Anda di halaman 1dari 9

KERJA DARI RUMAH: PELUANG DAN

CABARAN DALAM TEMPOH


PERINTAH KAWALAN
PERGERAKAN (PKP)
Posted on April 5, 2020 by akmal ahmat
Oleh: Mohd Shahrulnizam Zuraimi / Timb. Ketua Pustakawan
– msn@umt.edu.my

Berikutan pengumuman oleh Y.A.B Perdana Menteri berhubung Perintah


Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 13 Mac hingga 14 April 2020 bagi
membendung penularan wabak Coronavirus, warga penjawat awam dan
swasta telah diarahkan untuk bekerja dari rumah. Perkembangan ini juga
boleh dilihat dengan edaran pekeliling ke setiap agensi berkaitan garis
panduan bekerja dari rumah yang perlu dipatuhi oleh penjawat awam
khususnya. Ketua-ketua perkhidmatan dikehendaki menyelaras tugas bagi
diikuti staf di jabatan masing-masing. Namun demikian, terdapat pelbagai
potensi dan cabaran dalam melaksanakan tugasan di rumah dan ianya
memerlukan perhatian khususnya pekerja yang ingin melaksanakan tugasan
tersebut. Sebelum saya kongsikan dengan lebih lanjut, izinkan saya
mengupas sedikit mengenai perkembangan senario bekerja dari rumah yang
telah lama bertapak.
Revolusi
Industri merubah cara kita bekerja – gambar sumber Google
Istilah Work From Home atau lebih dikenali bekerja dari rumah mula tercetus
di era sebelum revolusi industri lagi. Merujuk kepada petikan penulisan
Adrianne Bibby dalam kolum Flexjobs, beliau menyatakan rumah kerja pada
zaman pertengahan direka bentuk untuk menggabungkan aktiviti domestik,
tetapi lebih banyak dalam menyokong usaha komersial dalam satu ruang
hidup. Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan seperti memasak, menjahit, tidur
dan makan semasa musim menuai, penternakan dan tugas lain. Ini
bermakna, pelbagai tugasan yang berkaitan dengan rutin kehidupan, boleh
dilakukan dirumah sahaja berbekalkan sumber-sumber dan ruang khusus.

ADVERTISEMENT
REPORT THIS AD

Dalam konteks moden, sudah wujud bermacam jenis profesion yang


dilakukan di rumah dan memperoleh pendapatan yang lumayan. Antara
contoh kerja yang dimaksudkan ialah seperti telemarketer, pereka grafik, data
entri, e-dagang, penulis, editor dan pelbagai lagi. Perkembangan ini
membawa kepada jumlah peningkatan jumlah pekerja yang melakukan kerja
di rumah. Melalui tinjauan yang telah dilakukan Quartz, Amerika Syarikat,
data menunjukkan (5.2%) pekerja melaksanakan kerja di rumah pada tahun
2017 dan jumlah tersebut dianggarkan seramai 8 juta orang. Dalam kajian lain
yang dilakukan Owl Labs, antara faktor pekerja ingin bekerja dari rumah,
(91%) mengatakan ingin mendapatkan keseimbangan hidup, (79%) ingin
meningkatkan produktiviti, (78%) mengurangkan tekanan kerja dan (78%)
untuk mengelakkan kesesakan lalulintas. Ini adalah konteks di luar Negara.

Namun demikian, ianya berbeza dengan apa yang berlaku di negara kita,
khususnya, pekerja sektor awam dan swasta. Ancaman Covid19 memerlukan
kepada komitmen masyarakat untuk mengekalkan penjarakan sosial bagi
mengurangkan kadar jangkitan. Apa yang ingin saya huraikan disini, tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan membolehkan penjawat awam dan swasta
untuk meneroka potensi yang boleh dimanfaatkan untuk tugasan dan
mengenalpasti cabaran dalam memastikan produktiviti mereka di rumah
dapat ditingkatkan. Walaubagaimanapun, saya berpandangan, mereka akan
sedikit kekok melaksanakan tugasan di rumah kerana ia merupakan
pengalaman baharu buat mereka, khususnya melaksanakan tugas di rumah
untuk satu tempoh yang lama. Persediaan dari segi mental, keupayaan dan
sumber menjadi daya penentu dalam mempermudahkan pelaksanaan tugas
di rumah.

