAM BAHASA MELAYU

ABSTRAK

Penggunaan wacana dalam penulisan terutamanya Bahasa Melayu merupakan sesuatu yang sangat
penting bagi melahirkan sesebuah hasil yang berkualiti. Setiap murid yang berada di sekolah rendah
mahupun menengah seharusnya tahu akan fungsi dan seterusnya mahir menggunakan wacana ini pada
tempat yang sepatutnya. Kegagalan seseorang pelajar menguasai wacana, akan menyebabkan mereka
gagal dalam melahirkan atau menghasilkan sesebuah penulisan yang kritis dan puitis. Wacana bukanlah
sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh pelajar, malah ianya perlu dipelajari dan dikuasai. Latihan
yang berterusan sama ada bertulis mahupun pembacaan perlu ditekankan kepada pelajar-pelajar sejak
di bangku sekolah rendah lagi agar mereka dapat menguasai sepenuhnya sehinggalah mereka dapat
mengaplikasinya sehingga ke tahap menara gading dan ke tahap yang lebih tinggi lagi.
1.0 PENDAHULUAN

Bahasa adalah alat perhubungan yang paling efektif. Bahasa juga menggambarkan status seseorang .
Penggunaan kata yang sempurna dan tuntas baik secara lisan mahu pun tulisan menjadikan bahasa itu
semakin gramatis dan difahami. Penggunaan kata dan wacana dalam ayat yang dituturkan menjadikan
Bahasa Melayu sebagai bahasa yang lengkap setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia.

Wacana merupakan suatu bahagian atau unit yang paling tinggi yang melampaui sebaris ayat yang
lengkap. Oleh yang demikian, wacana dapat dijelmakan dalam pelbagai bentuk sehinggalah meliputi
peristiwa bahasa. Menurut Kamus Dewan (2007), wacana membawa maksud keseluruhan tutur kata
yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan serta percakapan. Manakala menurut pendapat
Harimurthi (1982) pula, wacana merupakan unit bahasa yang melebihi batas ayat. Sementara itu,
Raminah Haji Sabran (1985) dalam bukunya yang bertajuk Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab
Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit bahasa yang melebihi batas ayat, kerana itu ia boleh
terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang di
dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berturutan. Menurut
beliau lagi, wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap. Di dalam tatabahasa, wacana ini
diletakkan di tahap paling atas atau tertinggi mengikut hierarki dan boleh dinyatakan seperti rajah
berikut:

Fornem morfem Perkataan Frasa Klaus Ayat Wacana

Berdasarkan pernyataan-pernyataan di atas, dapatlah dikatakan bahawa setiap bahasa mempunyai


bilangan ayat yang tidak terhad. Walaupun begitu, sejumlah ayat tertentu hanya membawa satu
tumpuan makna sahaja. Manakala tumpuan makna pula akan membentuk satu fokus pemikiran yang
mana di dalam tatabahasa ianya disebut sebagai wacana. Selain itu, wacana juga boleh disebut sebagai
rentetan, tautan dan

-1-

hubungan antara sistem bahasa yang tersusun sehingga menjadi satu bentuk ayat, perenggan, karangan,
sebuah novel, sebuah majalah, buku seminar, bengkel, forum dan sebagainya.

Wacana berasal daripada perkataan Jawa iaitu ‘wocono’ atau ‘woco’ yang membawa maksud baca.
Terdapat dua jenis wacana di dalam unit bahasa iaitu wacana lisan dan wacana tulisan. Wacana lisan
dihasilkan atau dituturkan secara lisan dan melibatkan komunikasi secara langsung antara penutur
dengan pendengar seperti aktiviti perbualan harian, temu ramah, ceramah, ucapan, khutbah dan
sebagainya. Wacana jenis ini melibatkan ekspresi wajah, nada suara, gerak badan dan sebagainya dalam
menyampaikan sesuatu maksud. Manakala wacana tulisan pula berkisar kepada tulisan dan melibatkan
hubungan antara penulis dengan pembaca. Komunikasi yang berlaku dalam wacana tulisan ini adalah
secara tidak langsung . Contoh wacana tulisan adalah seperti tulisan rencana, akhbar, majalah, novel
dan lain-lain lagi.

