Anda di halaman 1dari 5

HUKUM MENGGUGURKAN JANIN KERANA FAKTOR KESIHATAN

Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:

‫ ثم يك ون‬، ‫ ثم يك ون علق ة مث ل ذل ك‬، ‫إن أحدكم يجمع خلق ه في بطن أم ه أربعين يوم ا نطف ة‬
‫ بكتب رزقه‬: ‫ فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات‬، ‫ ثم يرسل هللا إليه الملك‬، ‫مضغة مثل ذلك‬
‫وعمله وأجله وشقي أو سعيد‬
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya
selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari),
kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus
seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya:
Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh
kepadanya.” Hadis riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)

Pengguguran atau al-ijhad (‫ )اإلجهاض‬dari segi bahasa memberi maksud janin yang jatuh
yang telah sempurna dan telah ditiupkan roh, tetapi belum hidup. Dan perkataan al-
ijhad ini juga memberi maksud yang sama dengan beberapa perkataan yang lain, iaitu
al-izlaq (tergelincir), al-isqat (jatuh), al-imlas (tergelincir) dan al-islab (jatuh). (Rujuk: Al-
Qamus al-Fiqhi, hlm 174).

Menurut ilmu perubatan di dalam bidang obstetrik dan ginekologi, pengguguran


membawa maksud pembuangan hasil persenyawaan atau konseptus sebelum tamat
tempoh kehamilan yang normal. (Rujuk: Pengguguran Bayi Menurut Perspektif Islam
dan Perundangan di Malaysia, hlm 72).

HUKUM PENGGUGURAN DALAM ISLAM

Keadaan Pertama : Usia Kandungan Lebih daripada 120 hari

Para jumhur fuqaha’ telah bersepakat mengatakan bahawa haram hukumnya


menggugurkan kandungan setelah ditiupkan ruh tanpa sebab-sebab yang dikategorikan
sebagai darurat. (Rujuk: Al-Bahr al-Raiq, 8/233; Nihayah al-Muhtaj, 8/422; Al-Insof,
1/386; Hasyiyah al-Dasuqi, 2/367).

Usia kandungan yang ditiupkan ruh itu adalah selepas kandungan itu berusia empat
bulan atau 120 hari kehamilan berdasarkan hadis Ibnu Mas’ud yang telah disebutkan
sebelum ini. (Rujuk: Fathul Bari, 11/588). Ia dianggap melakukan jenayah terhadap
makhluk yang hidup, sempurna dan bernyawa tanpa sebarang alasan munasabah.
(Rujuk: Syarah Sunan Ibn Majah, 5/9; Syarh Zad al-Mustaqni',7/325).

Sabda Nabi S.A.W:

‫ال ضرر وال ضرار‬


Maksudnya: “Tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh membawa mudarat kepada
diri sendiri dan orang lain”.[Riwayat Ibnu Majah (1/313) dan Ahmad (2/784)]

Pengguguran adalah sesuatu yang memudaratkan janin kerana tindakan tersebut


adalah bertujuan mematikannya. Ia juga boleh memudaratkan nyawa si ibu kerana
dalam beberapa keadaan, perbuatan menggugurkan janin boleh menyebabkan
pendarahan yang teruk pada ibu dan seterusnya mengancam nyawanya.

Keadaan Kedua: Usia Kandungan Kurang daripada 120 Hari

Menggugurkan anak atau janin yang berada di dalam kandungan sebelum ia berusia
empat bulan adalah termasuk dalam perkara yang diperselisihkan hukumnya di sisi
para fuqaha. Majoriti ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Sebahagian
lain mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Manakala sebahagian lain pula
berpendapat bahawa hukumnya adalah harus sekiranya terdapat keuzuran.

Kami cenderung kepada pendapat majoriti fuqaha berkenaan pengharaman


menggugurkan kandungan yang berusia kurang daripada empat bulan. (Rujuk: Nihayah
al-Muhtaj, 8/416; Al-Mughni, 7/816; Al-Syarh al-Kabir, 2/266-267). Penjelasan lanjut
mengenai bab ni boleh rujuk artikel kami yang berkaitan:
Hukum Gugurkan Janin Bagi Wanita Yang Sibuk Bekerja

MENGGUGURKAN KANDUNGAN KERANA FAKTOR KESIHATAN

Majoriti ulama’ menyatakan keharusan menggugurkan kandungan samada usia


kandungan kurang daripada empat bulan atau lebih jika kehamilan tersebut berpotensi
besar untuk mengancam nyawa si ibu. Sebagai contoh, kehamilan di luar rahim,
kehamilan bagi pesakit yang menderita penyakit kronik seperti kanser dan HIV.