Mampu
konsisten produktiviti kerja adalah satu kejayaan besar – gambar sumber
Google
Apakah potensi yang saya maksudkan dalam konteks pekerja sektor
awam/swasta?
Bekerja dari rumah mempunyai satu sudut positif buat pekerja. Pekerja boleh
mempelajari teknologi baharu, mendidik dalam pengurusan waktu,
perancangan berkesan dan pelaksanaan tugas yang lebih berfokus. Dalam
tempoh PKP, dari sudut pandang majikan, sebelum menetapkan kerja dari
rumah, majikan sebolehnya melaksanakan tinjauan bagi mengenalpasti
keupayaan pekerja dan sumber yang boleh membantu mereka melakukan
kerja di rumah. Tinjauan yang dimaksudkan ialah bagi mengetahui komitmen,
peralatan, akses serta maklumat yang boleh dicapai oleh pekerja sepanjang
tempoh PKP. Merujuk kepada tinjauan yang dilakukan oleh jabatan saya
misalnya, (83.7%) pekerja mampu menyelesaikan tugasan dengan cara yang
minimum di rumah, manakala (20 %) tidak mampu kerana mempunyai
masalah perkakasan, sumber maklumat dan capaian internet. Kajian ini
membolehkan jabatan saya untuk menentukan jenis kerja yang bersesuaian
yang boleh dilakukan oleh pekerja serta membantu mereka yang tidak
mempunyai sumber capaian melakukan tugas secara manual sahaja.
Disamping itu juga, dalam sudut pemantauan kerja yang boleh diukur,
majikan perlu menyediakan garis panduan sebagai rujukan kepada pekerja
dan menentukan kaedah bagaimana pekerja tersebut dapat memberikan
maklumbalas terhadap kerja yang telah dilaksanakan. Dalam konteks pekerja
pula, setelah menerima tugasan yang perlu dilakukan dirumah, mereka perlu
memberi perhatian terhadap perkara berikut;

 Kemahuan mempelajari dan menggunakan teknologi baharu


 Komitmen, disiplin dan sasaran
 Mempunyai peralatan dan ruang kerja
 Komunikasi yang jelas

Pekerja perlu mempunyai kemahuan yang tinggi untuk meneroka teknologi


yang boleh dimanfaatkan dalam membantu mempermudahkan tugasan di
rumah. Antara aplikasi yang saya ingin kongsikan adalah seperti berikut;

 Zoom – Menyokong aktiviti persidangan video samada melalui


laptop/telefon pintar. Aplikasi ini juga membolehkan pekerja untuk
melakukan perbincangan dan berkongsi paparan dan dokumen.
 Youtube Live – Membolehkan pekerja untuk melakukan aktiviti
perbincangan/perkongsian ke media sosial.
 Google Drive/Dropbox – Berfungsi sebagai storan.
 Todoist/Google Task – Membolehkan pekerja untuk mengurus dan
mengemaskini tugas/pemantauan melalui telefon pintar.
 Emel – Membolehkan akses kepada dokumen-dokumen penting.
 FB Chat/Telegram/Whatsapp – Membolehkan pekerja untuk
memberikan khidmat sokongan secara digital dan perkongsian
dokumen.
 Canva – Membolehkan pekerja melakukan rekabentuk infografik
ringkas

Ada banyak lagi aplikasi yang tak dapat saya nyatakan, namun ia bergantung
sepenuhnya kepada kemahuan pekerja itu sendiri untuk mempelajari dan
memaksimumkan penggunaan aplikasi yang saya sebutkan untuk tujuan
membantu tugasan di rumah.