2.0 FUNGSI PENANDA WACANA

Penanda wacana ialah perkataan atau rangkaian perkataan yang berfungsi untuk
menghubungkan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis atau berucap dan ia
amat penting dalam sesuatu teks kerana penanda wacana dapat mewujudkan pertautan serta
kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga terbentuk kesatuan. Dalam lain
perkataan, penanda wacana ini digunakan untuk: i) menyambung ayat dengan ayat;

ii) menghubungkan perenggan dengan perenggan yang lain; dan

iii) melahirkan ayat-ayat dan perenggan yang berkesinambungan, gramatis


dan bermakna.
-2-

Raminah Hj Sabran (1985) melalui bukunya Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan telah
membincangkan tentang fungsi penanda wacana dengan meluas sebagai panduan kepada bakal-bakal
guru yang akan mendidik anak bangsa seluruh negara. Nik Safiah Karim (2009) di dalam Tatabahasa
Dewan Edisi Ketiga ada menyebut tentang fungsi penanda wacana ini. Pendapat beliau turut dikongsi
bersama oleh Samsu Yaakob (2009) di dalam bukunya yang berjudul Senarai Semak Sistem Ejaan dan
Tatabahasa Bahasa Melayu. Menurut mereka ini, di dalam bahasa Melayu, terdapat lima jenis utama
penandaan wacana seperti:

i) Penanda Penghubung;

ii) Penanda rujukan;

iii) Penanda penggantian;

iv) Penanda leksikal; dan

v) Penanda elipsis atau pengguguran.

Bagi meningkatkan mutu penulisan di kalangan pelajar, mereka seharusnya tahu menggunakan
wacana yang sesuai dan pelajar juga perlulah tahu akan fungsi wacana yang digunakan. Terdapat empat
fungsi utama di dalam penanda wacana iaitu:

a). Penghubung tambahan;

b). Penghubung tentangan atau sebaliknya;


c). Penghubung musabab atau sebab; dan

d). Penghubung tempoh masa atau ketika.

2.1 Menunjukkan maksud penghubung tambahan.

Menurut Kamus Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, penghubung tambahan merupakan


penghubung yang memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang telah
diperkatakan sebelumnya. Antara penanda wacana yang terdapat di dalam jenis ini ialah seperti
dan, lalu, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu dan lain-lain lagi. Contoh ayat
yang boleh dibina adalah seperti:

-3-

a). Tugas sebagai seorang guru di kawasan pedalaman benar-benar mencabar


dan memberi pengalaman baru kepadanya kerana sebelum ini dia merupakan
seorang anak orang berada yang tinggal di bandar besar. Malahan dia juga berpeluang
beramah-mesra dengan penduduk-penduduk termasuklah petani dan penternak dalam
mengenali mereka dengan lebih rapat lagi.

b). Pendidik haruslah berusaha membimbing pelajarnya melakukan


pelbagai aktiviti kokurikulum secara teori mahupun praktikal. Di samping itu, isi
pelajaran yang hendak disampaikan mestilah menarik minat pelajar.
2.2 Menunjukkan maksud sebaliknya atau penghubung tentangan.

Menurut Nik Safiah Karim (2009), penghubung tentangan ialah penghubung yang
menunjukkan pertentangan maklumat antara suatu yang baru diperkatakan dengan yang sebelumnya
dalam wacana yang sama. Antara penanda wacana yang sering dan boleh digunakan oleh pelajar dalam
menulis karangan ialah seperti tetapi, sebaliknya, namun, namun begitu, walau bagaimanapun dan lain-
lain lagi. Contoh ayat yang menggunakan wacana ini adalah seperti berikut:

a). Kassim telah lama berpindah ke Semenanjung. Namun hati kecilnya


masih teringat akan negeri di bawah bayu itu.

b). Ani dan Razak adalah anak angkat Pak Hamid yang dipelihara sejak kecil lagi.
Walau bagaimanapun, mereka berdua menganggap Pak Hamid seperti bapa kandung
mereka sendiri.

-4-
2.3 Menunjukkan maksud sebab atau penghubung musabab.