Pendapat ini adalah berdasarkan kepada prinsip Usul Fiqh yang menyatakan:

‫إذا تعارضت مفسدتان رُوعي أعظمُهما ضررً ا بارتكاب أخفهما‬


Maksudnya: “Jika terdapat dua jenis mudarat, maka hendaklah diraikan mudarat yang
lebih besar dengan mengambil mudarat yang lebih ringan”. (Rujuk: Al-Asybah wa al-
Nazair, hlm 87; Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, hlm 203).

Dalam situasi sebegini, nyawa kedua ibu dan anak sama penting dan berharga.
Namun, seandainya pilihan terpaksa dibuat di antara nyawa ibu yang sudah jelas
hidupnya, maka ia perlu lebih diutamakan berbanding bayi yang belum pasti keupayaan
hidupnya. Islam adalah agama yang realistik dan fleksibel. Dalam situasi di mana
berlakunya darurat yang sangat mendesak, maka ada kelonggaran diberikan untuk
‘keluar’ daripada prinsip asal yang mungkin tidak membenarkan. (Rujuk: Al-Majmu'
Syarh al-Muhadzzab, 5/301; Al-Bahr Al-Raiq, 8/233).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang
telah diputuskan pada 7 Mac 1990 ada menyatakan berkaitan persoalan hukum
mengugurkan kandungan di atas nasihat doktor disebabkan kecacatan. Secara
ringkasnya, fatwa tersebut menyatakan:

(1) Menurut Ijmak Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih
120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin
yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa
ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.
(2) Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari
sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan
daripada kedua-dua suami isteri.
(3) Ijmak Fuqaha’ berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum
120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh
membahayakan nyawa ibu.

Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di


dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh
membahayakan nyawa ibu.

Fatwa ini juga selari dengan ketetapan daripada Majma’ Fiqh al-Islami yang
menyatakan: “Sekiranya kandungan itu berusia 120 hari, maka haram hukumnya
menggugurkannya, sekalipun ia didapati terdapat kecacatan, melainkan sekiranya
mendapat pengesahan daripada pakar perubatan bahawa kandungan itu boleh
menjejaskan nyawa ibu, maka ketika itu harus menggugurkannya kerana memelihara
nyawa ibu lebih diutamakan”. (Rujuk: Qarar Majma’ al-Fiqh al-Islami, No 277).

Justeru, merujuk kepada persoalan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa


haram hukumnya menggugurkan kandungan tersebut kerana ia tidak berpotensi
besar dalam mengancam nyawa ibu. Hal ini disebabkan pengesahan pakar
perubatan yang mengatakan keadaan ibu masih stabil dan selamat untuk meneruskan
kehamilan. Walau bagaimanapun, kami menasihati si ibu supaya mendapatkan
kaunseling daripada pakar psikologi dan merujuk kepada pakar perubatan dalam
mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan kesihatan ibu dan
kandungan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Kami juga menasihatkan ibu supaya memohon pertolongan daripada Allah dengan
memperbanyakkan doa dan solat supaya dipermudahkan segala urusan sepanjang
kehamilan dan proses bersalin. Kita juga hendaklah bersangka baik kepada Allah dan
redha menerima ketentuannya sebagaimana firman Allah:
‫ب هَّللا ُ َل َنا ه َُو َم ْواَل َنا ۚ َو َع َلى هَّللا ِ َف ْل َي َت َو َّك ِل ْالم ُْؤ ِم ُنون‬
َ ‫قُل لَّن يُصِ ي َب َنا إِاَّل َما َك َت‬

Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa sesuatu


pun melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dia lah pelindung yang
menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah
hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakkal”. (Surah al-Taubah:51)

Selain itu, hadis qudsi daripada Abu Hurairah R.A dia berkata, Nabi S.A.W bersabda:

‫ أَ َنا عِ ْندَ َظنِّ َع ْبدِي ِبي‬: ‫َيقُو ُل هَّللا ُ َت َعا َلى‬

Maksudnya: “Aku adalah menurut sangkaan hambaku kepadaKu”. [Riwayat al-Bukhari


(7405) dan Muslim (2675)]

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, kami cenderung menyatakan bahawa hukum


menggugurkan kandungan sekiranya boleh mendatangkan mudarat kepada ibu
adalah harus mengikut Hukum Syarak kerana meraikan maslahah yang lebih
besar iaitu keselamatan nyawa ibu. Dengan syarat hal tersebut mestilah mendapat
pengesahan daripada pakar perubatan. Namun begitu, sekiranya kandungan tersebut
tidak merisikokan nyawa si ibu, maka hukumnya adalah haram menggugurkan
kandungan. Wallahu a’lam.

Anda mungkin juga menyukai