Anda di halaman 1dari 13

PANDUAN AM KEPADA CALON

1.1 Sukatan baru Geografi STPM yang diperkenalkan pada tahun 1996 dan edisi semakan
(2006) hanya mengandungi dua kertas sahaja. Iaitu Geografi Kertas -1 942/1 Kertas Alam
Sekitar Fizikal dan Geografi Kertas 2 – Kertas Alam Sekitar Manusia. Pendekatan menjawab
bagi ke dua-dua kertas tersebut dan sistem pemarkahannya hampir sama sahaja berasaskan
konsep ISI + HURAIAN + CONTOH.

1.2 Geografi kertas 1 mengandungi 8 soalan semuanya dan calon-calon dikehendaki pilih
dan jawab empat soalan sahaja dalam jangkamasa 3 jam. Begitu juga dengan Geografi Kertas
2, akan dikemukakan 8 soalan dan calon dikehendaki pilih serta jawab 4 soalan sahaja dalam
jangka masa 3 jam. Mulai tahun 2006, soalan nombor 3, terdiri daripada 2 soalan pilihan
(SAMADA dan ATAU). Calon hanya perlu pilih SALAH SATU SOALAN SAHAJA. Bagi
Geografi kertas 1, soalan nombor 3 adalah dari tajuk sistem geomorfologi manakala bagi
Geografi kertas 2, soalan nombor 3 nya dari tajuk pembangunan ekonomi dan impak alam
sekitar.

1.3 Ini bermakna calon hanya mempunyai masa lebih kurang 45 minit sahaja untuk
menjawab setiap soalan tersebut. Setiap soalan akan berbentuk pecahan (a,b atau c), tidak
lagi soalan khusus/soalan langsung seperti sukatan lama. Setiap soalan sekurang-kurangnya
mengandungi 2 atau 3 pecahan dan setiap pecahan soalan diberikan wajaran markah di
hujungnya dalam tanda kurungan. Jumlah markah bagi setiap soalan apabila dicampurkan
wajaran-wajarannya akan bernilai 25 Markah. Wajaran markah ini memberikan pandu arah
yang amat berguna kepada calon untuk merancang jawapan masing-masing. Ingat! Agehkan
masa yang lebih lama kepada wajaran markah yang besar dan jangan terlalu menumpu
kepada soalan yang wajaran markahnya sedikit.

1.4 Soalan-soalan yang dikemukakan boleh terdiri daripada satu tajuk khusus, satu sub-tajuk
khusus, gabungan beberapa tajuk atau gabungan beberapa sub-tajuk. Jadi elakkan diri
daripada meninggalkan mana-mana tajuk dalam sukatan. Pelajari semua, tetapi sesuatu tajuk
atau sub tajuk itu tidak perlu terlalu mendalam sepertimana dalam sukatan lama sebelumnya.
Dalam hal ini amat perlu bagi calon menganalisis soalan STPM 2000 hingga 2007 untuk
melihat corak atau bentuk soalan yang ditanya ,tema-tema yang dijangka penting untuk
difokuskan, trend soalan,taburan tajuk,aras soalan,konsepsi soalan dan lain-lain. Cuba
dapatkan khidmat-bantu dari guru anda.

2.0 KENALI BENTUK SOALAN

Ada tiga bentuk soalan yang begitu popular ditanya iaitu soalan bersifat langsung (directly
Questions), soalan kemahiran amali yang melibatkan persembahan kartografi, dan juga
soalan berasaskan Kajian luar (Kajian Lapangan). Ketiga-tiga bentuk soalan ini
memerlukan pendekatan menjawab yang berbeza-beza.

2.1 Strategi Menjawab Soalan Langsung.

2.1.1 Soalan langsung adalah soalan yang ditanya terus tanpa melibatkan banyak
rangsangan dan referent. Ia biasanya mempunyai 2 hingga 3 pecahan yang diberikan wajaran
markah masing-masing.
2.1.2. Jika satu-satu soalan itu terdiri daripada 3 pecahan, urutan soalannya mungkin seperti
berikut: Bahagian a) = soalan konsep/definisi/bezakan makna/apakah yang dimaksudkan dan
lain-lain yang seumpamanya. Bahagian b) = Soalan huraian/penjelasan/penerangan
seperti ; huraikan,jelaskan,terangkan,mengapakah dan seumpamanya. Bahagian c) = soalan
bersifat aplikasi seperti cadangkan,analisakan,ulaskan,komen, bincangkan dll yang setaraf
dengannya.

2.1.3. Urutan soalan begini sebenarnya cuba mengukur pemikiran pelajar dari aras bawah
kepada aras tinggi. Justeru itu strategi belajar calon juga mestilah pelbagai aras untuk satu-
satu tajuk. Tidak boleh kita mempelajari sesuatu tajuk itu secara persembahan dan
penghuraian fakta semata-mata.Ada tajuk yang perlu dikupas,
dibahaskan,dibincangkan,diulaskan,dibuat ramalan,dibuat perbandingan dan sebagainya.
Justeru itu amat penting untuk kita memahami bentuk, aras dan kehendak setiap kata kunci
dalam soalan.