Pelajar juga boleh menggunakan wacana yang sesuai bagi menunjukkan sebab berlakunya
sesuatu perkara atau peristiwa. Apabila penanda wacana ini digunakan, jalan cerita akan menjadi lebih
gramatis dan menarik dan menunjukkan kematangan pelajar dalam memilih kata-kata yang sesuai di
dalam penulisan. Antara penanda wacana menunjukkan sebab ini ialah seperti kerana, oleh sebab itu,
oleh itu, oleh hal demikian, dengan itu, maka itu dan lain-lain lagi. Pendapat di atas telah disokong oleh
Siti Hajar binti Abd Aziz dalam bukunya Bahasa Melayu II terbitan Oxford Fajar (2009). Contoh ayat yang
dapat ditunjukkan dalam bahagian ini adalah seperti di bawah:

a). Kejadian pecah rumah sering berlaku di kawasan taman perumahan di


pinggir bandar. Sikap penduduk yang tidak memberikan kerjasama dan tidak
mempunyai semangat kejiranan menjadikan masalah ini sukar dibendung. Oleh hal
demikian, pihak berkuasa telah mengarahkan ahli Rukun Tetangga menjalankan kerja-
kerja rondaan dengan lebih kerap.

b). Keadaan hidup keluarganya amat daif. Maka itu dia terpaksa bekerja lebih
keras untuk membawa keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan.

2.4 Menunjukkan maksud ketika atau penghubung tempoh.


Mengikut Raihana Hamdan, Aina Rosli, Amin Nur Aiman dan Salina Hussin (2007), dalam
buku Bahasa Melayu UPSR Teks dan Rujukan Lengkap turut mengatakan bahawa fungsi wacana adalah
merujuk kepada maksud ketika atau penghubung tempoh iaitu penghubung yang menunjukkan urutan
masa atau siri berlakunya sesuatu peristiwa atau kejadian. Antara penanda wacana yang terdapat di
dalam jenis ini ialah seperti pertama, seterusnya, kemudian, selanjutnya, selepas itu, maka dan akhirnya.

-5-

Antara contoh ayat yang dapat dibina dalam wacana jenis ini ialah seperti:

a). Pertama, ibu saya sakit. Kedua, kereta saya rosak dan ketiga, hujan lebat
ketika itu. Itulah antara sebab-sebab saya tidak dapat hadir mesyuarat petang semalam.

b) Sebaik sahaja rombongan kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, kami dibawa
ke balai menunggu. Sejurus selepas itu, kami diberi taklimat ringkas oleh ketua rombongan.
Semua ahli rombongan mendengar penerangan yang disampaikan dengan penuh minat. Selepas
itu, kami diarahkan membawa bagasi ke tempat pemeriksaan.

Selain daripada yang telah dinyatakan di atas, penanda wacana yang terdapat di dalam bahasa
Melayu ialah seperti penanda permulaan karangan, penanda memulakan isi baharu, penanda huraian isi
karangan, penanda memberi contoh, penanda menutup isi, penanda menulis dua huraian dalam satu
ayat, penanda memulakan perenggan penutup, penanda menerangkan huraian atau pendapat yang
berbeza dan penanda memulakan atau memasukkan peribahasa.

Setelah diteliti kesemua fungsi wacana yang telah dinyatakan di atas, jelaslah kepada kita bahawa
fungsi-fungsi wacana ini sebenarkan mempunyai makna yang berbeza antara satu wacana dengan
wacana yang lain mengikut kategori yang telah ditetapkan.

-6-

3.0 PENANDA WACANA DALAM PERENGGAN


Berikut adalah contoh-contoh perenggan yang dipilih untuk melihat penggunaan wacana di dalam
petikan:

3.1 Petikan 1

Perenggan ini adalah dipetik daripada buku ‘Cakna Bestari’ terbitan Jabatan Pelajaran Negeri
Kedah (2011) di bawah tajuk “Mencipta Inovasi Sebagai Pendekatan Baru – Menyubur Kecerdasan Logik
Matematik Berformula Pengalaman Yang Amat Bermakna”, muka surat 11.