Memastikan sasaran
dapat dicapai satu cabaran yang besar – gambar sumber Google
Komitmen, disiplin dan jelas terhadap sasaran;

Kejayaan atau kegagalan dalam melakukan kerja di rumah bergantung


kepada komitmen. Pekerja khususnya dalam tempoh PKP, perlu mempunyai
komitmen yang jelas untuk melakukan tugas di rumah serta berupaya
memberi maklumbalas kepada majikan atau rakan sekerja dalam tempoh
tersebut. Dalam tempoh ini, pekerja perlu meletakkan tanggungjawab yang
tinggi terhadap kerja yang telah diamanahkan oleh majikan kerana disinilah
terletak ukuran nilai integriti dalam jiwa mereka. Pekerjaan yang dilakukan
akan lebih lancar apabila pekerja itu bersungguh-sungguh dan professional
melaksanakan tugasannya kerana dalam konteks pekerja beragama Islam
khususnya, keberkatan pendapatan itu akan datang daripada hasil kerja yang
diusahakan. Manakala sikap disiplin pula akan dipupuk sepanjang melakukan
tugas di rumah apabila pekerja itu mematuhi waktu dan tidak dipengaruhi oleh
elemen malas apabila berada di rumah. Sikap ini akan menjadi pemangkin
dalam pembentukan watak seorang pekerja yang tegas, disiplin dan amanah.
Dalam konteks sasaran kerja pula, ianya perlu diambil perhatian oleh pekerja,
sasaran perlu realistik dan mudah dilaksanakan dalam keadaan sumber yang
terhad. Sasaran juga akan menentukan sejauhmana kita mampu melakukan
tugasan dengan pengawasan yang minimum oleh majikan. Tanpa sasaran
kerja, waktu kita dalam tempoh PKP, akan terbuang begitu sahaja. Setiap
tugas yang dilaksanakan, mestilah dicatatkan, walaupun sedikit kerana ia
akan menjadi satu pembuktian bahawa kita telah sedaya upaya
melaksanakan amanah sepanjang berada dalam tempoh PKP.

Pe
ralatan yang sesuai di rumah amatlah penting untuk melakukan kerja pejabat-
gambar sumber Google
Mempunyai peralatan dan ruang kerja;
Kemahiran pekerja untuk menyesuaikan keadaan di rumah dengan jenis kerja
yang ingin dilakukan juga amat penting. Ini termasuk menentukan apakah
jenis peralatan yang akan digunakan sepanjang bekerja di rumah. Komputer
riba, akses kepada internet dan mempunyai ruang kerja yang khusus sangat
mempengaruhi kebolehlaksanaan tugas di rumah. Komputer riba diperlukan
untuk kerja-kerja menaip, berkomunikasi dan menghantar dokumen.
Rangkaian internet adalah sumber akses yang kritikal dalam tempoh ini.
Keperluan kepada akses data berkelajuan tinggi mempengaruhi tahap
keupayaan dan sikap kita untuk melakukan tugas dengan lancar di rumah.
Sekiranya rangkaian akses perlahan, ianya akan menjejaskan “mood” kita
untuk berinteraksi dengan berkesan dan menjejaskan kerja-kerja yang ingin
dilakukan. Dalam keadaan PKP, faktor pemboleh dalam melaksanakan tugas
di rumah ialah komunikasi dan kerja yang dilakukan secara digital sahaja. 
Faktor lain ialah ruang kerja yang bersesuaian, mempunyai meja, kerusi yang
ergonomik dan pencahayaan yang mencukupi. Apabila melakukan
persidangan video bersama rakan-rakan, imej latar belakang perlulah diambil
kira kerana ia merupakan ruang privasi kita. Secara kesimpulannya, pekerja
perlu memilih sudut yang bersesuaian untuk dijadikan ruang kerja. Pekerja
akan lebih produktif sekiranya ruang kerja yang dipilih, mengambil kira
keperluan-keperluan yang telah saya nyatakan kerana pekerja akan
meluangkan tempoh yang lama untuk berada di ruang kerja tersebut.