2.1.4. Di antara contoh soalan langsung yang akan dibincangkan di sini adalah seperti
berikut:

Pilih sebuah negara di rantau Asia Pasifik;

a) Nyatakan ciri kependudukan (demografi) negara tersebut. (5 Markah)

b) Jelaskan mengapa negara tersebut perlu memperlahankan kadar pertumbuhan


penduduknya. (10 Markah)

b) Cadangkan langkah-langkah yang patut diambil untuk mengurangkan masalah lebihan


penduduk di negara berkenaan. (10 Markah).

2.1.5. Bagi menjawab soalan di atas, calon perlu menamakan dahulu negara yang dipilih.
Misalnya Indonesia. Seterusnya calon perlu menyatakan ciri-ciri demografi negara
berkenaan. Menyatakan tidak perlu menghurai. Cukup sekadar sebaris dua ayat sahaja bagi
setiap ciri yang dinyatakan. Bahagian b) calon mestilah menjelaskan sebab-sebab negara
Indonesia perlu memperlahankan pertumbuhan penduduknya.
Cuba sediakan sekurang-kurangnya 6 sebab bagi soalan (b) di atas. Setiap sebab mestilah
dijelaskan dengan detail antara 6 hingga 7 baris bagi setiap isi yang dikemukakan. Setiap isi
yang dihurai mestilah distruktur mengikut perenggan yang berlainan. Ini bermakna jika anda
ada 6 isi ia mestilah dihurai dalam 6 perenggan yang berlainan. Bagi soalan (c) pula calon
juga perlu sediakan 6 cadangan yang sesuai dan setiap cadangan perlu dihurai dengan sebaik
mungkin.

2.1.6. Setiap judul isi yang diberi mestilah dijelaskan sebaik mungkin dengan sokongan
contoh-contoh yang konkrit dan bukannya dibiarkan dalam bentuk senarai isi (Listing) sahaja.
Ini kerana sistem penilaian jawapan dibuat berasaskan konsep Analitikal dan Impression
atau Isi/Point dengan huraian. Sebutan isi yang relevan,betul dan tepat dengan kehendak
soalan akan diberikan markahnya secara khusus manakala huraian yang
baik,betul,relevan,memenuhi kehendak soalan,padat bersama dengan sokongan contoh yang
sesuai juga akan dianugerahkan markahnya. Jumlah markah yang diberi bergantunglah
kepada peruntukkan markah yang disediakan untuk setiap judul isi berkenaan. Lazimnya
markah untuk huraian lebih tinggi nilainya berbanding dengan markah untuk isi sahaja.
Justeru itu, pemarkahan akan diberikan kepada jawapan yang mempunyai kombinasi antara
ISI dengan HURAIAN dan bukannya kepada isi semata-mata. Dalam hal ini kualiti
jawapan calon amat bergantung kepada kualiti dan kekuatan huraiannya.

2.1.7. Sistem penilaian begini mempunyai implikasi seperti berikut:

a) Jangan sekali-kali mengulang isi atau mengulangi huraian. Isi dan huraian yang berulang
tidak diambil kira.

b) Jangan sekali-kali terlalu mendetailkan huraian pada satu-satu isi sahaja sehingga isi yang
lain amat cetek huraiannya. (huraian tidak seimbang). Ini kerana jika sesuatu isi itu misalnya
diperuntukkan 2 markah maka ia hanya boleh dianugerahkan 2 markah sahaja, tidak lebih
daripada itu. Huraian yang terlalu panjang berjela untuk satu-satu isi akan diberikan
Awarded (Sudah tepu/maksima).

c) Sebaik-baiknya lebihkan isi dan huraiannya menjadi 6 atau 7 isi sebagai Reserve. Ini
untuk mengelakkan berlakunya isi atau huraian yang berkemungkinan diletakkan di bawah
judul isi yang sama (tindanan isi) dalam skemanya nanti. Jika ini berlaku calon masih
mempunyai lebihan satu atau dua isi yang membolehkan mereka masih mampu memperolehi
markah yang maksima.

d) Selain itu, sistem ini juga memerlukan calon membuat perenggan jawapan yang baik.
Misalnya jika calon ada 6 judul isi bermakna mesti ada 6 perenggan yang berasingan.
Setiap perenggan mesti ada Fakta atau Isi (F) , Diikuti oleh Huraian (H) dan Dilengkapi
dengan Contoh (C). Formula F:H:C mestilah dipatuhi. Calon juga boleh mengemukan
Fakta dahulu diikuti oleh Contoh kemudiannya berdasarkan contoh-contoh tersebut ia
membuat Penghuraian. Apa yang penting, Fakta atau Isi mestilah diserlahkan dalam ayat
pertama bagi setiap perenggan. Jangan sekali-kali menyembunyikan fakta/isi diakhir ayat
pada perenggan. Aspek contoh pula tidak semestinya merujuk kepada tempat semata-mata, ia
boleh jadi data, fenomena atau nama sesuatu subjek misalnya bangsa,ciri dan lain-lain
bergantunglah kepada kehendak dan situasi soalan.

e) Akhir sekali, sistem pemarkahan begini juga tidak memerlukan Pendahuluan dan
Penutup yang panjang berjela. Kerana ia tidak mempunyai apa-apa peruntukan markah
kepada aspek pendahuluan atau penutup. Pendahuluan dan penutup cukup sekadar satu atau
dua baris ayat sahaja sebagai pengenalan kepada apa yang diminta oleh soalan.

