Anda di halaman 1dari 5

Nilai-Nilai Universal Tamadun Asia Nilai-nilai universal dalam Tamadun Asia tertanam dalam ajaran-ajaran keagamaan yang telah

berkembang subur di seluruh Asia; sama ada Islam, agama dan kepercayaan dari Tanah Besar China mahupun dari benua India. Nilai-nilai universal dari tradisi keagamaan ini boleh diringkaskan berdasarkan prinsip-prinsip seperti berikut; Berlandaskan idea keagamaan Menekankan aspek kemanusiaan dan institusi kekeluargaan Menekankan tatacara dan etika dalam kehidupan Mementingkan kebijaksanaan dalam kepemimpinan Menghargai alam sekitar Mementingkan ilmu dan orang berilmu Berlandaskan idea keagamaan Peranan agama dalam semua tamadun Asia sangat penting kerana ia membantu memantapkan struktur sosial dan intelektual sesuatu tamadun. Semua tamadun Asia sama ada berasaskan agama samawi atau budaya, tetap menjunjung tinggi doktrin keagamaan, malah dari agama inilah lahirnya kebudayaan dan sains. Idea ketuhanan yang transcendence (kudus) sama ada dengan panggilan Ti, Brahman atau Sang Hyang Tunggal menyebabkan institusi dan ajaran keagamaan agama lain juga di hormati. Sebagai contohnya, Tamadun Islam bertunjang dan berpaksikan kepada konsep tauhid. Ini bermaksud tauhid merupakan intipati dalam kehidupan bertamadun masyarakat Islam. Justeru itu, asas dalam Tamadun Islam adalah akidah, syariah dan akhlak. Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen dalam agama Islam. Sumber dalam tamadun Islam adalah sumber naqli iaitu sumber wahyu. Sumber ini menjadi sumber asas, manakala sumber aqli iaitu yang berdasarkan akal merupakan sumber sekunder yang mana ketetapannya mestilah tidak bercanggah dengan sumber naqli. Aspek kerohanian dalam Tamadun Islam amat dipentingkan. Kerohanian (spiritual) dan kebendaan (material) mestilah seimbang dan bersepadu. Kesepaduan ini akan membentuk matlamat Tamadun Islam yang paling utama iaitu mencapai keredaan Allah, manakala material berfungsi sebagai wasilah atau alat penghubung dalam mencapai matlamat utama tersebut. Contoh lain pula dapat dilihat pada Tamadun Cina. Masyarakat Cina tetap percaya kepada konsep ketuhanan walaupun terdapat pelbagai agama yang menjadi anutan mereka. Antaranya, penyembahan roh nenek moyang, fahaman Konfusius, Daoisme atau Taoisme dan Buddhisme. Kesemua agama ini menekankan konsep ketuhanan dan kerohanian yang menjanjikan balasan baik bagi perbuatan baik dan sebaliknya, kecuali Buddhisme. Dalam kosmologi Cina terdapat konsep tian yang bermaksud langit, iaitu merujuk kepada dewa yang terpenting. Dewa dalam masyarakat Cina merupakan pembuktian kewujudan Tuhan. Dalam Dinasti Chou, tian merujuk kepada makhluk unggul di langit (supreme being) yang mengatur perjalanan hidup dan nasib