Pembelajaran dengan modul Program Asas TIP RING KONSEP K3 menulis karangan. Semasa
mengaplikasinya, saya menjelaskan makna FORMULA KONSEP K3 yang mencakupi 3 perkara, iaitu
pertama pengamalan, kedua isi dan ketiga kesimpulan. Setiap karangan mesti memenuhi disiplin
3 komponen tersebut. Komponen pengenalan mempunyai 3 ciri iaitu pertama isu berdasarkan
tajuk, kedua huraian isu dan ketiga arahan atau respons soalan daripada tajuk. Dalam Komponen
Isi, pertama murid saya perlu menyatakan isi mengikut arahan soalan, kedua menghuraikan isi dan
ketiga mereka memberi contoh yang berkaitan isi. Begitu juga pada Komponen Kesimpulan,
pertama mesti menyimpulkan tajuk berdasarkan pendapat murid, kedua huraian cadangan
terhadap isu dan ketiga jelaskan harapan kepada isu.

Berdasarkan petikan di atas, terdapat beberapa penanda wacana yang boleh dikesan dalam ayat-
ayat yang digunakan. Antara penanda wacana yang ditemui ialah seperti ‘semasa’, ‘ pertama’, ‘ kedua’,
‘ ketiga’ , ‘ setiap’, ‘dalam’ dan begitu juga.
-7-

Penanda wacana atau perkataan ‘semasa’ yang terdapat di dalam ayat tersebut membawa
maksud atau menunjukkan sesuatu tempoh atau ketika sesuatu perkara itu dinyatakan. Manakala
perkataan atau penanda wacana ‘pertama’, ‘kedua’ dan ‘ketiga’ pula membawa maksud urutan masa
atau turutan peristiwa atau kronologi sesuatu perkara yang diterangkan oleh penulis. Manakala
penanda wacana ‘begitu juga’ pula membawa maksud persamaan erti dalam ayat-ayat yang terdahulu.

Di dalam petikan tersebut, penulis kerap-kali mengulangi penanda wacana ‘pertama’, ‘kedua’ dan
‘ketiga’ kerana terdapat banyak perkara yang terpaksa disentuh oleh penulis berdasarkan formula
konsep yang diperkenalkan dan perlu diterangkannya supaya pembaca memahami dengan lebih
mendalam. Penanda wacana yang digunakan oleh penulis di dalam petikan tersebut sememangnya
mudah difahami oleh pembaca dan maksud yang hendak disampaikan adalah jelas. Namun begitu, di
dalam ayat, ‘Dalam komponen isi……’, adalah tidak begitu sesuai digunakan di dalam petikan tersebut.
Penulis sepatutnya menggunakan ‘sementara komponen isi,…..’ bagi menerangkan urutan penerangan
yang akan disampaikan bagi menampakkan wacana yang menarik.

3.2 Petikan 2

Perenggan ini pula adalah dipetik daripada buku ‘Cakna Bestari’ terbitan Jabatan Pelajaran
Negeri Kedah (2011) di bawah tajuk”Pusat Sumber SMK Convent Sebelum Inovasi”, muka surat 51.
Kedudukan PSS SMK Convent tidak strategik kedudukannya kerana terletak di tingkat empat
bangunan belakang. Pun begitu, PSS tetap berdiri megah tanpa pelanggan.Walaupun agak ceria
dan bersih, tetapi PSS bergerak sendirian dan bersifat terasing. Selalunya jumlah pengawas PSS
lebih ramai berbanding pengunjung. Faktor koleksi buku yang tidak terkini, pengawas PSS yang
tidak cekap menjalankan tanggungjawab, ketiadaan promosi dan galakan amalan membaca
menyebabkan PSS hanya sekadar bilik pameran tanpa pelanggan. Malahan, PSS menjadi medan
guru-guru memenuhi waktu ganti (relief). Namun begitu, murid-murid murid-murid masih
menggunakan PSS hanya mengikut waktu perpustakaan sahaja dan mereka masih tetap tidak
menunjukkan minat yang mendalam untuk membaca. Hal yang demikian ini terbukti apabila jumlah
pinjaman buku sangat minimum.