2.2 Strategi Menjawab Soalan Kemahiran Amali.

Soalan kemahiran amali memerlukan calon bersedia dalam dua aspek. Pertama, kemahiran
untuk mempersembahkan data-data yang diberi oleh soalan kepada bentuk kartografi yang
diminta dan kedua, kemahiran untuk menganalisis mengenai apa yang dapat ditunjukkan oleh
persembahan kartografinya, misalnya menganalisis bentuk dan trend sesuatu graf. Walau
apapun bentuk persembahan kartografi boleh diminta oleh soalan tetapi sistem penilaiannya
adalah konsisten tertumpu kepada aspek-aspek berikut:

2.2.1. Tajuk yang betul dan tepat. Tajuk mesti ditulis. Sesuatu tajuk yang ditulis mestilah
dapat menggambarkan kaedah kartografi yang diguna serta apa yang diwakilinya. Misalan
“Graf Bulatan Menunjukkan Min Suhu Bulanan di Cameron Highland, Pada Tahun 2008”,
Peta Aliran Menunjukkan Migrasi Luar Bandar ke Kuala Lumpur,Pada Tahun 2008”.
Sebaik-baiknya tajuk ditulis di ruang paling atas bagi sesebuah peta,graf,carta dan lain-lain
persembahan kartografi.

2.2.2. Pemilihan skala yang sesuai. Skala yang dipilih mestilah sesuai untuk mewakili
semua data dalam soalan. Dalam hal ini ada dua jenis skala yang boleh dipilih oleh calon.
Pertama skala Aritmetik seperti 1 CM : 50,000 Orang atau ke dua skala Geometri yang
melibatkan nilai punca kuasa dua seperti 1 CM : 100 unit Puncakuasadua

Kedua-dua jenis skala ini berbeza daripada segi penggunaannya. Skala Aritmetik diguna
sekiranya bezantara data-data yang diberi tidak terlalu besar manakala Skala Geometri
diguna-pakai sekiranya bezantara data-data yang diberi terlalu besar perbezaannya khususnya
antara nilai maksima dengan minima. Harus diingat sekiranya anda menggunakan skala
geometri anda mestilah terlebih dahulu mempunca-kuasaduakan semua data yang diberi dan
terpaksa berkerja dalam unit punca kuasadua. Pemilihan skala yang sesuai amat penting bagi
memudahkan dan menghasilkan kerja-kerja plotan yang tepat dan bermutu. Sebagai panduan
skala yang diguna mestilah ditulis/dinyatakan di penjuru sebelah kanan sesuatu persembahan
kartografi dan ia berada di bawah daripada tajuk.

2.2.3. Pengiraan nilai terhadap data yang diberi oleh soalan. Data yang diberi perlu
dikira dengan menggunakan skala yang telah dipilih oleh calon dan sebaik-baiknya
pengiraan tersebut ditunjukkan dalam bentuk jadual serta dihantar bersama-sama jawapan
anda.

2.2. 4. Menyediakan petunjuk. Petunjuk amat penting sebagai indikator yang diguna untuk
mentafsir sesuatu persembahan kartografi. Tanpa petunjuk, persembahan kartografi yang
dibuat adalah tidak lengkap. Justeru ia mesti disediakan. Lazimnya petunjuk di letakkan di
ruangan bawah sebelah kiri graf, carta,rajah,peta dan sebagainya.

2.2. 5. Membuat Plotan. Merujuk kepada apa yang dapat anda persembahkan. Misalnya
garisan bagi graf garis, palang/turus bagi graf bar, bulatan bagi carta pai, garis aliran bagi
peta aliran, lorekan bagi peta koroples dan sebagainya. Penilaian pada aspek plotan amat
bergantung kepada sejauhmana anda dapat menyiapkannya, ketepatan plotan atau tandaan
mengikut skala yang diguna dan juga kesan-nampak (Visual effect). Justeru plotan harus
dibuat dengan teliti dan jelas. Misalnya anda boleh menggunakan warna yang berbeza
asalkan ia tidak menyalahi teknik-teknik kartografi.

2.2.6. Kebersihan dan kesempurnaan. Ia merupakan satu nilai estetika yang diberi kepada
kerja-kerja persembahan kartografi calon yang kemas, bersih,cantik, lengkap dan sempurna.
Sebenarnya ia lebih merupakan satu bonus kepada kualiti hasil kerja calon.

Seperkara yang mesti diingatkan apabila calon bersedia untuk menjawab soalan kemahiran
amali ialah ia mesti membawa kelengkapan alat tulis yang secukupnya. Sekurang-kurangnya
ia mesti ada sebuah Kalkulator, satu set geometri yang dalamnya mengandungi jangka lukis,
jangka sudut,pemadam,pembaris,pensel yang pelbagai warna dan lain-lain alat yang
bersesuaian.

Pengalaman pemeriksaan yang lalu membuktikan calon hanya berupaya


menghasilkan persembahan kartografi yang baik tetapi amat lemah dalam bahagian
menganalisis graf,rajah,carta,peta dan sebagainya. Harus diingat bahawa soalan kemahiran
amali tidak semata-mata melibatkan kerja-kerja kartografi sahaja. Sebahagian markahnya
terletak pada aspek-aspek pentafsiran,analisis,ramalan dan lain-lain yang berkaitan dengan
bahagian amali yang ditunjukkan.