seseorang, menentukan keamanan dan kesejahteraan serta memberi balasan baik dan buruk. Ia juga mungkin menyebabkan kemudaratan sebagai hukuman terhadap insan yang berkelakuan salah. Kepercayaan terhadap konsep ini, mendorong masyarakat mereka mengawal tingkah laku bagi mengelakkan dari mendapat balasan dari tian. Tamadun India juga memperlihatkan hal yang sama mengenai kedudukan agama dan kerohanian yang tinggi dalam masyarakat. Kepercayaan Hindu menekankan konsep ketuhanan dan kerohanian. Antaranya percaya kepada konsep trimurti iaitu percaya kepada ketuhanan Brahma (Tuhan Pencipta), Vishnu (Tuhan Pemelihara) dan Siva (Tuhan Pemusnah). Institusi Kekeluargaan dan Aspek Kemanusiaan Tamadun Asia begitu sarat dengan elemen rite de passage iaitu adat istiadat dari saat kelahiran hinggalah kematian. Hal ini amat dititikberatkan oleh anggota keluarga. Ini menunjukkan bahawa ikatan kekeluargaan sangat ditekankan. Sebagai contohnya, dalam perspektif Islam, soal institusi kekeluargaan diperhalusi oleh ilmu munakahat yang mengatur pembinaan institusi keluarga bermula dari proses mencari jodoh, tanggungjawab suami isteri dan seterusnya. Selain itu terdapat juga hubungan yang baik dengan Allah (hablum minaLlah) dan hubungan yang baik sesama manusia (hablum minannas). Hablum minannas diikat dengan ukhuwah Islamiyah, dengan maksud semua umat Islam bersaudara dan sama di sisi Allah kecuali orang yang bertakwa. Islam menetapkan agar umatnya sentiasa menjaga akhlak antara sesama manusia yang merangkumi akhlak dengan ibubapa, guru, kawan, jiran, sesama Islam dan bukan Islam, malah akhlak terhadap musuh Islam juga perlu dijaga. Hubungan yang baik sesama manusia amat perlu dijaga, malah andainya seorang Islam tidak mempunyai hubungan yang baik dengan manusia yang lain walaupun mempunyai hubungan yang baik dengan Allah, dia tidak dikira sebagai ahli syurga. Dalam konteks pergaulan juga, syariat Islam diturunkan agar kepentingan 5 hak asasi manusia terlaksana iaitu hak beragama, menjaga kewarasan akal, menjaga nyawa, harta benda dan maruah diri. Ini memperlihatkan ajaran Islam menekankan nilai kemanusiaan. Dalam Tamadun China pula terdapat konsep Ren yang bermaksud kasih sayang. Konsep ini merujuk kepada sifat perikemanusiaan yang dianggap ekspresi jantung manusia. Dalam Tamadun Hindu terdapat konsep Ahimsa iaitu belas kasihan yang boleh membawa kepada tiadanya kekejaman terhadap sebarang makhluk sama ada manusia ataupun binatang. Menekankan Tatacara dan Etika Dalam Kehidupan Etika dalam Islam adalah manfaat daripada penghayatan syariat. Syariat diutuskan Allah kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dan mengatur kehidupan agar harmoni. Syariat Islam mengatur hubungan manusia dengan Allah melalui pengamalan ibadat dan hubungan manusia sesama manusia melalui pelaksanaan muamalat, munakahat dan jinayat. Syariat Islam juga merangkumi akhlak iaitu sistem nilai yang menjamin kehidupan yang beretika. Akhlak Islam

bersifat syumul iaitu meliputi akhlak dengan Allah SWT, Rasulullah SAW, sesama manusia terutamanya ibu, bapa, guru, jiran dan termasuk sesama manusia walaupun dengan bukan Islam. Demikian juga akhlak Islam termasuk dengan alam persekitaran seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Penegasan soal etika dalam ajaran Islam menjadi faktor utama Rasulullah SAW diutus oleh Allah kepada manusia. Justeru itu, Rasulullah merupakan model akhlak yang terbaik kepada umat Islam dan manusia seluruhnya. Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah terdapat contoh ikutan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah. (al-Ahzab: 21)

Dalam Tamadun Asia lain seperti China terdapat konsep Dao (jalan). Begitu juga pemikiran tentang Li (Tatasusila). Menerusi konsep ini, Konfusius menekankan peraturan akhlak dan peraturan kehidupan berasaskan tiga perkara berikut iaitu peraturan perhubungan manusia dengan Tuhan,peraturan perhubungan manusia dengan manusia dan peraturan perhubungan politik Selain itu, Konfusius juga menekankan konsep zhong yong iaitu kesederhanaan. Segala perlakuan manusia perlulah sederhana dan tidak setuju kekerasan sebagai jalan penyelesaian. Dalam Hinduisme pula ia berpaksikan idea dharma (tanggungjawab) dan karma iaitu doktrin perbuatan; baik akan mendapat balasan yang baik. Demikian juga sebaliknya, buruk dibalas buruk. Masyarakat perlu mematuhi etika yang ditetapkan agar kehidupan barunya lebih baik dan mendapat matlamat dalam mencapai mokhsa. Mementingkan kebijaksanaan kepemimpinan Pemimpin adalah khalifah di muka bumi sinonim dengan kepemimpinan dalam Islam. Politik Islam menggariskan sistem dan corak pemerintahan Islam seperti asas dalam berpolitik adalah tauhid, risalah dan khilafah. Selain itu, prinsip politik Islam adalah keadilan, persamaan, syura dan akauntabiliti. Sumber dalam politik Islam ialah kitabuLlah dan sunnah rasul-Nya, di samping ijtihad dan ijmak ulama. Dalam Tamadun China, Konfucius menekankan ajaran moral kepada manusia, antaranya membantu pemerintah yang baik dan sifat baik merupakan satu harta yang paling penting untuk dimiliki oleh setiap pegawai. Dalam hal ini, Raja-raja Chou mengaitkan diri mereka dengan konsep anak syurga dan mandat dari syurga. Ini merujuk kepada maksud raja adalah wakil Tuhan di bumi. Justeru itu mereka perlu memerintah dengan adil dan jika gagal, mandat akan ditarik semula. Selain itu, ajaran Konfusius juga menekankan pemerintahan yang berdasarkan zheng ming, iaitu nama yang betul untuk menjelaskan di antara perkara yang benar dan salah. Ia bermaksud, peranan dan tanggungjawab adalah mengikut nama yang disandang. Tujuannya adalah untuk membezakan antara perkara yang betul dan salah. Pemerintah juga perlu memperbaiki diri sendiri atau zheng ji.