Dalam petikan ke dua ini pula, penulis artikel tersebut telah menggunakan beberapa penanda
wacana yang agak berbeza daripada petikan pertama tadi. Di dalam petikan tersebut, beberapa
penanda wacana yang telah dikesan adalah seperti ‘pun begitu’, ‘walaupun’, ‘selalunya’ ‘malahan’,
‘namun begitu’ dan ‘hal yang demikian’.

Penanda wacana ‘pun begitu’ adalah merujuk kepada maksud pertentangan di mana
menceritakan tentang PSS yang terdapat di situ tetapi tidak ada pengunjung yang datang atas sebab-
sebab tertentu. Penanda wacana ‘walaupun’ pula memberi maksud tentang pendapat yang berbeza
atau sebaliknya iaitu tentang PSS yang kelihatan ceria tetapi masih tidak dapat menarik pengunjung
datang ke situ. Perkataan ‘kebiasaannya’ membawa maksud atau memberi gambaran tentang
keseluruhan serta rumusan pendapat penulis tentang PSS yang dinyatakan itu. Sementara itu, perkataan
‘malahan’ merujuk kepada maksud penanda keterangan atau huraian kejadian sebaliknya di mana PSS
digunakan oleh guru-guru untuk ‘berehat’ ketika waktu jadual ganti dan bukannya waktu untuk
mengajar. Penanda wacana ‘hal yang demikian’ pula merujuk kepada rumusan sebab di mana ia
menerangkan tentang bilangan peminjam yang berkurangan walaupun PSS kelihatan ceria.
Penulisan petikan kedua ini menampakkan satu wacana yang menarik dan pembaca boleh
memahami isi yang hendak disampaikan dengan jelas. Perkataan ‘selalunya’ dilihat adalah kurang tepat
digunakan di dalam ayat dan boleh digantikkan dengan perkataan atau penanda wacana yang lebih
sesuai seperti ‘kebiasaannya’ dan memperlihatkan penanda wacana yang lebih menarik untuk
digunakan.

-9-

3.3 Petikan 3

Sementara perenggan ketiga pula adalah dipetik daripada buku ‘Cakna Bestari’ terbitan Jabatan
Pelajaran Negeri Kedah (2011) di bawah tajuk “Nilai Membentuk Generasi Berilmu”, muka surat 82-83.

Sebenarnya, untuk mendidik dan membimbing seseorang murid mejadi tokoh NILAM bukanlah
sesuatu tugas yang ringan dan mudah. Banyak halangan dan cabaran terpaksa dihadapi. Contohnya,
daripada sepuluh orang murid yang dipilih dan dibimbing dari tingkatan satu tersebut, mungkin hanya
tiga atau empat orang sahaja yang akan kekal bersekolah hingga ke tingkatan lima. Ada diantaranya
akan bertukar ke sekolah lain selepas Peperiksaan PMR. Hal ini demikian kerana murid yang mendapat
keputusan cemerlang iaitu 7A dan 8A ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama
penuh atau melanjutkan pelajaran ke sekolah teknik. Apabila perkara ini berlaku, ada kalanya, calon
pilihan utama sekolah yang telah diberi bimbingan dengan ilmu NILAM turut bertukar sekolah. Selain itu,
cabaran terbesar adalah untuk memilih tokoh NILAM daripada kalangan lelaki. Sudah menjadi kelaziman
di negara kita, murid perempuan lebih gemar membaca berbanding murid lelaki. Oleh itu, pihak sekolah
terpaksa berusaha gigih mancari tokoh dalam kalangan murid lelaki untuk diketengahkan sebagai tokoh
NILAM ini. Sehingga ini, kami hanya berjaya mengetengahkan hanya dua orang calon sahaja.

Penanda wacana atau perkataan yang digunakan di dalam petikan ketiga adalah seperti
‘sebenarnya’, ‘contohnya’, ‘ada diantaranya’, ‘hal yang demikian’, ‘apabila’, ‘selain itu’,’sudah menjadi
kelaziman’, ‘oleh itu’ dan ‘sehingga itu’.