Apabila menjawab soalan analisis, calon tidak boleh mengulas data semata-mata.
Tidak cukup sekadar memberikan angka-angka perubahan, menyatakan peratus, naik-turun
data dan sebagainya yang hanya melibatkan unsur kuantitatif sahaja. Setiap ulasan data
mestilah disokong dengan alasan atau sebab-sebab yang relevan dan menasabah,
merumuskan pola dan trendnya, meramalkan kemungkinan yang boleh berlaku akibat sesuatu
pola yang dapat ditunjukkan oleh graf, rajah,carta atau peta yang telah dilukis berdasarkan
kemahuan soalan. Dalam hal ini sebab dan alasan boleh diambil daripada pengentahuan
geografi yang telahpun calon pelajari khususnya di bilik darjah. Justeru itu unsur-unsur
kuatitatif mestilah digabungjalinkan dengan unsur kualitatif semasa calon menjawab soalan
yang berkaitan dengan analisa ini.

2.3 Strategi Menjawab Soalan Kajian Luar.

Soalan kajian luar merupakan soalan yang popular ditanya. Setiap tahun soalannya sentiasa
dikemukakan. Bagi menjawab soalan kajian luar atau kajian lapangan, seseorang calon
seharusnya memahami Tiga konsep berikut:

2.3. 1. Konsep Lapangan.

Kawasan yang dikaji atau kawasan lapangan adalah merujuk kepada satu kawasan sahaja
dan ia tidak boleh menyebutkan banyak kawasan atau merata-rata tempat. Konsep kawasan
lapangan ini adalah spesifik dan kecil keluasannya. Umpamanya adalah amat mustahil
seseorang calon itu boleh mengkaji secara kajian luar di seluruh negeri atau seluruh negara.
Saiz kawasan lapangan yang boleh diterima seperti di sebuah kawasan taman perumahan,
sebuah kawasan industeri, sebuah kawasan pembalakan, satu kawasan pelancongan, satu
kawasan perlombongan, sebuah estet/ladang, kawasan petempatan seperti satu rancangan
Felda,sebuah kampung, sebuah mukim, sebuah daerah dan lain-lain kawasan yang mikro
saiznya yang boleh mencerminkan kemampuan pelajar/calon membuat kajian dalam
jangkamasa yang terhad. Apabila calon menjawab soalan kajian luar ini, kawasan kajian
tersebut mestilah dinamakan dengan jelas,tepat dan lengkap.

2.3. 2. Satu Jenis Aktiviti Ekonomi. Aktiviti ekonomi yang dikaji juga tidak boleh banyak. Ia
perlu merujuk kepada satu jenis sahaja. Umpamanya jika calon memilih aktiviti
perindustrian maka segala perbincangan jawapan mestilah berkait dan relevan dengan
aktiviti perindustrian sahaja. Tidak boleh melompat kepada aktiviti ekonomi lain. Dalam
konteks ini calon mestilah pandai memilih jenis aktiviti ekonomi yang paling banyak
membawa kesan negatif kepada alam sekitar setempat yang telah dikajinya.

2.3.3. Konsep Lokaliti.

Amat penting bagi setiap isi yang dikemukakan dan dihuraikan dalam soalan kajian luar ini
mestilah bersifat LOKALITI (merujuk kepada tempat yang dikaji). Ia boleh dibuktikan
dengan nama-nama tempat, nama sungai, nama kilang, nama hotel dan lain-lain ciri
persekitaran setempat yang menunjukkan fenomena geografi tempatan. Misalnya jika calon
menggunakan konsep pemanasan global, kesan rumah hijau, penipisan lapisan ozon
sebagai satu isi jawapan untuk menjawab soalan kesan negatif persekitaran ia sama sekali
tidak boleh diterima. Kerana ke tiga-tiga fenomena/kesan tersebut tidak merujuk kepada
kesan di lokasi kawasan yang dikaji dan ia amat luas(Global) iaitu seluruh dunia sedangkan
calon tidak mengkaji seluruh dunia!. Sepatutnya konsep tersebut digantikan dengan istilah
Pemanasan Setempat di kawasan yang dikajinya.

2.3.4. Sebelum calon menulis jawapan yang berkaitan dengan kesan-kesan negatif ke atas
alam sekitar, sesuatu jawapan kajian luar seharusnya dimulakan dengan perkara-perkara
berikut:

a) Menyatakan Tajuk Kajian.

Tajuk kajian mesti mengandungi apakah jenis aktiviti ekonomi yang dikaji dan dimana ia
dikaji. Misalan “ Kajian saya ialah terhadap aktiviti Pembalakan di Dabong, Dalam
Daerah Gua Musang, Kelantan”. Calon juga boleh menceritakan secara ringkas
lokasi/kedudukan kawasan yang dikajinya.

b) Menyatakan Objektif Kajian:

Tujuan kajian luar dibuat mestilah disebut dengan jelas. Misalan “ Tujuan kajian saya ialah
untuk mengenalpasti kesan-kesan persekitaran samada ke atas elemen geomorfologi, elemen
ekologi,elemen hidrologi dan juga elemen atmosfera setempat akibat aktiviti pembalakan
yang telah dijalankan di Dabong ini. Seterusnya mencadangkan langkah-langkah yang
wajar diambil bagi mengurangkan kesan-kesan negatif tersebut”.

c) Menyatakan kaedah kajian dan peralatan yang digunakan.