Dalam ajaran Hindu dan Buddha pula, konsep dharma dijadikan panduan tingkah laku yang wajar dari raja kepada rakyat. Dharma menekankan nilai-nilai moral seperti mengawal nafsu dan mengamalkan toleransi. Menghargai alam sekitar Islam menekankan hubungan yang harmonis dengan alam dan melarang sebarang tingkah laku dan perbuatan yang bersifat fasad. Sehubungan ini, penggunaan alam sekitar dikawal oleh hukum Islam terutamanya konsep Halal dan Haram. Alam sekitar merupakan anugerah Allah SWT yang diamanahkan kepada manusia untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. Allah berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya agar Kami menguji mereka siapakah antara mereka yang terbaik perbuatannya. (al-Kahfi: 7) Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan dan berlayar di lautan. Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan meluncurkan bahtera itu membawa orang-orang yang berada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka bergembira kerananya. (Dan apabila) datanglah angin badai dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya) maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata): Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini pastilah kami termasuk orang-orang yang bersyukur. (Yunus: 22)

Selain itu, alam merupakan tanda kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Justeru itu, Allah telah menentukan adab dan akhlak manusia dengan alam termasuk makhluk ghaib. Dalam Tamadun Cina, khususnya ajaran Tao, alam di anggap sebagai ibu atau Dao. Ini menunjukkan bumi sebagai entiti yang perlu dimuliakan. Dalam Buddhism dan Shinto pula, hubungan harmonis manusia dengan alam ditekankan melalui konsep Esho Fui, iaitu manusia dan alam saling memerlukan. Dalam fahaman masyarakat peribumi Malaysia juga terdapat kepercayaan menghargai dan memelihara alam sekitar. Bagi mereka alam mempunyai kuasa ghaib. Mereka percaya petir sebagai penjaga haiwan dan tumbuhan. Justeru itu, peribumi melarang menebang pokok tanpa niat untuk digunakan atau membunuh binatang tanpa niat untuk dimakan. Perbuatan ini akan mengundang kemarahan Tuhan dan akan diturunkan bala bukan sahaja kepada pesalah, malah seluruh komuniti mereka. Kepercayaan ini mendorong mereka menjaga alam sekitar agar berada dalam ekologi yang seimbang. Mementingkan ilmu dan orang berilmu Konsep ulama dalam Islam berkait rapat dengan ilmu dan orang yang berilmu. Seorang invidu di dalam masyarakat Islam hanya diterima sebagai ulama jika persiapan ilmunya sempurna dan tercermin pada kewibawaan personaliti diri dalam segala aspek. Selaras dengan ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya yang takut kepada Alllah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama. (al-Fatir: 28)

Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmuku (Taha: 114) Katakanlah wahai Muhammad, adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui. Bahawasanya yang mengingati ialah orang-orang yang menggunakan fikirannya (ulul albab). (al-Zumar: 9)

Ulama memainkan peranan besar dalam Islam. Antaranya sebagai pembimbing umat, penyelesai masalah, pakar rujuk dan model atau contoh tauladan dalam masyarakat Islam. Justeru itu, Rasulullah SAW menegaskan dalam hadithnya yang bermaksud:
Ulama merupakan pewaris para nabi.

Dalam ajaran Konfusius, terdapat konsep Jun Zhi (orang budiman) yang bermaksud orang yang berilmu dan tahu akan kewajaran sesuatu. Salah satu tingkat dalam empat perjalanan hidup (Asramas) seorang penganut Hindu pula ialah Bramacarya yang memerlukan pengisian ilmu pengetahuan. Tingkat Asramas yang lain adalah tahap Ghastra, Vanaprahastra, Sanayasa. Ringkasnya, Tamadun Asia mempunyai satu kekuatan yang telah diwarisi sejak Asia mula didiami oleh kelompok masyarakat. Kekuatan tersebut ialah nilai kesejagatan dan bersifat sepunya antara tamadun-tamadun di Asia. Nilai kesejagatan ini telah membentuk jalinan interaksi harmoni antara tamadun walaupun antara tamadun ini memiliki dasar pegangan agama yang berbeza. Peranan Islam sangat besar dalam menjadikan nilai-nilai dari ajaran agama diiktiraf sebagai pendorong kepada pembinaan tamadun dalam zaman yang serba moden ini. Umat Islam sebagai ummatan wasata (umat pertengahan) boleh menjadi perantara yang baik dalam berinteraksi dengan tamadun moden mahupun tamadun tradisional. Nilai pertengahan ini juga termasuklah tidak terlalu bersifat kebendaan dan juga tidak menolak dunia secara total. Selain itu, Tamadun Islam juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang dapat dilihat pada nilai-nilai transenden (kudus) yang merentas batas daerah dan budaya. Nilai ini mampu menjadi nilai universal tamadun manusia.

Anda mungkin juga menyukai