anak-
anak bergiat aktif di rumah menjadi satu cabaran ketika melakukan kerja
pejabat – gambar sumber Google
Komunikasi yang jelas dan membuat catatan;
Majikan perlu memberikan arahan yang jelas terhadap pekerja mereka
berkaitan tugasan dan tempoh yang ditetapkan. Manakala pekerja pula perlu
memberikan maklumbalas kepada majikan sekiranya ada perkara yang tidak
dapat mereka laksanakan.  Komunikasi yang jelas menggunakan saluran
verbal atau teks perlu diberi perhatian. Elakkan komunikasi yang terlalu
ringkas serta boleh menimbulkan makna yang kabur atau berbeza kerana
penelitian/pembacaan mungkin berbeza tanggapan dengan apa yang dibaca
atau dilihat. Perkara-perkara ini memerlukan kemahiran pekerja dalam
menyampaikan sesuatu maksud yang mampu difahami, berpandukan garis
panduan bagi mencapai objektif maksud tersebut.  Dalam aspek melakukan
sidang video pula, pekerja perlu sentiasa bersedia dengan buku nota untuk
mencatatkan perkara-perkara penting sahaja sepanjang perbualan video
bersama majikan. Perkara ini mampu membantu sebagai rekod rujukan dan
mengelakkan pekerja terlepas perkara-perkara penting yang perlu diambil
tindakan.

Cabaran bekerja dari rumah;

Masalah kurang responsif;

Mungkin disebabkan ada masanya pekerja melakukan perkara lain di rumah,


misalnya, memasak, membasuh baju menguruskan anak, pertanyaan atau
persoalan yang dikemukakan melalui platform emel/whatsapp lambat diberi
maklumbalas. Pada pandangan saya, pekerja perlu menguruskan urusan
rutin di rumah serta perlu mempunyai tempoh masa khusus untuk melihat
emel/whatsapp mereka dengan kekerapan yang munasabah. Ini dapat
mengurangkan permasalahan sesuatu perkara lambat diambil tindakan.
Pekerja juga sebenarnya perlu bersedia pada bila-bila masa apabila
diperlukan melalui panggilan telefon atau whatsapp. Mereka boleh
memaklumkan kepada majikan sekiranya mempunyai kekangan dalam
memberikan maklumbalas segera.

Faktor persekitaran;

Cabaran bekerja dari rumah ialah bagi mengalihkan “distraction” yang berlaku


ketika pekerja melakukan kerja. Misalnya anak memerlukan perhatian,
membuat bising dan sebagainya ketika kita melakukan persidangan video
atau menaip. Ini memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menangani
keadaan tersebut. Cabaran ini boleh ditangani oleh pekerja dengan memilih
waktu yang sesuai untuk melakukan tugasan tersebut. Penyesuaian ini akan
membantu mengurangkan gangguan dalam melakukan tugas di rumah.

Masalah ketiadaan peralatan dan akses internet;

Ada segelintir pekerja tidak mempunyai peralatan seperti laptop dan akses
kepada internet. Ini merupakan salah satu cabaran yang perlu diberikan
perhatian oleh majikan. Majikan perlu menentukan jenis kerja yang
bersesuaian terhadap mereka yang tiada kemudahan tersebut. Pekerja pula
perlu memberikan komitmen sekiranya diminta untuk melaksanakan tugas
secara manual dalam tempoh PKP. Walaubagaimanapun, pekerja perlu
berusaha untuk mendapatkan kemudahan tersebut kerana ia merupakan
sebahagian daripada peralatan yang diperlukan untuk melaksanakan tugas di
rumah di masa akan datang.

Kesimpulan yang saya boleh ringkaskan, Covid19 memberikan hikmah yang


besar buat diri kita sebagai pekerja khususnya dalam mempelajari sesuatu
perkara baharu, menguruskan tugasan dan menangani cabaran yang
dihadapi apabila melaksanakan tugasan di rumah. Ia merupakan satu
pengalaman buat pekerja awam/swasta dalam bersedia terhadap pelbagai
kemungkinan dan memerlukan kepada penyelarasan, kebijaksanaan dan
tekad dalam memastikan tugas yang diamanahkan dapat dilakukan dengan
berkesan.

Anda mungkin juga menyukai