Di antara kaedah yang sesuai disebut dalam kajian di atas ialah seperti kaedah pemerhatian
dan pencerapan, kaedah temubual/soal selidik dan juga kaedah pengukuran. Alatanya pula
seperti alat tulis, kamera, borang soal-selidik dan lain-lain yang bersesuaian.

2.3.5 Semasa calon menghuraikan jawapan bagi kesan-kesan negatif ke atas alam sekitar ia
mestilah pandai memilih kesan-kesan yan relevan dengan aktiviti ekonomi yang dikajinya itu.
Misalnya jika calon mengkaji aktiviti pembalakan adalah tidak relevan jika ia menghuraikan
kesan terhadap pencemaran bau!. Di antara kesan-kesan umum yang boleh disesuaikan
dengan aktiviti-aktiviti ekonomi yang dikaji ialah seperti; Perubahan terhadap landskap
fizikal; Hakisan tanah dan tanah runtuh; Banjir sungai (akibat dasar yang semakin cetek)
dan banjir kilat; Pencemaran air; Pencemaran udara dan bau; kesan pemanasan
setempat/iklim mikro; dan juga kerosakan ekosistem daratan dan akuatik seperti
kemusnahan spesis dan habitat. Harus diingat apabila calon menghuraikan kesan-kesan
negatif ini ia mestilah disokong dengan dapatan-dapatan daripada kajiannya. Huraian
terhadap kesan tidak boleh secara umum sahaja, ia mestilah bersifat lokaliti. Sebagai
contohnya jika calon menghuraikan kesan pencemaran air sungai ia mestilah menyatakan
nama sungai yang terlibat, jika menghuraikan kesan hakisan tanah ia mungkin boleh
dibuktikan dengan kesan-kesan gegalur yang terdapat disekitarnya. Seboleh mungkin
bukti/dapatan ini mestilah disebut agar jawapan anda kukuh dan benar-benar mencerminkan
kajian luar.

2.3.6. Apabila calon menjawab bahagian cadangan mengatasi kesan-kesan negatif terhadap
alam sekitar, jawapannya mesti mengandungi ke tiga-tiga elemen berikut. Pertama, langkah
perundangan dan akta. Seperti tindakan menyaman,denda (kompaun), menyitar terhadap
mana-mana pihak yang bertanggungjawab menimbulkan kesan-kesan negatif terhadap alam
sekitar tersebut oleh pihak-pihak berwajib di sesuatu tempat, misalnya oleh Majlis daerah,
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Ke dua, langkah
pengurusan seperti menanam semula hutan; membina sistem perparitan; memperdalamkan
semula sungai, merawat sisa, menapis asap dan lain-lain yang boleh difikirkan bersesuaian
dengan jenis aktiviti ekonomi yang dikaji dan kesan negatif yang diakibatkan olehnya. Ke
tiga, langkah kempen kesedaran dan kerjasama masyarakat setempat seperti gotong royong
pembersihan sungai, kempen cintailah sungai kita, penghijauan kawasan sekitar dan lain-lain
cadangan yang boleh meningkatkan kesedaran masyarakat agar peka kepada kesan
persekitaran yang telah dibincangkan itu. Ketiga-tiga aspek ini mestilah ditulis dalam
jawapan anda.

3..0 RUMUSAN

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa sistem penilaian yang diguna
dalam Geografi Kertas 1 dan 2 STPM amat menguntungkan pelajar. Sebenarnya pelajar
mudah memperolehi markah jika betul kaedahnya. Persepsi Geografi masa kini bukan lagi
sesukar masa dahulu.Sebenarnya kecermerlangan (Prinsipal A) boleh digenggam oleh
pelajar. Pengalaman penulis sebagai pengajar membuktikan bahawa kelemahan utama pelajar
ialah tidak boleh menbuat huraian (elebration) yang baik walaupun mampu mengemukakan
isi/fakta yang bernas dan tepat. Justeru itu apa yang penting ialah pelajar perlu rajin
membuat latihan menjawab soalan khususnya aspek pengembangan isi dengan panduan yang
telah diberikan, memperbanyakkan bacaan demi memperluaskan pengentahuan
geografikalnya, mengadakan kumpulan perbincangan bagi memantapkan lagi ilmunya dan
akhir sekali bertawakkallah kepada yang ESA. Saya yakin anda akan berjaya dengan
cemerlang dan gemilang.
Kaedah MJK
(Kaedah Mudah Jawab Soalan Konsep)
1.0 Pengenalan.

Sebelum menjelaskan lebih lanjut tentang kaedah mudah jawab soalan bentuk konsep ini
adalah lebih baik untuk diperjelaskan maksud perkataan konsep itu sendiri. Dalam Kamus
Dewan perkataan konsep bermaksud pengertian am atau idea yang berdasarkan sesuatu. Oleh
itu, untuk menjawab soalan ini jawapan seharusnya berdasarkan maksud secara ringkas dan
tepat sesuatu perkara atau keadaan tertentu.