- 10 -

Penanda wacana ‘sebenarnya’ membawa maksud mengesahkan atau pengeahan sesuatu


maklumat yang disampaikan. Perkataan ‘contohnya’ pula adalah bermaksud untuk memberikan contoh
seuatu perkara atau benda yang hendak diterangkan dengan lebih mendalam. Sementara perkataan ‘hal
yang demikian’, ‘sudah menjadi kelaziman’ dan ‘oleh itu’ pula membawa maksud sebab atau musabab
atau akibat sesuatu hal dan kejadian yang berlaku. Maksud penanda wacana bagi ‘apabila’ dan
‘sehingga itu’ pula merujuk kepada penanda waktu atau tempoh masa.
Bagi penanda wacana ‘selain itu’ pula membawa maksud memulakan sessuatu isi baru dalam
penulisan dan menunjukkan perbandingan sesuatu perkara. Manakala perkataan atau penanda wacana
‘selebihnya’ pula membawa maksud penghubung tambahan di dalam sesuatu ayat dan boleh juga
menunjukkan sebagai bilangan. Walaupun petikan ketiga ini nampak sempurna, namun penulis boleh
menggantikan penanda wacana ‘ada diantaranya’ kepada penanda wacana yang lebih menarik iaitu
‘selebihnya’ kerana ia akan menampakkan masud bilangan dalam wacana yang ingin diterangkan.

Daripada ketiga-tiga petikan yang telah dianalisa mengenai penanda wacananya, dapatlah
dirumuskan bahawa penanda wacana ini digunakan di dalam setiap petikan dan mempunyai bermacam
maksud mengikut konteks ayat yang dibina. Sesuatu penanda wacana tidak hanya membawa maksud
yang tetap tetapi boleh berubah mengikut situasi ayat yang dilafazkan.
- 11 -

4.0 CADANGAN MENINGKATKAN KEMAHIRAN PENGGUNAAN WACANA DI DALAM KALANGAN


PELAJAR

Pelajar-pelajar sekolah rendah terutamanya, perlu didedahkan dengan lebih banyak lagi cara-cara
meningkatkan kemahiran penggunaan wacana terutamanya di dalam aktiviti penulisan. Penggunaan
wacana yang lemah akan menjejaskan hasil kualiti sesebuah karya. Menurut Kamaruddin Hj Husin (1988)
di dalam buku HBML 3203, Tatabahasa dalam Pengajaran Bahasa Melayu keluaran Open University
Malaysia, menjelaskan bahawa beberapa perkara perlu diberikan perhatian oleh murid dalam usaha
menghasilkan penulisan yang baik, iaitu sebelum, semasa dan selepas menjalankan aktiviti penulisan.

Pelajar yang pintar akan membuat persediaan awal sebelum menulis sesebuah karya atau
karangan. Mereka sepatutnya melakukan banyak latihan tatabahasa terlebih dahulu dan membaca lebih
bahan-bahan tambahan seperti akhbar, majalah, buku-buku ilmiah dan sebagainya bagi mendapatkan
idea serta menambah perbendaharaan kata dan mengetahui penanda wacana yang sesuai dan menarik
untuk dimasukkan ke dalam hasil tulisan mereka nanti. Pelajar juga patut didedahkan dengan latihan-
latihan menyalin semula petikan atau perenggan yang mengandungi penanda wacana yang baik agar
mereka dapat memahami serta tahu fungsi penanda wacana yang sesuai di dalam hasil penulisan
mereka nanti.
Bagi mendapatkan hasil yang baik dalam penggunaan wacana dalam kalangan pelajar ini, guru
juga sepatutnya meminta murid melengkapkan ayat atau membina ayat-ayat berdasarkan penanda
wacana yang betul. Seterusnya, murid juga perlu diberi latihan menyusun ayat berdasarkan urutan serta
meletakkan penanda wacana dan kata hubung yang sesuai.

- 12 -

Seterusnya murid diminta untuk melengkapkan perenggan berdasarkan urutan cerita dengan
memasukkan penanda wacana yang sesuai dan betul di antara ayat atau perenggan supaya terdapat
kohesi dan koherennya.Selain itu, pelajar juga harus tahu serta mengetahui fungsi-fungsi wacana yang
hendak digunakan. Wacana yang menarik akan menjamin kesinambungan cerita yang menarik atau
kelancaran perjalanan cerita atau idea dari satu perenggan ke satu perenggan.