2.0 Mengapa kaedah ini penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran Geografi
STPM.

Soalan konsep merupakan soalan yang membawa markah 3 atau 4 atau 5 markah dalam
peperiksaan STPM. Biasanya merupakan soalan bahagian (a) untuk mana-mana 8 soalan
yang dikemukakan dalam kertas peperiksaan sama ada kertas 1 dan 2. Walaupun hanya
membawa markah 3 atau 4 atau 5 markah, bilangan bentuk soalan konsep ini merupakan
bentuk yang acapkali ditanya dalam kertas peperiksaan STPM.Oleh itu, ianya boleh
membantu pelajar mendapat markah yang lebih baik. Untuk membuktikan kekerapan soalan
tersebut di bawah ini diperturunkan jumlah soalan bentuk tersebut untuk renungan para
pembaca.

Bagi kertas 1 tahun 2006 sebanyak 4 soalan dan 2007 sebanyak 5 soalan merupakan
bentuk soalan konsep. Soalan tersebut ialah :

Kertas 1Tahun 2006,


 Soalan 1 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan sistem suria?
[4m]
 Soalan 2(a) Jelaskan secara ringkas konsep hanyutan benua.
[5m]
 Soalan 5 (a) Takrifkan tekanan udara.
[5m]
 Soalan 7 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan kerpasan?
[5m]

Kertas 1Tahun 2007,


 Soalan 1(a) Apakah yang dimaksudkan dengan solstis musim sejuk?
[5m]
 Soalan 2 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan pemendapan sungai?
[5m]
 Soalan 3 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan profil pantai seimbang?
[5m]
 Soalan 4 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan atmosfera ?
[5m]
 Soalan 5 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan pemanasan global?
[5m]

Begitu juga bagi kertas 2 tahun 2006 sebanyak 2 soalan dan 2007 sebanyak 3 soalan
merupakan bentuk soalan konsep. Soalan tersebut ialah :
Kertas 2 Tahun 2006,
 Soalan 2(a) Apakah yang dimaksudkan dengan industri asas tani?
[5m]
 Soalan 7 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan alam sekitar?
[5m]
Kertas 2 Tahun 2007
 Soalan 1 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan migrasi antarabangsa ?
[3m]
 Soalan 2(a)Apakah yang dimaksudkan dengan kadar pertumbuhan penduduk
[5m]
 Soalan 5(a) Takrifkan transformasi desa.
[5m]

Soalan ini kerap kali sukar dijawab oleh calon kerana tidak menjawab dengan tepat
dan ringkas. Acap kali calon menjawab dengan panjang lebar meliputi beberapa
perenggan dan terlalu umum. Markah yang diperolehi antara 1 atau 2 sahaja, malahan
ada yang tidak mendapat markah lansung. Calon gagal memjawab mengikut format
yang sepatutnya ringkas dan padat .

3.0 Apa yang dimaksudkan dengan kaedah MJK.

Berdasarkan dua sebab di atas iaitu merupakan soalan yang acapkali ditanya dan sukar
dijawab oleh calon kerana tidak menjawab dengan tepat dan ringkas. Tidak dapat
dinafikan kaedah MJK dapat membantu para guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan
pembelajaran untuk memudahkan para pelajar memahami dan menjawab dengan tepat akan
soalan tersebut. Sebenarnya terdapat tiga kaedah MJK yang boleh diamalkan. Kaedah ini
membolehkan pelajar memahami dengan lebih mudah dan mendapat markah penuh.Empat
kaedah mudah jawab soalan konsep itu ialah kaedah ABC, ABS dan ABK serta ACC.

3.1 Kaedah ABC.

Kaedah ABC bermaksud A untuk apa, B untuk bagaimana dan C untuk contoh. Oleh
itu, dalam jawapan pelajar seharusnya merangkumi ke tiga-tiga aspek ini iaitu apa,
bagaimana dan contoh untuk mendapat markah penuh.

3.2 Kaedah ABS.

Kaedah ABS bermaksud A untuk apa, B untuk bagaimana dan S untuk sebab. Oleh itu
dalam jawapan pelajar seharusnya merangkumi ke tiga-tiga aspek ini iaitu apa, bagaimana
dan sebab untuk mendapat markah yang baik.

3.3 Kaedah ABK.

Kaedah ABK bermaksud A untuk Apa, B untuk Bagaimana dan K untuk Kesan
Oleh itu, sama seperti dua kaedah di atas dalam jawapan pelajar seharusnya merangkumi ke
tiga-tiga aspek ini iaitu apa, bagiamana dan kesan.dah
3.4 Kaedah ACC.

Kaedah ACC bermaksud A untuk Apa, C untuk Ciri dan C untuk Contoh.Oleh itu untuk
mendapat markah penuh , ketiga-tiga aspek ini perlu disentuh.

Bagi memudahkan pemahaman para guru dan pelajar tentang perkataan ‘Apa’
‘Bagaimana’, ‘Contoh’, ‘Kesan’ dan ‘ Sebab’ serta ‘Ciri akan diperjelaskan maksudnya di
ruangan ini. Sebenarnya ‘Apa’ dalam konteks kaedah ini membawa maksud apa yang ditanya
tentang sesuatu perkara atau kejadian itu secara tepat. Manakala ‘ Bagaimana’ pula
bermaksud dengan cara apa perkara dan kejadian itu berlaku mengikut proses tertentu dan
bertepatan dengan kehendak sesuatu perkara dalam soalan yang ditanya.

Selain itu, ‘Contoh ‘ dalam konteks kaedah ini, membawa maksud contoh dari segi
lokasi dan jenis sesuatu perkara atau kejadian itu. Perkataan ‘Sebab’ pula membawa maksud
sebab berlakunya sesuatu perkara atau kejadian itu yang mana menyebabkan berlakunya
sesuatu proses tertentu. Akhir sekali, perkataan ‘ kesan’ merupakan akibat yang terjadi jika
sesuatu perkara atau kejadian itu berlaku secara berleluasa dan berlebihan daripada kedaan
yang sepatutnya berlaku. Di sini akan diperjelaskan beberapa contoh untuk memudahkan
pemahaman pelajar untuk menjawab soalan berbentuk konsep.

4.0 Contoh- Contoh Jawapan Mengikut Kaedah MJK.

4.1 Kaedah MJK – ABC.

Contoh 1 : Apakah yang dimaksudkan dengan luluhawa kimia.

Luluhawa kimia bermaksud proses pereputan dan penyepaian batuan di sesuatu


tempat secara insitu oleh agen-agen atmosfera seperti hujan, suhu dan matahari contoh proses
larutan, pengoksidan dan pengkarbonan.
Huraiannya,
Apa : proses perebutan dan penyepaian batuan di sesuatu tempat.
Bagaimana : secara insistu oleh agen-agen atmosfera seperti hujan, suhu dan
matahari.
Contoh : proses larutan, pengoksidan dan pengkarbonan.

Contoh 2 : Apakah yang dimaksudkan dengan pergerakan jisim.

Pergerakan jisim bermaksud proses pergerakan bahan regolit yang mengalami


pengerakan ke bawah cerun secara besar-besaran disebabkan oleh pengaruh tarikan graviti
dan air bertindak sebagai pelicin serta kekurangan litupan tumbuhan.Contoh kesotan tanih,
tanah runtuh dan gelangsaran.
Huraiannya,
Apa : proses pergerakan bahan regolit yang mengalami pergerakan ke bawah
cerun.
Bagaimana : secara besar-besaran disebabkan oleh pengaruh tarikan graviti dan air
bertindak sebagai pelicin serta kekurangan litupan tumbuhan.
Contoh : kesotan tanih, tanah runtuh dan gelangsaran.
4.2 Kaedah MJK – ABS.

Contoh 1 : Apakah yang dimaksudkan dengan jerebu.

Jerebu bermaksud partikel terampai di atmosfera dalam ketebalan yang tinggi.


Partikal terampai ini terbentuk di dalam keadaan cuaca kering dan udaranya yang stabil
yang menghasilkan satu lapisan kabus nipis menyelimuti ruang atmosfera di sesuatu
kawasan. Disebabkan aktiviti manusia dan faktor semula jadi seperti aktiviti perkilangan dan
letusan gunung berapi.
Huraiannya,
Apa : Jerebu bermaksud partikel terampai di atmosfera dalam ketebalan yang
tinggi.
Bagaimana : Partikal terampai ini terbentuk di dalam keadaan cuaca kering dan
udaranya yang stabil yang menghasilkan satu lapisan kabus nipis
menyelimuti ruang atmosfera di sesuatu kawasan.
Sebab : Disebabkan aktiviti manusia dan faktor semula jadi seperti aktiviti
perkilangan dan letusan gunung berapi.

Contoh 2 : Apakah yang dimaksudkan dengan Pulau Haba.

Pulau Haba bermaksud perbezaan suhu antara pinggir bandar dengan pusat
bandar.Biasanya suhu lebih tinggit di pusat bandar berbanding dengan pinggir bandar yang
disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil dan bangunan tepu bina serta kekurangan litupan
tumbuahan.
Huraiannya,
Apa : Pulau Haba bermaksud perbezaan suhu antara pinggir bandar dengan
pusat bandar.
Bagaimana : Biasanya suhu lebih tinggit di pusat bandar berbanding dengan pinggir
Bandar.
Sebab : yang disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil dan bangunan tepu
bina serta kekurangan litupan tumbuahan.

4.3 Kaedah MJK – ABK.

Contoh 1 : Apakah yang anda tahu berkaitan dengan putaran bumi.

Putaran bumi bermaksud bumi berputar pada paksinya sendiri dengan kecondongan
23 ½ ° daripada satah tegak dari barat ke timur selama 23 jam 56 minit bagi satu pusingan
360 ° dengan kelajuan 1700 km/jam di khatulistiwa dan di kutub kelajuannya sifar. Akibat
kejadian ini, berlaku kejadian siang dan malam, perbezaan zon waktu dan fajar dan senja.
Huraiannya,
Apa : bumi berputar pada paksinya sendiri.
Bagaimana : dengan kecondongan 23 ½ ° daripada satah tegak dari barat ke timur
selama 23 jam 56 minit bagi satu pusingan 360 ° dengan kelajuan
1700 km/jam di khatulistiwa dan di kutub kelajuannya sifar.
Kesan : Akibat kejadian ini, berlaku kejadian siang dan malam, perbezaan zon
waktu dan fajar dan senja.
Contoh 2 : Apakah yang dimaksudkan dengan peredaran bumi.