Bagi menghasilkan sesebuah karya yang baik dan menarik, pelajar mestilah menjadikan kamus
sebagai ‘kawan rapat’. Sentiasa merujuk kamus untuk mengetahui erti atau makna perkataan sukar atau
perkataan baru yang akan digunakan di dalam penulisan. Gunakan wacana yang betul dan tepat apabila
menulis dan dilarang sama sekali menggunakan wacana yang dianggap ‘sedap’ bunyinya tetapi tidak
diketahui makna dan salah penggunaannya.
Setelah pelajar pasti karya yang ditulis telah selesai, pelajar diminta membaca dan menyemak
semula hasil penulisan mereka. Ini merupakan penilaian kendiri terhadap hasil penulisan tersebut.
Penekanan perlu diberikan kepada format, isi atau huraian, imbuhan yang bersesuaian, struktur ayat,
tanda baca serta perbendaharaan kata yang betul. Penanda wacana yang digunakan perlulah diteliti
dengan betul agar penggunaannya tepat pada tempat yang betul. Jangan sesekali menggunakan tanda
soal di dalam wacana. Baiki segera kelasahan atau membuat penambaikan jika terdapat kekurangan
dalam hasil penulisan tersebut.

Jika pelajar dapat memenuhi kesemua cadangan yang dikemukan seperti di atas, pelajar tidak
perlu rasa bimbang kerana kemungkinan hasil sesebuah karya yang dibuat telah menepati apa yang
diminta. Cadangan di atas telah dinyatakan oleh beberapa orang pemeriksa kertas yang berpengalaman.
Tetapi, jika cadangan ini tidak diambil pusing oleh pelajar, besar kemungkinan hasil penulisan akan
menjadi lemah dan menyebabkan pelajar tidak memperolehi markah yang tinggi seperti yang
diharapkan.

-13 -

5.0 KESIMPULAN

Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang indah dan unik kerana ayat-ayat yang digunakan
mempunyai tautan antara satu ayat dengan ayat yang lain (kohesi) dan mempunyai perkaitan antara
satu perenggan dengan perenggan yang lain (koheren). Daripada pernyataan inilah yang membuatkan
sesebuah karya bahasa Melayu menjadi hebat. Bagi melahirkan karya Bahasa Melayu, ianya bukanlah
sesuatu yang sukar tetapi sekiranya seseorang penulis itu tahu menggunakan wacana yang baik dan
tepat, sudah pasti hasilnya juga akan hebat. Semasa berbahasa, sama ada tulisan ataupun lisan mestilah
mempunyai kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang lain atau memperlihatkan wacana
yang berkesan agar pendengar atau pembaca memahami isi atau hujah yang ingin dan akan
disampaikan.

Wacana yang baik mestilah mempunyai beberapa perkara seperti kohesi dan koheren yang
dinyatakan di atas dan termasuklah tahu akan fungsi wacana itu sendiri. Penanda wacana tidak boleh
digunakan pada tempat-tempat sembarangan, kerana kesalahan penggunaan penanda wacana akan
menjejaskan atau merosakkan maksud sesuatu hujah yang ingin disampaikan. Pendengar atau pembaca
akan keliru atau tidak memahami idea yang ingin disampaikan itu.

Setelah diteliti dengan mendalam, bolehlah dikatakan bahawa penanda wacana di dalam bahasa
Melayu ini mempunyai banyak kepentingannya dalam menghasilkan sesebuah karya ataupun penulisan.
Seseorang penulis haruslah tahu menggunakan dan faham akan kepentingan wacana itu sendiri kerana
aspek penanda wacana akan mempengaruhi cara pengolahan serta penyusunan struktur ayat,
pembahagian perenggan, penggunaan kosa kata dan penggunaan bahasa secara keseluruhan. Pelajar
seharusnya didedahkan dengan penggunaan penanda wacana yang betul sejak awal lagi agar mereka
tidak kekok dan dapat menggunakannya dengan berkesan di masa hadapan. Hal ini tidak boleh
dipandang ringan oleh semua pihak jika kita ingin melahirkan seorang penulis atau karyawan yang
berkaliber suatu hari nanti kerana semuanya bermula dengan wacana yang berkesan.

Anda mungkin juga menyukai