Peredaran bumi bermaksud bumi beredar dalam satu orbit yang berbentuk bujur dengan
kecondongan 66 ½ ° dalam masa 365 ¼ hari dengan kelajuan 107 280 km sejam mengikut
lawan jam. Kesannya menyebabkan berlaku kejadian empat musin dan kejadian siang dan
malam yang tidak sama panjang.
Huraiannya,
Apa : bumi beredar dalam satu orbit yang berbentuk bujur.
Bagimana : yang berbentuk bujur dengan kecondongan 66 ½ ° dalam masa 365 ¼
hari dengan kelajuan 107 280 km sejam mengikut lawan jam.
Kesannya : Kesannya menyebabkan berlaku kejadian empat musin dan kejadian
siang dan malam yang tidak sama panjang.

Contoh 3 : Apakah yang dimaksudkan dengan sumber alam.

Sumber alam bermaksud sumber semula jadi yang terdiri daripada semua bahan asli
yang berada di dalam alam sekitar fizikal yang berguna dan bermanfaat bagi memenuhi
keperluan atau kehendak manusia yang hidup di dalamnya.
Huraiannya,
Apa : Sumber alam bermaksud sumber semula jadi yang terdiri daripada
semua bahan asli yang bermanfaat kepada manusia.
Ciri : Terbahagi kepada dua jenis iaitu yang boleh diperbahaui dan tidak boleh
diperbaharui.
Contoh :

4.4 Kaedah ACC.

Contoh 1 : Apakah yang dimaksudkan dengan bandaraya global.

Bandaraya global bermaksud bandar yang menempatkan pelbagai aktivti ekonomi


yang bertaraf global, pusat pasaran saham sedunia,pusat kewangan dunia,persidangan
antarabangsa,mercu tanda global,contohnya London, Tokyo, NewYork dan Paris.
Huraiannya,
Apa : bandar yang menempatkan pelbagai aktivti ekonomi bertaraf global.
Ciri : pusat pasaran saham sedunia,pusat kewangan dunia,persidangan
antarabangsa,mercu tanda global.
Contoh : contohnya London, Tokyo, New York dan Paris

Contoh 2 : Apakah yang anda faham tentang pembangunan.

Pembangunan ialah satu proses perubahan daripada tradisioal kepada moden


melibatkan perubahan demografi, ekonomi, sosial,kualiti hidup dan perubahan politik
disebabkan peningkatan jangka hayat, peningkatan pendapatan perkapita,
meningkatnya kadar celik huruf.
Huraiannya,
Apa : perubahan daripada tradisioal kepada moden.
Ciri : perubahan domegrafi, ekonomi, sosial,kualiti hidup dan perubahan politik.
Sebab : peninkatan jangka hayat, peningkatan pendapatan pekapita,
meningkatnya kadar celik huruf.
Contoh 3 : Apakah yang dimaksudkan dengan sumber alam.

Sumber alam bermaksud sumber semula jadi yang terdiri daripada semua bahan asli
yang bermanfaat kepada manusia. Terbahagi kepada dua jenis iaitu yang boleh diperbaharui
dan yang tidak boleh diperbaharui seperti air, hutan, gas asli dan bijih timah.
Huraiannya,
Apa : Sumber alam bermaksud sumber semula jadi yang terdiri daripada
semua bahan asli yang bermanfaat kepada manusia.
Ciri : Terbahagi kepada dua jenis iaitu yang boleh diperbaharui dan tidak boleh
diperbaharui.
Contoh : air, hutan , gas asli dan bijih timah.

5.0 Bagaimana para guru dan pelajar boleh membuat pilihan atau menentukan sama ada
menggunakan ABC, ABS dan ABK.

5.1 Cara menentukan penggunaan ABC.

ABC, secara mudah amat sesuai digunakan untuk soalan konsep yang melibatkan
soalan berkaitan proses yang berlaku terhadap sesuau kejadian atau perkara . Misalnya pada
contoh di atas melibatkan proses luluhawa kimia, pergerakan jirim dan bandar raya global.

5.2 Cara menentukan penggunaan ABS.

Manakala ABS pula merupakan kejadian atau fenomena yang melibatkan berlakunya
campur tangan aktiviti manusia, kebanyakannya berpunca daripada aktiviti manusia dan
sedikit sebanyak juga berpunca daripada faktor semula jadi.Misalnya fenomena jerebu dan
pulau haba serta pembangunan.

5.3 Cara menentukan penggunaan ABK.

Manakala, ABK amat sesuai untuk menjawab soalan yang berkaitan dengan kejadian
atau bahan semula jadi dan membawa kesan kepada manusia di bumi dalam melakukan
aktiviti bagi meneruskan kelangsungan hidup. Contoh kejadian putaran bumi, peredaran bumi
dan sumber alam.

5.4 Cara menentukan penggunaan ACC.

Akhir sekali kaedah ACC. Kaedah ini ada keistimewaannya iaitu hanya digunakkan
untuk menjawan soalan konsep dalam Geografi kertas 2.

6.0 Kesimpulannya.

Calon gagal memjawab mengikut format yang sepatutnya ringkas dan padat . Dengan adanya
panduan ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar menjawab soalan berbentuk konsep ini
dan akan mendapat merkah yang lebih cemerlang dalam mata pelajaran Geografi STPM.

Anda mungkin juga menyukai